Saturday, October 24, 2015

Dari Negara Pakcik Sam Bahagian 1: Kenapa lebuh raya Interstate AS percuma tetapi lebuh raya kita bertol...? / From the United States of Uncle Sam Part 1: Why the US Interstate highways are free but ours are tolled...?



Lebuhraya Interstate 5 di San Diego, Amerika Syarikat


Salam sejahtera,

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini. Sepatutnya ada banyak entri yang patut saya tulis sempena kenaikan tol lebuh raya yang diumumkan pada pertengahan Oktober sebelum ini, namun kesibukan kerja telah menyebabkan saya tidak dapat meluangkan masa untuk menulisnya. Untuk mengubat kerinduan anda, saya bawakan kepada anda dua entri berkenaan rangkaian jalan raya Amerika Syarikat yang ada kena-mengena dengan isu-isu berkaitan jalan raya di Malaysia. Sebagai pembukaan, saya bawakan kepada anda sedikit-sebanyak mengenai Sistem Lebuh Raya Antara Negeri dan Pertahanan Kebangsaan Dwight D. Eisenhower (Dwight D. Eisenhower National System of Interstate and Defense Highways), atau lebih dikenali sebagai Sistem Lebuh Raya Interstate (Interstate Highway System). Salah satu soalan paling popular mengenai rangkaian Lebuh Raya Interstate ialah "kenapa lebuh raya Interstate AS percuma tapi lebuh raya ekspres kita kena tol...?" Untuk menjawab persoalan tersebut, teruskan membaca sehingga ke penamat entri ini untuk mengetahuinya.

Sistem Lebuh Raya Antara Negeri dan Pertahanan Kebangsaan Dwight D. Eisenhower, atau lebih dikenali sebagai Sistem Lebuh Raya Interstate, merupakan rangkaian lebuh raya capaian terkawal primer di Amerika Syarikat yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Asalnya, rangkaian lebuh raya Interstate merupakan satu-satunya rangkaian jalan raya yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan melalui Akta Lebuhraya Bantuan Persekutuan 1956 (1956 Federal Aid Highways Act) yang diluluskan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower, tetapi Akta Penetapan Sistem Lebuhraya Kebangsaan 1995 (1995 National Highway System Designation Act) yang ditandatangani oleh Presiden Bill Clinton turut menambah jalan-jalan masuk utama ke pelabuhan, lapangan terbang, stesen kereta api, terminal talian paip, pengkalan feri serta premis-premis tentera sebagai jalan-jalan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Memandangkan rangkaian lebuh raya Interstate dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan, maka sudah tentulah ia percuma tanpa tol, kecuali sebilangan kecil lebuh raya tol sepanjang 4,700 km yang diwartakan sebagai sebahagian jajaran rangkaian lebuh raya Interstate. Dengan panjang keseluruhan 77,017 km ataupun hanya 1% daripada panjang keseluruhan jalan raya di Amerika Syarikat, rangkaian lebuh raya Interstate berperanan mengangkut lebih kurang seperempat daripada jumlah trafik keseluruhan di Amerika Syarikat.

Sejarah pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate berkait rapat dengan sejarah perkembangan jalan raya di Amerika Syarikat sendiri. Penciptaan kereta tanpa kuda pada penghujung kurun ke-19 membawa kepada keperluan bagi rangkaian jalan raya di seluruh AS. Namun, sistem pengangkutan jarak jauh yang ada pada masa tersebut hanyalah rangkaian landasan kereta api sahaja. Pada tahun 1903, Horatio Nelson Jackson merupakan individu pertama yang direkodkan berjaya memandu dari New York di sebelah pantai timur ke San Francisco di sebelah pantai barat, dengan menggunakan kombinasi jalan tanah merah, denai jejak lembu serta asas landasan kereta api yang sedang dibina. Kejayaannya merentasi AS ini membawa kepada seruan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu rangkaian jalan raya kebangsaan. Tambahan pula, teknik pengeluaran besar-besaran yang diperkenalkan oleh Henry Ford telah berjaya menurunkan harga kereta Ford Model T keluarannya, daripada sekitar USD900 pada tahun 1910 kepada hanya USD260 pada tahun 1925, menjadikan kereta Ford mampu dimiliki setiap lapisan rakyat AS. Daripada situlah munculnya rangkaian "denai kereta" yang diwujudkan bagi menggalakkan perjalanan jarak jauh menggunakan kereta bagi tujuan rekreasi. Namun, denai-denai kereta ini bukanlah dibina oleh kerajaan tetapi sebaliknya dibina oleh organisasi denai-denai kereta, sama ada melalui kerjasama langsung dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, ataupun meminta bayaran daripada pihak perbandaran - bandar yang tidak membayar organisasi denai kereta tidak mempunyai akses terhadap denai kereta tersebut.

Penglibatan langsung kerajaan negeri dalam membangunkan rangkaian jalan raya hanya bermula pada tahun 1918 apabila Wisconsin menjadi negeri pertama yang membangunkan rangkaian jalan rayanya sendiri, diikuti dengan negeri-negeri New England (Connecticut, Maine, Massachusetts, New Hampshire, Rhode Island dan Vermont) pada tahun 1922. Pada masa yang sama, Akta Jalan Bantuan Persekutuan 1916, diikuti dengan Akta Jalan Bantuan Persekutuan 1921, sudah pun bermula, yang mana kedua-dua akta tersebut membolehkan kerajaan persekutuan membiayai sebahagian daripada rangkaian jalan-jalan negeri tersebut, dengan syarat rangkaian jalan-jalan negeri yang memerlukan peruntukan persekutuan itu menghubungkan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Daripada situlah lahirnya Sistem Jalan Raya Bernombor Amerika Syarikat (United States Numbered Highway System) pada tahun 1926.




Jalan US 1 di Whiting, Maine, AS. Jalan US 1 ini boleh dikatakan sebagai "kembar" bagi Jalan Persekutuan 1 di Malaysia


Sistem Jalan Raya Bernombor Amerika Syarikat, atau lebih dikenali sebagai rangkaian Jalan US, merupakan satu rangkaian jalan raya utama atau primer yang menghubungkan antara negeri di Amerika Syarikat, samalah seperti rangkaian Jalan Persekutuan di Malaysia. Sebab itulah rangkaian Jalan US juga sering dianggap sebagai rangkaian Jalan Persekutuan di AS, tetapi sebenarnya rangkaian jalan US bukanlah jalan persekutuan kerana tidak dibiayai secara langsung oleh kerajaan persekutuan. Sebaliknya, pembinaan dan penyelenggaraannya dibiayai oleh kerajaan negeri dengan sedikit peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan secara tidak langsung.

Namun, masalah mula timbul semasa Amerika Syarikat mula terlibat dalam kancah Perang Dunia Kedua susulan serangan oleh tentera Jepun di Pearl Harbor pada Disember 1941. Kenderaan tentera dari kem-kem tentera di seluruh AS perlu bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat yang lain, memandangkan Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang besar dari segi saiz geografinya. Namun, mereka terpaksa berkongsi jalan bersama-sama kenderaan bergerak perlahan di jalan-jalan US. Ada kalanya, kenderaan tentera terpaksa menahan sabar mengekori kenderaan bergerak perlahan yang terkedek-kedek seperti kura-kura sehingga berbatu-batu jauhnya sebelum dapat memotong dengan selamat. Jika keadaan sebegini dibiarkan berterusan, maka sudah tentulah Amerika Syarikat amat mudah diserang oleh musuh yang mengambil kesempatan akan saiz geografinya yang besar. Daripada situlah timbulnya keperluan bagi satu rangkaian lebuh raya capaian terkawal yang membolehkan kenderaan tentera dapat dikerah dengan lebih pantas, di samping memacu ekonomi serta industri automotif di negara Pakcik Sam ini.

Presiden Amerika Syarikat yang bertanggungjawab di sebalik tabir pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate ini sudah tentulah Presiden Dwight D. Eisenhower. Beliau mendapat ilham bagi membangunkan rangkaian lebuh raya Interstate melalui pengalamannya merentasi Lebuhraya Lincoln, salah satu denai kereta terawal di Amerika Syarikat, pada zaman mudanya sebagai seorang pegawai tentera AS. Beliau kemudian mendapat idea bagi membangunkan sebuah rangkaian lebuh raya capaian terkawal yang lebih cekap setelah meneliti rangkaian Reichsautobahn Jerman yang dibangunkan oleh rejim Nazi pimpinan Adolf Hitler dan memuji rangkaian autobahn terawal Jerman itu sebagai satu komponen infrastruktur penting negara bagi tujuan pertahanan. Draf bagi pelan laluan perintis bagi rangkaian lebuh raya Interstate mula diterbitkan di dalam buku Lokasi Am bagi Sistem Lebuh Raya Antara Negeri Kebangsaan (General Location of National System of Interstate Highways), juga dikenali sebagai Buku Kuning (Yellow Book), yang dirangka bersama-sama Setiausaha Pertahanan merangkap Presiden General Motors, Charles Erwin Wilson.




Presiden Dwight D. Eisenhower melancarkan projek rangkaian Lebuh Raya Interstate pada tahun 1956


Pembinaan rangkaian lebuh raya Interstate diluluskan oleh Kongres pada 29 Jun 1956. Tiga buah negeri mendakwa membina lebuh raya Interstate pertama di negara Pakcik Sam, iaitu Missouri, Kansas dan Pennsylvania. Missouri mendakwa projek naik taraf Jalan US66 kepada Lebuhraya Interstate 40 sebagai laluan pertama yang dibina di bawah program Lebuh Raya Interstate setelah Akta Lebuhraya Bantuan Persekutuan 1956 diluluskan. Kansas pula mendakwa pembinaan Lebuhraya Interstate 70 sebagai lebuh raya Interstate terawal kerana ia adalah lebuh raya Interstate paling awal siap. Di Pennsylvania pula, Lebuhraya Tol Pennsylvania (Pennsylvania Turnpike) yang merupakan lebuh raya tol pertama di Amerika Syarikat juga didakwa sebagai lebuh raya Interstate terawal kerana ia sudah lama siap sebelum projek rangkaian lebuh raya Interstate diluluskan iaitu pada tahun 1940, tetapi hanya diwartakan sebagai sebahagian jajaran lebuh raya I-70, I-76 dan I-276 pada tahun 1956. Maka, ketiga-tiga dakwaan tersebut terbukti benar.

Sekarang kita tiba di bahagian yang paling dinanti-nantikan oleh para pembaca, iaitu bagaimana kerajaan persekutuan Amerika Syarikat membiayai pembinaan rangkaian lebuh raya Interstate tanpa tol. Semasa rangkaian lebuh raya Interstate mula dibangunkan, kos anggaran awal dijangkakan sekitar USD25 bilion dan dijangka siap dalam masa 12 tahun, tetapi akhirnya kos sebenar melonjak kepada USD114 bilion (bersamaan dengan USD425 bilion mengikut nilai Dolar Amerika Syarikat pada tahun 2006) dan mengambil masa selama 35 tahun untuk disiapkan. Kebanyakan daripada jajaran Lebuh Raya Interstate yang dibina merupakan naik taraf jajaran Jalan US lama daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya capaian terkawal dengan sekurang-kurangnya 4 lorong. Maka, untuk membiayai pembinaan projek rangkaian lebuh raya ekspres kedua terbesar di dunia ini, satu dana amanah yang dikenali sebagai Dana Amanah Lebuhraya (Highway Trust Fund) telah diwujudkan bagi membiayai projek lebuh raya Interstate ini. Melalui Dana Amanah Lebuhraya, cukai bahan api dikenakan pada semua kenderaan yang mengisi minyak, walaupun di kawasan yang tiada lebuh raya Interstate. Semasa cukai bahan api mula dikuatkuasakan pada tahun 1956, kadarnya ialah 3 sen segelen sebelum dinaikkan kepada 4.5 sen segelen. Pada tahun 1993, kadar cukai bahan api ditetapkan kepada 18.4 sen segelen dan kadar tersebut kekal sehingga sekarang. Cukai bahan api ini membentuk 70% daripada dana yang disalurkan bagi pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya Interstate. Itulah sebabnya kenapa Amerika Syarikat boleh membina lebuh raya ekspres percuma, iaitu dengan mengenakan cukai bahan api yang meningkatkan harga minyak di sana. Namun, tidak semua lebuh raya Interstate yang dibina adalah percuma; lebuh raya Interstate yang terawal pula dikenakan tol sehingga ke hari ini, sungguhpun ada di antaranya sudah memansuhkan kutipan tolnya. Tambahan pula, kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan persekutuan semakin kekurangan dana untuk membina lebuh raya baharu. Justeru, banyak lebuh raya Interstate baharu yang dibina di pinggir bandar dibina sebagai lebuh raya tol; malah, terdapat juga sesetengah lebuh raya Interstate yang diswastakan dan dikenakan tol bagi membolehkan ia diselenggara dengan baik. Dengan kata lain, kerajaan persekutuan akan mengenakan tol di sesetengah jajaran lebuh raya Interstate pada masa hadapan.

Setelah membaca entri ini, saya percaya rata-rata pembaca kini sudah faham tentang bagaimana Amerika Syarikat membina lebuh raya capaian terkawal secara percuma untuk rakyat. Nak lebuh raya percuma, harga minyak dinaikkan. Di China pula, hendak membina sebegitu banyak lebuh raya dalam masa yang singkat bermaksud tol yang mahal dikenakan. Di Jepun pula, harga minyak dan tol lebuh raya kedua-duanya mahal, tetapi tambang pengangkutan awam di sana pula murah. Begitulah lumrah alam, jika kita mahukan sesuatu, kita perlu korbankan sesuatu yang lain. Satu sikap rakyat Amerika Syarikat yang seharusnya dicontohi oleh rakyat Malaysia ialah mereka tidak pernah meminta-minta dan sekadar mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata, tetapi sebaliknya mereka lebih suka berusaha sendiri untuk membiayainya. Malah, Presiden John F. Kennedy pernah berpesan, "Usah ditanya apa yang dilakukan oleh negara kepada anda, tetapi tanyalah apa yang anda lakukan untuk negara." Anda lihat sajalah, Akta Perlindungan Pesakit dan Penjagaan Mampu Milik 2010 (2010 Patient Protection and Affordable Care Act) aka Obamacare yang dibentangkan oleh Presiden Barack Obama pun mendapat tentangan daripada banyak pihak sungguhpun Akta Obamacare itu memang terang-terangan membantu setiap lapisan rakyat memiliki polisi insurans kesihatan pada kadar mampu milik. Kalau dasar mensubsidi insurans kesihatan pun ditentang hebat di negara Pakcik Sam, apatah lagi kalau perkhidmatan kesihatan disubsidi sepenuhnya seperti di Malaysia. Kita pula sering disogokkan dengan pelbagai bentuk subsidi sejak lahir sehingga ke liang lahad. Lahir di hospital kerajaan disubsidi. Suntikan imunisasi pun disubsidi. Sekolah rendah dan menengah pun disubsidi; kalau kena bayar yuran pun, sekadar untuk membolehkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah beroperasi. Jika berjaya memasuki universiti awam, sebahagian yuran pengajian juga disubsidi. Jika sakit dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pun disubsidi juga. Pendek kata, terlalu banyak benda dalam kehidupan kita yang disubsidi sehingga kita menjadi kufur nikmat dan cenderung menganggap mudah akan segala subsidi yang disogokkan, sedangkan rakyat Amerika Syarikat tidak merasa langsung semua ini. Sikap rakyat Amerika Syarikat yang lebih suka berdikari inilah yang menjadikan Amerika Syarikat kekal sebagai negara maju dan kuasa besar nombor satu di dunia, sungguhpun mereka juga menjuarai masalah sosial dan jenayah.

Kesimpulannya, kita terlalu mementingkan diri apabila meminta lebuh raya ekspres percuma kononnya atas alasan untuk rakyat dan memandang enteng akan kewujudan rangkaian jalan persekutuan dan negeri yang lebih dekat pada jiwa rakyat dalam erti kata sebenar, sedangkan semasa pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate pula banyak penduduk dan peniaga di pekan-pekan kecil membantah sehingga ke tahap mahu menyaman kerajaan kerana tidak mahu mata pencarian mereka dibunuh oleh lebuh raya capaian terkawal. Malah, ramai di kalangan penduduk di sepanjang jajaran Jalan US lama yang berkempen bagi memartabatkan jalan raya mereka. Inilah salah satu tujuan utama Blog Jalan Raya Malaysia diwujudkan - kami ingin mengajak para pembaca budiman agar turut bersama-sama kami dalam perjuangan memartabatkan rangkaian jalan raya negara. Biar rakyat celik kod laluan. Biar rakyat celik sejarah pembangunan jalan raya negara. Biar rakyat melayan lebuh raya ekspres dan jalan persekutuan dan negeri sama rata dan bukannya meminggirkannya. Biar rakyat berasa bangga akan jalan raya yang telah banyak berjasa dalam kehidupan masing-masing. Budaya rakyat Amerika Syarikat yang memartabatkan rangkaian jalan raya mereka sewajarnya dicontohi rakyat Malaysia sendiri kerana kita sebenarnya mempunyai sejarah pembangunan rangkaian jalan raya yang lebih tua daripada mereka.

Ikuti sambungan bahagian kedua dalam siri entri Dari Negara Pakcik Sam mengenai kisah Jalan US 66 yang sering dianggap sebagai satu kisah klasik dalam memartabatkan jalan raya Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Advertisement