Salam sejahtera,
Blog Jalan Raya Malaysia berbesar hati membawakan kepada anda siri reviu jalan raya XPDC Teganu Kita 2015 sempena pembukaan keseluruhan jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 setengah bulan lalu. Kembara solo dengan jarak perjalanan keseluruhan lebih kurang 900 km ini juga merupakan kembara motosikal solo dengan jarak tunggangan terpanjang dalam sehari yang pernah saya adakan. Selain itu, satu lagi kejayaan besar yang berjaya dicapai dalam siri kembara kali ini ialah projek XPDC Teganu Kita 2015 ini merupakan projek reviu jalan raya berskala besar yang pertama kali dibiayai sebahagian besarnya daripada hasil derma anda semua. Jutaan terima kasih saya ucapkan. Selain itu, reviu kali ini menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 yang dipinjamkan oleh rakan serumah saya yang terpaksa dikejarkan ke hospital akibat patah kaki, berbeza dengan reviu-reviu bermotosikal yang menggunakan motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya sendiri.
Sejujurnya, saya sudah lama tidak dapat menghasilkan reviu jalan raya terbaharu kerana berdepan dengan masalah kewangan sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini akibat beberapa siri kerosakan pada motosikal dan kereta saya. Hujung tahun lalu, motosikal saya terpaksa dibaik pulih sepenuhnya (full overhaul) akibat kekejangan pada pin engkol (crank pin). Sebulan kemulan, ia terpaksa dibaik pulih lagi kerana memakan minyak enjin terlalu kuat akibat prosedur baik pulih yang tidak betul. Seterusnya, kereta saya pecah tayarnya pada penghujung Oktober 2014 sehingga memerlukan saya menukar kedua-dua tayar belakang. Tidak cukup dengan itu pula, kereta saya pula rosak akibat kebocoran gasket kepala silinder. Pada bulan Disember pula, motosikal saya mengalami beberapa kerosakan berangkai yang menjadikannya sama mahal seperti membaik pulih penuh - bearing roda pecah, sport rim makan bearing, tayar belakang botak dan gegancu dan rantai sudah sampai masa untuk ditukar. Masalah kewangan tersebut menjadi penghalang utama sehingga menyebabkan saya tidak dapat menghasilkan sebarang reviu jalan raya sebagai pembuka tahun 2015. Namun, saya kembali bersemangat semula untuk menghasilkan reviu jalan raya disebabkan dua perkara - rakan serumah saya yang patah kaki meminjamkan motosikalnya kepada saya, dan juga derma daripada anda semua. Sebab itulah projek reviu jalan raya berskala besar ini berjaya diawalkan pada 15 Februari 2015, sedangkan perancangan asal saya pula dalam bulan Mac ini.
Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas pada 31 Januari 2015. Sepatutnya ia dibuka pada 31 Disember 2014, tetapi terpaksa ditangguhkan lagi akibat banjir besar yang melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada masa itu. Saya sudah pun menulis sejarah lengkapnya sebelum ini, jadi tidak perlulah saya bercerita lagi mengenainya dan terus kepada reviu kali ini.
Kembara semalam sepatutnya dimulakan sebaik selepas solat Subuh, tetapi saya terpaksa bertolak lewat pada pukul 7.30 pagi kerana dua sebab. Sebab pertama, motosikal Suzuki Belang R150 yang dipinjamkan oleh rakan serumah saya itu nyaris dicuri sekitar pukul 4.30 pagi, tetapi berjaya digagalkan oleh jiran saya yang terserempak dengan pencuri bangsat itu. Nasib baik motor itu terselamat hasil tindakan pantas jiran saya; kalau tidak, tak tahulah apa yang patut saya jawab pada rakan serumah saya itu. Sebab kedua pula ialah rumah saya tiada bekalan air berikutan masalah tekanan terlalu rendah - jadi saya terpaksa mandi di stesen minyak kerana air dalam tangki air tandas sudah habis. Akibatnya, kembara ke Pantai Timur terpaksa dilewatkan sedikit kerana saya ke balai polis untuk membuat laporan cubaan curi motosikal dan seterusnya solat Subuh dan mandi di stesen minyak Petronas Lingkaran Karak.
Saya terus ke Lebuhraya Karak E8/FT2 dan seterusnya LPT1 E8 untuk mencuba sendiri LPT2 E8 yang masih segar itu. Rasanya tidak perlulah saya menulis mengenai Lebuhraya Karak E8/FT2 dan LPT1 E8 kerana saya sudah pun menulis reviu mengenai kedua-duanya sebelum ini, anda boleh baca mengenai kedua-dua lebuh raya tersebut.
Sepanjang jajaran LPT1 dari Kuantan ke Jabor, keadaan lebuh raya begitu kotor akibat lori-lori tanah yang menggunakannya. Lori-lori tanah tersebut datang dari estet-estet berhampiran serta kawasan-kawasan yang diterangkan untuk dijadikan projek perumahan. Apa yang saya kesalkan ialah lori-lori tersebut tidak pula membersihkan lori-lori mereka (atau setidak-tidaknya sekadar membilas lori mereka dengan air) sebaik keluar dari estet ke jalan raya berturap. Keadaan jalan yang kotor dan berdebu bukan sahaja menyakitkan mata pengguna lebuh raya, malah boleh menjadi ancaman kepada mereka yang menghidap lelah.
Sempadan Pahang-Terengganu menandakan saya sudah hampir tiba ke penghujung LPT1 E8 di Jabor. Di Exit 836 Persimpangan Jabor, saya dilencongkan keluar. Eh...? Bukankah LPT2 E8 sudah dibuka...? Kenapa tak boleh jalan terus...? Sungguhpun LPT2 E8 sudah siap, namun kutipan tol masih belum dimulakan lagi. Maka, satu sistem kutipan tol dibangunkan di Jabor. Pengguna dari arah Kuala Lumpur dilencongkan keluar ke Exit 836 Persimpangan Jabor dan membayar tol sehingga setakat Jabor sahaja. Seterusnya, mereka perlu membuat pusingan U selepas plaza tol untuk mengambil tiket tol dan kembali semula ke lebuh raya. Seterusnya, barulah pengguna lebuh raya dari arah KL boleh memilih untuk ke Kuala Terengganu dan menyerahkan semula tiket transit di plaza tol sementara yang didirikan sebaik selepas Exit 836 (tiada bayaran tol dikenakan di plaza tol sementara itu). Kenapa perlu berbuat sebegitu...? Jawapannya mudah sahaja - pondok tol di plaza tol sementara hanya boleh menerima tiket tol Jabor sahaja dan tidak boleh membaca tiket tol dari mana-mana persimpangan lain di LPT E8. Dari arah Kuala Terengganu pula, anda boleh guna tiket tol di plaza tol sementara itu di seluruh rangkaian LPT1 E8 sehingga ke Karak, jadi anda boleh jalan terus tanpa perlu melencong ke Jabor. Cuma, sedikit masalah timbul bagi penunggang motosikal kerana lorong motosikal di plaza tol tamat selepas pusingan U yang saya katakan tadi, jadi saya terpaksa menongkah arus sedikit untuk melakukan pusingan U untuk ke LPT2. Plaza tol sementara ini dijangka akan dirobohkan sebaik kadar tol dimuktamadkan pertengahan tahun ini dan seterusnya kutipan tol LPT2 dimulakan.
Sebaik melepasi plaza tol sementara Jabor, secara rasminya saya sudah pun memasuki LPT2 E8. Seronok...!!! Jajaran Jabor-Cheneh ini dibuka pada Julai 2014, jadi sudah tentulah ia masih segar. Tidak lama kemudian, saya tiba di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing yang merupakan hentian rehat terbesar di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur E8. Apa yang menjadikannya unik ialah R&R Perasing terletak di sebelah arah Kuala Terengganu tetapi ia boleh dimasuki dari kedua-dua hala - cuma, laluan dan petak parkir bagi kedua-dua hala diasingkan sepenuhnhya. Buat masa ini, masih belum ada gerai yang beroperasi di situ, tetapi terdapat seorang penjaja yang menjual minuman ringan untuk menghilangkan dahaga. Stesen minyak...? Sudah tentulah belum ada lagi...!!!
Jika di LPT1, saya boleh memecut sepuas-puasnya tanpa perlu risau akan lokasi stesen minyak, tetapi lain pula keadaannya di LPT2 - saya perlu memperlahankan kelajuan di sepanjang laluan bukan kerana keadaan jalan tetapi kerana ketiadaan stesen minyak di sepanjang LPT2. Jadi, kenalah pandai bajet di mana hendak keluar untuk mengisi minyak. Tambahan pula, lokasi persimpangan dengan bandar utama yang dihubungkannya boleh mencecah sehingga sekitar 20 km, jadi jika jarum tolok bahan api sudah pun mencecah ke paras E semasa di persimpangan bertingkat, maka anda perlu berdoa agar minyak yang tinggal mencukupi untuk sampai ke stesen minyak berhampiran. Itulah kerisauan yang saya alami sepanjang di LPT2, kerana Suzuki Belang ini agak pelahap jika dibandingkan dengan Honda Wave Ultimo saya. Jika saya menunggang Honda Wave Ultimo saya sekalipun, saya tetap perlu risau kerana tangkinya pula lebih kecil. Tolok bahan api Suzuki Belang kini hanya tinggal setakuk sahaja, jadi saya perlu keluar segera di Exit 839 Persimpangan Cheneh untuk berhenti mengisi minyak di Bandar Baru Cheneh, tiada pilihan lain. Saya mengisi minyak di Shell Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bandar Baru Cheneh yang terletak betul-betul di tepi Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Nasib baik stesen minyak tersebut sangat hampir dengan Exit 839. Petrol sudah diisi penuh, jadi saya kembali semula ke LPT2 dan terpaksa menganggarkan berapa jauh boleh sampai kali ini.
Persimpangan seterusnya ialah Exit 841 Persimpangan Chukai untuk ke bandar Chukai yang menjadi ibu daerah Kemaman melalui jalan FT237. Jika jajaran dari Jabor ke Cheneh mengikuti laluan pedalaman, kali ini LPT2 melencong ke arah pantai pula. Ia sekaligus memendekkan perjalanan dari Cheneh ke Chukai, meskipun memang ada laluan dari Cheneh ke Chukai melalui Jalan Mak Lagam T124.
Hentian Sebelah Kijal merupakan hentian sebelah pertama di sepanjan LPT2 E8 ini. Sungguhpun keadaan bangunan hentian sebelah boleh dikatakan bagus memandangkan ia masih baharu, namun apa yang saya ingin kritik di sini ialah rekaan jalan susurnya yang saya sifatkan sebagai sangat berbahaya, khususnya untuk kenderaan berat. Tidak seperti rata-rata hentian sebelah mahupun hentian rehat yang lain di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur E8 yang cukup panjang, cukup lebar dan sudut keluar masuk yang bersesuaian dan tidak begitu tajam, jalan susur ke Hentian Sebelah Kijal sangat sempit kerana hanya menggunakan bahu jalan (aka lorong kecemasan) yang hanya selebar 3 m sebelum satu belokan tajam untuk memasukinya. Kebetulan semasa saya melaluinya, terdapat sebuah lori yang nyaris-nyaris overshoot semasa hendak memasuki hentian sebelah itu, padahal lori itu perlahan sahaja. Lorong-lorong susur keluar sepatutnya direkabentuk untuk membolehkan pengguna lebuh raya yang hendak keluar agar dapat memperlahankan kenderaan secukupnya. Ini hentian sebelah lebuh raya ekspres, bukannya hentian sebelah jalan raya biasa...!!! Maka, sudah tentulah saya membuat kesimpulan bahawa kontraktor yang bertanggungjawab membina jalan susur bagi hentian sebelah ini sememangnya tidak cukup kompeten. Justeru, saya ingin menggesa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu agar mengkaji semula rekaan jalan susur di situ dan melakukan tindakan pembetulan dengan merekabentuk dan membina semula jalan-jalan susur baharu bagi menggantikan jalan-jalan susur yang sangat berbahaya itu.
Exit 845 Persimpangan Kijal pula menghubungkan LPT2 E8 dengan Bandar Seri Bandi dan Kijal melalui Jalan Persekutuan 124. Jika diperhatikan dalam peta, jarak antara Exit 845 ke Kijal begitu jauh, sedangkan jarak ke Bandar Seri Bandi pula sangat dekat. Kalau begitu, kenapa tidak dinamakan sahaja Persimpangan Bandi...? Mungkin juga kerana Kijal jauh lebih terkenal berbanding Bandar Seri Bandi. Sebab itulah saya sering katakan bahawa di Lebuhraya Pantai Timur E8, jarak dari persimpangan bertingkat ke bandar-bandar utama yang dihubungkan begitu jauh. Nak buat dekat seperti di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2...? Boleh, tetapi sudah tentulah kos pembinaannya akan mencanak naik berikutan kos pampasan kepada tuan-tuan tanah.
Jika diikutkan, jajaran dari Kijal ke Kerteh dibuka lebih kemudian daripada jajaran Chukai ke Kijal, tetapi terdapat beberapa jajaran yang menunjukkan kesan-kesan penuaan termasuklah cat jalan yang sudah pudar. Mungkin jajaran inilah yang merupakan antara jajaran bermasalah di LPT2 apabila kontraktor asal menarik diri atas alasan kenaikan harga bahan binaan. Justeru, ia perlu dicat semula agar tidak menjejaskan penglihatan pada waktu malam.
Persimpangan seterusnya ialah Exit 847 Persimpangan Kerteh yang merupakan antara sebilangan kecil persimpangan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur E8 yang terletak hampir dengan bandar yang dihubungkannya. Namun, persimpangan berikutnya iaitu Exit 849 Persimpangan Paka mengikuti perangai yang sama seperti Exit 845 Persimpangan Kijal. Bandar paling hampir di situ ialah Ketengah Jaya, tetapi kenapa pula Paka yang mendapat nama...? Sudah tentulah atas sebab yang sama seperti kes Exit 845 tadi - nama Paka lebih terkenal daripada Ketengah Jaya.
Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka pula masih belum siap sedangkan LPT2 sudah pun dibuka. Saya percaya mungkin ia akan siap pertengahan tahun ini. Di R&R lain sekalipun, banyak tempat yang sudah pun siap tetapi masih belum ada peniaga lagi, jadi keadaannya sama sahaja.
Satu ciri utama di sepanjang LPT2 E8 ialah terdapat banyak jambatan panjang bagi menyeberangi sungai, padahal sungai-sungai tersebut sebenarnya tidaklah selebar mana. Namun, seperti yang telah diceritakan dalam entri sejarah LPT E8, bilangan jejambat dan jambatan yang sebegitu panjang di LPT2 adalah susulan banjir besar Terengganu pada tahun 2009. Ia memang terpaksa dilakukan kerana Terengganu merupakan negeri yang menerima curahan hujan tahunan purata yang tertinggi di Malaysia sehingga melebihi 3,000 mm, menjadikannya mudah berlaku banjir. Sejak 2009, hanya sekali sahaja berlaku insiden LPT2 ditenggelami air banjir, iaitu di Bukit Besi semasa banjir besar Disember 2014.
Semasa saya melepasi Exit 851 Persimpangan Kuala Dungun, aras tolok minyak masih menunjukkan dua takuk, tetapi tidak sampai 2 km kemudian arasnya sudah pun jatuh kepada setakuk sahaja dan lampu amaran bahan api sudah pun berkelip. Saya sudah mula berasa risau, takut tidak sempat sampai ke Bukit Besi sebelum terpaksa menolak jauh sehingga berpuluh-puluh kilometer. Saya terpaksa memperlahankan Suzuki Belang itu kepada sekitar 90 km/j sambil berdoa agar sempat sampai di stesen minyak terdekat di Bukit Besi. Sebaik tiba di Exit 853 Persimpangan Bukit Besi, takuk yang hanya tinggal satu itu pula sudah berkelip, menandakan minyak akan habis pada bila-bila sahaja. Mujurlah ada stesen minyak Shell di Hentian Rehat Bukit Besi, jadi tanpa membuang masa lagi saya mengisi minyak sepenuh-penuhnya agar mencukupi untuk ke Kuala Terengganu.
Hentian sebelah yang seterusnya ialah Hentian Sebelah Bukit Besi. Jajaran dari Bukit Besi ke Telemung merupakan satu-satunya jajaran yang dibina oleh AlloyMTD iaitu sekitar 30% sahaja, tidak seperti LPT1 yang 100% dibina oleh AlloyMTD. Jajaran AlloyMTD juga antara jajaran yang paling awal siap. Sebab itulah Hentian Sebelah Bukit Besi sudah mula menunjukkan tanda-tanda penuaan yang memerlukannya dicat semula. Apa tidaknya, sudah lebih 3 tahun LPT2 beroperasi tanpa sebarang kutipan tol walau sesen pun - jadi bagaimana hendak mendapatkan wang bagi menyelenggara jajaran yang sudah siap...? Sungguhpun demikian, jajaran MTD pula masih mengekalkan kualiti binaannya meskipun jajaran tersebut antara yang paling awal dibuka, sedangkan terdapat jajaran lain yang sudah pun menunjukkan penuaan walaupun dibuka lebih lambat. Kualiti turapan yang tidak begitu konsisten jelas menunjukkan tahap kemahiran dan kekompetenan setiap kontraktor yang terlibat dalam membina LPT2 ini.
Jam sudah pukul 12.45 tengah hari. Pada waktu itu, saya sudah pun berada di Exit 858 Persimpangan Ajil, yang menunjukkan bahawa saya sudah hampir sampai ke penghujung LPT2 ini. Lega betul...!!! Sebaik melepasi Jambatan Sungai Terengganu terletaknya hentian rehat terakhir di sepanjang LPT2 E8 ini iaitu Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil. R&R Ajil ini begitu meriah dengan pengunjung serta dilengkapi taman permainan kanak-kanak. Sayangnya ia masih belum ada stesen minyak lagi, sungguhpun R&R Ajil ini merupakan R&R terawal yang dibuka di sepanjang LPT2 ini.
Persimpangan kedua terakhir ialah Exit 862 Persimpangan Telemung. Ia dihubungkan ke Bukit Payong, Marang dan Wakaf Tapai melalui Lebuhraya Bukit Payong-Telemung, juga dibina oleh AlloyMTD. Jika diikutkan pada papan tanda gantri, ia sepatutnya turut dihubungkan ke Empangan Kenyir dan Gua Musang, tetapi jalan ke sana masih belum ada. Ia jelas membuktikan bahawa Lebuhraya Bukit Payong-Telemung ini sebenarnya sebahagian daripada jajaran Lebuhraya Timur-Barat Kedua ke Gua Musang, Cameron Highlands dan Ipoh, tetapi masih ada dua lagi jajaran putus yang masih belum dibina, iaitu jajaran Chiku ke Aring dan Kuala Telemong ke Kuala Jeneris. Jajaran Chiku ke Aring tanpa melalui jalan-jalan Felda belum dibina, menyebabkan pengguna dari Gua Musang ke Tasik Kenyir terpaksa melalui jalan-jalan Felda, mengakibatkan jalan-jalan Felda tersebut sering rosak teruk.
Persimpangan terakhir ialah Exit 867 Persimpangan Kuala Terengganu. LPT2 E8 akhirnya tamat...!!! Papan tanda gantri menunjukkan petanda bahawa projek LPT3 E8 nanti akan melalui Kota Bharu dan Jerteh, meskipun butiran lanjut mengenai persimpangan-persimpangan yang dibina masih belum ada lagi. Jadi, kenalah ikut Jalan Persekutuan 3 untuk ke Kota Bharu buat masa ini. Seperti kebanyakan persimpangan di LPT E8, jarak dari Exit 867 ke pusat bandar raya Kuala Terengganu masih lagi jauh, iaitu 21 km jika melalui Jalan Persekutuan 3. Namun, Jalan Tengku Mizan FT65 pula memendekkan perjalanan kepada hanya 13 km. Tanpa membuang masa lagi, saya ke Kuala Terengganu melalui FT65 untuk mencuba sendiri keropok lekor Losong yang terkenal itu.
Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan pengalaman saya menyelusuri Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8, cuma ada beberapa isu yang perlu ditegur di sini:-
- Motosikal terpaksa menongkah arus sedikit untuk membuat pusingan-U di Plaza Tol Jabor disebabkan lorong motosikal tamat selepas pusingan-U tersebut. Justeru, satu laluan khas berserta papan tanda yang jelas perlu diadakan agar penunggang motosikal tidak perlu menggadaikan nyawa mereka menongkah arus semata-mata untuk membuat pusingan-U untuk ke Kuala Terengganu.
- Kualiti turapan tidak konsisten, yang sememangnya sudah dijangka berikutan model perniagaan yang digunakan dalam pembinaan LPT2, di samping kelewatan dalam menyiapkan projek. Dalam hal ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah pun mengumumkan bahawa mereka akan kembali menggunakan model perniagaan asal seperti LPT1 semasa pembinaan LPT3 kelak.
- Sesetengah jajaran dan prasarana lebuh raya sudah pun menunjukkan tanda-tanda penuaan seperti cat jalan pudar, disebabkan sudah dibuka terlalu lama tetapi tanpa sebarang penyelenggaraan. Penyelenggaraan hanya boleh dilakukan dengan baik setelah kutipan tol dimulakan kelak. Justeru, KKR dan LLM diharap dapat memuktamadkan kadar tol secepat mungkin agar LPT2 dapat diselenggara dengan sebaiknya.
- Tiada stesen minyak di sepanjang lebuh raya. Saya faham, usaha untuk mendapatkan syarikat-syarikat minyak untuk membuka stesen minyak di lebuh raya memang memakan masa, tetapi sekurang-kurangnya JKR dan LLM perlu meletakkan papan tanda nasihat untuk pengguna lebuh raya keluar di persimpangan tertentu untuk mengisi minyak. Ia sangat kritikal terutamanya bagi penunggang motosikal kapcai berikutan saiz tangki yang kecil dan hanya mencukupi untuk perjalanan lebih kurang 100-120 km sahaja. Sepanjang jajaran LPT2 ini, saya cadangkan agar papan tanda nasihat stesen minyak diletakkan di Exit 839 Persimpangan Cheneh dan Exit 853 Persimpangan Bukit Besi.
- Jalan susur Hentian Sebelah Kijal yang sangat berbahaya; justeru, LLM dan JKR perlu melaksanakan tindakan pembetulan dengan menyemak semula reka bentuk jalan susur yang saya katakan berbahaya itu; jika benar ia sangat berbahaya, rekaan baharu yang lebih selamat perlu dihasilkan dan seterusnya jalan susur baharu perlu dibina bagi menggantikan jalan susur lama yang sangat berbahaya.
Ikuti bahagian kedua XPDC Teganu Kita 2015 akan datang dalam reviu Jalan Tengku Mizan FT65.
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Hentian sebelah Kuantan
Exit 833 Persimpangan Kuantan, persimpangan kedua terakhir di LPT1 E8
Sempadan Pahang-Terengganu menunjukkan saya semakin diba di penghujung LPT1 E8
Exit 836 Persimpangan Jabor - untuk terus ke Kuala Terengganu, anda dilencongkan keluar ke Plaza Tol Jabor...
...dan seterusnya membayar tol di sini. Seterusnya, anda perlu buat pusingan-U dan ambil tiket transit di sini...
...dan seterusnya menyerahkan tiket tol di plaza tol sementara ini
Antara jejambat panjang di sepanjang LPT2 E8
Kawasan Rehat dan Rawat Perasing yang boleh dimasuki dari kedua-dua arah
Masih belum ada kedai yang dibuka di R&R Perasing
Di R&R Perasing, laluan dan parkir diasingkan mengikut arah. Ini parkir untuk arah Kuala Terengganu...
...dan ini pula bagi arah Kuala Lumpur
Tiang lampu ini condong akibat struktur tanah yang dilemahkan oleh hujan lebat berterusan akhir tahun lalu
Melencong keluar sebentar di Exit 839 Persimpangan Cheneh untuk mengisi minyak
Bangunan plaza tol sudah pun siap, cuma belum digunakan lagi
Exit 845 Persimpangan Chukai
Hentian Sebelah Kijal yang saya kritik disebabkan rekaan jalan susur yang berbahaya
Exit 845 Persimpangan Kijal sebenarnya lebih dekat dengan Bandar Seri Bandi berbanding Kijal sendiri
Jajaran Kijal-Kerteh sebenarnya lebih lambat dibuka daripada jajaran Jabor-Kijal tetapi sudah pun menunjukkan penuaan - cat jalan sudah pudar
Exit 847 Persimpangan Kerteh
Exit 849 Persimpangan Paka menunjukkan perangai yang sama seperti Exit 845 - ia lebih dekat dengan Ketengah Jaya berbanding Paka
Sungai Paka bukanlah besar sangat, tetapi jambatannya pula begitu panjang kerana kawasan ini amat mudah banjir besar
Exit 851 Persimpangan Dungun - semasa melepasi persimpangan ini, tolok bahan api menunjukkan hanya tinggal setakuk sahaja lagi
Takuk yang hanya tinggal satu sahaja lagi pada tolok bahan api sudah mula berkelip-kelip sebaik tiba di persimpangan ini - perlu segera keluar ke Bukit Besi untuk mengisi minyak, jika tidak pasti terpaksa menolak jauh nanti
R&R Bukit Besi di Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ada stesen minyak, tetapi Hentian Sebelah Bukit Besi pula tiada
Jajaran AlloyMTD dari Bukit Besi ke Telemung begitu bagus kualiti pembinaannya walaupun ia merupakan antara jajaran terawal dibuka
Exit 858 Persimpangan Ajil menunjukkan saya semakin hampir ke Kuala Terengganu
Sungai Terengganu dari atas Jambatan Sungai Terengganu di Ajil
Jambatan Sungai Terengganu
Kawasan Rehat dan Rawat Ajil nampak meriah, tetapi masih belum ada stesen minyak lagi
Exit 862 Persimpangan Telemung dihubungkan ke Lebuhraya Bukit Payong-Kuala Telemong yang sebenarnya merupakan salah satu daripada jajaran Lebuhraya Timur-Barat Kedua
LPT2 E8 tamat di Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu
salam saudara..kalau tak silap sy jajaran dr kijal ke kerteh tu dh lama siap tp kalau salah tlg btolkan
ReplyDeleteTerima kasih atas makluman. Sebenarnya apa yang menjadikan jajaran tersebut "lambat dibuka" adalah kerana infrastruktur yang lambat siap - dengan kata lain, jajaran lebuh raya memang sudah siap tetapi Persimpangan Kijal dan Persimpangan Kerteh pula belum siap sepenuhnya tetapi boleh dilalui sebagai laluan bagi penduduk tempatan. Ada juga kes hala yang belum siap tetapi masih boleh dilalui melalui laluan kontra di sebelah hala yang sudah siap. Sebab itulah saya tidak dapat mencari berita pembukaan jajaran tersebut di akhbar-akhbar utama. Ia mungkin antara jajaran bermasalah disebabkan kontraktor asal yang menarik diri akibat kenaikan harga bahan binaan.
Deletetahniah kepada penulis yang menghidangkan review yang sangat menarik dan santai untuk dibaca.. Sememangnya pemandangan di sekitar lebuh raya ini memang menarik untuk disusuri pengguna jalan raya yang suka melancong.. huhu.. review kali ni dah upgrade motor belang rupanya.. pulas throttle habis kot.. tu yang minyak cepat habis..
ReplyDeleteHehehe motor pinjam saja pun. Apa pun saya akan tulis reviu mengenai motor tersebut dalam bahagian keempat nanti.
Delete