Exit 845 Persimpangan Kijal di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8
(Kredit kepada: Forum Pencakar langit Malaysia)
Salam sejahtera,
Setelah sekian lama tertangguh, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 akhirnya dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya pada 31 Januari 2015, setelah jajaran terakhir dari Paka ke Kijal akhirnya berjaya disiapkan. Projek yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Mei 2011 itu hanya berjaya disiapkan pada Januari 2015 atas pelbagai sebab seperti kenaikan harga bahan binaan, ketidakcekapan kontraktor menguruskan kewangan serta banjir. Untuk pengetahuan, jajaran terakhir tersebut sepatutnya dibuka pada 31 Disember 2014, tetapi terpaksa ditangguhkan lagi akibat banjir besar di pantai timur pada masa itu.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil keputusan untuk kembali semula kepada model perniagaan asal bagi projek LPT E8 Fasa 3 dari Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan. Jika diikutkan model perniagaan asal yang digunakan semasa pembinaan LPT1 E8 dari Karak ke Jabor dahulu, MTD Prime (kini ANIH Berhad) merupakan satu-satunya kontraktor dan syarikat konsesi yang membina dan menyelenggaranya, tetapi semasa pembinaan LPT2 pula, kerajaan negeri Terengganu di bawah Datuk Seri Idris Jusoh mensyaratkan LPT2 dibina dengan sebahagian besar jajaran dibina oleh kontraktor-kontraktor tempatan yang kebanyakannya kurang berpengalaman. Sebab itulah LPT1 boleh siap tepat pada masanya tetapi LPT2 pula terlalu lambat siap. Mengambil pengajaran daripada kelewatan LPT2 E8, maka KKR memutuskan untuk kembali kepada model perniagaan asal untuk projek LPT3 nanti.
Kawasan Rehat dan Rawat Perasing dibina sebagai hentian rehat terbesar di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur E8
(Kredit kepada: Forum Pencakar Langit Malaysia)
Apa yang istimewanya pada LPT2 E8 ini...? Tarikan terbesar lebuh raya ini tidak lain dan tidak bukan ialah Kawasan Rehat dan Rawat Perasing, yang merupakan hentian rehat terbesar di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur E8. Hentian rehat tersebut hanya dibina sebelah sahaja, tetapi ia boleh dimasuki dari kedua-dua arah melalui sepasang persimpangan bertingkat; laluan arah Kuantan dan arah Kuala Terengganu diasingkan serta mempunyai lot parkir yang berbeza. Sebenarnya, konsep yang diamalkan di Kawasan Rehat dan Rawat Perasing ini bukanlah konsep baharu, kerana Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah terlebih dahulu menggunakan konsep yang sama - bezanya ialah pengguna lebuh raya dari kedua-dua arah boleh berkongsi lot parkir yang sama, boleh berpatah balik serta boleh juga dimasuki melalui Jalan Gombak FT68, memandangkan Lebuhraya Karak E8/FT2 menggunakan sistem tol terbuka.
Berapakah kadar tol yang bakal dikenakan nanti...? Buat masa ini, LPT2 E8 masih lagi percuma; pengguna dari LPT1 hanya dikenakan tol sehingga setakat Plaza Tol Jabor sahaja kerana kebanyakan bangunan plaza tol di sepanjang LPT2 masih dalam pembinaan. Kadar tol hanya akan ditetapkan pada pertengahan tahun ini, dan saya jangkakan kadar tolnya akan diselaraskan dengan kadar tol LPT1 nanti. Justeru, seperti yang telah saya katakan sebelum ini, pengguna LPT2 E8 menikmati masa tol percuma paling lama (lebih kurang 4 tahun) berbanding mana-mana lebuh raya ekspres yang lain. Pembukaan LPT2 yang tertangguh lama telah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kos melepas. Oleh itu, LPT3 wajar dikembalikan kepada model perniagaan asal supaya projek siap tepat pada masanya tanpa melibatkan kos melepas yang tinggi akibat kelewatan menyiapkan projek seperti yang terjadi pada LPT2.

Jadi bila agaknya Blog Jalan Raya Malaysia akan menghasilkan reviu mengenai LPT2 E8 ini...? Hmm... (garu kepala) Saya tidak dapat nyatakan bila tarikh spesifik untuk ke sana, tetapi apa yang saya boleh katakan ialah reviu tersebut pastinya dapat direalisasikan lebih cepat sekiranya ramai yang menderma, memandangkan reviu LPT2 E8 ini melibatkan perjalanan jauh dengan kos yang lebih tinggi; sumber kewangan yang terhad sudah tentu menjadi halangan utama untuk menghasilkan reviu jalan raya berjarak jauh seperti ini. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia agar menderma sekurang-kurangnya RM10 seorang untuk membolehkan reviu LPT2 E8 dapat direalisasikan dan disajikan khas untuk anda.
No comments:
Post a Comment