Salam sejahtera,
Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, harga minyak dunia kini semakin turun disebabkan lambakan pengeluaran minyak dunia. Ia susulan kejayaan Amerika Syarikat menggali keluar minyak syal secara besar-besaran dengan kos yang lebih rendah, menjadikan Amerika Syarikat kembali sebagai negara pengeluar minyak terbesar di dunia dengan memotong kedudukan Arab Saudi sebagai negara dengan rizab minyak terbesar. Namun, penurunan harga minyak global sebenarnya merugikan Malaysia kerana negara sudah tentu kekurangan hasil akibat harga minyak yang semakin jatuh. Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil keputusan untuk menghentikan subsidi bahan api pada Disember 2014. Ironinya, harga petrol di Malaysia terus turun walaupun selepas subsidi ditarik, malah permintaan terhadap petrol RON97 tiba-tiba mencanak naik sehinggakan bekalannya di beberapa buah stesen minyak sering kehabisan beberapa kali. Selain harga RON97 yang semakin murah, persepsi orang ramai kononnya RON97 lebih bagus daripada RON95 dari segi penjimatan bahan api serta peningkatan prestasi turut mendorong kepada permintaan RON97 yang mencanak naik.
Namun demikian, adakah benar RON97 lebih jimat serta lebih berkuasa daripada RON95...?
2,2,4-trimetilpentana (iso-oktana, atas) dan n-heptana (bawah) - iso-oktana mempunyai penarafan RON100 manakala n-heptana pula mempunyai penarafan RON0
Sebelum kita membincangkan mengenai bahan api manakah yang lebih baik, kita perlu terlebih dahulu memahami maksud RON itu sendiri. RON merupakan kependekan bagi Nombor Oktana Penyelidikan (Research Octane Number) yang mengukur indeks ketahanan sesuatu bahan api petrol terhadap ketukan enjin. Ketukan enjin terhasil apabila bahan api terbakar sendiri semasa lejang mampatan sebelum bahan api dibakar oleh bunga api palam pencucuh, menyebabkan tercetusnya letusan yang meningkatkan tekanan gas yang terhasil sehingga lebih tinggi daripada yang mampu ditanggung oleh komponen-komponen kritikal enjin terutamanya omboh. Akibatnya, ketukan yang berpanjangan boleh merosakkan enjin dan menyebabkan omboh berlubang. Justeru, bahan api petrol mestilah terbakar hanya disebabkan nyalaan palam pencucuh dan bukannya mampatan campuran udara-bahan api.
Angka-angka RON diperolehi melalui ujian sampel bahan api yang dinyalakan pada enjin dengan nisbah mampatan boleh ubah, mengikut persekitaran yang diseragamkan (misalnya, pada suhu bilik 24°C pada tekanan udara 1 atmosfera). Nisbah mampatan ditingkatkan sehingga ketukan terhasil. Data-data yang diperolehi kemudian dibandingkan dengan data-data iso-oktana (2,2,4-trimetilpentana) tulen, n-heptana tulen, serta campuran kedua-dua bahan tersebut dengan nisbah yang berbeza-beza. Jika bahan api tersebut menghasilkan sifat pembakaran yang sama seperti campuran 95% iso-oktana dan 5% n-heptana, maka bahan api tersebut ditarafkan sebagai RON95. Begitu juga jika bahan api tersebut menghasilkan sifat pembakaran sama seperti campuran 97% iso-oktana dan 3% n-heptana, maka ia diberikan penarafan RON97. Iso-oktana tulen sangat tahan ketukan dan diberikan penarafan RON100 secara automatik, manakala n-heptana tulen pula tidak tahan ketukan dan diberikan penarafan automatik RON0. Namun, ia tidak bermakna iso-oktana tulen paling tahan ketukan kerana masih ada banyak jenis bahan api yang mampu memperoleh penarafan RON lebih tinggi, misalnya gasohol (petrol + alkohol) E85 memperoleh penarafan RON102 hingga RON105.
Jadi RON jenis apakah yang sesuai digunakan pada kenderaan anda...? Hukum ibu jari bagi RON yang sesuai digunakan ialah kenderaan berprestasi tinggi serta mempunyai nisbah mampatan tinggi memerlukan petrol dengan penarafan RON lebih tinggi. Dengan kata lain, kereta-kereta biasa boleh menggunakan RON95 tanpa sebarang masalah, tetapi kereta-kereta sport serta kereta-kereta dengan nisbah mampatan tinggi pula hanya boleh menggunakan petrol RON97 sahaja. Misalnya, Honda Civic 1.8 dan 2.0 biasa boleh menggunakan petrol RON95, tetapi Honda Civic Type R hanya boleh menggunakan petrol RON97 sahaja. Motosikal kapcai juga boleh menggunakan petrol RON95 tanpa sebarang masalah kerana enjin motosikal kapcai direkabentuk untuk menggunakan petrol RON91. Namun, tidak semua kenderaan yang mengikuti hukum ibu jari yang saya nyatakan tadi. Contoh paling ketara ialah enjin-enjin SkyActiv Mazda yang mempunyai nisbah mampatan setinggi 13:1 tetapi boleh menggunakan petrol RON95 tanpa sebarang masalah, berikutan penggunaan teknologi pancitan terus petrol (GDI) yang menurunkan suhu kebuk pembakaran semasa lejang mampatan, membolehkan nisbah mampatan lebih tinggi digunakan.
Selain itu, kenderaan lama yang sudah mula menunjukkan tanda-tanda berlakunya ketukan enjin serta kenderaan yang menggunakan sistem penyalaan yang diubahsuai (termasuklah penggunaan CDI racing pada motosikal kapcai) hanya boleh menggunakan petrol RON97; kenderaan tersebut boleh kembali menggunakan petrol RON95 sekiranya sistem penyalaannya dinyahtala (termasuklah kembali menggunakan CDI standard bagi motosikal) ataupun selepas dilakukan top overhaul untuk membuang mendakan arang yang melekat pada kepala silinder yang meningkatkan nisbah mampatan sehingga boleh mengakibatkan ketukan.
Namun demikian, ramai pengguna yang memilih untuk menggunakan RON97 kerana terpengaruh dengan dua mitos utama, iaitu RON97 lebih jimat daripada RON95 dan RON97 lebih meningkatkan prestasi enjin daripada RON95. Namun, adakah kedua-dua mitos tersebut benar...?
- Mitos 1: RON97 lebih jimat daripada RON95 - Banyak kajian yang membuktikan bahawa pemilihan jenis RON yang berbeza langsung tidak mempengaruhi penggunaan bahan api, sebaliknya penjimatan bahan api lebih banyak bergantung kepada tabiat pemanduan serta keadaan trafik itu sendiri. Jika anda memilih untuk mengharungi kesesakan jalan raya, maka sudah tentulah anda akan membazirkan lebih banyak bahan api berbanding mereka yang banyak melencong untuk memintas kesesakan jalan raya, tidak kiralah RON berapa yang anda guna. Jika anda mendakwa kononnya RON97 lebih jimat daripada RON95 atas alasan petrol RON95 lebih "kotor" daripada RON97, maka dakwaan tersebut juga mengarut kerana syarikat-syarikat minyak menggunakan aditif yang sama bagi kedua-dua RON95 dan RON97; satu-satunya syarikat minyak yang menggunakan aditif yang berbeza hanyalah Shell yang menggunakan aditif biasa pada Shell FuelSave 95, manakala Shell V-Power 97 pula menggunakan bahan pencuci yang berbeza serta pembolehubah geseran.
- Mitos 2: RON97 meningkatkan lebih prestasi enjin daripada RON95 - Salah satu daripada bahan tambah utama dalam petrol ialah agen pencuci yang berfungsi membersihkan sistem bahan api serta mendakan karbon pada kebuk pembakaran. Selain itu, sesetengah petrol juga turut mengandungi pembolehubah geseran bagi membantu sistem pelinciran mengurangkan geseran pada beberapa komponen kritikal seperti omboh dan injap, memandangkan sebahagian kecil petrol akan berpaut pada komponen-komponen tersebut bagi melincirkannya. Namun, kuantiti aditif yang digunakan pada kedua-dua RON95 dan RON97 adalah sama sahaja, maka tiada perbezaan prestasi yang ketara terhasil; satu-satunya syarikat minyak yang menggunakan aditif yang berbeza bagi kedua-dua RON95 dan RON97 hanyalah Shell. Justeru, petrol RON97 tetap menghasilkan tenaga yang sama seperti petrol RON95 iaitu sekitar 34.8 megajoule seliter sahaja.
Blog automotif terkemuka Paul Tan menggunakan empat buah kereta Volkswagen untuk membuktikan sama ada mitos-mitos berkenaan RON97 dan RON95 itu benar atau palsu
Hasil eksperimen yang dijalankan oleh kru Paul Tan mendapati bahawa kedua-dua mitos tersebut terbukti karut - RON97 lebih jimat sedikit pada Volkswagen Polo Sedan, tetapi RON95 pula lebih jimat pada Volkswagen Jetta TSI
(Semua kredit gambar: Paul Tan)
Cara terbaik bagi membuktikan sama ada kedua-dua mitos tersebut benar atau karut adalah dengan memandu sendiri melalui pelbagai situasi trafik yang berbeza (jalan raya perbandaran yang sesak, jalan persekutuan yang lurus dan berbengkang-bengkok, jalan kampung dan lebuh raya ekspres) dengan menggunakan RON95 dan seterusnya menggunakan laluan sama tetapi dengan menggunakan petrol RON97 pula. Pendekatan sebeginilah yang digunakan oleh kru blog automotif Paul Tan yang menggunakan empat buah kereta - dua buah Volkswagen Polo Sedan dan dua buah Volkswagen Jetta TSI. Bagi setiap model, sebuah kereta diisi penuh dengan petrol RON95 manakala sebuah lagi diisi penuh dengan petrol RON97 di sebuah stesen minyak Petronas di ibu negara. Mereka mengharungi jarak 236.7 km dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim dan seterusnya berpatah balik ke Kuala Lumpur melalui pelbagai keadaan jalan - lalu lintas ibu kota yang sesak, lebuh raya ekspres yang lengang serta jalan persekutuan yang berliku-liku. Untuk meminimakan kesan gaya pemanduan terhadap hasil eksperimen mereka, mereka menukar pemandu beberapa kali di beberapa checkpoint tertentu. Pada akhir eksperimen, mereka kembali ke stesen minyak yang sama dan mengisi minyak di pam yang sama untuk mengetahui jumlah penggunaan sebenar petrol. Mereka mendapati bahawa penggunaan RON97 pada Volkswagen Polo Sedan memberi penjimatan sebanyak 3.15% berbanding RON95 (13.44 km/L vs 13.03 km/L), tetapi RON95 pula lebih jimat 1.92% berbanding RON97 pada Volkswagen Jetta TSI (13.52 km/L vs 13.26 km/L).
Dengan penemuan tersebut, anggota-anggota kru Paul Tan berjaya membuktikan bahawa kedua-dua mitos tersebut adalah karut sama sekali. Sebaliknya, kedua-dua mitos tersebut hanya benar bagi kes petrol Shell sahaja, memandangkan petrol Shell FuelSave 95 dan Shell V-Power 97 menggunakan aditif yang berbeza. Jadi berbaloikah anda untuk membazirkan wang hanya kerana terpengaruh dengan mitos yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya...?
No comments:
Post a Comment