Suzuki Belang R150
Salam sejahtera,
Blog Jalan Raya Malaysia kembali bersiaran setelah lebih seminggu berehat sempena cuti Tahun Baru Cina. Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana agak lewat menyiarkan entri ini kerana demam semasa di kampung, mungkin bahana musim kering yang melanda negara sekarang. Namun syukur alhamdulillah, saya kini kembali sihat seperti sedia kala dan boleh kembali menulis untuk blog ini...!!!
Seperti yang saya janjikan pada entri-entri terdahulu dalam siri XPDC Teganu Kita 2015, saya bawakan kepada anda reviu eksklusif mengenai jentera yang saya gunakan sepanjang siri reviu berskala besar kali ini. Biasanya bagi reviu bermotosikal, saya biasanya menggunakan motosikal Yamaha Lagenda 110 (2011-2012) dan diikuti dengan Honda Wave 125X Ultimo (2012-sekarang). Namun, Honda Wave Ultimo itu terpaksa saya rehatkan buat seketika berikutan beberapa kerosakan berangkai (bearing roda pecah, rim sport makan bearing, tayar belakang botak, rantai dan gegancu haus dan perlu ditukar). Sebenarnya kesemuanya itu cuma sekadar haus dan lusuh serta beberapa kerosakan kecil yang melibatkan kos yang kecil (kecuali rim sport), tetapi jika dihimpunkan maka kosnya sama seperti baik pulih penuh (full overhaul). Memang rabak habis kocek saya, ditambah pula dengan masalah kewangan yang saya alami sepanjang penghujung tahun lalu dan awal tahun ini. Namun, kebetulan pula pada awal Februari, seorang rakan serumah saya terpaksa dikejarkan ke hospital kerana patah kaki. Jadi, sepanjang dia di hospital, dia mengamanahkan saya untuk menjaga motosikal kesayangannya dan mengizinkan saya untuk menggunakannya sementara saya mengumpul modal untuk memperbaiki motosikal saya - dan motosikal rakan serumah saya itulah Suzuki Belang R150 yang saya gunakan dalam siri reviu kali ini.
Sedikit mengenai model Suzuki Belang ini. Suzuki Belang R150 merupakan model motosikal kapcai 4 lejang dengan saiz enjin terbesar dalam kelasnya. Motosikal ini mula dikeluarkan pada tahun 2004 di Thailand, Indonesia dan Filipina dengan nama Suzuki Raider 150 (Suzuki Satria 150 di Indonesia) sebelum ia dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2009. Ia menggunakan enjin silinder tunggal 150 cc DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak serta digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan. Enjin yang digunakan pada Belang asalnya digunakan pada motosikal sport Suzuki FXR150 yang dikeluarkan dari tahun 1998 hingga tahun 2002. Secara kebetulan, saya pernah menguji model FXR150 milik seorang rakan 15 tahun dahulu, jadi ada baiknya saya membuat perbandingan antara kedua-dua model tersebut.
Suzuki FXR150
Sementara itu pula, Suzuki FXR150 pula merupakan motosikal sport kecil 4 lejang yang dikeluarkan oleh Lion Suzuki (kini Suzuki Assemblers Malaysia), dengan 75% komponen tempatan. Model buatan Malaysia itu juga dieksport ke beberapa negara luar termasuklah Indonesia dan New Zealand. Sepanjang tempoh pengeluarannya, ia merupakan satu-satunya model sport kecil 4 lejang di Malaysia dan hanya bersaing dengan model-model pesaing 2 lejang seperti Yamaha TZM150 dan Honda NSR150. Sayangnya, tatkala Honda (dan Yamaha) sudah mula mengeluarkan model sport 4 lejang 150 cc mereka sendiri, Suzuki tiada pula rancangan untuk menghidupkan semula model tersebut ataupun mengeluarkan model generasi kedua.
Suzuki Belang R150 menggunakan enjin yang sama seperti pada model sport FXR150 tetapi sudah dinyahtala untuk dipadankan dengan badannya yang sangat ringan
Terus-terang saya katakan, enjin 150 cc DOHC 4 injap yang digunakan pada FXR150 itu sememangnya antara enjin 150 cc terbaik pernah dibina oleh Suzuki. Sebab itulah enjin tersebut digunakan semula pada model Belang ini. Namun, enjin pada Belang ini sebenarnya sudah dinyahtala sedikit untuk disesuaikan dengan kerangka dan badannya yang lebih ringan - enjin FXR150 mampu menghasilkan kuasa kuda setinggi 20 bhp @ 12,500 rpm serta kilasan 18 N-m @ 10,000 rpm, sementara enjin Belang pula dijinakkan sedikit kepada 16.5 PS @ 9,500 rpm dan kilasan 12.76 N-m @ 8,500 rpm. Tidak seperti model-model pesaing mereka, kedua-dua model FXR150 dan Belang menggunakan sistem sejukan udara yang digandingkan dengan sistem sejukan minyak agar dapat melesapkan haba secekap sistem sejukan cecair tetapi dengan kos penyelenggaraan yang sangat rendah. Anda hanya perlu jaga minyak enjin sahaja untuk memastikan enjin Belang anda disejukkan sebaiknya.
Menghidupkan enjin Belang cukup mudah, sama ada melalui penghidup elektrik mahupun penghidup tendang. Namun, untuk menggunakan penghidup elektrik, anda perlu menarik tuas klac terlebih dahulu sebelum menekan punat penghidup. Oleh kerana penghidup elektrik merupakan peralatan standard pada motor ini, penghidup tendang seakan tidak diperlukan melainkan ketika bateri lemah.
Panel meter digital Belang yang canggih
Salah satu perkara yang saya paling suka pada Belang sudah tentulah meter digitalnya yang tampak canggih, menggabungkan takometer dengan panel LCD yang terdiri daripada meter laju digital, tolok bahan api dan odometer. Tiada penunjuk kedudukan gear sebagaimana yang ada pada FXR150, kecuali lampu gear neutral dan lampu gear enam. Namun, satu penambahan terbaharu berbanding FXR150 ialah lampu nasihat penukaran gear yang berwarna putih. Ia menyala pada kedudukan rpm tertentu, bergantung kepada mod yang digunakan sama ada mod biasa, Eco atau Power, yang boleh ditukar dengan menekan punat Mode ketika berhenti. Lampu tersebut tidak akan menyala pada mod biasa. Pada mod Eco pula, lampu tersebut menyala pada sekitar 5,000-6,000 rpm untuk penjimatan bahan api maksimum, manakala pada mod Power pula lampu putih itu menyala pada 8,500 rpm iaitu pada takat enjin menjana tork maksimum.
Memandangkan enjin Belang ini merupakan enjin oversquare (lubang lebih besar daripada lejang), maka anda perlu menukar gear pada rpm yang agak tinggi. Kekuatan enjinnya sangat terasa pada empat gear terawal, tetapi pada gear lima dan enam pula ia seakan agak malas untuk menarik badannya yang seberat 108 kg itu. Maka, jika anda menukar gear pada rpm yang agak rendah, maka sudah tentulah agak liat untuk mendapatkan kelajuan maksimum. Untuk mendapatkan kelajuan maksimum, saya menukar gear pada sekitar 11,000 rpm pada empat gear pertama, manakala gear keenam ditukar pada sekitar 10,000 rpm. Hasilnya, kelajuan maksimum yang saya berjaya capai dengan Belang ini ialah 136 km/j. Nak lebih laju lagi...? Boleh, dengan syarat anda perlu menukar kepada CDI racing kerana CDI standard Belang mengehadkan rpm enjin kepada 11,500 rpm sahaja. CDI standard FXR150 pula membolehkan kelajuan enjin ditingkatkan kepada 12,500 rpm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum antara 140-150 km/j, bergantung kepada berat penunggang.
Bagaimana pula dengan penggunaan bahan apinya...? Belang ini boleh jadi jimat minyak dan boleh juga jadi pelahap, bergantung kepada gaya tunggangan anda. Jika anda menunggang dengan relaks, menukar gear pada rpm pertengahan dan mematuhi had laju, maka Belang ini boleh jadi lebih jimat minyak. Namun, jika anda merempit sakan dan menukar gear pada rpm tinggi, ia memang pelahap, serius saya katakan. Tak percaya...? Saya sertakan data-data penggunaan bahan api sepanjang perjalanan pergi balik KL-Kuala Terengganu-KL dalam projek XPDC Teganu Kita di bawah ini. Oh ya, anda juga perlu memastikan rantai sentiasa ditegangkan dengan betul kerana ia juga turut mempengaruhi penggunaan bahan api.
Stesen minyak
|
Bacaan awal
odometer
(km)
|
Bacaan akhir
odometer
(km)
|
Jarak
(km)
|
Isian petrol
(liter)
|
Penggunaan bahan
api
(km/L)
|
Kelajuan purata
(km/j)
|
Petronas
Lebuhraya Karak
|
28221.4
|
28258.6
|
37.2
|
1.35
|
27.56
|
90
|
Shell
R&R Temerloh (arah timur)
|
28258.6
|
28327.0
|
68.4
|
2.35
|
29.11
|
90-120
|
Petronas
R&R Gambang (arah timur)
|
28327.0
|
28388.7
|
61.7
|
2.762
|
22.34
|
120
|
Shell
R&R Cheneh (FT14)
|
28388.7
|
28477.2
|
88.5
|
3.36
|
26.34
|
110-120
|
Shell
R&R Bukit Besi (FT14)
|
28477.2
|
28574.2
|
97
|
3.59
|
27.02
|
110
|
Shell
Chabang Tiga, Kuala Terengganu
|
28574.2
|
28660.5
|
86.3
|
3.31
|
26.07
|
60-110
|
Petronas
Bandar Almuktafi Billah Shah
|
28660.5
|
28751.6
|
91.1
|
2.587
|
35.21
|
90-100
|
Petronas
Jalan Kuantan-Sungai Lembing
|
28751.6
|
28857.6
|
106
|
3.53
|
30.03
|
90-100
|
Petronas
R&R Gambang (arah barat)
|
28857.6
|
28906.4
|
48.8
|
1.535
|
31.79
|
110-120
|
Shell
R&R Temerloh (arah barat)
|
28906.4
|
28967.6
|
61.2
|
1.77
|
34.58
|
110
|
Petronas
R&R Genting Sempah
|
28967.6
|
29054.4
|
86.8
|
2.941
|
29.51
|
70-110
|
Jumlah jarak perjalanan: 833 km (tidak termasuk jarak KL-Petronas Lingkaran Karak dan R&R Genting Sempah-KL)
Penggunaan bahan api purata keseluruhan: 28.64 km/L
Sungguhpun demikian, ada dua perkara yang paling saya kurang senangi pada Suzuki Belang ini. Pertama, lampu hadapan yang digunakan sangat malap, sungguhpun Suzuki mendakwa rekaan lampu hadapannya diinspirasikan daripada model-model superbike mereka. Apa tidaknya, lampu hadapan Belang menggunakan dua biji mentol 25W, yang mana hanya lampu sebelah atas sahaja menyala pada suluhan lampu rendah, manakala pada suluhan lampu tinggi pula kedua-dua mentol tersebut menyala. Namun, serius saya katakan, lampu yang digunakan itu terlalu malap, malah lebih malap daripada lampu Wave Ultimo saya. Akibatnya, saya menghadapi kesukaran untuk melihat jalan di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa perjalanan balik pada waktu malam, memandangkan garisan jalan di sepanjang E8/FT2 sudah hilang kesan pemantulannya. Akibatnya, saya terpaksa memperlahankan motosikal pada kelajuan sekitar 70 km/j dan membuka visor topi keledar untuk memudahkan penglihatan sehinggalah saya tiba di Genting Sempah, di mana Lebuhraya Karak E8/FT2 mula disinari pancaran lampu jalan LED sehingga ke penamatnya di Plaza Tol Gombak - pada masa itulah baru saya lebih berani untuk menunggang dengan lebih laju sedikit. Jika dibandingkan, lampu hadapan Suzuki FXR150 pula jauh lebih terang - malah lebih terang daripada lampu hadapan Yamaha TZM150 - kerana ia menggunakan dua biji mentol halogen berkuasa tinggi sehingga memerlukan geganti (relay) untuk menghidupkannya.
Namun, perkara utama yang paling saya tidak senangi pada Suzuki Belang ini ialah sistem pengunci sterengnya yang saya sifatkan sebagai terlalu primitif dan tidak selamat. Memandangkan Suzuki Belang ini merupakan model prestasi, maka sudah tentulah ia menjadi salah satu motosikal idaman mat rempit dan samseng jalan raya, justeru ia memerlukan satu sistem kunci yang setidak-tidaknya berupaya menggagalkan usaha pencuri motosikal bangsat anak haram jadah daripada mencurinya. Turut menambah parah keadaan ialah rekaan kowling hadapannya turut mendedahkan mekanisme pengunci stereng Belang ini. Dalam entri pertama siri XPDC Teganu Kita, saya ada menceritakan detik-detik cemas bagaimana Suzuki Belang milik rakan serumah saya ini nyaris dicuri tetapi digagalkan oleh seorang jiran yang prihatin. Suzuki Assemblers Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada Yamaha FZ150i yang menggunakan sistem pengunci stereng yang sama primitif dan tidak selamat sehinggalah Yamaha menambah baik sistem penguncinya dengan menggunakan sistem pengunci stereng dengan penutup lubang kunci, yang ditempatkan pada bahagian hadapan tangki agar mekanisme pengunci sterengnya lebih tersorok dan lebih selamat. Kunci seperti itulah yang sepatutnya digunakan pada Suzuki Belang...!!! Untuk menambah baik tahap keselamatannya ke tahap yang lebih tinggi, Suzuki juga wajar menggantikan sistem karburetor sedia ada kepada sistem pancitan bahan api dengan sistem pelumpuh (immobilizer) yang dihubungkan pada ECU agar pencuri motosikal bangsat tidak boleh menghidupkan enjin langsung walaupun setelah suis kunci penyalaan dipintaskan.
Secara amnya, saya sangat berpuas hati akan pengalaman saya menggunakan Belang ini, meskipun terdapat kelemahan ketara dari segi keselamatan dan sistem pencahayaannya yang perlu diperbaiki. Memandangkan hari gaji semakin dekat, ia turut bermakna sudah tidak lama sahaja lagi untuk motosikal Honda Wave Ultimo saya untuk diperbaiki dan seterusnya mengembalikan Suzuki Belang ini kepada tuannya, mungkin dengan menghantar Belang ini pulang ke kampung halamannya di Sabak Bernam, Selangor. Sedih juga bila difikirkan, tetapi demi amanah daripada seorang sahabat, saya memang perlu mengembalikannya apabila tiba masanya. Apa pun, pengalaman merasai sendiri kehebatan motosikal kapcai 4 lejang paling berkuasa dalam kelasnya ini sememangnya satu pengalaman yang amat berharga dalam hidup saya.
Spesifikasi Suzuki Belang R150
Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)
Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)
Apa yang saya suka
- Enjin paling besar dan paling berkuasa dalam kelasnya
- Panel meter digital yang canggih
- Brek cakera yang sangat cekap
- Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha 135LC
Apa yang saya tidak suka
- Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
- Lampu hadapan yang terlalu malap
Terbaik review daripada penulis mengenai Suzuki Belang. Suzuki Belang ni sebenarnya mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikomersialkan sebagai kapchai yang berkuasa disebabkan sistem DOHC, tapi sayangnya penampilan yang agak ekstrem membuatkan sebilangan rider tidak meminatinya. Tambahan pula beberapa kelemahan yang ketara seperti tempat duduk yang keras dan bahagian depan yang naked mengganggu handling semasa di lebuhraya. Sebenarnya saya merupakan salah seorang pemilik "The Legendary of Cybermatic Sport Cruiser" Suzuki FXR 150.. Motor tua ini sememangnya memiliki semua ciri yang diidam-idamkan oleh rider Suzuki.. Bagi saya motor dugong ini sudah memadai untuk merasai kuasa DOHC bagi kategori 250cc ke bawah kerana sedikit modifikasi sudah cukup untuk bersaing dengan motosikal berkuasa 250cc..
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman. Saya juga bersetuju dengan pendapat anda ini; Suzuki FXR150 sememangnya model sport kecil terbaik keluaran Suzuki. Amat sayang sekiranya Suzuki Assemblers Malaysia tiada perancangan untuk menghidupkan semula model ini dengan sentuhan terkini seperti teknologi pancitan bahan api.
DeleteSaya cadangkan penulis membuat review untuk motosikal-motosikal old timer yang masih lagi digunakan oleh sebahagian rider seperti Honda NSR SP, Kawasaki Victor, Yamahan TZM, dan lain-lain. Secara tidak langsung, rider-rider motosikal ini akan mengunjungi blog untuk berkongsi maklumat dan pendapat dan seterusnya meningkatkan lagi rating blog ni..
ReplyDeleteReviu Yamaha TZM150 sudah ada, anda boleh baca di http://blogjalanraya.blogspot.com/2012/09/yamaha-tzm150-dalam-kenangan-yamaha.html
DeleteMengenai model lama yang lain, saya tidak berpeluang untuk mengujinya kecuali Yamaha RX-Z; tambahan pula, model-model yang anda nyatakan itu semakin sukar diperolehi. Jika ada permintaan untuk reviu Yamaha RX-Z, insya-Allah saya akan kongsi khas buat anda.
oh ya.. terlupa penulis sudah menyediakan review Yamaha TZM sebelum ini..Sememangnya Yamaha RXZ juga motosikal lagenda hasil tangan Hong Leong Yamaha. Manakan tidak, hampir 20 tahun pengeluaran motor ini diperkenalkan sehinggalah dua tahun lepas barulah dihentikan pengeluarannya. Kalau boleh penulis cuba siarkan review Kawasaki Victor Scorpion. Berdasarkan maklumat yang saya dapat, motosikal ini merupakan antara motosikal 2 lejang paling berkuasa dalam kelasnya..
ReplyDeleteHmm (garu kepala)... maaf, saya tidak berupaya mendapatkan kenalan yang menggunakan motosikal jenis itu untuk diuji.
DeleteRim sport brand enkei ke suzuki? Belang zr 150 keluaraan 2009
ReplyDelete