Lebuhraya Pantai Timur E8 berjaya disiapkan dengan jayanya demi rakyat, meskipun berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran sepanjang tempoh pembinaannya
Salam sejahtera,
Terlebih dahulu, kami di Blog Jalan Raya Malaysia amat berterima kasih kepada semua pembaca kerana telah menjadikan misi kami di bumi Terengganu mencapai kejayaan besar yang tidak disangka-sangka. Tidak seperti projek-projek reviu jalan raya berskala besar yang lain sebelum ini, projek reviu jalan raya di Terengganu kali ini merupakan projek pertama yang berjaya diadakan hasil derma daripada para pembaca, meskipun terpaksa balik hari. Sokongan padu daripada anda semua, daripada golongan rakyat marhaen sehinggalah ke peringkat Kementerian Kerja Raya sendiri, telah menjadikan projek kali ini satu kejayaan besar yang berupaya membangkitkan semangat kami untuk menghasilkan reviu jalan raya yang lebih panjang lagi.
Apa pun, tujuan utama projek kali ini lebih kepada menghargai peranan Lebuhraya Pantai Timur E8 yang dibina dengan jayanya, meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Jika anda sudah membaca entri mengenai sejarah lengkap Lebuhraya Pantai Timur E8 sebelum ini, anda seharusnya berupaya untuk membayangkan pelbagai halangan yang terpaksa dihadapi semua pihak yang menjayakannya - masalah kewangan, komitmen bekas syarikat konsesi, kegawatan ekonomi, pergolakan politik, bencana alam, kontraktor tidak kompeten, kenaikan harga bahan binaan - anda namakan sahaja. Kejayaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur E8 jelas menunjukkan bukti kesungguhan kerajaan dalam membangunkan infrastruktur pengangkutan bertaraf global sebagai usaha membawa arus pembangunan bersifat holistik ke seluruh negara tanpa ada kawasan yang tercicir.
Jika anda mengikuti perkembangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 selama ini, anda seharusnya menyedari bahawa LPT2 E8 merupakan lebuh raya ekspres yang menikmati tempoh tol percuma paling lama dalam sejarah industri lebuh raya ekspres negara. Sejak jajaran Telemong-Kuala Terengganu dan Ajil-Bukit Besi mula dibuka pada Ogos 2011, LPT2 menikmati tempoh tol percuma selama hampir 4 tahun, yang jika diikutkan boleh mengakibatkan kerugian akibat kos melepas sehingga berbilion ringgit. Namun, ia tidak diendahkan sebagai bukti rakyat didahulukan. Mungkin projek LPT2 ini sering mengundang kontroversi kerana pembukaannya yang sering tertangguh, sehingga ada pihak yang mendakwa terdapat unsur songlap dan kronisme, tetapi kesungguhkan kerajaan membuka jajaran siap tanpa mengenakan tol sewajarnya dihargai kerana dalam kes LPT2 ini, tanggungjawab sosial lebih diutamakan daripada keuntungan semata-mata. Selain itu, LPT2 E8 juga dibina sebagai lebuh raya ekspres kembar 4 lorong sepenuhnya tanpa "mencilok" mana-mana bahagian jalan raya sedia ada untuk dijadikan sebagai "lebuh raya", sekaligus membuktikan tahap integriti kejuruteraan tinggi yang diterapkan dalam LPT2.
Pengalaman saya ketika pertama kali menggunakan Lebuhraya Pantai Timur E8 pada tahun 2011 masih segar dalam ingatan kerana ia jelas membuktikan kepada saya akan tanggungjawab sosial oleh Anih Berhad selaku syarikat konsesi. Pada masa itu, saya mengikuti rombongan pertunangan adik lelaki saya ke Felda Mempaga, Bentong. Semasa singgah sebentar di Plaza Tol Lanchang, ibu saya menghadapi kesukaran untuk ke tandas, memandangkan ibu saya menghidapi penyakit strok yang memerlukannya menggunakan kerusi roda. Beberapa orang pekerja Anih Berhad datang membantunya untuk ke tandas dan seterusnya kembali semula ke kereta. Maka, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada para pekerja tersebut khasnya serta kepada Anih Berhad amnya kerana menerapkan tanggungjawab sosial sebegini dalam budaya kerja mereka.
Peta Lebuhraya Pantai Barat E32 bagi jajaran sebelah negeri Selangor yang mengundang kontroversi berikutan penggunaan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang mempunyai kadar kemalangan maut yang tinggi sebagai sebahagian E32
Jika dibandingkan dengan Lebuhraya Pantai Barat E32, terus-terang saya katakan bahawa Lebuhraya Pantai Barat E32 pula seakan-akan lebih mengutamakan keuntungan semata-mata daripada tanggungjawab sosial. Apa tidaknya, syarikat konsesi WCE diberikan tempoh konsesi yang sangat panjang tetapi bayang pembinaannya langsung tidak kelihatan sehingga sekarang, meskipun majlis pecah tanahnya sudah pun dilaksanakan tahun lalu. Namun, apa yang saya amat tidak berpuas hati ialah pencabulan integriti kejuruteraan lebuh raya dalam reka bentuk LPB E32 itu - dalam pelan LPB E32, terdapat dua pautan putus yang terang-terangan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres dengan sekadar menggunakan jajaran Jalan Persekutuan 5 sedia ada sebagai sebahagian E32 nanti, meskipun umum sudah mengetahui bahawa jajaran yang digunakan itu mempunyai kadar kemalangan maut yang sangat tinggi dan jika rancangan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres itu diteruskan, maka kadar kemalangan di pautan-pautan putus itu pasti akan mencanak-canak naik, sedangkan lebuh raya ekspres sepatutnya meminimakan kadar kemalangan maut melalui penerapan kawalan masuk penuh. Maka, jelaslah bahawa projek LPB E32 ini dijalankan oleh syarikat konsesinya tanpa sedikit pun memikirkan soal tanggungjawab sosial dan integriti kejuruteraan. Sebab itulah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bertindak tegas dengan mengkaji semula jajaran E32 itu berikutan kecaman orang ramai mengenai isu keselamatan di sepanjang E32 itu nanti.
Kesimpulannya, Lebuhraya Pantai Timur E8 jelas lebih mementingkan tanggungjawab sosial daripada keuntungan semata-mata. Projek tersebut sering berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran, namun ia tetap berjaya diatasi demi kesejahteraan rakyat. Dalam projek LPT2 E8, sepatutnya tol sudah mula boleh dikutip secara beransur-ansur di jajaran yang sudah dibuka, tetapi kerajaan mengambil keputusan untuk menunggu keseluruhan LPT2 untuk siap terlebih dahulu dan memberi peluang untuk rakyat Terengganu menilai sendiri lebuh raya tersebut dalam tempoh setengah tahun ini sebelum kutipan tol dimulakan. Berbeza pula dengan Lebuhraya Pantai Barat E32 yang masih belum nampak kelibat pembinaannya meskipun majlis pecah tanah sudah pun dilakukan. Tidak cukup dengan itu, LPB E32 juga mencabuli piawaian lebuh raya ekspres dengan mengambil jajaran jalan FT5 sedia ada bagi dua pautan putusnya, sungguhpun mereka sepatutnya sudah sedia maklum bahawa kedua-dua jalan tersebut mempunyai kadar kemalangan maut yang tinggi. Ia jelas membuktikan bahawa syarikat konsesi WCE E32 ini sangat tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata, sedangkat LPT E8 boleh dibina sebagai lebuh raya ekspres sejati tanpa perlu memakan mana-mana laluan jalan raya sedia ada meskipun kadar aliran trafik di Pantai Timur secara amnya lebih rendah daripada kawasan Pantai Barat.
Dengan berakhirnya entri ini, saya dengan ini mengisytiharkan projek XPDC Teganu Kita 2015 tamat dengan jayanya. Jutaan terima kasih buat semua pihak yang membantu kami menjayakan projek ini terutamanya kepada para penderma. Projek reviu berskala besar yang seterusnya dijangka akan diadakan dalam pertengahan tahun ini iaitu sebelum bulan Ramadan, yang mana saya amat berharap dapat mengadakan reviu berskala besar bagi Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan, yang masih belum dapat direalisasikan lagi sepenuhnya, nantikanlah pengumuman lanjut mengenainya pada masa akan datang.
Terima kasih Malaysia...!!!
No comments:
Post a Comment