Monday, May 26, 2014

Majlis pecah tanah Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 / West Coast Expressway (WCE) E32 ground-breaking ceremony



Peta jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32
(klik untuk besarkan)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini, berikutan masalah kerosakan pada salah satu daripada cakera keras komputer saya, menyebabkan saya terpaksa mengambil masa sehingga berhari-hari untuk backup semula fail-fail di dalam cakera keras yang rosak untuk dipindahkan ke dalam cakera keras baharu. Disebabkan masalah tersebut, Blog Jalan Raya Malaysia "berehat" seketika sehinggalah setelah proses backup fail selesai.

Kali ini saya ingin membawakan kepada anda berita mengenai majlis pecah tanah bagi projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32, yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Majlis tersebut diadakan di Kawasan Rehat dan Rawat Batu 5, Jalan Teluk Intan-Lumut FT5 dekat Jambatan Sultan Yusuf pada 25 Mei 2014. Saya tidak berkesempatan untuk ke sana disebabkan urusan kerja, di samping masih sibuk dengan proses backup fail-fail dari cakera keras yang sudah rosak. Majlis pecah tanah tersebut turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sedikit mengenai Lebuhraya Pantai Barat E32 ini. Lebuhraya Pantai Barat E32 dari Banting ke Taiping sejauh 233 km ini dicadangkan pembinaannya susulan kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan 5 dan 60 sedia ada, dengan kos keseluruhan dianggarkan bernilai sejumlah RM5.044 bilion. Tidak seperti Jalan Persekutuan 1 dan 2 yang mempunyai alternatif yang lebih cepat dan selesa iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (E1 dan E2) dan Lebuhraya Pantai Timur (E8), Jalan Persekutuan 5 pula tiada lebuh raya ekspres sebagai laluan alternatif bagi mengatasi kesesakan. Akibatnya, FT5 dan FT60 sering sesak terutamanya pada musim perayaan. Jajaran FT5 dari Banting ke Klang dan dari Klang ke Sabak Bernam masing-masing sudah dinaik taraf masing-masing sebagai jalan raya kembar dan jalan super four, tetapi ia masih tidak banyak membantu menangani kesesakan di kedua-dua jajaran tersebut.

Selain itu, terdapat banyak pekan dan bandar yang mempunyai kepentingan ekonomi kepada negara di sepanjang jajaran FT5 dari Banting ke Lumut. Bandar Banting misalnya terletak tidak jauh dari pantai peranginan Morib. Selain itu, daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam juga mempunyai banyak perkampungan nelayan serta pantai yang menarik untuk dikunjungi. Di samping itu juga, bandar Lumut merupakan pintu masuk utama ke Pulau Pangkor, selain menempatkan markas Tentera Laut Diraja Malaysia yang utama. Kesemuanya memerlukan darjah kebolehsampaian yang lebih baik melalui WCE E32 ini.

Sebenarnya, kepentingan WCE E32 tidak terhenti setakat di situ sahaja. Terdapat juga cadangan untuk memanjangkan WCE E32 sehingga ke Port Dickson. Malah, saya pernah terbaca satu laporan kajian kemungkinan bagi cadangan Jalan Lingkaran Luar Johor Bahru, yang turut memaparkan cadangan laluan Lebuhraya Muar-Pontian, sekaligus menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan WCE bakal dicadangkan untuk dipanjangkan sehingga ke Pontian. Asalnya, WCE diberikan kod laluan tentatif E28, tetapi setelah Jambatan Kedua Pulau Pinang diwartakan secara rasmi dengan kod laluan E28, maka WCE kali ini mengambil kod laluan E32 pula.

Sungguhpun demikian, WCE E32 tidak terlepas daripada isu kontroversi tersendiri, iaitu tempoh konsesi yang terlalu panjang, kos pembinaan terlalu tinggi, pembinaan yang banyak kali tertangguh, serta wujud dua pautan putus yang bakal menjadikan WCE E32 sebagai "laluan pukat tunda". Semasa WCE E32 dicadangkan, terdapat pihak yang mempertikaikan tempoh konsesinya yang terlalu panjang iaitu 50 tahun. Namun demikian, tempoh konsesi yang panjang itu sebenarnya bersyarat - jika WCE berjaya melunaskan pinjaman bank lebih awal daripada sepatutnya, maka kerajaan akan mengambil alih WCE E32 dan kutipan tol akan dimansuhkan lebih awal daripada tempoh konsesi. Kadar keuntungan perolehan juga perlu dikongsi antara kerajaan persekutuan dengan syarikat konsesi pada nisbah 30:70 (jika kadar pulangan dalaman sasaran atau IRR belum tercapai) ataupun 70:30 (jika perolehan melebihi kadar IRR). Dengan kata lain, tempoh konsesi yang panjang itu sebenarnya satu bentuk "insurans" bagi membolehkan syarikat konsesi membayar balik pinjaman bank mengikut jadual, memandangkan kadar aliran trafik di sepanjang WCE E32 nanti diramalkan agak rendah.

Selain itu, kos pembinaan asal WCE E32 juga dikatakan terlalu tinggi sehingga menyebabkan banyak pihak yang mempertikaikannya. Kos asal projek WCE E32 dianggarkan sejumlah RM7.07 bilion sebelum ia dipotong menjadi sekitar RM5.044 bilion. Akibat daripada isu tempoh konsesi yang panjang serta kos pembinaan yang sangat mahal, ia seterusnya menyebabkan WCE E32 lewat dimulakan pembinaannya, berikutan penelitian semula jajaran serta perjanjian konsesi. Justeru, kerajaan negeri Perak menggesa agar pembinaannya disegerakan bagi mengelakkan kos pembinaan melambung tinggi sehingga menjadi jauh lebih mahal daripada sepatutnya.

Pengurangan kos pembinaan WCE E32 dicapai melalui dua cara. Dalam pelan asal, WCE E32 asalnya turut menyertakan laluan cabang antara Siputeh dengan Changkat Keruing, tetapi cadangan laluan tersebut akhirnya dimansuhkan dalam draf terakhir. Selain itu, terdapat dua pautan putus di sepanjang WCE E32 itu nanti, iaitu dari Tanjung Karang sehingga ke Hutan Melintang serta dari Teluk Intan ke Kampung Lekir, yang mana kedua-dua jajaran tersebut sebaliknya sekadar menggunakan laluan Jalan Persekutuan 5 sedia ada, yang seterusnya membawa kepada isu kontroversi yang keempat.

Isu kontroversi yang keempat pula merupakan satu isu yang tidak boleh diterima sama sekali oleh Blog Jalan Raya Malaysia, iaitu terdapat dua pautan putus di sepanjang WCE E32. Dua pautan putus tersebut ialah jajaran dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang serta dari Teluk Intan ke Kampung Lekir, yang sekadar menggunakan jajaran Jalan Persekutuan 5 sedia ada. Saya ingin menegaskan di sini bahawa Blog Jalan Raya Malaysia sama sekali menentang keras penggunaan jajaran tersebut, yang seterusnya bakal menjadikan WCE E32 sebagai "laluan pukat tunda". Kenapa pula saya gelarkan jajaran tersebut sebagai "laluan pukat tunda"...? Untuk pengetahuan anda, WCE E32 bakal dibina dengan menggunakan sistem tol tertutup. Jika dua pautan putus itu sekadar menggunakan "naik taraf" jalan FT5 sedia ada, ia boleh menyebabkan pengguna yang menggunakan jalan FT5 untuk mengelak tol tetap terpaksa membayar tol sebaik sahaja berada di sepanjang pautan putus tersebut, sama ada mereka suka ataupun tidak. Jika penduduk tetap terpaksa membayar tol meskipun sekadar melalui jalan FT5, adakah begini rupanya maksud "rakyat didahulukan"...?

Sebab kedua kenapa saya menentang keras penggunaan jalan FT5 sedia ada bagi kedua-dua pautan putus tersebut adalah kerana ia menjejaskan darjah kawalan masuk bagi E32. Saya sudah pun menegaskan bahawa jalan raya yang sekadar dilebarkan tetapi tidak dipertingkatkan darjah kawalan masuknya (seperti membina jalan hadapan ataupun membina lebuh raya tersebut sebagai lebuh raya bertingkat) tidak layak sama sekali untuk diwartakan sebagai lebuh raya ekspres. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta West Coast Expressway Sdn. Bhd. sepatutnya mengambil iktibar daripada kegagalan beberapa batang lebuh raya ekspres perbandaran di Lembah Klang seperti Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang tidak mengikut piawaian lebuh raya ekspres dan bukannya membawa bersama kegagalan tersebut sehingga merebak ke kawasan luar bandar pula. Jika darjah kawalan masuk tidak diambil perhatian, maka kita akan dapat perhatikan peningkatan mendadak kes-kes kemalangan maut di sepanjang dua jajaran tersebut, memandangkan kedua-dua jajaran tersebut banyak melalui kawasan perkampungan. Justeru, mahukah LLM dan WCE dipersalahkan oleh rakyat sekiranya berlaku peningkatan mendadak kadar kemalangan maut di sepanjang dua pautan putus tersebut akibat keputusan menggunakan laluan FT5 sedia ada...? Sudah tentunya tidak, bukan...?

Selain itu, penggunaan laluan FT5 sedia ada bagi dua pautan putus tersebut itu juga boleh menyebabkan WCE E32 gagal mencapai matlamatnya bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang FT5. Apa tidaknya, pertindihan antara E32 dengan FT5 di sepanjang dua pautan putus tersebut menyebabkan bakal berlaku cerutan trafik akibat lalu lintas E32 dirojakkan sekali dengan FT5 sebelum berpisah kembali - dengan kata lain, penggunaan laluan FT5 bagi dua pautan putus tersebut hanya menambah parah kesesakan FT5 sedia ada. Akibatnya, bayar tol pun tetap lewat juga sampai ke destinasi. Jadi, mahukah anda membayar tol jika begitulah hasil yang bakal anda perolehi...? Sudah tentulah tidak berbaloi, bukan...?

Jadi apakah yang boleh dilakukan oleh pihak WCE untuk menyelesaikan masalah ini...? Pihak WCE sepatutnya boleh menangguhkan pembinaan kedua-dua jajaran putus itu sebagai laluan berasingan dalam fasa kedua pembinaan WCE E32. Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 serta Lebuhraya Pantai Timur E8 semuanya dibina dengan cara sebegitu, iaitu bina secara berperingkat-peringkat. Ataupun, mereka boleh membina dahulu dua pautan putus itu sebagai lebuh raya dua lorong dengan rizab jalan yang cukup besar bagi membolehkannya dinaik taraf menjadi empat lorong penuh sebaik sahaja kadar aliran trafik meningkat. Tak ada masalah pun, asalkan keseluruhan jajaran dibina sebagai laluan berasingan dan bukannya menyemakkan jalan raya sedia ada.

Kesimpulannya, projek pembinaan Lebuhraya Pantai Barat E32 sememangnya amat dinanti-nantikan oleh penduduk di pesisiran pantai barat Semenanjung Malaysia dengan harapan agar ia dapat membawa bersama limpahan kemakmuran ekonomi di sepanjang laluannya, sebagaimana yang berjaya dicapai di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia hasil pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Namun, apa yang mencacatkan pembinaan E32 ialah kemunculan dua pautan putus yang sekadar bakal dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 5 sahaja, sekaligus bertentangan dengan objektif utama pembinaan E32 yang bertujuan bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan 5 dan 60 sedia ada. Justeru, dua pautan putus tersebut tidak sewajarnya dibina sekadar sebagai naik taraf jalan FT5 sedia ada, tetapi kedua-dua jajaran tersebut sepatutnya dibina sebagai laluan berasingan, sama ada sebagai fasa kedua WCE E32 ataupun sebagai lebuh raya dua lorong yang boleh dinaik taraf kepada laluan empat lorong sebaik sahaja kadar aliran trafik meningkat.







Ucapan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof






Ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin






Antara rakyat Perak yang menghadiri majlis pecah tanah E32 dengan penuh harapan






Tan Sri Muhyiddin Yassin meneliti model Lebuhraya Pantai Barat E32 dengan diiringi Datuk Fadillah Yusof serta Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh






Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Fadillah Yusof serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menunjukkan isyarat "bagus" - tetapi saya terpaksa memberikan isyarat "tidak bagus" kerana kurang berpuas hati akan isu dua pautan putus di sepanjang WCE E32
(Semua kredit gambar: Kementerian Kerja Raya Malaysia)

7 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Mengikut pemerhatian saya, pautan putus yang dimaksudkan di dalam gambarajah laluan E32 ini akan dinaiktaraf oleh kerajaan. Daripada sumber tidak rasmi di wikipedia pula, difahamkan E32 ini akan menggunakan sistem tol tertutup seperti E1/E2. Maka,apa yang saya nampak di sini adalah kerajaan akan mengambil kerja pembinaan lebuh raya ini di pakej yang 'terputus' itu. Pakej ini akan bersambung dengan pakej2 lain yang dibina oleh pihak konsesi. Dari segi rekabentuk, saya percaya pihak kerajaan ada rekabentuk sendiri untuk mengasingkan laluan FT5 dengan E32 yang mungkin mencontohi sistem tol di E1 di kawasan Ipoh. Sekian,sekadar secebis pandangan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tidak menolak kemungkinan rekaan seperti yang anda katakan itu. Jika pautan putus itu menggunakan laluan FT5 sedia ada tetapi dengan membina sepasang jalan hadapan di kiri dan kanan lebuh raya bagi kegunaan lalu lintas tempatan, rekaan sebegitu masih boleh diterima kerana ia masih lagi mengekalkan darjah kawalan masuk penuh, sama seperti jajaran E1 di Ipoh. Namun, dalam konteks Malaysia, rekaan tersebut boleh jadi kurang praktikal kerana ia memerlukan banyak premis perniagaan dan rumah-rumah di kiri dan kanan jalan dirobohkan, sekaligus meningkatkan kos pembinaan akibat terpaksa membayar pampasan yang mahal.

      Satu lagi kemungkinan yang boleh difikirkan ialah pautan putus tersebut memang akan diambil alih pembinaannya oleh kerajaan tetapi sebagai laluan berasingan, dengan mengguna pakai model pembinaan seperti Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 2, tetapi masalah yang mungkin timbul daripada model sebegini adalah kemungkinan projek boleh jadi lewat siap apabila diberikan kepada kontraktor yang tidak kompeten, sebagaimana yang berlaku di Terengganu.

      Delete
  2. assalamualaikum,, saya di sini kurang paham tentang penjelasan lakaran peta untuk pembinaan tol yg terdapt di sepanjang pembinaan lebuh raya tersebut (wce).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anda boleh rujuk di https://www.facebook.com/photo.php?fbid=645535602208141&set=a.450211405073896.1073741825.176151725813200&type=1&relevant_count=1 bagi jajaran yang lebih terperinci bagi negeri Selangor. Saya belum ada butiran lanjut mengenai jajaran di Perak, insya-Allah saya akan usahakan.

      Delete
  3. setelah saya membaca penerangan tersebut saya amat setuju dengan admin, biarkan lambat asal selamat. tetapi saya agak kecewa dari segi perlaksanaan projek tersebut,masih lagi ditangguhkan setelah berlangsung majlis pecah tanah.saya harap ada pihak berkuasa yang dapat membantu untuk mempercepatkan projek mega ini, ia akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat malaysia.terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju. Secara peribadinya pun saya memang sangat kecewa dengan tahap pelaksanaan projek WCE E32, bukan sahaja kerana ia asyik tertangguh malah ada jajaran yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres sehingga boleh meragut nyawa pengguna lebuh raya dan penduduk tempatan. Ia jelas menunjukkan projek WCE tidak dilaksanakan dengan penuh etika dan tanggungjawab.

      Delete

Advertisement