Monday, March 3, 2014

Jambatan Kedua Pulau Pinang E28: Mahakarya kejuruteraan jalan raya kebanggaan Malaysia dicemari kebebalan pengguna lebuh raya / Penang Second Bridge E28: Malaysia's highway engineering masterpiece that can be proud of has been tarnished by highway users' stupidity

Salam sejahtera,

Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga Jambatan Kedua Sdn. Bhd. atas perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 pada 1 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak. Kejayaan kita dalam membina jambatan tersebut sehingga tersenarai sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara sememangnya satu bentuk pencapaian yang wajar dibanggakan.

Rasanya tidak perlulah saya bercerita dengan sebegitu panjang lebar mengenai jambatan sepanjang 24 km tersebut, memandangkan saya sudah pun menceritakan secara teknikal mengenainya dalam satu entri lepas. Tambahan pula, sekiranya anda sering mengikuti perkembangan di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, ada banyak gambar dan maklumat yang disajikan untuk tatapan anda. Oh ya, saya berkemungkinan akan ke Pulau Pinang pada pertengahan bulan April untuk mencuba sendiri jambatan ini, jadi nantikanlah pengumuman mengenainya hanya di Blog Jalan Raya Malaysia untuk mengesahkannya.

Cuma, satu perkara yang saya perlu tambah ialah sistem kutipan tolnya yang boleh disifatkan sebagai "unik". Untuk makluman anda, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 ini mempunyai 2 plaza tol, iaitu Plaza Tol Bersepadu Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Plaza Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang. Namun, anda sebenarnya hanya perlu melalui satu plaza tol sahaja. Bagaimana ia berfungsi...? Bagi lalu lintas dari arah Lebuhraya Utara-Selatan E1, pemandu yang hendak keluar ke Exit 2801 Persimpangan Bandar Cassia akan dipisahkan oleh lorong-lorong pengumpul di sebelah kiri, yang hanya dibina bagi lalu lintas arah pulau sahaja. Oleh itu, anda perlu ikut kanan di laluan utama supaya anda hanya perlu membayar tol sekali sahaja.

Plaza Tol Bersepadu Jambatan Kedua Pulau Pinang kini diiktiraf sebagai plaza tol terbesar di Malaysia. Dengan sejumlah 28 lorong tol, ia secara rasminya telah menewaskan pemegang rekod terdahulu iaitu Plaza Tol Sungai Besi. Kenapa ia dibina sebegitu lebar...? Sebenarnya, plaza tol tersebut mengutip tol bukan sahaja bagi laluan utama, tetapi ia turut merangkumi laluan pengumpul Bandar Cassia arah ke pulau. Bayaran tol yang dikenakan kepada pengguna lebuh raya di laluan utama bukan sahaja merangkumi tol Lebuhraya Utara-Selatan E1, tetapi turut menambah bayaran tol bagi jambatan tersebut - cara yang sama digunakan di Plaza Tol Sungai Besi yang menambah bayaran 80 sen dalam kutipan tol tertutup Lebuhraya Utara-Selatan E2 sebagai bayaran tol bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37. Sebab itulah anda hanya perlu berhenti sekali sahaja untuk membayar tol. Bagi lalu lintas yang hendak keluar ke Bandar Cassia dan Batu Kawan, ataupun bagi yang terlajak memasuki laluan pengumpul di sebelah kiri, anda tidak perlu risau - Plaza Tol Bersepadu Jambatan Kedua Pulau Pinang hanya mengutip bayaran tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 sahaja; bayaran tol bagi E28 pula hanya akan dikenakan di plaza tol kedua yang terletak selepas Exit 2801, dikhaskan untuk lalu lintas dari laluan pengumpul Bandar Cassia. Dengan kata lain, bayaran tol tetap sama seperti di laluan utama, cuma pengguna yang terlajak ke laluan pengumpul perlu melalui plaza tol sebanyak 2 kali. Tujuan utama sistem laluan pengumpul ini dibangunkan ialah supaya pengguna yang hendak keluar ke Bandar Cassia dan Batu Kawan tidak perlu membayar tol bagi E28, memandangkan mereka tidak menggunakan jambatan tersebut.

Seperti yang anda sedia maklum, majlis perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak. Selain itu, majlis gilang-gemilang tersebut turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berserta timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Mereka kesemuanya kelihatan begitu ceria dan mesra sesama sendiri, meskipun Lim Guan Eng memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat. Semangat sebeginilah yang sewajarnya dicontohi ahli-ahli politik yang lain tanpa perlu berseteru atau bersengketa antara dua kem politik berbeza sehinggakan terlalu banyak isu remeh yang dipolitikkan. Bukankah kita sama-sama rakyat Malaysia, jadi untuk apa kita bersengketa dan mempolitikkan segala hal termasuklah yang remeh...? Kebanggaan para pemimpin politik tersebut bagi menyambut perasmian jambatan laut terpanjang di Asia Tenggara inilah yang menyatukan mereka meskipun mempunyai fahaman politik yang berbeza. Dalam majlis tersebut juga, Datuk Seri Najib turut menamakan jambatan tersebut sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sempena nama Yang Dipertuan Agong sekarang.




Sambutan meriah oleh warga Pulau Pinang dalam majlis perasmian Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28




Ucapan alu-aluan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof




Ucapan perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak




"Lim, tengok gambar yang saya ambil pakai kamera handset saya, cantik tak...?" Agaknya inilah dialog Datuk Seri Najib dengan Lim Guan Eng




"Saya pun nak kasi tunjuk gambar sama Datuk Seri, cantik tak...?"




Nampaknya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Fadillah Yusof pun turut tumpang sekaki berkongsi gambar yang diambil melalui telefon bimbit masing-masing




Keceriaan yang jelas terpancar di wajah para pemimpin negara




Bersantai sebentar di atas jambatan
(Semua kredit gambar: Laman Facebook Kementerian Kerja Raya)


Cuma apa yang tidak sedapnya ialah pembukaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 dicemari insiden kemalangan jalan raya pertama tidak sampai 24 jam dibuka kepada lalu lintas, sekaligus menyebabkan jambatan tersebut mencatatkan satu lagi rekod baharu, tetapi kali ini rekod buruk pula - sebagai jalan raya yang paling cepat mencatatkan kemalangan jalan raya selepas dibuka. Ia semuanya berpunca daripada kebebalan segelintir pengguna lebuh raya yang melanggar peraturan jalan raya secara selamba tanpa sebarang perasaan bersalah, seolah-olah otak mereka terletak di punggung dan bukannya di kepala. Golongan tidak berotak ini memotong ikut bahu jalan keras a.k.a. lorong kecemasan, tukar lorong tanpa memberi isyarat, dsb. Ada juga segelintir penunggang motosikal yang memperjudikan nyawa mereka sendiri dengan menggunakan laluan utama sedangkan lorong motosikal sudah pun disediakan. Bro, lorong motor tu kan baru lagi, beraspal mulus pula tu... kenapa masih nak guna laluan utama...? Lainlah kalau lorong motor tersebut berlubang di sana-sini ataupun ada sindiket menabur paku di sepanjang laluan...!!!

Ada pula golongan yang sengaja berhenti di tengah-tengah jambatan untuk mengambil gambar, kononnya untuk dijadikan kenangan sebagai pengguna terawal E28. Namun, berbaloikah gambar tersebut kalau berakhir di hospital atau liang lahad akibat dirempuh oleh si bahlul di lorong kecemasan...? Kalau kena saman pun dah kira bernasib baik. Kalau nak sangat gambar Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 untuk dijadikan kenangan, tak bolehkah ambil gambar dari dalam kereta sahaja...? Ataupun, tak bolehkah beli sahaja pemegang kamera digital / telefon bimbit / kamera video untuk dipasang pada papan pemuka kereta untuk mengambil gambar atau video dengan lebih jelas...? Inilah padahnya kalau berfikir menggunakan kepala lutut dan bukannya otak.

Kesimpulannya, Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 sepatutnya merupakan satu mahakarya agung kejuruteraan jalan raya Malaysia yang boleh dibanggakan. Namun, sikap segelintir pengguna jalan raya tidak berotak pula mencemarkan reputasinya sebagai jambatan laut terpanjang di Asia Tenggara. Kita mempunyai infrastruktur lebuh raya berkelas pertama, tetapi malangnya ia digunakan oleh golongan yang berpemikiran kelas ketiga, yang langsung tiada kesedaran sivik meskipun ada di antara mereka yang mampu membeli kereta Honda Civic. Cuba beri penjelasan, bagaimana kita hendak mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 kalau peradaban sendiri pun makin teruk...? Jika dibandingkan, Brunei tiada rangkaian lebuh raya ekspres capaian terkawal, rangkaian kereta api laju mahupun bangunan pencakar langit, tetapi mereka pula sudah pun mencapai status negara maju - sebab apa...? Sebabnya, rakyat Brunei sangat berdisiplin dan sangat beradab. Kita pula...? Tengok gelagat bajingan-bajingan bebal di atas jalan raya pun kita sudah tahu apa kesudahannya dengan nasib kita pula. Sebab itulah perasmian satu mercu tanda terkini negara dicemari insiden buruk yang berpunca daripada perangai rakyat Malaysia sendiri. Jika keadaan sebegini dibiarkan berterusan, silap-silap "Wawasan 2020" mustahil untuk dicapai walaupun Malaysia jadi jauh lebih canggih daripada Jepun sekalipun.




Segelintir pemandu bebal yang memotong ikut lorong kecemasan




Gambar ini diambil selepas plaza tol kedua. Sudahlah memandu ikut lorong kecemasan, tak guna lampu isyarat membelok pula tu bila nak masuk ke laluan utama...!!!




Lagi pemandu bebal yang memandu ikut lorong kecemasan di E28




Bro, lorong motor kat sebelah tu kan baru buka, siap beraspal mulus lagi...




Jujur saya katakan, saya memang penentang lorong motosikal, tetapi kalau dah lorong motor tu keadaannya sangat bagus, kenapa tak nak guna sahaja...?




Perangai buruk segelintir pemandu Malaysia yang dimuat naik ke YouTube - sangat memalukan negara...!!!
(Semua kredit gambar: MMI)


2 comments:

  1. Salam,

    Tarikh perasmian pada 01 Mac la, bukan 01 April la

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf, typo error. Pembetulan sudah dilakukan. Terima kasih atas teguran.

      Delete