Sunday, March 9, 2014

Awas! Penukar bermangkin boleh menyebabkan kebakaran semak! / Caution! Catalytic converters may cause bush fires!



Kebakaran semak dan hutan semakin kerap berlaku akhir-akhir ini. Kebanyakannya berlaku secara tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya, tetapi ramai yang terlepas pandang akan potensi penukar bermangkin kereta masing-masing yang boleh mencetuskan kebakaran sekiranya diparkir di kawasan semak berlalang tinggi
(Kredit gambar: Laman Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)


Salam sejahtera,

Malaysia dikenali sebagai sebuah negara beriklim Khatulistiwa dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Namun demikian, terdapat juga beberapa kawasan di Malaysia yang menunjukkan ciri-ciri musim hujan dan musim kering yang sangat nyata disebabkan faktor geografi. Misalnya, kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia mengalami dua musim ribut petir dalam setahun, iaitu semasa berlakunya ekuinoks (Mac-Mei dan September-November), dan dua musim panas iaitu semasa berlakunya solstis (Jun-Ogos dan Disember-Februari).

Sungguhpun pantai barat Semenanjung Malaysia mempunyai dua musim panas yang ketara, namun hujan masih boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang waktu tersebut, bergantung kepada tahap kestabilan udara serta tiupan angin monsun. Dalam kes sekarang, tiupan angin Monsun Timur Laut boleh dikatakan sangat stabil sehinggakan hujan jarang turun, menyebabkan berlaku kemarau. Maka, kebakaran juga sangat mudah berlaku terutamanya kebakaran hutan, ada kalanya dengan tidak diketahui puncanya (atau dengan kata lain, kes kebakaran spontan).

Biasanya, pihak yang dipersalahkan sudah tentunya orang-orang yang membakar sampah secara terbuka serta perokok tegar yang membuang puntung rokok merata-rata tanpa terlebih dahulu mematikan api rokok dengan sempurna. Namun demikian, sebenarnya ada satu lagi faktor manusia yang menyumbang kepada jumlah kebakaran semak yang tinggi akhir-akhir ini - penukar bermangkin kereta.

Penukar bermangkin, juga dikenali sebagai pemangkin asap, merupakan sebuah komponen kawalan pelepasan asap pada sistem ekzos kenderaan yang berfungsi menukarkan gas-gas berbahaya dalam asap ekzos kenderaan bermotor (iaitu karbon monoksida, hidrokarbon tak terbakar dan nitrogen oksida) kepada gas-gas yang tidak berbahaya (iaitu karbon dioksida, wap air dan nitrogen). Ia menggunakan logam-logam berharga seperti platinum bagi membolehkan tindak balas kimia berlaku tanpa menjejaskan bahan mangkin itu sendiri. Namun, untuk membolehkan penukar bermangkin berfungsi secara optimum, nisbah campuran udara-bahan api mestilah menghampiri nisbah stoikiometri (14.7:1), dan ia memerlukan suhu antara 600-900°C untuk berfungsi. Suhu tersebut jauh lebih tinggi daripada suhu terbakar sendiri bagi kertas dan daun-daun kering - dengan kata lain, daun-daun kering dan sampah-sarap boleh terbakar dengan sendirinya hanya dengan bersentuhan dengan pemangkin asap itu sahaja.




Kedudukan penukar bermangkin pada kereta-kereta Proton yang menggunakan enjin Campro (2004-sekarang), iaitu dipasang secara menegak betul-betul selepas rongga ekzos
(Kredit gambar: Eila Razi)


Pada kereta-kereta keluaran 1990an, penukar bermangkin lazimnya ditempatkan di bahagian bawah kereta. Kedudukan tersebut bukan sahaja agak jauh daripada rongga ekzos (yang menyebabkan penukar bermangkin mengambil masa yang lama untuk dipanaskan dan seterusnya berfungsi dengan sempurna), malah ia terlalu rendah serta boleh mencetuskan bahaya kebakaran sekiranya kereta diparkir di kawasan berumput panjang. Bermula tahun 2000an, kedudukan penukar bermangkin dialihkan bagi membolehkan kenderaan yang dikeluarkan lulus piawaian emisi terkini. Proton misalnya menggunakan satu penukar bermangkin yang ditempatkan secara menegak betul-betul di sebelah rongga ekzos. Honda pula menggunakan dua penukar bermangkin, masing-masing ditempatkan di sebelah rongga ekzos dan di bawah kenderaan. Sungguhpun kedudukan penukar bermangkin sudah dialihkan, namun ancaman kebakaran tetap ada. Sebab itulah buku-buku panduan pengguna kereta sekarang rata-rata melarang pengguna daripada memparkir kenderaan mereka di kawasan semak dan berlalang tinggi bagi mengelakkan ancaman kebakaran.

Selain itu, risiko kebakaran yang berpunca daripada penukar bermangkin boleh jadi lebih tinggi pada kereta yang jarang diselenggara. Penukar bermangkin yang tersumbat boleh jadi lebih panas daripada sepatutnya sehingga boleh menyebabkan kebakaran kereta itu sendiri. Di samping itu, enjin yang mengalami masalah seperti salah cetusan serta gelang piston yang haus juga boleh mengakibatkan penukar bermangkin mengalami panas lampau.

Sebenarnya, nasihat saya ini bukan sahaja disasarkan kepada orang awam sahaja. Nasihat ini turut disasarkan kepada anggota-anggota polis terutamanya pengendali kereta ronda. Bagi membolehkan mereka menjalankan tugas, kenderaan mereka terpaksa diparkir di mana-mana sahaja yang difikirkan sesuai, termasuklah berhampiran semak. Oleh itu, saya ingin menggesa kepada Polis Diraja Malaysia agar mempastikan setiap aset kereta ronda PDRM mempunyai alat pemadam api untuk membolehkan mereka memadamkan api semak yang berpunca daripada sentuhan dengan penukar bermangkin.

Kesimpulannya, dalam musim kemarau ini, kita perlulah mengambil segala langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang bentuk tragedi yang tidak diingini. Kita tidak seharusnya memandang remeh akan keupayaan penukar bermangkin kenderaan mencetuskan kebakaran semak, kerana penukar bermangkin memang berfungsi pada suhu yang lebih daripada mencukupi untuk mencetuskan kebakaran sekiranya terdapat objek mudah terbakar bersentuhan dengannya. Selain itu, kita perlulah sentiasa menyelenggara kenderaan secara berkala kerana risiko kebakaran akibat pemangkin asap adalah lebih tinggi pada kenderaan yang malas diselenggara. Ingatlah bahawa api itu apabila kecil menjadi kawan, tetapi apabila besar pula menjadi lawan - kita mampu mengubahnya.

No comments:

Post a Comment