Salam sejahtera,
Satu kemalangan jalan raya berlaku di Jalan Duta petang kelmarin (26 Mac 2014), tatkala rata-rata warga kota sedang dalam perjalanan pulang dari bekerja. Kemalangan yang melibatkan 20 buah motosikal dan 3 buah kereta itu berpunca daripada minyak diesel yang tumpah sehingga sejauh 1 km daripada sebuah lori, yang seterusnya membawa kepada pembongkaran sindiket menyeludup diesel bersubsidi. Akibat daripada tumpahan minyak diesel tersebut, 20 motosikal dan 3 kereta hilang kawalan lalu berlanggar sesama mereka.
Saya percaya, dalam keadaan banyak kenderaan yang sedang berpusu-pusu hendak pulang dari kerja, pemandu lori tersebut sudah tentu akan dibelasah teruk oleh orang ramai yang marah, terutamanya dari kalangan mangsa kemalangan tersebut. Sudahlah hendak menyeludup minyak diesel yang disubsidi menggunakan wang rakyat, bazirkannya pula tu. Pasang tangki pun tak ketat sampaikan ada kebocoran. Bila bocor, maka ramailah mangsa kepada onar yang ditinggalkannya itu.
Sebenarnya, lori yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan di Jalan Duta kelmarin itu hanyalah salah satu lori yang cuai dalam menyelenggara sistem bahan apinya. Mungkin pemandu lori tersebut hanya akan menyedari kepentingan memeriksa sistem bahan api setelah lorinya dimamah api sehingga rentung. Ataupun, mungkin juga pemandu lori tersebut merasakan bahawa dia masih hidup di zaman harga minyak diesel 65 sen seliter, sedangkan itu harga minyak diesel 11 tahun dahulu. Harga diesel sekarang sudah lebih 3 kali ganda daripada harga diesel 11 tahun dahulu. Jika digadaikan segala harta benda si penyangak bahan api itu termasuklah seluar dalam yang dipakainya itu sekalipun, ia masih tidak mencukupi untuk dijadikan ganti rugi terhadap subsidi bagi diesel yang diseludupnya itu, yang dibazirkan menggunakan wang rakyat.
Jika dibandingkan dengan kenderaan petrol pula, adalah amat penting bagi pemilik kenderaan untuk memastikan tiada sebarang kebocoran pada laluan bahan api petrol, memandangkan sifat petrol yang amat mudah terbakar, lebih-lebih lagi semasa ia meruap. Malah, lubang sebesar jarum peniti sekalipun boleh menyebabkan kebakaran besar yang boleh merentungkan sesebuah kenderaan tersebut. Minyak diesel pula amat sukar meruap, dan ia hanya akan menyala apabila dicucuh dengan api ataupun dikenakan tekanan tinggi sehingga terbakar sendiri. Sebab itulah ramai yang boleh selamba menghisap rokok semasa mengisi minyak diesel di depoh-depoh ataupun di sesetengah stesen minyak yang hanya menjual minyak diesel sahaja. Disebabkan sifat minyak diesel sebegini jugalah yang menyebabkan ramai pemandu lori atau bas memandang remeh akan keperluan memastikan tiada kebocoran pada sistem bahan api. Sekurang-kurangnya, anda perlu ingat bahawa kita bukan lagi hidup di zaman harga minyak diesel semurah 65 sen seliter seperti 11 tahun dahulu.
Kesimpulannya, pemilik kenderaan diesel bertanggungjawab memastikan tiada sebarang kebocoran pada sistem bahan api kenderaan mereka. Selain mengakibatkan pembaziran, kecuaian dalam menjaga sistem bahan api juga boleh menyebabkan kemalangan yang melibatkan kenderaan lain yang tidak bersalah ataupun kebakaran. Sepatutnya kita berasa malu kerana kita marah apabila harga bahan api dinaikkan, tetapi dalam masa yang sama pula kita tidak pula marah apabila kita tidak menggunakan bahan api secara berhemah. Oleh itu, hargailah setiap titik bahan api yang digeli menggunakan titik peluh kita dengan memandu secara berhemah dan jimat minyak serta memastikan tiada kebocoran pada saluran bahan api.
No comments:
Post a Comment