Thursday, March 13, 2014

Apa kejadahnya: "Laluan kontra" Kundang di Lebuhraya Latar E25 - bodoh botingkek-tingkek...!!! / What The Hell: Kundang "reversible lane" at Latar Expressway E25 - idiotic morons...!!!



Antara pemandu-pemandu bebal yang masih berdegil membuat pusingan U haram dan memandu melawan arus di susur masuk Kundang - saya tiada masa hendak mengaburkan nombor-nombor pendaftaran kereta-kereta tersebut, jadi kalau ditahan oleh JPJ, pandai-pandailah tanggung sendiri.


Salam sejahtera,

Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor E25, atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Latar, dibina pada tahun 2009 dan siap pada tahun 2011 sebagai alternatif kepada Jalan Persekutuan 54 bagi menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor. Kritikan utama terhadap lebuh raya tersebut ialah mengenai Persimpangan Kundang yang mana pengguna boleh memasuki lebuh raya E25 tetapi tidak boleh keluar kembali ke jalan B149 di Kundang; sebaliknya, mereka terpaksa keluar melalui Exit 2503 Persimpangan Puncak Alam dan melalui jalan yang lebih jauh melalui Sungai Pelong dan Kuang. Saya juga ada mengkritik tentang perkara yang sama dalam reviu mengenai Lebuhraya Latar E25, dan pihak pengurusan Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad bertindak balas dengan membina sepasang lagi jalan susur bagi membolehkan penduduk Kundang keluar dari lebuh raya terus ke jalan B149.

Akibat ketiadaan jalan susur keluar tersebut, ramai pengguna lebuh raya terutamanya dari kalangan penduduk Kundang yang bertindak membuat pusingan U haram dan memandu melawan arus di jalan susur masuk di Persimpangan Kundang tersebut. Malah, kerja-kerja pembinaan sepasang lagi jalan susur keluar yang sedang rancak berlangsung sedikit pun tidak mengubah keadaan; malah, semakin ramai pemandu-pemandu bebal lagi tidak berotak yang hanya mementingkan diri mereka sendiri dan terus berdegil - secara berjemaah pula tu...!!! Akibatnya, kemalangan maut sering berlaku di jalan-jalan susur masuk tersebut akibat kedegilan pemandu-pemandu bebal lagi dangkal yang langsung tidak pernah mengenal erti serik. Bodoh botingkek-tingkek - tiga patah perkataan tersebut sudah cukup bagi menerangkan sikap bodoh sombong pemandu-pemandu yang berfikir menggunakan kepala lutut dan bukannya menggunakan otak.

Kepada pemandu-pemandu bahlul yang masih tidak serik-serik memandu melawan arus di susur masuk Kundang, tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu memalukan seluruh penduduk pekan Kundang...? Apakah mereka suka apabila pengguna jalan raya dari pekan Kundang dicap sebagai bebal, bodoh sombong dan tidak berdisiplin akibat perbuatan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri semata-mata...? Apakah mereka mempunyai 99 nyawa untuk dibazirkan sekaligus...? Tidakkah mereka mempunyai walau sedikit pun perasaan malu apabila melakukan perkara yang selayaknya dikutuk oleh budak tadika sekalipun...?

Pelbagai nasihat serta amaran sudah pun diberi oleh KLSEB, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun pihak polis, tetapi semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi semata-mata. Kalau dihantar dua orang polis trafik sahaja pun, mereka sudah boleh mengadakan majlis khatam buku saman dalam masa tidak sampai 24 jam, jika dikira berapa ramai mangkuk-mangkuk hayun yang masih berdegil mahu memandu melawan arus. Bila kena saman, tahu pula bajingan-bajingan bebal itu hendak marah...!!! Dah tahu begitu, siapa suruh melawan arus dan tunjuk langsi...? Ingat Lebuhraya Latar E25 tu bapak mereka punya...? Kalau ada yang kemalangan akibat kedegilan diri sendiri, padan muka - silap-silap tak sempat bertaubat nasuha...!!!

Kepada para pemandu yang suka memandu melawan arus di susur masuk Kundang tersebut, hentikan sahajalah perbuatan yang memalukan seluruh penduduk Kundang itu. Kerja-kerja pembinaan jalan susur keluar ke B149 sedang rancak berlangsung, tak bolehkah sabar sedikit...? Jika dilihat pada tahap kemajuan kerja pembinaan, kemungkinan besar jalan-jalan susur tersebut akan siap dalam tahun ini - bukannya lama sangat pun. Tetapi kalau terus berperangai bodoh sombong dan masih berdegil mahu memandu melawan arus juga, ucapkanlah selamat datang kepada malaikat maut yang ingin datang mencabut nyawa tanpa diberi kesempatan untuk bertaubat nasuha terlebih dahulu. Golongan-golongan bebal sebegini hanyalah ibarat kera-kera yang diberi bunga - harapkan infrastruktur lebuh raya berkelas pertama tetapi digunakan oleh golongan dangkal bermentaliti kelas ketiga seperti mereka sendiri...!!!

No comments:

Post a Comment