Salam sejahtera,
Dalam episod terakhir Nilai-Klang kali ini, saya ingin kongsikan kepada anda mengenai sejarah lintasan Sungai Klang di bandar Klang. Terima kasih kepada beberapa orang sejarawan tempatan Klang iaitu Hj. Idris Hj. Ismail (pemilik blog Padang Jawa) serta blogger Aku Budak Telok kerana sudi berkongsi sejarah berharga buat tatapan semua.
Bandar Klang pada era pasca Perang Dunia Kedua. Gambar menunjukkan lokasi jambatan terapung, jambatan gantung dan bekas Jambatan Belfield.
Bandar Klang terpisah kepada dua bahagian iaitu Klang Utara dan Klang Selatan; kedua-duanya dipisahkan oleh Sungai Klang. Semasa zaman awal penjajahan British di Selangor, satu-satunya pengangkutan bagi menyeberangi Sungai Klang bagi menghubungkan kedua-dua pusat bandar Klang ini hanyalah melalui sampan dan feri pontun. Berikutan kegiatan eksploitasi ekonomi oleh penjajah British yang semakin meningkat, para pemilik estet-estet getah dan kelapa sawit di Selangor yang rata-ratanya terdiri daripada orang-orang putih terutamanya di sekitar Kapar dan Kuala Selangor telah memberi tekanan kepada Residen British untuk membina jambatan pertama menyeberangi Sungai Klang bagi membolehkan mereka mengangkut hasil-hasil getah dan kelapa sawit ke Pelabuhan Kuala Klang (kemudian dinamakan Port Swettenham; kini Pelabuhan Klang). Jambatan pertama di Klang itu dibina sebagai jambatan kekuda besi dan dinamakan sebagai Jambatan Belfield, sempena nama Residen Selangor pada ketika itu, Mr. H. Conway Belfield yang berkhidmat dari 1902-1911. Kontrak bagi "the first road bridge across River Klang" ini diberikan kepada The Federated Engineering Company; jurutera yang dipertanggungjawabkan bagi pembinaan jambatan tersebut adalah George Russell dan James Craig. Pembinaan dimulakan pada 27 Julai 1907 dan siap pada September 1908, 10 bulan lebih awal daripada jadual. Ia dibuka oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir John Anderson, pada 12 September 1908. Jambatan Belfield pada masa itu dianggap sebagai jambatan terbesar dan terhebat di Tanah Melayu pada ketika itu.
Jambatan Belfield
Namun, semasa Perang Dunia Kedua, tentera British telah mengebom Jambatan Belfield (bersama-sama Jambatan Connaught) bagi menyekat kemaraan tentera Jepun. Memandangkan jambatan utama di Klang sudah putus, maka tidak diketahui bagaimana orang-orang Klang menyeberangi Sungai Klang bagi urusan seharian.
Jambatan terapung yang hanya bergantung kepada daya apungan pontun sebagai sokongan dan bukannya tiang-tiang - satu punca utama yang mengakibatkan kegagalan struktur jambatan tersebut
Setelah Perang Dunia Kedua tamat, pihak penjajah British membina dua buah jambatan Bailey bagi menggantikan Jambatan Belfield yang dibom sebelum ini. Apa yang menghairankan ialah kedua-dua jambatan tersebut hanya bergantung kepada pontun-pontun terapung dan bukannya tiang-tiang bagi menyokong jambatan tersebut, yang mana saya sifatkan sebagai kesilapan kejuruteraan yang sepatutnya memalukan penjajah British. Pihak penjajah mendakwa bahawa "jambatan terapung" tersebut mampu menampung berat kenderaan sekitar 12 hingga 20 tan. Sungguhpun demikian, pihak penjajah tidak sedar bahawa mereka telah melakukan kesilapan kejuruteraan yang serius, kerana jambatan terapung tersebut akhirnya putus selepas 13 tahun beroperasi. Namun, tiada kecederaan, kematian mahupun kes kenderaan terjunam ke dalam Sungai Klang akibat kemalangan yang berpunca daripada kegagalan struktur tersebut. Kejadian sedemikian seharusnya membuktikan bahawa tidak semua bidang yang mana penjajah British itu hebat; kegagalan struktur jambatan terapung Sungai Klang tentunya menjadi satu peristiwa yang sangat memalukan penjajah.
Jambatan Gantung Klang yang akhirnya tidak digunakan kerana dikhuatiri menerima nasib yang sama seperti Jambatan Tacoma Narrows
Kes kegagalan struktur lintasan Sungai Klang tidak berakhir di situ sahaja. Pada masa yang lebih kurang sama, pihak penjajah British telah membina sebuah jambatan gantung, tetapi tidak pula diperincikan tujuan utama pembinaannya sama ada bagi tujuan pengangkutan jalan raya, lintasan kereta api atau sebagainya, berikutan kekurangan bahan kajian mengenainya. Namun, hasrat penjajah British untuk menjadikan jambatan gantung tersebut sebagai lintasan utama dibatalkan kerana setelah jambatan tersebut siap, barulah mereka mendapati bahawa reka bentuk dek jambatan tersebut boleh berayun ke kiri dan kanan apabila ditiup angin, mendedahkan kepada risiko jambatan runtuh semasa digunakan. Fenomena tersebut sebenarnya dikenali sebagai getaran aeroelastik (aeroelastic flutter), yang kini dikenal pasti sebagai punca sebenar yang membawa kepada runtuhnya Jambatan Tacoma Narrows pada 7 November 1940. Berikutan kegagalan jambatan gantung Klang yang memalukan penjajah itu, jambatan gantung tersebut seterusnya hanya digunakan bagi lintasan paip air sahaja. Lama-kelamaan, jambatan gantung tersebut putus dengan sendirinya sekitar tahun 1970an kerana kabel penyokong jambatan yang sudah berkarat akibat dibiarkan tanpa sebarang penyelenggaraan.
Jambatan Kota FT2/FT5 semasa ia mula-mula dibuka kepada lalu lintas
Bahagian dek bawah Jambatan Kota FT2/FT5 digunakan sebagai laluan pejalan kaki, basikal dan beca
Setelah dua kegagalan struktur yang memalukan penjajah itu, barulah lintasan Sungai Klang yang paling terkenal dibina. Lintasan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Jambatan Kota FT2/FT5. Pembinaan Jambatan Kota FT2/FT5 diluluskan oleh kerajaan pada 12 Mac 1957 dan ia siap dibina pada tahun 1959. Jambatan tersebut dibina 2 tingkat - dek tingkat atas merupakan laluan jalan raya 2 lorong dari Klang ke Pelabuhan Klang, manakala dek bawah pula merupakan laluan pejalan kaki, basikal dan beca. Kedua-dua dek tersebut disokong oleh struktur kekuda besi yang seterusnya disokong pula oleh tiang-tiang yang ditanam merentasi Sungai Klang. Jambatan sepanjang 1,500 kaki (457 m) itu dibina dengan kos RM7 juta.
Namun, pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan Jambatan Kota FT2/FT5 itu menyebabkan jambatan berkenaan tidak lagi mampu menampung kadar aliran trafik yang terlalu tinggi, memandangkan ia hanya selebar 2 lorong sahaja. Sehubungan dengan itu, Jambatan Kota yang baharu selebar 6 lorong dibina betul-betul di sebelah Jambatan Kota yang lama sebagai sebahagian daripada pakej menaik taraf Lebuhraya Persekutuan FT2 dari Subang Jaya ke Bukit Raja daripada 4 lorong kepada 6 lorong. Jambatan Kota yang lama ditutup kepada lalu lintas mulai 21 Januari 1992 setelah Jambatan Kota FT2/FT5 yang baharu dibuka kepada lalu lintas.
Bagaimana pula dengan sejarah Jambatan Jalan Tengku Kelana iaitu satu lagi jambatan utama di Klang...? Setakat ini saya sendiri pun masih tidak dapat menemui sebarang bahan kajian mengenainya, maka saya berharap agar mana-mana sejarawan tempatan Klang dapat membantu saya.
Sumber rujukan:-
Menarik sejarah ni...nak share boleh?
ReplyDeleteBoleh, silakan. :)
Delete