Monday, March 31, 2014

Rolet Rusia Bahagian 2: Persimpangan searas dan bulatan / Russian Roulette Part 2: At-grade intersections and roundabouts



Salah satu daripada persimpangan searas berlampu isyarat yang lazim ditemui


Salam sejahtera,

Entri kedua bagi siri Rolet Rusia ini ditulis setahun selepas entri pertama mengenai keselamatan ketika memotong kenderaan lain. Bagi entri kedua ini, saya akan bawakan kepada anda mengenai keselamatan ketika keluar masuk persimpangan searas dan bulatan, serta aturan keluar masuk simpang.

Seperti yang anda sedia maklum, kawasan persimpangan searas merupakan antara lokasi paling banyak berlaku kemalangan jalan raya. Keadaan ini berlaku disebabkan sifat persimpangan searas yang memerlukan pemandu melintasi aliran lalu lintas dari arah bertentangan serta arah tepi, sekaligus mewujudkan titik konflik yang nyata. Oleh itu, persimpangan searas memerlukan satu mekanisme kawalan bagi memastikan pengguna jalan raya dapat keluar masuk simpang dengan selamat sambil mengelakkan konflik yang membawa kepada kemalangan. Disebabkan titik konflik yang diwujudkan itu jugalah Arahan Teknik (Jalan) 11/87: A Guide to the Design of At-Grade Intersections telah menetapkan bahawa semua jalan raya yang mempunyai persimpangan searas tidak boleh dikenakan had laju melebihi 90 km/j. Persimpangan searas tidak boleh wujud sama sekali di lebuh raya ekspres kecuali di bahagian penghujungnya sahaja sebagai permulaan atau penamat bagi lebuh raya ekspres tersebut.




Bulatan juga dianggap sebagai salah satu jenis persimpangan searas


Jenis persimpangan searas boleh dibahagikan mengikut bilangan cabang yang dihubungkan (simpang tiga, simpang empat, dsb.) ataupun mengikut mekanisme kawalan. Simpang tiga dan simpang empat paling lazim ditemui, tetapi simpang lima atau lebih amat jarang ditemui kerana kesukaran hendak mengawal lalu lintas di simpang jenis tersebut. Sementara itu, jenis persimpangan mengikut mekanisme kawalan lalu lintas adalah seperti berikut:-
  1. Persimpangan tanpa kawalan - persimpangan tanpa kawalan lampu isyarat mahupun papan tanda, contohnya simpang antara jalan kampung dengan jalan utama ataupun simpang antara dua jalan kampung. Kadar aliran trafik yang sangat rendah pada cabang yang dihubungkan itu merupakan sebab utama kenapa mekanisme kawalan tidak diperlukan; sebaliknya, kawalan bergantung sepenuhnya kepada aturan keutamaan atau hak jalan. Pengguna jalan raya utama yang bergerak lurus mempunyai hak jalan tertinggi, diikuti dengan pengguna dari jalan utama ke jalan kecil, dan akhir sekali pengguna dari jalan kecil ke jalan utama. Bagi persimpangan antara dua jalan kecil pula, mana-mana kenderaan yang sampai dahulu mempunyai hak jalan tertinggi.
  2. Persimpangan kawalan papan tanda - persimpangan yang dipasang dengan papan tanda "Berhenti" ataupun "Beri laluan" untuk mengawal aliran trafik di persimpangan. Sekali lagi, jalan raya utama mempunyai hak jalan tertinggi, ditandakan dengan ketiadaan papan tanda "Berhenti" serta garisan jalan yang masih berterusan. Jalan raya yang dipasang papan tanda "Berhenti" atau "Beri laluan" pula mempunyai hak jalan yang lebih rendah. Perbezaan utama antara papan tanda "Berhenti" dengan "Beri laluan" ialah semua kenderaan wajib berhenti di persimpangan yang mempunyai papan tanda "Berhenti" walaupun semasa tiada kenderaan di jalan besar, dan hanya boleh meneruskan perjalanan apabila sudah pasti tiada kenderaan dari arah jalan besar; di persimpangan dengan papan tanda "Beri laluan" pula, pemandu tidak semestinya perlu berhenti tetapi boleh terus jalan tanpa berhenti sekiranya keadaan mengizinkan.
  3. Persimpangan kawalan lampu isyarat - sekiranya kadar aliran trafik adalah begitu tinggi sehinggakan mengalami kesukaran untuk keluar masuk simpang, maka lampu isyarat akan dipasang bagi memastikan hak jalan yang lebih adil. Peraturannya amat mudah, iaitu berhenti apabila lampu merah dan jalan apabila lampu hijau. Semasa lampu kuning pula, anda sepatutnya berhenti apabila anda tidak melepasi garisan berhenti apabila lampu kuning mula menyala, tetapi sekiranya anda sudah melepasi garisan berhenti semasa lampu kuning, maka anda perlu meneruskan perjalanan. Kegagalan mematuhi lampu isyarat akan menyebabkan berlakunya kemalangan maut. Namun, kelemahan terbesar bagi persimpangan lampu isyarat ialah apabila kadar aliran trafik di persimpangan tersebut terlalu tinggi, maka lampu isyarat itu sendiri boleh menjadi punca utama kesesakan, terutamanya apabila pemasaannya tidak betul - dalam kes ini, persimpangan bertingkat aliran bebas perlu dibina. Selain itu, jika lampu isyarat rosak, maka pengguna jalan raya wajib menggunakan aturan keluar masuk simpang mengikut keutamaan atau hak jalan, dan hal inilah yang gagal dipatuhi ramai pengguna jalan raya Malaysia.
  4. Persimpangan kawalan polis trafik - jika sesebuah persimpangan utama sesak terutamanya ketika awal pagi ataupun lewat petang, biasanya anggota polis trafik akan ditempatkan di situ untuk mengawal aliran trafik dengan lebih teratur, memandangkan pada masa itu lampu isyarat sudah tidak lagi mampu untuk memastikan hak jalan yang adil. Pada masa itu, arahan polis trafik perlu diberikan keutamaan; jika polis trafik mengarahkan anda untuk jalan, maka anda perlu jalan walaupun ketika lampu merah, dan sebaliknya. Kawalan polis trafik adalah mekanisme kawalan sementara bagi persimpangan searas yang sibuk.
  5. Bulatan - juga dikenali sebagai "pusing keliling" dalam Bahasa Melayu Brunei, bulatan dibina bagi memberikan hak jalan yang sama rata bagi setiap cabang yang dihubungkannya. Pemandu yang berada di dalam bulatan mempunyai hak jalan yang lebih tinggi daripada mana-mana cabang yang dihubungkannya. Namun, kelemahan utama bulatan ialah jika bulatan tersebut sesak, maka ia akan menjadi kurang cekap dalam menangani aliran trafik, menyebabkan kelajuan operasi pada mana-mana cabang turun dengan ketara, sehinggakan sesetengah bulatan turut dipasang dengan lampu isyarat. Sebab itulah persimpangan bulatan sebenarnya kurang sesuai untuk menghubungkan antara dua jalan raya yang sangat sibuk.

Lebuh raya ekspres
Jalan raya kembar
Jalan raya utama
Jalan raya sekunder
Jalan tempatan

Persimpangan bertingkat
Persimpangan bertingkat
Persimpangan bertingkat
N/A
N/A
Lebuh raya ekspres
N/A
Persimpangan bertingkat
Persimpangan bertingkat / lampu isyarat
Lampu isyarat / papan tanda
Papan tanda
Jalan raya kembar
N/A
N/A
Lampu isyarat / papan tanda
Lampu isyarat / papan tanda
Papan tanda
Jalan raya utama
N/A
N/A
N/A
Papan tanda
Papan tanda
Jalan raya sekunder
N/A
N/A
N/A
N/A
Papan tanda
Jalan tempatan

Jenis persimpangan pada jalan raya luar bandar


Lebuh raya ekspres
Jalan arteri
Jalan pengumpul
Jalan tempatan

Persimpangan bertingkat
Persimpangan bertingkat
N/A
N/A
Lebuh raya ekspres
N/A
Persimpangan bertingkat / lampu isyarat
Lampu isyarat
Lampu isyarat / papan tanda
Jalan arteri
N/A
N/A
Lampu isyarat
Papan tanda
Jalan pengumpul
N/A
N/A
N/A
Papan tanda
Jalan tempatan

Jenis persimpangan pada jalan raya perbandaran


Susunan aturan keutamaan atau hak jalan bagi persimpangan searas yang tidak dikawal oleh lampu isyarat (kecuali bulatan) adalah seperti berikut:-
  1. Kenderaan di jalan raya utama yang berjalan terus mempunyai hak jalan tertinggi.
  2. Kenderaan di jalan raya utama yang membelok ke kanan serta kenderaan di jalan raya kecil yang membelok ke kiri
  3. Kenderaan di jalan raya kecil yang berjalan terus atau membelok ke kanan mempunyai hak jalan terendah.

Untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai susunan aturan hak jalan secara bergrafik, anda boleh rujuk dokumen PDF di bawah ini.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.




Malangnya, ramai di kalangan pemandu Malaysia yang sering mengingkari aturan keutamaan keluar masuk simpang mahupun lampu isyarat. Ramai juga yang mengingkari had laju yang ditetapkan, sedangkan had laju yang dikenakan itu sebenarnya penting bagi mengelakkan nahas yang tidak dikehendaki di persimpangan searas. Had laju yang lebih rendah membolehkan pengguna jalan raya keluar masuk simpang dengan selamat serta membolehkan pemandu yang bergerak terus menyedari kehadiran kenderaan yang keluar masuk simpang. Jika anda mengingkari aturan keutamaan keluar masuk simpang, lampu isyarat mahupun had laju, maka anda bakal menempah batu nisan ataupun katil hospital sendiri - saksikanlah sendiri video di bawah bagi melihat sendiri padah mengingkari peraturan di persimpangan searas.




Padah mengingkari aturan keluar masuk simpang serta had laju di kawasan persimpangan

1 comment:

  1. Kalau anda lihat di Singapura, persimpangan searas yang mempunyai lampu isyarat membenarkan pemandu belok ke kanan untuk masuk ke simpang semasa lampu merah dengan penuh berhati-hati. Dan mempunyai tanjakan di hadapan jika ingin belok semasa lampu merah.

    http://singaporeseen.stomp.com.sg/singaporeseen/sites/default/files/public/article/images/featured/2013/12/taximain_0.jpg

    ReplyDelete