Monday, April 7, 2014

Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini projek jalan persekutuan / Kota Bharu-Kuala Krai Expressway (KBKK) is now a federal highway project

Salam sejahtera,

Masih ingatkah lagi kepada projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang dirasmikan 2 tahun lepas oleh Menteri Besar Kelantan pada masa itu, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pada 28 Mei 2012...? Ya, sudah lama kita tidak mendengar khabar berita mengenai perkembangan projek yang digelar "Lebuhraya Rakyat" itu, kerana perkembangan projek secara keseluruhannya boleh dikatakan hampir tidak bergerak langsung walaupun sekali-sekala ada jugalah kerja-kerja tanah yang dilakukan. Perkembangan yang amat perlahan itu membuktikan bahawa tabung wakaf sahaja masih tidak mencukupi untuk membiayai kos pembinaan sesebuah lebuh raya ekspres.

Kenapa kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Pas pada masa itu mengambil keputusan untuk membina sendiri lebuh raya ekspres itu sungguhpun keadaan kewangan kerajaan negeri sendiri tidak begitu mengizinkan...? Segala-galanya berpunca daripada sejarah lebuh raya itu sendiri. Projek lebuh raya itu dirancangkan seawal penghujung 1980an lagi semasa Kelantan dikuasai oleh Barisan Nasional, sebagai salah satu projek Rancangan Malaysia Kelima. Malangnya, projek tersebut digugurkan setelah Barisan Nasional kalah dengan gabungan Pas-Semangat 46 pada pilihan raya umum tahun 1990. Kemudian, projek tersebut dihidupkan semula semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, tetapi kemudiannya digugurkan lagi semasa Datuk Seri Najib Razak mula menjadi Perdana Menteri. Bosan dengan perkembangan tersebut, kerajaan negeri Kelantan akhirnya mengambil keputusan membina lebuh raya tersebut sebagai Jalan Negeri Kelantan.

Kenapa lebuh raya tersebut perlu dibina...? Tanyalah mana-mana anak Kelantan yang merantau di ibu kota bagaimana azabnya menempuhi Jalan Persekutuan 8 sedia ada sejauh 402 km selepas keluar dari Lebuhraya Karak E8/FT2 di Bentong. Meskipun Jalan Persekutuan 8 sebenarnya adalah laluan terpendek ke Kelantan dari Kuala Lumpur, namun ia sering sesak, terutamanya di sepanjang jajaran Kuala Krai-Kota Bharu. Sebuah jalan pintasan telah dibina bagi memintas kesesakan bandar Machang, tetapi ia langsung tidak berupaya untuk mengubah keadaan. Keadaan menjadi semakin teruk semasa musim perayaan; perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh lebih kurang 73 km ada kalanya boleh mengambil masa sehingga 5 jam. Dengan kata lain, tahap perkhidmatan (level of service) bagi jajaran tersebut sudah pun mencapai tahap F, yang memerlukan sebuah lebuh raya ekspres dibina bagi menanganinya.

Berikutan perkembangan pembinaan lebuh raya itu yang boleh disifatkan sebagai hampir tidak bergerak, maka Kementerian Kerja Raya baru-baru ini mengumumkan untuk mengambil alih projek lebuh raya tersebut sebagai projek Jalan Persekutuan serta dijadikan sebagai sebahagian daripada projek Jalan Raya Utama Tengah (CSR; Central Spine Road) semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kelantan baru-baru ini. Kesepakatan tersebut dicapai hasil pendekatan pimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar baharu, Dato' Ahmad Yaakob, yang mengambil pendekatan berdiplomasi dengan kerajaan persekutuan meskipun berbeza fahaman politik, tidak seperti pimpinan kerajaan negeri terdahulu yang sering bersengketa dengan kerajaan persekutuan. Majlis pecah tanah kali kedua ini diadakan pada 1 April 2014, tetapi kali ini pembinaan dimulakan dari Pasir Hor ke Kadok, Kota Bharu sejauh 12.5 km. Jajaran tersebut dijangka siap pada tahun 2017 sebelum disambung semula dari Pasir Hor ke Bukit Tiu dan seterusnya jajaran terakhir dari Bukit Tiu ke Dusun Damar.

Kesimpulannya, sebaik sahaja selepas berakhirnya pilihan raya umum, setiap pihak perlulah bersama-sama menumpukan perhatian terhadap pembangunan negara dan menghentikan perbalahan politik yang mengarut demi kepentingan rakyat dan negara. Kesediaan Dato' Ahmad Yaakob dari Pas yang memimpin kerajaan negeri Kelantan untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional wajar dicontohi pemimpin politik yang lain kerana hanya melalui kerjasama sebeginilah segala dasar pembangunan dapat dilaksanakan ke seluruh negara tanpa mengira fahaman politik. Justeru, "diskriminasi" yang diperkatakan itu sebenarnya hanya timbul akibat sengketa politik yang mengarut antara kedua-dua pihak.

Sumber berita: Berita Harian







Pelancaran semula projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) sebagai projek jalan persekutuan






Peta jajaran Lebuhraya KBKK sebagai sebahagian projek Jalan Raya Utama Tengah (CSR)






Peta KBKK Fasa 1 dari Wakaf Siku, Pasir Hor ke Kadok






Majlis pecah tanah kali kedua oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin
(Semua kredit gambar: Kementerian Kerja Raya Malaysia)

No comments:

Post a Comment

Advertisement