Salam sejahtera,
Setelah hampir 10 bulan tanpa sebarang reviu lebuh raya ekspres, kali ini Blog Jalan Raya Malaysia kembali dengan reviu lebuh raya ekspres terbaru di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Sambungan Besraya (BEE) E9. Secara kebetulan, reviu sebelumnya pula adalah reviu bagi jajaran asal Lebuhraya Besraya E9 pada Jun 2013. Reviu BEE E9 ini dihasilkan 2 hari selepas perasmiannya oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah bt Abdul Rashid Shirlin pada 15 April 2014. Pembukaan BEE E9 sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para pemain industri lebuh raya ekspres negara, dibuktikan apabila laman Facebook rasmi Lebuhraya Duke E33 turut memuat naik gambar-gambar perasmian lebuh raya baharu tersebut.
Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa sejarah Lebuhraya Sambungan Besraya E9 sebenarnya bermula pada penghujung 1990an lagi, apabila Menteri Kerja Raya pada ketika itu, Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan projek Lebuhraya Pandan, bersama-sama dengan Lebuhraya Damansara-Puchong E11 dan Lebuhraya Segamat-Muar. Namun, selepas lebih kurang 18 tahun kemudian, projek Lebuhraya Pandan itu kini dikenali sebagai Lebuhraya Sambungan Besraya (BEE) E9.
Kenapa BEE E9 perlu dibina...? Sebab paling utama adalah bagi menyelesaikan masalah kesesakan di sekitar Kampung Pandan dan Pandan Indah. Sebelum ini, penduduk dari Pandan Indah yang hendak ke pusat bandar raya terpaksa menempuh neraka kesesakan jalan raya di sepanjang Jalan Kampung Pandan dari Bulatan Kampung Pandan sehinggalah ke penghujungnya di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28. Inilah rasional utama cadangan Lebuhraya Pandan yang dikemukakan dahulu, tetapi masalah perancangan dan penetapan jajaran telah menyebabkan rancangan lebuh raya tersebut mengambil masa yang sangat panjang - jika seseorang itu baru lahir semasa cadangan Lebuhraya Pandan mula dikemukakan, dia hanya dapat merasainya sebagai BEE E9 selepas peperiksaan SPM. Lama kan...?
Sementara itu pula, Besraya Sdn. Bhd., syarikat konsesi bagi Lebuhraya Sungai Besi E9, mengalami penurunan hasil setelah kutipan Plaza Tol Salak Selatan dihentikan pada 24 Februari 2009, 10 tahun selepas Lebuhraya Besraya E9 mula dibuka. Namun, patah tumbuh hilang berganti - sebagai pengganti kepada pemansuhan kutipan tol di Salak Selatan, Besraya diberi tugas membina sambungannya sepanjang 12.3 km ini, sekaligus memanjangkan tempoh konsesinya sehingga tahun 2040.
Pemilihan Besraya bagi membina lebuh raya yang asalnya diberi nama tentatif Lebuhraya Pandan dan seterusnya Lebuhraya Shamelin itu sememangnya bertepatan, kerana pengguna Lebuhraya Besraya E9 sendiri mengalami kesukaran untuk ke Pandan Indah dan seterusnya Ampang kerana terpaksa menempuh kesesakan di Jalan Tun Razak dan Jalan Kampung Pandan. Selain itu, pengguna dari Jalan Istana yang hendak ke E9 juga mengalami kesukaran kerana tiada laluan terus dari Jalan Istana ke E9, sedangkan pengguna E9 boleh terus memasuki Jalan Istana dengan mudah tanpa sebarang masalah. Pengguna jalan raya dari Jalan Istana yang hendak memasuki E9 pula terpaksa melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 yang terkenal dengan kesesakannya di hadapan TUDM Sungai Besi akibat kecacatan reka bentuk persimpangan yang dibina terlalu rapat, dan seterusnya memasuki Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 dan memasuki Lebuhraya Besraya E9. Jika hendak ke arah selatan pula, pengguna terpaksa membuat pusingan U di Salak Selatan yang juga sering sesak.
Lebuhraya Sambungan Besraya E9 ini sebahagian besarnya dibina sebagai lebuh raya bertingkat. Pembinaan BEE E9 dilakukan di atas Jalan Empat di Kawasan Perindustrian Chan Sow Lin, seterusnya melintasi Lebuhraya Maju E20 dan bertemu dengan sambungan dari jajaran asal di sebuah persimpangan trompet tidak lengkap di Exit 913 Persimpangan Ikan Emas. Ia kemudiannya melintasi Jalan Loke Yew FT1 demgan memanfaatkan laluan bawah jejambat Jalan Loke Yew FT1 sebelum tiba di Plaza Tol Loke Yew yang kini menempatkan ibu pejabat baharu Besraya. Oh, ada satu tanjakan bagi memasuki BEE E9 dari Jalan Loke Yew FT1 (dari arah utara sahaja). Selain itu, BEE E9 turut dihubungkan dengan Jalan Cheras Lama, tetapi ia hanya boleh dilalui dari arah timur sahaja.
BEE E9 berpecah dua di Exit 914 Persimpangan Pandan Jaya, tetapi ia bukanlah sebuah persimpangan penuh - untuk terus melalui laluan utama, anda perlu mengambil lorong kiri; lorong kanan membawa kepada Hubungan Pandan Indah yang akan saya terangkan di bawah.
Laluan utama dibina di atas Hubungan Pandan Indah yang mengambil laluan Jalan 1/91 dan Jalan Pandan Indah, menjadikan laluan utama sebagai lebuh raya ekspres sejati manakala Hubungan Pandan Indah pula tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres kerana ia sekadar naik taraf Jalan Pandan Indah / Jalan 1/91 sedia ada tanpa memenuhi keperluan kawalan masuk penuh. Namun, sebelum saya mengkritik Hubungan Pandan Indah, ada baiknya saya menghabiskan dahulu perjalanan di laluan utama terlebih dahulu.
Keseluruhan lebuh raya BEE E9 dibina empat lorong sahaja (2 bagi setiap hala), dengan had laju 60 km/j sahaja. Kenapa rendah sangat...? Kekangan ruang menyebabkan ia dikenakan had laju yang sebegitu rendah, kerana kekangan ruang bermaksud tiada ruang bagi menjadikan sesebuah lebuh raya itu berupaya menangani kelajuan tinggi, terutamanya dari segi jejari selekoh.
Keseluruhan lebuh raya BEE E9 dibina empat lorong sahaja (2 bagi setiap hala), dengan had laju 60 km/j sahaja. Kenapa rendah sangat...? Kekangan ruang menyebabkan ia dikenakan had laju yang sebegitu rendah, kerana kekangan ruang bermaksud tiada ruang bagi menjadikan sesebuah lebuh raya itu berupaya menangani kelajuan tinggi, terutamanya dari segi jejari selekoh.
Persimpangan kedua terakhir di laluan utama ialah Exit 915 Persimpangan Pandan Jaya. Seperti kebanyakan persimpangan lain di sepanjang BEE E9, ia juga sebuah persimpangan tidak lengkap - ia tidak boleh dimasuki dari arah timur lebuh raya. Laluan utama berakhir di Pandan Jaya, betul-betul sebelum simpang ke MRR2 FT28.
Sekarang saya mencuba pula Hubungan Pandan Indah. Sementara saya memuji laluan utama yang menunjukkan kematangan IJM dalam bidang kejuruteraan lebuh raya, saya kurang berpuas hati dengan Hubungan Pandan Indah yang tidak lebih daripada sekadar naik taraf Jalan Pandan Indah tanpa memenuhi keperluan kawalan masuk penuh. Mungkin ada yang akan menganggap saya sebagai "banyak songeh", tetapi harus diingat bahawa saya amat bertegas dan amat memandang serius akan soal kawalan masuk lebuh raya kerana ia melibatkan isu keselamatan dan integriti, dua isu yang tidak boleh dikompromi sama sekali. Jadi kalau mahu ia dibina 100% kawalan masuk penuh, nak bina berapa tingkat pula, memandangkan laluan sebelah atas ialah laluan utama...? Kalau diikutkan, kena bina tiga tingkatlah jawabnya...!!! Simpang jalan-jalan kecil di sepanjang Jalan Pandan Indah / Jalan 1/91 tidak ditangani dengan sekurang-kurangnya sepasang jalan hadapan (frontage road), sekaligus menghilangkan kelayakan Hubungan Pandan Indah untuk diberi status lebuh raya ekspres, memandangkan keperluan kawalan masuk penuh tidak dipenuhi sepenuhnya.
Apa pun, syabas saya ucapkan kepada Besraya kerana berjaya membina sebuah lebuh raya perbandaran yang sempurna dan memenuhi piawaian lebuh raya ekspres. Walaupun saya kurang berpuas hati dengan Hubungan Pandan Indah yang tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres, namun sekurang-kurangnya laluan utama dibina dengan cukup sempurna dan mematuhi piawaian lebuh raya ekspres. Itu sudah cukup untuk saya memberi gred A- bagi BEE E9 - jika dan hanya jika Hubungan Pandan Indah dibina memenuhi piawaian seperti sepatutnya dan bukannya seperti yang anda lihat sekarang, sudah tentu saya memberikan gred A+ bagi lebuh raya ini.
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Maklumat lebuh raya
Kod laluan: E9
Panjang: 12.3 km
Arah laluan: Barat-timur
Bilangan lorong: 4
Memasuki Lebuhraya Sambungan Besraya E9 dari Jalan Istana
Sebahagian besar BEE E9 dibina sebagai lebuh raya bertingkat, menjadikannya lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh
Melintasi Lebuhraya Maju E20
Exit 913 Persimpangan Ikan Emas
BEE E9 memanfaatkan laluan bawah jejambat Jalan Loke Yew FT1 untuk melintasinya
BEE E9 bertemu dengan laluan dari jajaran asal di KM18.6 di Exit 913 Persimpangan Ikan Emas
Plaza Tol Loke Yew menempatkan ibu pejabat baharu Besraya
Laluan berpecah dua di Exit 914 Persimpangan Pandan Jaya
Laluan utama dibina sebagai lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh...
...manakala Hubungan Pandan Indah di sebelah bawah pula sekadar menggunakan Jalan Pandan Indah / Jalan 1/91 sedia ada tanpa menjadikannya laluan capaian terkawal
Exit 915 Persimpangan Pandan Jaya
Laluan utama berakhir di Pandan Jaya betul-betul sebelum simpang ke MRR2 FT28
Exit 913 Persimpangan Ikan Emas dari arah timur
Lagi laluan bertingkat untuk ke jajaran asal Lebuhraya Besraya E9
Tandas awam di hentian rehat di sebelah Plaza Tol Loke Yew yang serba indah
Seni bina kontemporari Islam turut diterapkan pada surau ini
Persimpangan Shamelin di Hubungan Pandan Indah ini tidak boleh dicapai dari arah barat
Penamat Hubungan Pandan Indah di Pandan Indah
Memasuki BEE E9 dari arah Pandan Indah
Satu lagi pintu keluar ke MRR2 FT28 di Pandan Indah
No comments:
Post a Comment