Friday, April 18, 2014

Perjalanan terakhir Karpal Singh di laluan maut di Gua Tempurung / Karpal Singh's final journey at the deadly section at Gua Tempurung



Nahas melibatkan sebuah Toyota Alphard dan sebuah lori Mitsubishi Canter di KM302 Lebuhraya Utara-Selatan E1 sepatutnya dijadikan iktibar kepada para pemandu bagi orang kenamaan agar menunjukkan teladan dalam mematuhi peraturan jalan raya
(Kredit gambar: News Straits Times)


Salam sejahtera,

Negara dikejutkan dengan kematian Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), YB Karpal Singh yang maut dalam nahas lebuh raya di KM305 Lebuhraya Utara-Selatan E1 pada pukul 1.30 pagi semalam (17 April 2014). Kemalangan berlaku apabila kereta Toyota Alphard yang dinaikinya hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori 5 tan yang bergerak perlahan di lorong kiri. Nahas turut mengorbankan pembantu peribadinya, Michael Cornelius.

Untuk pengetahuan, Toyota Alphard yang dinaiki Karpal Singh bukan calang-calang kereta. Ia memperoleh enam bintang dalam Program Penarafan Kereta Baharu Jepun (JNCAP). Namun, kenapa kemalangan maut sebegini tetap berlaku seolah-olah sudah tertulis di dinding dan tidak boleh dielakkan lagi...?

Jawapan paling mudah bagi menjawab persoalan ini tidak lain dan tidak bukan ialah kelajuan kenderaan yang terlibat itu sendiri. Toyota Alphard Karpal Singh ditenagai enjin 2GR-FE 3.5 liter 24 injap V6 yang berupaya menghasilkan kuasa setinggi 280 PS serta 330 N-m kilasan. Sementara itu, lori Mitsubishi Canter yang disondol oleh Toyota Alphard yang hilang kawalan itu pula hanya menghasilkan 110 kuasa kuda sahaja, maka sudah tentulah lori Mitsubishi Canter itu bergerak perlahan sahaja. Jika dilihat pada kesan hentaman, maka sudah tentu anda boleh membuat kesimpulan bahawa Toyota Alphard itu dipandu terlalu laju. Akibat perbezaan halaju yang sangat besar, maka impak pelanggaran sudah tentu menggerunkan.

Tambah memburukkan keadaan, pemandu bagi kedua-dua kenderaan mempunyai "rap sheet" mereka tersendiri. Pemandu lori tersebut dikatakan positif ganja dalam air kencingnya tetapi masih belum disahkan, manakala pemandu Alphard itu pula sudah mengumpul sebanyak 29 koleksi saman trafik, yang mana 15 daripadanya masih belum dilunaskan. Kedegilan pemandu Toyota Alphard yang masih tidak serik-serik melakukan kesalahan trafik akhirnya membawa padah apabila bosnya sendiri terkorban akibat sikap tidak bertanggungjawabnya itu.

Itu baru cerita pemandu, tetapi bagaimana pula dengan cerita jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Gua Tempurung itu sendiri...? Jajaran tersebut sangat terkenal sebagai lokasi kemalangan maut disebabkan keadaan geografinya yang berbukit dan bercerun curam dan panjang. Kecerunan jajaran tersebut adalah sekitar 5%, menyebabkan had laju di situ terpaksa diturunkan kepada 90 km/j sahaja. Keadaan jalan yang curam juga menyebabkan lorong mendaki dibina bagi laluan arah selatan. Jajaran Gua Tempurung juga merupakan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan yang termahal, dengan kos spesifik sehingga mencecah RM200 juta sekilometer. Kos yang tinggi itu berpunca daripada kerja-kerja pengukuhan cerun di situ.

Gua Tempurung juga menyaksikan kejadian tanah runtuh yang menimbuskan keempat-empat lorong sekaligus pada 6 Januari 1996 sehingga mengorbankan seorang pemandu lori treler yang tidak bernasib baik, menjadikannya sebagai antara kejadian tanah runtuh terburuk dalam sejarah negara. Akibat kejadian tersebut, Hentian Sebelah Gua Tempurung Arah Utara terpaksa dikorbankan untuk membolehkan laluan pengganti dibina.

Sungguhpun jajaran E1 di Gua Tempurung telah dikenal pasti sebagai jajaran maut, namun masih ramai pengguna lebuh raya yang degil dan masih tidak serik-serik melanggar peraturan jalan raya. Had laju diturunkan kepada 90 km/j sahaja, tetapi di situ jugalah masing-masing menambahkan kelajuan atas alasan kononnya mahu "menambah lajak" semasa mendaki bukit. Papan tanda larangan memotong bagi kenderaan berat juga dipasang, tetapi di situ pulalah para pemandu lori terhegeh-hegeh hendak memotong, meskipun cuma laju sedikit sahaja daripada "lori kura-kura" yang hendak dipotongnya sehinggakan masa yang diambil untuk memotong jauh melebihi 12 saat. Para pemandu lori mempertikaikan rasional di sebalik larangan tersebut dengan alasan kononnya lori yang dipandu mereka itu lori baru yang ditenagai enjin common rail direct injection turbo yang lebih canggih dan lebih berkuasa, jadi takkanlah nak pandu perlahan sahaja. Brader, redline enjin lori rendah sahaja, cuma sekitar 2,500-3,000 rpm sahaja - lagipun, kalau memecut lebih 1,700-2,000 rpm pun enjin sebenarnya sudah jadi sebu kerana torknya mula menjunam secara mendadak. Dengan kata lain, banjaran tork enjin lori sebenarnya sempit sahaja. Sebab itulah walau sehebat mana pun lori yang anda pandu, anda tetap tidak dibenarkan memotong di kawasan bukit sungguhpun laluan lebuh raya itu mempunyai 3 lorong atau lebih sekalipun.

Akhir kata, cukup-cukuplah dengan dendangan irama lagu "bangau oh bangau" itu, saya sudah naik bosan mendengarkannya. Kejadian yang menimpa mendiang YB Karpal Singh sepatutnya dijadikan pengajaran agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya walaupun anda supir kepada Perdana Menteri atau Yang Dipertuan Agong sekalipun. Ingatlah dengan cogan kata "kepimpinan melalui teladan" - jika seorang pemandu kepada seseorang pegawai, menteri mahupun raja sekalipun tidak menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi peraturan jalan raya, maka rakyat sudah tentulah akan memandang serong terhadap pemimpin tersebut dengan menganggapnya sebagai ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan lurus, meskipun pemimpin itu memang tidak ada menyentuh stereng kereta sekalipun. Baik pemimpin mahupun rakyat, undang-undang jalan raya wajib fardhu ain untuk dipatuhi demi keselamatan semua.

Sebagai penutup bicara, Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mendiang YB Karpal Singh atas kematian mendiang dalam nahas jalan raya semalam.

No comments:

Post a Comment