Thursday, April 24, 2014

Bagaimana Hong Kong memartabatkan rangkaian jalan rayanya / How Hong Kong elevates the prestige of its highway network



Peta rangkaian Laluan Strategik Hong Kong


Salam sejahtera,

Sejak Blog Jalan Raya Malaysia mula diwujudkan pada November 2011, kami sentiasa menyokong dan memperjuangkan dasar memartabatkan rangkaian jalan raya kebangsaan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR). Untuk menjayakan misi ini, kami sentiasa berusaha mendidik rakyat Malaysia agar memartabatkan rangkaian jalan raya Malaysia dengan mengamalkan penggunaan kod laluan bagi membantu merancang perjalanan, melalui pelbagai koleksi reviu jalan raya serta entri-entri ilmiah mengenai rangkaian jalan raya negara. Usaha kami bagi memperjuangkan dasar memartabatkan jalan raya negara turut disokong oleh KKR sendiri, dibuktikan apabila semakin ramai pegawai-pegawai atasan dalam kementerian serta agensi-agensi dalam KKR iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjadikan Blog Jalan Raya Malaysia sebagai salah satu rujukan ilmiah utama. Jutaan terima kasih kepada KKR, jabatan-jabatan dan badan-badan berkanun di bawah KKR serta para pembaca sekelian atas sokongan anda terhadap perjuangan kami.

Sungguhpun perjuangan kami mendapat sokongan padu daripada para pegawai atasan KKR sendiri, namun perjuangan kami dalam memartabatkan rangkaian jalan raya negara ternyata masih belum selesai. Masih ramai rakyat Malaysia yang jahil akan penggunaan sistem pernomboran kod jalan raya negara. Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tidak menggunakan sistem kod laluan jalan raya negara, sungguhpun mereka sepatutnya menunjukkan contoh terbaik dalam penggunaan kod laluan dalam kerjaya harian mereka. Media arus perdana masih kekal tidak mengamalkan penggunaan kod laluan dalam laporan mereka, meskipun saya pernah menghantar surat pembaca kepada editor sebuah akhbar berbahasa Melayu bagi menggesa penggunaan kod laluan oleh setiap lapisan masyarakat. Kuala Lumpur tetap kekal menunjukkan contoh paling teruk apabila mereka langsung tidak melaksanakan penggunaan sistem kod laluan jalan raya kebangsaan. Akibatnya, warga kota yang jahil akan penggunaan kod laluan sekadar mengiyakan dan merelakan sahaja kejahilan mereka akibat contoh teruk yang ditunjukkan pihak berwajib. Apa tidaknya, silibus mata pelajaran Geografi KBSM sendiri pun langsung tiada unsur memartabatkan jalan raya negara. Apabila rakyat jahil akan kod jalan raya negara, bermakna mereka gagal merancang perjalanan mereka. Seterusnya, gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal - kegagalan merancang perjalanan dikenal pasti sebagai salah satu punca kesesakan jalan raya serta menurunkan tahap kecekapan pengangkutan jalan raya. Kita sudah ada sistem kod jalan raya kebangsaan sejak mula diwartakan pada tahun 1989, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan daripada kerajaan sendiri untuk menggalakkan penggunaannya. Kita sudah lama ada sistem kod laluan tersendiri, tetapi ia langsung tidak diamalkan - kita sepatutnya berasa malu atas kejahilan kita dalam penggunaan sistem kod laluan negara apabila orang luar negara sendiri boleh menguasai sistem kod laluan kebangsaan.

Barangkali satu pendekatan yang perlu diambil oleh KKR bagi menggalakkan rakyat menggunakan sistem kod laluan kebangsaan dalam merancang perjalanan adalah dengan mencontohi kerajaan Hong Kong SAR, China, yang mengadakan kempen besar-besaran dalam mempromosikan penggunaan kod laluan Sistem Pernomboran Laluan Strategik dan Nombor Persimpangan Keluar. Dengan bermodalkan slogan seperti "Ingatlah Angka-angka (kod laluan), Menjadikan Pemanduan Lebih Mudah", kempen sedemikian turut diperluaskan kepada para pelancong asing.




Lebuhraya Lantau Utara Laluan 8, satu-satunya lebuh raya ekspres di Hong Kong yang dikenakan had laju maksimum 110 km/j




Jambatan Teluk Shenzen, menghubungkan antara Laluan Strategik 10 dengan Lebuhraya Beijing-Macau-Hong Kong G4




Lebuhraya Fanling Laluan 9. Laluan Strategik 9 merupakan jalan raya wilayah terpanjang di Hong Kong


Apa itu Sistem Pernomboran Laluan Strategik dan Nombor Persimpangan Keluar...? Sistem tersebut merujuk kepada rangkaian jalan raya dan lebuh raya utama di Hong Kong yang bertaraf jalan raya wilayah. Sebanyak sepuluh laluan jalan raya yang diwartakan sebagai Laluan Strategik Hong Kong, yang mana hanya 9 sahaja yang beroperasi. Laluan Strategik 6 pula masih dalam peringkat pembangunan dan akan dibina sebagai jalan raya pantai selatan Kowloon. Sementara itu, hirarki jalan bagi setiap jajaran laluan boleh jadi sama ada jalan raya arteri biasa dengan kawalan masuk separa dan persimpangan searas berlampu isyarat sehinggalah kepada lebuh raya ekspres capaian terkawal. Had laju juga sering berubah-ubah - kebanyakan lebuh raya ekspres dikenakan had laju 80 km/j, tetapi ada juga lebuh raya yang dikenakan had laju yang lebih tinggi (100 km/j) ataupun lebih rendah (70 km/j). Lebuhraya Lantau Utara Laluan 8 adalah satu-satunya lebuh raya ekspres di Hong Kong yang dikenakan had laju tertinggi 110 km/j.

Di Hong Kong, hanya terdapat dua klasifikasi jalan raya, iaitu sama ada sebagai Laluan Strategik (jalan wilayah) ataupun sebagai jalan perbandaran. Hanya satu sahaja jalan raya kebangsaan yang dihubungkan dengan Hong Kong, iaitu Lebuhraya Beijing-Macau-Hong Kong G4, tetapi lebuh raya kebangsaan tersebut sebenarnya tamat di bandar raya Shenzen dan bukannya dalam wilayah Hong Kong; sebaik sahaja melepasi Pusat Kawalan Teluk Shenzen, laluan lebuh raya G4 diturunkan taraf ke Laluan Strategik 10 melalui Koridor Barat Shenzen-Hong Kong. Penamat sebenar Lebuhraya Beijing-Macau-Hong Kong G4 adalah di Pusat Kawalan Pelabuhan Huanggang yang kemudiannya berubah menjadi Jalan Huanggang, manakala Pusat Kawalan Pelabuhan Huanggang pula dihubungkan ke Jalan San Sham yang berstatus jalan perbandaran.

Seperti yang saya telah sebutkan tadi, terdapat 9 Laluan Strategik Hong Kong yang beroperasi. Ia boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut arah laluan:-


Laluan utara-selatan
  • Laluan 1 (20.7 km) - Aberdeen, Daerah Selatan Pulau Hong Kong sehingga ke Sha Tin di utara Kowloon (bertemu dengan Laluan 9 di Sha Tin). Kebanyakan jajaran adalah jalan raya arteri biasa dan bukannya lebuh raya ekspres.
  • Laluan 2 (18.8 km) - Quarry Bay di Pulau Hong Kong (bertemu dengan Laluan 4) sehingga ke Laluan 9 di Ma Liu Shui. Keseluruhan laluan terdiri daripada lebuh raya ekspres.
  • Laluan 3 (27.4 km) - Sai Ying Pun di Pulau Hong Kong (bertemu dengan Laluan 4) sehingga ke Yuen Long (bertemu dengan Laluan 9). Seperti Laluan 2, Laluan 3 terdiri daripada lebuh raya ekspres.

Laluan timur-barat
  • Laluan 4 (15.3 km) - Jalan raya pantai utara Pulau Hong Kong, dari Chai Wan ke Kennedy Town. Majoriti jajaran adalah jalan raya arteri dengan kawalan masuk separa kecuali Koridor Timur Pulau yang merupakan sebuah lebuh raya ekspres.
  • Laluan 5 (17.9 km) - Jalan raya pantai selatan Kowloon, menghubungkan antara Kowloon dan New Kowloon, sebelum bertemu dengan Laluan 9 di Tsuen Wan
  • Laluan 7 (17.3 km) - Jalan raya arteri merentasi New Kowloon, dari Tseung Kwan O sehingga bertemu dengan Laluan 5 di Kwai Chung.
  • Laluan 8 (33.1 km) - Lebuh raya ekspres yang menghubungkan antara Pulau Lantau dengan Sha Tin di Laluan 9. Lebuhraya Lantau Utara Laluan 8 ialah lebuh raya ekspres dengan had laju tertinggi di Hong Kong.
  • Laluan 10 (10.9 km) - Juga dikenali sebagai Koridor Barat Hong Kong-Shenzen, ia merupakan sebuah lebuh raya ekspres yang menghubungkan Hong Kong dengan bahagian barat Shenzen.

Laluan lingkaran
  • Laluan 9 (70.6 km) - Juga merupakan Jalan Lingkaran New Territories, ia dibina mengelilingi bahagian utara New Territories. Dengan panjang 70.6 km, ia merupakan jalan raya wilayah terpanjang di Hong Kong.

Terdapat dua laluan Lebuhraya Asia di Hong Kong, iaitu AH368 (sepanjang Laluan Strategik 8) dan AH374 (sepanjang Laluan Strategik 10, 9 dan 3).

No comments:

Post a Comment