Thursday, April 10, 2014

Sejarah Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 / Sultan Yahya Petra Bridge FT3 history



Gambar Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 sebelum bermulanya projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3
(Kredit gambar: Muhammad Ismail Ibrahim)




Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 yang asal diapit oleh sepasang jambatan baharu di sebelah kiri dan kanan, menjadikan Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 sebagai jambatan kembar tiga pertama di Malaysia. Gambar diambil ketika jambatan baharu masih dalam pembinaan.
(Kredit gambar: Nik Fauriza)


Salam sejahtara,

Dalam banyak-banyak jambatan yang ada di negeri Kelantan Darul Naim, saya sudah tentu akan menganggap Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 sebagai jambatan yang paling istimewa di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Kenapa pula saya katakan begitu...? Untuk pengetahuan anda, Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 telah mencatat banyak sejarah tersendiri sejak ia mula dibuka pada 17 April 1965 oleh Sultan Kelantan pada waktu itu iaitu Sultan Yahya Petra sendiri.

Untuk pengetahuan anda, Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 berharga RM5 juta ini merupakan jambatan jalan raya pertama yang dibina menyeberangi Sungai Kelantan, di samping menjadi jambatan paling hampir dengan delta Sungai Kelantan. Ia juga merupakan jambatan tol pertama di Malaysia sebelum Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar dan Jambatan Peserai FT5 di Batu Pahat. Ia juga dikatakan jambatan sungai terpanjang di Asia Tenggara pada ketika itu, dengan panjang keseluruhan 2,980 kaki (910 meter). Kini setelah projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua siap dibuka pada lalu lintas pada Oktober 2013, Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 kini merupakan jambatan kembar tiga pertama di Malaysia serta jalan raya bertingkat pertama di Kelantan dan Pantai Timur.

Keperluan untuk membina jambatan jalan raya pertama menyeberangi Sungai Kelantan di Kota Bharu timbul berikutan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di seberang Sungai Kelantan seperti Wakaf Bharu, Tumpat dan Pasir Mas untuk ke Kota Bharu, terutamanya ketika cuaca buruk. Namun, membina sebuah jambatan menyeberangi sebatang sungai yang sangat lebar bukannya satu kerja mudah, memandangkan jumlah penduduk Malaysia pada ketika itu hanyalah sekitar tujuh angka sahaja. Jadi, bayangkanlah betapa sedikitnya hasil cukai yang diperolehi dengan bilangan penduduk yang tidak seberapa; tambahan pula, majoriti penduduk Malaysia pada ketika itu berpendapatan rendah. Faktor sebeginilah yang tidak diambil kira oleh beberapa blog pro-pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan persekutuan menganaktirikan Kelantan yang pada masa itu secara kebetulannya dikuasai Parti Islam Se-Malaysia (Pas), sedangkan hakikat sebenarnya ialah hasil negara terlalu sedikit dan keadaan kewangan negara tidak begitu mengizinkan. Untuk pengetahuan anda, kebanyakan projek infrastruktur yang dibina pada tahun-tahun 1950an dan 1960an dibiayai pinjaman Bank Dunia. Maka, negara sudah tentu akan menjadi hamba hutang apabila hutang baharu terus dibuat tanpa sebarang langkah untuk merancakkan ekonomi negara. Sebab itulah banyak jambatan besar yang dibina pada era tersebut termasuklah Jambatan Sultan Yahya Petra FT3, Jambatan Sultan Ismail FT5 dan Jambatan Peserai FT5 dikenakan tol walaupun kesemuanya selebar 2 lorong sahaja.




Plaza Tol Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 dengan hanya dua lorong tol. Gambar ini diambil pada tahun 1967 ketika musim tengkujuh melanda Kelantan.
(Kredit gambar: Pena Muslim)


Kadar tol yang dikenakan pada Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 adalah sebanyak 50 sen sahaja, dan hanya satu sahaja pondok tol dibina di tengah-tengah laluan bagi mengutip tol bagi kedua-dua hala - atau dengan kata lain, Plaza Tol Jambatan Sultan Yahya Petra hanya mempunyai dua lorong sahaja. Jika diikutkan standard sekarang, kita pasti akan membayangkan betapa azabnya mengharungi kesesakan di plaza tol tersebut semasa musim perayaan ataupun semasa waktu sibuk (awal pagi dan lewat petang). Namun, pada zaman di mana orang kebanyakan hanya mampu memiliki basikal atau paling hebat pun sebuah motosikal Honda Cub, plaza tol kecil dengan hanya dua lorong tol dianggap memadai pada zaman tersebut.




Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 dirasmikan oleh Sultan Kelantan, DYMM Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 17 April 1965.
(Kredit gambar: Arkib Negara)


Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 17 April 1965. Namun, lama-kelamaan jambatan tersebut semakin lama semakin sesak dan tidak lagi mampu menampung aliran trafik yang sangat tinggi. Sehubungan itu, terdapat beberapa buah lagi jambatan yang dibina bagi menyeberangi Sungai Kelantan, iaitu Jambatan Tanah Merah-Machang FT4 (siap pada tahun 1988), Jambatan Pasir Mas-Salor FT130 (siap 1991) dan Jambatan Sultan Ismail Petra FT208 (siap 2003). Namun, kesemuanya masih tidak mampu untuk menangani kesesakan Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 itu sendiri, memandangkan ia merupakan satu-satunya jambatan serta laluan terpenting di Kota Bharu. Akhirnya, projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3 dimulakan pada tahun 2007 dan siap pada Oktober 2013, lewat daripada jadual asal (projek sepatutnya siap pada tahun 2009).





Projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3 turut merujuk kepada jalan raya bertingkat pertama di Kelantan dan Pantai Timur




Pemandangan jejambat Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3
(Kredit gambar: Laman Facebook Kota Bharu Bandar Raya Islam)

Kenapa projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3 siap lewat 4 tahun daripada sepatutnya...? Terdapat beberapa faktor yang menjadikan projek tersebut lambat siap. Antaranya termasuklah masalah pengambilan tanah seluas 1.3 km², sehingga menyebabkan kelewatan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) memasang kabel elektrik, kabel telefon dan paip air di sepanjang jambatan baharu tersebut. Selain itu, struktur tanah merentasi Sungai Kelantan juga menyukarkan proses penanaman cerucuk sehingga menyebabkan cerucuk yang ditanam oleh kontraktor asal tidak cukup tinggi. Sebab itulah jambatan yang baharu yang dibina di sebelah kiri dan kanan jambatan asal itu merupakan komponen projek yang paling lambat siap jika dibandingkan dengan laluan bertingkat yang dibina di atas Jalan Sultan Yahya Petra FT3. Faktor-faktor teknikal tersebut inilah yang meningkatkan kos pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua daripada RM150 juta kepada RM170 juta, 34 kali lebih mahal daripada kos pembinaan jambatan lama. Sekurang-kurangnya, projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3 dibina semasa negara semakin kaya dan makmur tanpa memerlukan bayaran tol walau sesen pun, sungguhpun kos pembinaannya jauh lebih mahal daripada jambatan lama.




Lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof ke Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua FT3 baru-baru ini pada 1 April 2014
(Kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)


Kesimpulannya, tuduhan yang mengatakan kononnya Kelantan dipinggirkan daripada arus pemodenan adalah tuduhan yang sangat semberono, dibuktikan melalui pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 itu sendiri. Kerajaan persekutuan pada asalnya tidak membina jambatan ini bukanlah kerana mahu meminggirkan Kelantan, tetapi disebabkan keadaan kewangan kerajaan persekutuan yang memang tidak begitu mengizinkan - berapa sangatlah hasil cukai yang dapat dikutip daripada penduduk Malaysia yang hanya seramai sekitar tujuh angka sahaja, yang mana majoritinya berpendapatan rendah...? Nak bina rangkaian jalan persekutuan pun terpaksa pinjam duit Bank Dunia - takkanlah nak biar hutang negara tinggi menggunung...? Namun, sekurang-kurangnya lintasan Sungai Kelantan termasyhur ini akhirnya tetap berjaya disiapkan meskipun kutipan tol terpaksa diadakan bagi memperoleh semula kos pembinaan yang dianggap sangat mahal pada ketika itu. "Pemencilan" yang didakwa itu sebenarnya hanya muncul apabila kerajaan negeri dan persekutuan terus bersengketa sehingga menyebabkan banyak dasar-dasar pembangunan yang tidak dapat dijalankan akibat perselisihan politik. Kerajaan negeri dan persekutuan seharusnya perlulah saling bekerjasama membangunkan negara secara bersama-sama dan mengetepikan segala perbezaan politik demi kesejahteraan rakyat. Sebab itulah saya amat menyanjungi kepimpinan kerajaan negeri Kelantan di bawah Dato' Ahmad Yaakob yang sanggup bersepakat dengan kerajaan persekutuan dalam memajukan negeri Kelantan, meskipun Kelantan dikuasai oleh Pas sementara kerajaan persekutuan pula dikuasai Barisan Nasional (BN). Hanya melalui kesepakatan sebeginilah yang membolehkan sesuatu dasar pembangunan dapat dijayakan dengan sempurna tanpa mengira fahaman politik.

1 comment: