Salam sejahtera,
Negara telah dikejutkan dengan insiden kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang dilaporkan hilang dalam penerbangan MH370 oleh Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing sekitar jam 2.40 pagi pada 8 Mac 2014. Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekitar jam 12.41 pagi hari yang sama dan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
Rakaman radar mengenai kedudukan pesawat sepanjang perjalanan dari KLIA sehingga terputus hubungan
Apa yang menjadi misteri dalam insiden ini ialah tiada panggilan kecemasan ke pusat kawalan trafik udara oleh juruterbang bertugas pada ketika itu. Selain itu juga, pesawat tersebut juga langsung tidak ada memancarkan sebarang isyarat kecemasan, petanda cuaca buruk ataupun masalah teknikal sebelum ia tiba-tiba hilang dari skrin radar. Apa pun, adalah tidak adil bagi menyalahkan juruterbang, pembantunya serta kru penerbangan semata-mata, kerana kapal terbang tersebut masih lagi belum ditemui. Tambahan pula, siasatan bagi sebarang insiden udara lazimnya memakan masa yang amat panjang, ada kalanya sehingga bertahun-tahun lamanya.
Sebenarnya, MAS mempunyai rekod keselamatan antara yang paling cemerlang di dunia sebagaimana yang diakui oleh Skytrax, bersama-sama Asiana Airlines, Qatar Airways, Cathay Pacific, Singapore Airlines dan Kingfisher Airlines. Hanya keenam-enam syarikat penerbangan ini sahajalah yang berjaya memperoleh penarafan penuh 5 bintang oleh Skytrax kerana rekod keselamatan yang paling cemerlang. Tambahan pula, pesawat Boeing 777-200ER yang digunakan itu juga adalah pesawat Boeing yang mempunyai rekod keselamatan terbaik, dengan hanya dua sahaja insiden udara terdahulu. Pesawat tersebut merupakan pesawat Boeing pertama yang menggunakan teknologi terbang melalui wayar, sistem pengurusan penerbangan berkomputer sepenuhnya serta direkabentuk menggunakan komputer sepenuhnya.
Apa pun, sama-samalah kita mendoakan keselamatan pesawat tersebut, juruterbang, pembantu juruterbang, kru penerbangan serta seluruh penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut. Kami di Blog Jalan Raya Malaysia turut berkongsi kesedihan bersama-sama keluarga penumpang dan kru penerbangan yang terlibat dalam Penerbangan MH370 tersebut.
Where'd You Go oleh Fort Minor - lagu ini saya tujukan khas buat seluruh ahli keluarga penumpang dan kru penerbangan MH370
No comments:
Post a Comment