Friday, March 21, 2014

Nilai-Klang Part 2: Jalan Langat FT5

Salam sejahtera,

Kembara Blog Jalan Raya Malaysia seterusnya ingin membawa anda menyelusuri dua buah bandar yang pernah menjadi ibu negeri Selangor, iaitu Jugra dan Klang. Jugra menjadi ibu negeri (dan bandar diraja) Selangor kedua selepas Kuala Selangor semasa pemerintahan Sultan Abdul Samad, manakala Klang pula menjadi ibu negeri dan bandar diraja Selangor semasa pemerintahan Sultan Sulaiman. Sungguhpun ibu negeri Selangor kemudian berpindah lagi ke Kuala Lumpur dan seterusnya Shah Alam, Klang tetap kekal sebagai ibu kota diraja Selangor kerana ia menempatkan istana rasmi Sultan Selangor. Sementara itu pula, Jugra terus lenyap begitu sahaja, meninggalkan beberapa penemuan sejarah buat tatapan generasi muda. Pusat bandar Jugra itu sendiri pun sudah lenyap dan digantikan dengan bandar Banting. Kedua-dua bandar diraja Selangor itu kini dihubungkan melalui sebatang jalan raya yang dikenali sebagai Jalan Langat FT5.

Jalan Langat FT5 membentuk sebahagian daripada sistem rangkaian jalan raya tulang belakang pantai barat Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Jalan Persekutuan 5. Jarak Banting yang begitu hampir dengan Klang iaitu cuma 34 km menyebabkan Banting turut menerima tempias pembangunan di sekitar Lembah Klang, lebih-lebih lagi setelah kerajaan persekutuan mengambil keputusan membina sebuah lapangan terbang baharu di Sepang bagi menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Ia disusuli dengan pembukaan Pelabuhan Barat di Pulau Indah yang seterusnya membawa kepada pembinaan SKVE E26. Namun, pembangunan pesat yang dialami Banting telah menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di sepanjang Jalan Langat FT5. Apa tidaknya, hanya jajaran FT5 dari bandar Klang sehingga ke pintu masuk Lebuhraya Shah Alam E5 di Exit 501 Persimpangan Pandamaran sahaja yang memang dibina sebagai jalan raya kembar. Justeru, kerajaan persekutuan mengambil keputusan untuk menaik taraf jajaran Jalan Persekutuan 5 di negeri Selangor daripada 2 lorong kepada 4 lorong, bermula dari Banting sehinggalah ke Sabak Bernam. Jajaran Klang-Banting dan Kapar-Sabak Bernam dinaik taraf terlebih dahulu, diikuti dengan jajaran terakhir dari Klang ke Kapar. Bagi jajaran Klang-Banting yang dikenali sebagai Jalan Langat FT5, kerja-kerja naik taraf kepada jalan raya kembar 4 lorong dimulakan pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2005.

Terlebih dahulu, saya mengisi minyak di stesen minyak Shell Banting. Maka, saya perlu mencari satu tempat untuk melakukan pusingan-U. Simpang tiga utama di Banting memerlukan anda membelok ke kiri untuk ke Morib dan Sepang melalui Jalan Persekutuan 5; jika anda jalan terus, kod laluan akan bertukar kepada Jalan Negeri Selangor B58 untuk ke Bukit Jugra. Anda sepatutnya tidak akan terlepas simpang ini kerana jalan raya kembar berakhir sebaik melepasi simpang tersebut. Sebaliknya, jika anda belok kiri, jalan raya kembar berterusan sehingga ke simpang jalan B123 yang membentuk sempadan bandar Banting di sebelah selatan.

Bandar Banting sememangnya bandar yang begitu sibuk dan meriah. Ia menjadi tempat lahir kepada beberapa orang atlet ternama negara seperti anak-anak Datuk Sidek (Misbun Sidek, Razif Sidek, Jalani Sidek, Rahman Sidek dan Rashid Sidek) serta pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin. Sungguhpun Banting merupakan bandar terbesar di daerah Kuala Langat, namun Banting bukanlah ibu daerah Kuala Langat; sebaliknya, ibu daerah Kuala Langat ialah Telok Datok yang terletak hanya di seberang Sungai Langat sahaja.

Dalam projek naik taraf Jalan Langat FT5 ini, Jambatan Banting yang asal dirobohkan dan digantikan dengan jambatan baharu. Jambatan lama yang cuma selebar 2 lorong itu terlalu sempit dan tidak lagi mampu untuk menampung jumlah kenderaan yang berulang-alik dari Banting ke Klang. Jambatan baharu itu dibina sebagai jambatan kembar 4 lorong serta ditinggikan dengan kecerunan lebih kurang 6% untuk melindunginya daripada banjir. Jambatan yang ditinggikan itu juga membolehkan pusingan-U dibina untuk membolehkan pengguna jalan raya berpatah balik ke Banting atau Telok Datok.

Ibu daerah Langat yang sebenar terletak di Telok Datok. Namun, saiz pekan Telok Datok yang begitu kecil itu menyebabkan ia dibayangi bandar Banting yang lebih besar serta sering dianggap sebagai sebahagian bandar Banting. Di situlah terletaknya penamat bagi Jalan Persekutuan 31 dari Banting ke Semenyih, yang asalnya merupakan Jalan Negeri Selangor B18 sebelum ia diwartakan semula sebagai sebuah jalan persekutuan. Simpang masuk ke FT31 sebenarnya ada satu sahaja; "simpang kedua" yang terletak tidak jauh daripada simpang pertama itu sebenarnya ialah Jalan Negeri Selangor B69 yang pendek sahaja. Asalnya, laluan dari Banting ke FT31 merupakan satu laluan lurus, tetapi ia kemudiannya diubahsuai untuk keterusan trafik (traffic continuity) bagi Jalan Persekutuan 5.

Keseluruhan Jalan Langat FT5 dinaik taraf sebagai jalan raya kembar 4 lorong serta menggunakan pengadang jalan keluli sebagai pembahagi jalan. Memandangkan terdapat banyak pekan dan kampung di sepanjang laluan, banyak pusingan-U dibina bagi membolehkan pengguna berpatah balik ke arah bertentangan.

Pekan seterusnya yang dilalui ialah pekan Jenjarom. Jenjarom sebenarnya terdiri daripada sebuah pekan dan sebuah kampung yang terletak sebelah-menyebelah yang berkongsi nama yang sama. Pekan Jenjarom terletak di simpang lampu isyarat B243/B126 manakala Kampung Jenjarom terletak di B126, tidak sampai 1 km dari pekan.Jenjarom.

Simpang masuk ke SKVE E26 melalui Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang terletak tidak jauh daripada Jenjarom. Jika diikutkan, Exit 2609 lebih hampir ke arah Jenjarom daripada Telok Panglima Garang, tapi kenapa pula Telok Panglima Garang yang mendapat nama...? Sudah tentulah kerana saiz Telok Panglima Garang yang lebih besar. Tambahan pula, terdapat sebuah kawasan perindustrian utama di situ. Maka, tidak hairanlah kenapa pembinaan SKVE E26 amat penting bagi perkembangan industri di Telok Panglima Garang. Namun, sebelum memasuki Telok Panglima Garang, terdapat sebuah bulatan kecil sebaik melalui bawah jejambat SKVE E26 Seksyen 3 yang hanya selebar 2 lorong sahaja. Bulatan itulah jalan masuk ke Pulau Carey.

Saya memasuki daerah Klang ketika perjalanan berbaki 11 km sebaik sahaja melepasi simpang Batu 7 Sijangkang. Projek naik taraf Jalan Langat FT5 berakhir di Exit 501 Persimpangan Pandamaran yang menjadi penghujung Lebuhraya Shah Alam E5 kerana baki jajaran seterusnya ke Klang memang sudah sedia dibina sebagai jalan raya kembar. Ia dapat dibuktikan dengan pokok-pokok yang tumbuh tinggi di pembahagi jalan. Maka, Exit 501 secara tidak langsung membentuk sempadan bandar Klang di sebelah selatan.

Langit sudah mulai gelap, menandakan hujan ribut petir akan turun pada bila-bila masa jika saya lambat. Maka, tidak banyak mercu tanda utama yang dapat diambil gambarnya untuk dikongsi bersama kecuali Aeon Bukit Tinggi yang terletak betul-betul selepas Exit 501 serta simpang Jalan Bukit Kemuning FT190.

Jalan Langat FT5 berakhir secara rasminya di Bulatan Simpang 5 yang dihubungkan dengan Persiaran Raja Muda Musa FT2 dan Jambatan Kota FT2/FT5. Seterusnya, Jalan Persekutuan 5 bertindih dengan Jalan Persekutuan 2 sejauh 1 km bermula dari Bulatan Simpang 5 sehingga ke Bulatan Pusat Bandar Klang. Sebuah jejambat baharu dibina merentasi bulatan tersebut bagi membolehkan pengguna jalan raya untuk terus ke Lebuhraya Persekutuan FT2 tanpa melalui bulatan. Namun, jika anda ingin meneruskan perjalanan ke Kapar dan Kuala Selangor melalui Jalan Persekutuan 5, anda perlu memasuki Bulatan Pusat Bandar Klang (jangan naik jejambat) sebaik sahaja selepas Jambatan Kota, kerana ia merupakan penamat pertindihan laluan FT5 dengan FT2.

Ikuti bahagian akhir jelajah Nilai-Klang bagi mengetahui sejarah lintasan Sungai Klang di bandar Klang.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Simpang tiga utama di Banting yang melencongkan FT5 ke kiri jika anda hendak ke Sepang dan Pantai Morib dari arah Klang






Suasana bandar Banting yang sibuk






Bahagian bawah Jambatan Banting kini dijadikan taman rekreasi






Simpang sebenar ke Jalan Persekutuan 31 untuk ke Dengkil, Semenyih dan Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 di Telok Datok...






...manakala simpang kedua ini pula sebenarnya merupakan jalan pendek B69 yang juga berakhir di FT31






Jalan Langat FT5 dibina sebagai jalan raya kembar sepanjang 34 km perjalanan tanpa bahu jalan keras






Pekan Jenjarom






Simpang masuk ke SKVE E26 melalui Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang






Bulatan ke Pulau Carey - ambil pusingan pukul tiga (belok kanan) untuk meneruskan perjalanan ke Klang






Pekan Telok Panglima Garang






Memasuki daerah Klang ketika perjalanan berbaki 11 km






Exit 501 Persimpangan Pandamaran ke Lebuhraya Shah Alam E5






Aeon Bukit Tinggi






Simpang ke Jalan Bukit Kemuning FT190






Penghujung Jalan Langat FT5 di Bulatan Simpang 5 di Klang






Nak ikut jalan mana ke Kapar dan Kuala Selangor melalui FT5...? Ikut sahaja arah pukul 12






FT5 bertindih dengan FT2 sejauh 1 km di sepanjang Jalan Jambatan Kota FT2/FT5






Untuk meneruskan perjalanan ke Kapar dan Kuala Selangor melalui FT5, jangan naik jejambat - sebaliknya, keluar ke Bulatan Pusat Bandar Klang






Bulatan Pusat Bandar Klang dari arah Jalan Pos Baru. Jika anda datang dari arah Bulatan Simpang 5, ambil pusingan pukul 10 untuk ke Kapar dan Kuala Selangor melalui FT5

No comments:

Post a Comment