Thursday, March 27, 2014

Honda City generasi keenam selamat dilancarkan / Sixth-generation Honda City had been launched

Salam sejahtera,

Generasi keenam Honda City telah selamat dilancarkan di pasaran Malaysia pada 20 Mac 2014 oleh Honda Malaysia. Pelancaran Honda City 2014 kali ini boleh disifatkan sebagai pencabar Toyota Vios dalam erti kata sebenar, berikutan sebegitu banyak varian yang diperkenalkan, tidak seperti beberapa generasi terdahulunya yang tidak mempunyai banyak pilihan yang bersesuaian dengan bajet bakal pembeli. Malaysia adalah pasaran ketiga yang melancarkan Honda City generasi keenam ini selepas India dan Thailand.

Sempena persediaan bagi menyambut pelancaran model terbaru Honda City 2014 di Malaysia, Honda Malaysia turut mengadakan pameran jelajah di beberapa buah pusat beli-belah terpilih bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri Honda City 2014 dengan lebih dekat sebelum majlis pelancaran rasmi diadakan. Dalam masa yang sama, tempahan awal bagi City 2014 turut dibuka. Saya turut berpeluang melihatnya sendiri di The Curve, Mutiara Damansara pada penghujung bulan lalu semasa ia dipamerkan di sana.

Sebanyak empat varian dihasilkan bagi generasi keenam City ini, iaitu Gred S, S+, E dan V, dengan harga bermula daripada RM75,800 bagi Gred S sehingga RM90,800 bagi Gred V. Penghasilan sebegitu banyak varian bagi generasi keenam kali ini jelas menampakkan bahawa Honda benar-benar serius mahu merampas kedudukan sebagai kereta subpadat terlaris daripada seteru ketatnya merangkap penyandang gelaran sekarang iaitu Toyota Vios.

Terus-terang saya katakan bahawa Gred V adalah varian yang paling berbaloi untuk dimiliki. Ia dilengkapi enam biji beg udara (pertama kali seumpamanya dari kalangan kereta subpadat), lampu kabut, sistem navigasi GPS berserta unit multimedia dengan lapan biji pembesar suara, dua port USB dan satu port HDMI, pengawal luncur, penyaman udara kawalan panel sentuh, salur penyaman udara di belakang, rim sport 16 inci serta butang penghidup tekan - semuanya pada harga hanya RM90,800 sahaja. Ia bukan sahaja jauh lebih murah daripada varian termahal Toyota Vios generasi ketiga, malah ia dilengkapi sebegitu banyak ciri-ciri istimewa, termasuklah beberapa ciri yang selama ini sering dikaitkan dengan kereta-kereta mewah, seperti salur penyaman udara di belakang. Harga sebegini juga lebih murah daripada Honda City Gred E generasi kelima.

Jika dibandingkan pula dengan Gred S selaku varian termurah, City Gred S pula kelihatan cikai - maksud saya, terlalu cikai. Ia tidak menggunakan radio bersepadu tetapi sebaliknya sekadar menggunakan sebuah radio DIN tunggal jenama Alpine yang juga dilengkapi port USB. Itu masih boleh diterima lagi, kerana sebelum ini Toyota memang pernah menggunakan radio DIN tunggal pada Vios J generasi kedua (Vios J generasi ketiga pula menggunakan radio 2-DIN). Namun, apa yang tidak boleh diterima ialah City Gred S kali ini berharga RM75,800 tetapi hanya menggunakan rim keluli berpenutup, sedangkan Honda Jazz CKD pula dijual RM1,000 lebih murah pula bukan sahaja lengkap dengan rim sport dan radio bersepadu, tetapi juga dilengkapi dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)...!!! Dengan spesifikasi sebegitu, City Gred S boleh dianggap sebagai "Honda City SV" yang kelengkapannya lebih kurang sama seperti Proton Saga SV tetapi dengan harga yang lebih 2 kali ganda lebih mahal daripada Saga SV. Dalam keadaan seperti itu, harga City Gred S sepatutnya diturunkan kepada paling mahal pun sekitar RM70,000 sahaja.

Selain harga yang tidak setimpal, satu lagi kritikan saya terhadap model-model varian rendah City ialah panel meternya yang nampak terlalu kosong dan tidak menarik, berbeza dengan meter bagi Gred E dan Gred V dengan warna latar biru yang nampak cantik. Malah, saya boleh katakan bahawa meter Perodua Viva dan Proton Saga FLX pun jauh lebih cantik daripada meter Honda City Gred S dan S+ yang menggunakan warna jingga. Jika dibandingkan, meter Proton Exora pun sebenarnya nampak kosong dan rata, tetapi sekurang-kurangnya Proton pandai bermain-main dengan skema warna bagi menjadikan meter tersebut kelihatan cantik dan tidak membosankan.

Kritikan saya yang ketiga pula ialah ketiadaan paddle shifter walaupun pada varian termahal. Kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua orang yang sukakan kotak gear CVT seperti yang dipasang pada Honda City baru ini. Sungguhpun CVT sangat cekap menggunakan bahan api sehinggakan kecekapannya boleh jadi lebih baik daripada transmisi manual, namun CVT tiada shift shock semasa digunakan, menjadikan timbul persepsi kononnya CVT lembab dsb. Sebab itulah paddle shifter sangat penting kerana pemandu boleh memasuki mod manual pada bila-bila masa sahaja bagi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Selain itu, paddle shifter sangat berguna semasa memandu di jalan raya pergunungan yang banyak memerlukan gear diturunkan, kerana sistem logik kecerunan tidak semestinya berfungsi pada setiap masa. Jika dibandingkan, Honda City i-DSi dan VTEC kedua-duanya mempunyai paddle shifter bagi menukar gear kepada tujuh nisbah gear maya. Pada City generasi kelima pula, hanya Gred E yang mempunyai paddle shifter. Keputusan Honda Malaysia untuk menggugurkan paddle shifter daripada mana-mana varian City generasi keenam pastinya mengecewakan peminat automotif; tambahan pula, model sama di Thailand ada menawarkan ciri paddle shift pada varian termahal. Mujurlah pengumuman pengeluaran Honda City Hybrid yang bakal menggunakan sistem hibrid motor tunggal Earth Dreams terbaru dengan kotak gear berjujukan dwiklac automatik sedikit-sebanyak melegakan para peminat automotif, sekaligus menjanjikan Honda City Hybrid sebagai antara kereta hibrid paling seronok untuk dipandu selepas Honda CR-Z model transmisi manual.

Kritikan yang keempat pula ialah penggunaan brek gelendong belakang bagi menggantikan brek cakera belakang sebelum ini. Saya sendiri tidak ada nampak akan rasional penggunaan brek gelendong belakang ini, memandangkan enjin L15A7 dari City generasi terdahulu itu merupakan enjin 1.5 liter paling berkuasa dalam kelasnya. Maka, ia sudah tentu memerlukan sistem brek yang lebih cekap dan lebih bagus. Alasan pengurangan kos tidak boleh diterima sama sekali, kerana Proton Persona SV sekalipun menggunakan brek cakera hadapan dan belakang meskipun harganya menjadi lebih murah.

Sungguhpun kali ini saya banyak mengkritik City 2014 ini, ia bukanlah bermakna City generasi keenam ini teruk. Sebenarnya, ada banyak perkara yang patut saya puji mengenai kereta ini. Pertama, pilihan varian yang sebegitu banyak (ada lima kesemuanya jika dikira sekali Honda City Hybrid yang bakal dikeluarkan penghujung tahun ini) menunjukkan keseriusan Honda untuk merampas kembali takhta kereta subpadat bukan nasional terlaris daripada Toyota Vios. Selain itu, pakej harga yang ditawarkan bagi dua varian termahal (Gred V dan S) juga adalah yang terbaik dan berbaloi untuk wang anda. Ia turut menawarkan beberapa ciri yang selama ini hanya ada pada kereta-kereta yang lebih mewah seperti salur penyaman udara belakang, soket 12 volt di belakang serta panel kawalan sentuh bagi unit GPS dan penyaman udara. Di samping itu, Honda City generasi keenam merupakan satu-satunya kereta sedan segmen B yang menawarkan sehingga enam biji beg udara (Vios pula hanya menawarkan 2 biji beg udara walaupun pada varian termahal). Dari segi prestasi pula, City masih menggunakan enjin L15A7 SOHC i-VTEC yang terbukti paling berkuasa dalam kelasnya dengan kelajuan maksimum kekal 190 km/j seperti pendahulunya walaupun ia kini menggunakan CVT. Tambahan pula, penggunaan CVT kali ini meningkatkan kadar penjimatan bahan api daripada 15.3 km/L pada generasi kelima kepada 17.5 km/L pada model terbaharu ini (dakwaan Honda; saya sebenarnya berupaya memperoleh sehingga 20 km/L pada City generasi kelima milik adik saya, jadi saya boleh jangkakan angka-angka yang lebih baik pada model terbaharu ini). Paling penting, Honda City 2014 kali ini turut didatangkan dengan varian hibrid yang dijangkakan bakal dikeluarkan sebagai model CKD (pemasangan tempatan) pada penghujung tahun ini.

Kesimpulannya, meskipun pelancaran City kali ini membuktikan keseriusan Honda dalam usaha merampas kedudukan selaku kereta subpadat terlaris di Malaysia daripada Toyota. Namun, masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki terlebih dahulu agar dapat menarik minat bakal pembeli. Oleh itu, Honda Malaysia perlu menangani segala kelemahan yang ada pada model kali ini untuk menjadikan pengalaman memiliki City 2014 sebagai satu pengalaman yang sangat berbaloi dengan wang yang dilaburkan untuk memilikinya.

Laman web rasmi: http://www.honda.com.my


Spesifikasi Honda City 1.5 2014

Enjin: L15A7 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.5 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,497 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.3:1
Kuasa kuda: 120 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 N-m @ 4,600 rpm
Jarak roda: 2,600 mm
Berat kering: 1,075-1,106 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Akhirnya Honda benar-benar serius mahu berentap dengan Toyota bagi merampas takhta kereta segmen B bukan nasional terlaris di Malaysia, dengan mengeluarkan lebih banyak varian
  2. Pakej harga bagi Gred V adalah yang paling berbaloi dengan sebegitu banyak ciri ditawarkan, diikuti dengan Gred E
  3. VSA dijadikan ciri standard bagi Gred E dan V, dan varian termahal turut mendapat 6 biji beg udara
  4. Salur penyaman udara di belakang serta kawalan penyaman udara jenis panel sentuh
  5. 8 biji pembesar suara bagi kepuasan sistem audio maksimum
  6. Enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya serta terbukti sangat jimat minyak kini jadi semakin jimat
  7. Ada varian hibrid yang bakal menjadi antara kereta hibrid paling seronok untuk dipandu
Apa yang saya tidak suka
  1. Sementara Gred E dan V sangat berbaloi untuk dimiliki dengan sebegitu banyak ciri yang diterapkan, varian berspesifikasi rendah pula terlalu cikai - varian yang kelengkapannya boleh dibandingkan dengan Saga SV dijual pada harga lebih 2 kali ganda Saga SV
  2. Rekaan panel meter City Gred S dan S+ terlalu kosong dan sangat membosankan
  3. Tiada paddle shifter walaupun pada varian termahal - lebih baik tunggu Honda City Hybrid jika mahukan paddle shifter
  4. Pemilihan brek yang tidak sepadan - enjin paling berkuasa dalam kelasnya tetapi hanya dipadankan dengan brek gelendong belakang yang kurang kuat kuasa membreknya berbanding brek cakera







Pandangan bahagian hadapan






Pandangan bahagian belakang






Pandangan bahagian dalaman. Honda City Gred V menggunakan unit multimedia GPS dan penyaman udara kawalan sentuhan...






...manakala Gred E dan Gred S+ pula menggunakan radio bersepadu serta penyaman udara kawalan manual...






...sementara Gred S pula sekadar menggunakan radio DIN tunggal jenama Alpine dengan port USB serta penyaman udara kawalan manual






Panel meter bagi Honda City Gred V dan E sangat cantik dengan warna tema putih dan biru berserta cahaya latar biru atau hijau bagi "melatih" gaya pemanduan jimat bahan api...






...manakala panel meter City Gred S+ dan S pula kelihatan terlalu cikai, terlalu kosong dan terlalu membosankan






Honda City Gred V menggunakan rim sport 16 inci...






...manakala Gred E dan S+ pula didatangkan dengan rim sport 15 inci...






...tetapi Gred S pula menggunakan rim keluli berpenutup yang nampak terlalu cikai dan tidak setimpal dengan harganya
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

No comments:

Post a Comment