Tuesday, February 25, 2014

Pertunjukan jalanan Honda City 2014 / 2014 Honda City road show

Salam sejahtera,

Generasi keenam Honda City akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada pertengahan bulan Mac ini setelah ia dilancarkan di India dan Thailand. Ia dikeluarkan sebagai pengganti kepada City generasi kelima yang sudah pun berusia lima tahun. Bagi menyambut pelancaran model serba baharu tersebut, Honda Malaysia mula membuka tempahan awal bagi City generasi keenam dan seterusnya mempamerkannya di beberapa lokasi terpilih bermula 22 Februari sehingga 12 Mac ini.

Saya berkesempatan pergi ke The Curve, Muiara Damansara untuk melihatnya dengan lebih dekat. Jika dibandingkan dengan Toyota Vios 2013, saya lebih teruja menantikan pelancaran Honda City 2014 kerana model tersebut diterapkan dengan sebegitu banyak ciri baharu, menjadikan penantian saya sangat berbaloi.

Apa ciri-ciri baharu yang bakal ditampilkan dalam City 2014 ini...? Honda Malaysia memaparkan satu teaser di laman sesawang mereka bagi merumuskan ciri-ciri baharu tersebut. Pertama, ia dilengkapi mod Econ yang dijadikan ciri standard dalam kesemua model kereta Honda yang lebih baharu, bermula dengan Honda Insight, yang mengaktifkan satu pemetaan penyalaan palam pencucuh dan pancitana bahan api yang menjanjikan penjimatan bahan api maksimum dengan mengorbankan sedikit prestasi. 

Kedua, ia menggunakan enjin L15A7 1.5 liter 16 injap SOHC i-VTEC yang digandingkan dengan transmisi CVT. Sebenarnya, enjin yang digunakan adalah sama sahaja seperti pada generasi kelima City, tetapi ia ditala semula untuk digandingkan dengan kotak gear CVT teknologi Earth Dreams baharu. Sebelum ini, Honda memang pernah menggunakan CVT bagi generasi keempat City yang dikeluarkan dari tahun 2003 hingga 2008, tetapi ia dihantui masalah kebolehpercayaan berikutkan kerosakan kotak gear yang sebenarnya berpunca daripada kecuaian segelintir mekanik di beberapa pusat servis yang menggunakan bendalir transmisi automatik konvensional dan bukannya bendalir CVT khas yang sepatutnya digunakan. Akibat isu tersebut, City generasi kelima menggunakan transmisi automatik 5 kelajuan. Pada masa itu, City merupakan kereta transmisi automatik yang menawarkan paling banyak bilangan kelajuan sehinggalah ia dipotong oleh beberapa saingannya seperti Kia Forte yang beralih daripada transmisi automatik 4 kelajuan kepada 5 kelajuan. Tambahan pula, Proton Saga FLX sendiri pun sudah mula berhijrah kepada penggunaan CVT yang menyaksikan kereta tersebut berjaya mengalahkan City dari segi penjimatan bahan api. Ia sekaligus memberi petunjuk yang baik bahawa CVT kini semakin diterima ramai yang semakin boleh dipercayai. Ia sekaligus memberi keyakinan baru kepada Honda untuk kembali menggunakan transmisi CVT dengan membangunkan kotak gear baharu tersebut sebagai sebahagian daripada teknologi Earth Dreams. Maka, jika saya berupaya memperoleh rekod penggunaan bahan api 20 km/L pada City 2009, saya percaya saya boleh memperoleh rekod lebih baik pada City 2014 nanti.

Honda City 2014 bakal memasang enam biji beg udara pada varian termahalnya, menjadikan City sebagai kereta subpadat pertama seumpamanya yang dilengkapi enam beg udara. Selain itu, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) menjadi ciri standard yang diterapkan dalam kesemua varian walaupun pada varian termurah. Jika dibandingkan dengan Toyota Vios, Vios hanya dilengkapi dua biji beg udara dan langsung tiada Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), walaupun pada varian paling mahal.

Dari segi sistem audio pula, pembeli Honda City 2014 akan mendapat sama ada radio bersepadu biasa yang turut dilengkapi Bluetooth bagi kawalan bebas tangan telefon bimbit, ataupun panel multimedia LCD 7 inci yang turut dilengkapi sistem navigasi GPS, bergantung kepada varian. Bunyi disalurkan kepada 8 biji pembesar suara - banyaknya! Jika dibandingkan, City 2009 dilengkapi empat pembesar suara dan bunyinya sahaja sudah cukup sedap, jadi City 2014 pastinya memberikan lebih kepuasan kepada pencinta sistem audio seperti saya. Siaran radio ditangkap oleh antena baharu berbentuk sirip jerung yang mula dipopularkan oleh BMW bagi menggantikan antena jenis sengat lebah yang digunakan pada generasi terdahulu.

Selain itu, terdapat beberapa ciri baharu yang menjadikan City generasi keenam ini lebih mewah. Ia dilengkapi salur penyaman udara di belakang yang selama ini hanya dilengkapi pada kereta-kereta yang lebih mewah, menjadikannya kereta segmen B pertama dilengkapi ciri tersebut. Penyaman udara dikawal sama ada menggunakan tombol-tombol kawalan manual (bagi varian yang lebih murah) ataupun kawalan panel sentuh (bagi varian yang lebih mahal). Butang penghidup tekan serta kemasukan pintar turut diterapkan dalam City 2014, tetapi kemungkinan besar ia hanya ditawarkan pada varian termahal sahaja. Ia turut dilengkapi Isofix bagi memudahkan pemasangan kerusi bayi.

Jika dilihat dari segi reka bentuk luarannya, City generasi keenam ini kelihatan lebih kecil sedikit daripada generasi kelima. Sungguhpun demikian, ruang butnya pula ditingkatkan kepada 536 L daripada 506 L pada generasi kelima, lebih kurang sama dengan saiz but kereta Proton Preve yang lebih besar. Lampu hadapan City 2014 mempunyai reka bentuk hampir sama seperti Civic 2012, tetapi bezanya ialah Honda kembali menggunakan lampu isyarat membelok di penjuru berbanding lampu isyarat membelok di sebelah gril radiator yang digunakan pada City 2009 dan Civic 2012. Secara peribadinya, saya lebih menyukai rekaan lampu isyarat membelok di penjuru berbanding di sebelah gril radiator kerana ia lebih besar, lebih terang dan lebih jelas kelihatan.

Akhir sekali, City 2014 didatangkan dalam empat varian berbeza, iaitu gred S (paling murah), S+, E dan V (paling mahal). Buat masa ini harganya masih belum diketahui, tetapi masih dalam lingkungan RM80-95 ribu.

Adik saya memiliki sebuah kereta Honda City generasi kelima yang dibelinya pada Mac 2010. Saya begitu teruja untuk menantikan pandu uji eksklusif City generasi keenam untuk melakukan perbandingan dengan generasi terdahulunya itu. Oleh itu, nantikanlah pandu uji eksklusif hanya di Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Laman web rasmi: http://www.honda.com.my


Spesifikasi Honda City 1.5 2014

Enjin: L15A7 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.5 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,497 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.3:1
Kuasa kuda: 120 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 N-m @ 4,600 rpm
Jarak roda: 2,600 mm
Berat kering: 1,075-1,106 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Akhirnya Honda benar-benar serius mahu berentap dengan Toyota bagi merampas takhta kereta segmen B bukan nasional terlaris di Malaysia, dengan mengeluarkan lebih banyak varian
  2. Pakej harga bagi Gred V adalah yang paling berbaloi dengan sebegitu banyak ciri ditawarkan, diikuti dengan Gred E
  3. VSA dijadikan ciri standard bagi Gred E dan V, dan varian termahal turut mendapat 6 biji beg udara
  4. Salur penyaman udara di belakang serta kawalan penyaman udara jenis panel sentuh
  5. 8 biji pembesar suara bagi kepuasan sistem audio maksimum
  6. Enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya serta terbukti sangat jimat minyak kini jadi semakin jimat
  7. Ada varian hibrid yang bakal menjadi antara kereta hibrid paling seronok untuk dipandu
Apa yang saya tidak suka
  1. Sementara Gred E dan V sangat berbaloi untuk dimiliki dengan sebegitu banyak ciri yang diterapkan, varian berspesifikasi rendah pula terlalu cikai - varian yang kelengkapannya boleh dibandingkan dengan Saga SV dijual pada harga lebih 2 kali ganda Saga SV
  2. Rekaan panel meter City Gred S dan S+ terlalu kosong dan sangat membosankan
  3. Tiada paddle shifter walaupun pada varian termahal - lebih baik tunggu Honda City Hybrid jika mahukan paddle shifter
  4. Pemilihan brek yang tidak sepadan - enjin paling berkuasa dalam kelasnya tetapi hanya dipadankan dengan brek gelendong belakang yang kurang kuat kuasa membreknya berbanding brek cakera







Pandangan bahagian belakang






Bahagian dalaman Honda City 2014 - radio jenis bersepadu ini menunjukkan bahawa varian yang dipamerkan ini adalah jenis varian lebih rendah






Honda kembali menggunakan lampu isyarat membelok di penjuru berbanding bersebelahan gril radiator pada generasi sebelumnya






Pandangan hadapan - cahaya silau matahari menjejaskan pemandangan






Biarlah papan sepanduk ini merumuskan ciri-ciri baharu yang diterapkan dalam Honda City 2014






Pandangan tepi - lampu isyarat membelok sisi yang dipasang pada cermin sisi ini lebih kurang sama seperti Honda Accord 2013






Antena sirip jerung bagi menggantikan antena jenis sengat lebah






Pandangan dalaman dari bahagian pemandu - sekali lagi cahaya matahari menjejaskan pemandangan

No comments:

Post a Comment