Saturday, February 22, 2014

Misteri kehilangan minyak enjin motosikal Modenas terjawab! / Mystery of engine oil loss in Modenas motorcycles solved!



"Misteri" kehilangan minyak enjin motosikal Modenas selalunya disebabkan oleh kebocoran pada pengedap minyak pada aci pacu (A) ataupun aci injak gear (B)


Salam sejahtera,

Satu isu utama yang sering dihadapi pemilik motosikal Modenas (terutamanya Modenas Kriss 110 / CT110 dan Xcite 130 / GT128) ialah "misteri" kehilangan minyak enjin tanpa disedari, sehingga memerlukan pemiliknya menambah aras minyak enjin setiap kali perjalanan jauh. Kehilangan minyak enjin tanpa disedari pemilik motosikal tersebut sering dianggap sebagai satu "misteri", kerana biasanya kes kehilangan minyak enjin selalunya berpunca daripada gelang-gelang omboh yang sudah haus, yang boleh dikesan melalui asap berwarna kelabu kebiruan hasil pembakaran minyak enjin yang meresap masuk ke dalam kebuk pembakaran. Namun, bagi kes Modenas pula, gelang-gelang omboh tidak pula haus, maka sudah tentulah tiada asap kelabu kebiruan yang terhasil. Jadi apa punca sebenar misteri kehilangan minyak enjin tersebut...?

Baru-baru ini, Modenas telah menjawab mengenai punca misteri kehilangan minyak enjin tersebut melalui laman Facebook mereka. Menurut Modenas, punca utama kepada misteri tersebut ialah kebocoran pada pengedap minyak (oil seal) pada aci pacu (A; yang turut menggerakkan gegancu hadapan) serta pada aci injak gear (B). Anda mungkin tidak akan dapat mengesan kesan lelehan minyak enjin yang bocor melalui aci pacu, kerana minyak enjin yang meleleh keluar melalui aci pacu ini kemudiannya akan meleleh ke gegancu dan rantai, menyebabkan rantai motosikal sentiasa dibasahi minyak walaupun anda sudah lama tidak meminyakkannya. Jika dibiarkan berterusan, besar kemungkinan ia akan menyebabkan enjin kejang kerana kurang minyak enjin yang sampai ke bahagian-bahagian penting, sekaligus memerlukan kerja baik pulih penuh (full overhaul).

Jadi bagaimana hendak mengatasi masalah ini...? Jika anda mendapati aras minyak enjin motosikal anda asyik kurang walaupun sudah banyak kali anda menambah aras minyak enjin, cuba periksa warna asap ekzos motosikal anda. Jika asap kelabu kebiruan terhasil, maka ia bermakna gelang omboh enjin motosikal anda sudah haus dan perlu ditukar. Namun, sekiranya tiada asap terhasil, berkemungkinan ia memang berpunca daripada pengedap minyak tersebut. Maka, ia memerlukan anda untuk menukar pengedap minyak bagi kedua-dua aci pacu dan aci injak gear.

Diharap panduan sebegini sedikit-sebanyak berupaya membantu para pemilik Modenas yang sering dihantui "misteri" kehilangan minyak enjin. Oleh itu, jangan panik dan jangan sekali-kali membiarkan diri anda diselubungi "misteri"... (gaya Misteri Nusantara).

No comments:

Post a Comment