Monday, March 2, 2015

Fiasco lorong motosikal berterusan / The motorcycle lane fiasco continues




Salam sejahtera,

Baru-baru ini, seorang wartawan Harian Metro dikecam di laman sosial mereka sendiri apabila menulis mengenai isu penunggang motosikal enggan menggunakan lorong motosikal dengan nada berat sebelah. Malah, saya sendiri pun berasa amat marah akan penulisan wartawan tersebut yang saya sifatkan sebagai mencabuli etika kewartawanan - tambahan pula, wartawan lain yang menulis mengenai isu sama di Berita Harian pula menulis dari pandangan yang lebih neutral dengan mengambil kira suara daripada golongan penguatkuasa dan pengguna lorong motosikal itu sendiri. Berang akan liputan berat sebelah oleh wartawan bernama Naquikamil Abdullah itu, saya mengecam sekeras-kerasnya akan laporan tersebut pada kemaskini status peribadi saya. Saya tahu saya memang agak emosional pada waktu itu, tetapi harus diingat bahawa aspek keselamatan dan nyawa penunggang motosikal semasa menggunakan lorong motosikal tidak boleh dikompromi sama sekali.

Saya cuba mendapatkan pendapat Encik Lando Zawawi selaku jurucakap kumpulan motosikal Ikatan Persaudaraan Brotherhood, tetapi beliau kurang setuju akan isu lorong motosikal ini. Pada pandangan beliau pula, mereka menggalakkan penggunaan lorong motosikal demi keselamatan nyawa penunggang. Tambahan pula, beliau berpendapat salah satu sebab penunggang motosikal enggan menggunakan lorong motosikal adalah kerana mahu mengelak sekatan jalan raya di plaza tol. Beliau sendiri merupakan pengguna setia lorong motosikal, walaupun menggunakan motosikal Honda Gold Wing seberat lebih 362 kg. Beliau berpendapat semua penunggang perlu mendapat layanan adil dan sama ada, tidak kiralah penunggang motosikal kapcai, skuter, scrambler, naked, cruiser, cafe racer, superbike sehinggalah kepada sebesar-besar Honda Gold Wing sekalipun. Bagaimanakan beliau memperoleh keyakinan yang sebegitu tinggi ini...? Ia berikutan kejayaan kumpulan beliau menangkap sendiri ketua sindiket menabur paku di lorong motosikal.

Sementara itu, kemas kini status saya itu mendapat perhatian wartawan automotif terkemuka, Hezeri Samsuri, yang turut berkongsi pengalaman beliau menggunakan lorong motosikal yang disifatkan banyak berjasa kepada beliau sejak zaman universiti. Walaupun beliau juga berpendapat bahawa motosikal tetap perlu menggunakan lorong motosikal yang dikhaskan, namun beliau tetap mengakui bahawa ada lorong motosikal yang jauh lebih teruk daripada lorong-lorong di Lebuhraya Persekutuan FT2, iaitu lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam E5. Tidak seperti lorong-lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 yang pada beliau masih decent, lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam E5 pula "direka oleh seorang jurutera yang merasakan motosikal itu boleh melakukan pusingan 90 darjah" - dengan kata lain, lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam E5 memang mengalami isu reka bentuk kejuruteraan yang teruk kerana direka oleh seorang jurutera yang merekabentuk lorong motosikal menggunakan pembaris dan sesiku L sahaja. Tidak hairanlah kenapa lorong motor Lebuhraya Kesas E5 jauh lebih teruk...!!!

Atas saranan Hezeri Samsuri, saya kini merancang untuk mencari masa yang sesuai untuk mengambil gambar di ketiga-tiga lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Guthrie E35 serta membuat perbandingan antara ketiga-tiganya tentang lorong motor manakah yang paling OK dan yang paling teruk. Misi sebegini tidak boleh dijalankan dengan menunggang Suzuki Belang R150 kerana bimbang saya berkemungkinan menjadi mangsa samun seterusnya - sebaliknya, ia hanya sesuai dijalankan setelah motosikal Honda Wave Ultimo saya siap diperbaiki. Sebelum saya sendiri memulakan misi sebegini, saya ingin menjemput para pembaca sekalian untuk menjadi mata dan telinga saya - ambil gambar keadaan di lorong motosikal dan kongsikan di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia (kalau boleh, sila tag lokasi gambar tersebut menggunakan GPS telefon pintar).

Tujuan saya menulis mengenai lorong motosikal ini bukanlah untuk mengajak para penunggang motosikal agar tidak menggunakan lorong motosikal. Sebaliknya, saya lantang menulis mengenainya kerana tidak mahu isu-isu berkaitan keselamatan pengguna lorong motosikal terus menjadi penyebab masih ramai penunggang motosikal yang enggan menggunakannya. Piawaian lorong motosikal perlu dikaji semula oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Pihak berkuasa pula seharusnya menggunakan pendekatan mesra penunggang motosikal dengan mengadakan kempen-kempen pendidikan bagi menggalakkan pengguna motosikal dan bukannya terus menggunakan pendekatan saman semata-mata. Kita mahu pengguna motosikal suka menggunakan lorong motosikal kerana berasa selamat dan tenteram tanpa ancaman jenayah, dan bukannya menggunakan lorong motor disebabkan terpaksa. Akhir sekali, Blog Jalan Raya Malaysia menyokong penuh inisiatif penambahbaikan lorong motosikal yang dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Saranan Blog Jalan Raya Malaysia dalam menambah baik lorong motosikal sedia ada
  1. Lebarkan lorong motosikal kepada sekurang-kurangnya 3.5 m agar penunggang motosikal boleh membentuk dua barisan yang membolehkan motosikal laju memotong motosikal perlahan
  2. Sediakan jalan-jalan susur keluar kecemasan setiap 2 km dengan pintu pagar magnetik dilengkapi CCTV bagi membolehkan pengguna lorong motosikal keluar sekiranya berlaku perkara tidak diingini di lorong motosikal (sebaiknya, bina bersebelahan telefon kecemasan lebuh raya)
  3. Jajaran di persimpangan bertingkat dan hentian rehat perlu mempunyai bahu jalan keras sebagai penampan daripada risiko overshoot. Setiap selekoh tajam pula perlu dirawat agak lebih selamat untuk dilalui penunggang motosikal. Selain itu juga, pengendali lorong motor perlu mengecat rumble strips dan bukannya bonggol untuk memperlahankan motosikal di persimpangan bertingkat.
  4. Bina menara peninjau polis di setiap persimpangan bertingkat bagi memantau sebarang aktiviti mencurigakan di persimpangan bertingkat. Tempatkan anggota polis bagi meronda di sepanjang lorong motosikal 24 jam sehari. Majoriti kes samun di lorong motosikal berlaku di selekoh-selekoh tersorok di persimpangan bertingkat. Sekurang-kurangnya, kehadiran polis sudah tentu akan meyakinkan penunggang motosikal untuk menggunakan lorong tersebut tanpa was-was.
  5. Perbaiki rekaan susur keluar masuk lorong motosikal agar penunggang tidak perlu berhenti untuk keluar masuk lorong motosikal, sekaligus melindungi mereka daripada risiko dilanggar dari belakang
  6. Pastikan lorong motosikal memperoleh sistem pencahayaan secukupnya. Jangan ada kawasan terlindung. Kalau ada pokok-pokok yang menghalang pemandangan dan menjadikan lorong motosikal lebih tersorok, sila tebang pokok-pokok tersebut.
  7. Paling penting, sentiasa lakukan penyelenggaraan berkala dan bukannya main biar sahaja. Jalan berlubang mesti ditampal segera dan bukannya main tepek premix pada lubang semata-mata. Lorong motosikal yang diselenggara dengan begitu bagus sudah tentu akan menggalakkan penunggang motosikal lain untuk menggunakannya.

No comments:

Post a Comment