Keseluruhan jajaran Lebuhraya Pan Borneo AH150 bakal berubah wajah menjadi jalan raya kembar sepenuhnya tujuh tahun lagi
Salam sejahtera,
Pada hari ini (31 Mac 2015), Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, dijadualkan akan melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 di Hentian Rehat (R&R) Simpang Bakun, KM34 Jalan Bintulu-Miri FT1-66/AH150. Projek bernilai RM27 bilion ini merupakan projek naik taraf rangkaian Lebuhraya Pan Borneo AH150 sedia ada kepada lebuh raya kembar empat lorong sejauh 1,633 km (tidak termasuk jajaran yang memang sudah dinaik taraf kepada jalan raya kembar). Projek naik taraf Lebuhraya Pan Borneo AH150 kepada lebuh raya kembar ini dijangka siap pada tahun 2022.
Namun, ada juga pihak yang mempertikaikan mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo AH150 ini dengan tohmahan seperti "kerajaan persekutuan menipu dan meminggirkan rakyat Sabah dan Sarawak", "janji nak bina lebuh raya tapi yang dibina sekadar jalan dua lorong biasa" dan banyak lagi. Ada juga yang menuntut agar projek Lebuhraya Pan Borneo AH150 dibina sebagai lebuh raya ekspres seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Bagi menjawab segala persoakan mengenai projek ini, TV3 telah mewawancara Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 25 Mac 2015, yang boleh anda tonton di bawah sekiranya anda terlepas menontonnya sebelum ini.
Sebahagian besar persoalan mengenai Lebuhraya Pan Borneo AH150 sudah pun dijawab di dalam video di atas tadi, tetapi masih terdapat beberapa persoalan yang masih belum berjawab ataupun memerlukan pencerahan lebih lanjut. Maka, izinkan saya untuk menjawab beberapa persoalan tambahan mengenainya.
- Soalan: Apakah yang membezakan antara projek Lebuhraya Pan Borneo ini dengan lebuh raya di Semenanjung?Jawapan: Perbezaan paling ketara antara Lebuhraya Pan Borneo dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8 di Semenanjung ialah projek Lebuhraya Pan Borneo yang diumumkan kali ini sebenarnya merupakan naik taraf rangkaian jalan persekutuan tulang belakang sedia ada di Sabah dan Sarawak daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada lebuh raya kembar capaian terhad (limited-access highway) empat lorong, sedangkan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8 pula dibina sebagai lebuh raya capaian terkawal (controlled-access highway), atau dengan kata lain, lebuh raya ekspres. Maka, anda boleh jangkakan majoriti persimpangan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo terdiri daripada persimpangan searas kecuali beberapa persimpangan sibuk di bandar raya utama yang akan dibina sebagai persimpangan bertingkat.
- Soalan: Kenapa setakat lebarkan jadi empat lorong sahaja? Kenapa bukan lebuh raya ekspres?Jawapan: Terdapat dua faktor utama yang perlu diambil kira oleh kerajaan sebelum membina lebuh raya ekspres, iaitu faktor aliran trafik purata harian (ADT) serta faktor kesan terhadap sosio-ekonomi petempatan yang dilaluinya. ADT purata di Lebuhraya Pan Borneo FT1 di Sarawak masih belum mengizinkan untuk pembinaan laluan lebuh raya ekspres berasingan, tetapi sudah mencukupi untuk dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar. Tambahan pula, jarak antara pekan-pekan di Sabah dan Sarawak ada kalanya sangat jauh sehingga melebihi 100 km. Pekan-pekan kecil ini pula hidup dengan bergantung sepenuhnya kepada pengguna Lebuhraya Pan Borneo yang singgah berehat sebentar sebagai satu-satunya sumber ekonomi di situ. Jika pekan-pekan kecil ini dipintas oleh lebuh raya ekspres sebagaimana di Semenanjung, maka pendapatan penduduk di situ sudah tentu akan terjejas teruk. Tambahan pula, jika laluan di sana dibina terus sebagai lebuh raya ekspres, maka syarikat konsesi sudah tentu akan rugi besar jika kutipan tol terlalu rendah akibat ADT yang terlalu sedikit. Sila baca entri sebelumnya mengenai dalil-dalil kenapa industri lebuh raya ekspres sangat berisiko dan tidak begitu menguntungkan seperti yang disangka.
Harus diingat bahawa konsep utama lebuh raya ekspres ialah menghalang semua akses terus kepada mana-mana premis hartanah melalui pemasangan pagar serta mengehadkan bilangan persimpangan kepada beberapa buah persimpangan bertingkat yang diwartakan sahaja, dan juga meminimakan titik konflik melalui pembinaan persimpangan bertingkat berlainan aras serta dibina sebagai lebuh raya kembar (kecuali sebahagian kecil seperti SKVE E26 Seksyen 3 dan jajaran Lebuhraya Senai-Desaru E22 dari Cahaya Baru ke Bandar Penawar). Maka, sudah tentulah pengguna lebuh raya ekspres berada di dalam dunianya sendiri dan terasing sepenuhnya daripada pekan-pekan, kampung-kampung dan bandar-bandar yang dilaluinya. - Soalan: Kenapa Sabah dan Sarawak begitu ketinggalan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dan lebuh raya berbanding di Semenanjung? Adakah kerajaan persekutuan sengaja meminggirkan Sabah dan Sarawak?
Jawapan: Untuk mengetahui sebab sebenar kenapa Sabah dan Sarawak sangat ketinggalan dalam pembangunan rangkaian jalan raya berbanding Semenanjung, anda perlu terlebih dahulu mengkaji sejarah penjajahan British di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dijajah secara langsung (melalui sistem Residen yang mana kerajaan negeri dipaksa mengikut perintahnya), manakala Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dijajah secara tidak langsung (melalui penerimaan penasihat yang sekadar boleh menasihati tetapi nasihatnya tidak semestinya perlu diikut). Justeru, pihak penjajah British boleh sesuka hati membina jalan raya untuk merompak hasil bumi Tanah Melayu.
Sementara itu pula, Sabah dan Sarawak sebelum Perang Dunia Kedua hanya sekadar negara-negara naungan British - kerajaan Dinasti Brooke Sarawak dan pihak berkuasa North Borneo Chartered Company membayar ufti kepada British tetapi British langsung tidak membina jalan raya sebagai balasan. Hanya selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945 barulah Sabah dan Sarawak dijajah secara langsung sebagai Jajahan Mahkota British, tetapi infrastruktur tidak dapat dibina kerana usaha lebih ditumpukan kepada pemulihan selepas perang.
Hanya setelah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia barulah usaha pembinaan jalan raya dilaksanakan dengan sebegitu giat oleh kerajaan persekutuan. Justeru, tuduhan kononnya kerajaan persekutuan sengaja meminggirkan Sabah dan Sarawak terbukti karut, kerana sekiranya benar kerajaan persekutuan sengaja meminggirkan Sabah, maka sudah tentulah tidak akan ada langsung jalan raya di sana sekarang - Soalan: Kenapa jalan raya biasa dua lorong sebegitu rupa itu pun dipanggil "lebuh raya"? Langsung tak ada rupa macam lebuh raya PLUS pun.Jawapan: Sila rujuk semula maksud "lebuh raya" di dalam Kamus Dewan. Menurut Kamus Dewan, "lebuh raya" ditakrifkan sebagai "jalan raya utama yang lebar dan menghubungkan antara sebuah bandar dengan bandar yang lain". Ia langsung tidak mentakrifkan mengenai berapa lebarnya serta mekanisme kawalan masuknya. Dengan kata lain, jalan tanah merah yang menghubungkan antara dua kawasan penting pun sudah boleh dipanggil "lebuh raya" selagi ia berfungsi sebagai laluan utama. Saya sudah pun menulis entri mengenainya yang anda boleh baca di sini.
- Soalan: Kerajaan sering mendakwa kononnya Lebuhraya Pan Borneo sudah siap, kemudian kata belum siap pula, dan hari ini umumkan projek Lebuhraya Pan Borneo pula. Adakah kerajaan sengaja memutar-belitkan kenyataan dan menipu rakyat?Jawapan: Lebuhraya Pan Borneo AH150 memang boleh dikatakan sudah siap sepenuhnya, siap diturap lagi. Pautan antara Lawas ke Temburong dan Limbang sudah berjaya disiapkan pada tahun 1997, yang membolehkan anda memandu terus dari Kuching ke Kota Kinabalu.
Sebenarnya, Lebuhraya Pan Borneo AH150 merupakan jalan raya yang sentiasa menerima penambahbaikan yang berterusan, daripada jalan tanah merah kepada jalan batu kerikil, daripada jalan batu kerikil tidak berturap kepada jalan berturap, dan daripada jalan raya tunggal kepada jalan raya kembar. Satu-satunya pautan putus yang belum dibina sekarang hanyalah bagi laluan dari Kalabakan di Sabah ke Samarinda di Kalimantan Timur.
Perkembangan jalan raya di Sabah dan Sarawak begitu perlahan berbanding di Semenanjung kerana kurang rangkaian jalan raya yang dibangunkan dan dibina oleh penjajah. Sebab itulah rangkaian Lebuhraya Pan Borneo AH150 mula dibangunkan dari sifar bermula tahun 1965. - Soalan: Kenapa pula Lebuhraya Pan Borneo tidak dikenakan tol sedangkan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8 semuanya dikenakan tol...? Ini tidak adil buat rakyat Semenanjung...!!!Jawapan: Ada dua sebab kenapa projek Lebuhraya Pan Borneo nanti tidak dikenakan tol, iaitu faktor kewujudan laluan alternatif serta faktor kos pembinaan dan penyelenggaraan. Lebuhraya Pan Borneo merupakan jalan raya tulang belakang yang tiada laluan alternatif, manakala Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur mempunyai laluan alternatif masing-masing iaitu Jalan Persekutuan 1 (bagi Lebuhraya Utara-Selatan) dan Jalan Persekutuan 2, 3 dan 14 (bagi Lebuhraya Pantai Timur).
Di samping itu, kos bagi membina lebuh raya kembar juga jauh lebih rendah daripada lebuh raya ekspres. Projek lebuh raya kembar Pan Borneo ini sejauh 1,633 km (tidak termasuk jajaran yang sudah dinaik taraf) memakan belanja RM27 bilion, atau bersamaan RM16.53 juta sekilometer). Sementara itu pula, PLUS Malaysia Berhad meminjam wang sebanyak RM30.6 bilion (nilai ringgit tahun 1988) bagi membina Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang 848 km di samping mengambil alih hutang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi jajaran yang sudah siap - bersamaan RM36.1 juta sekilometer, atau lebih dua kali ganda kos spesifik Lebuhraya Pan Borneo. Jika diambil kira kadar inflasi dan nilai ringgi sekarang, maka sudah tentulah kos spesifik Lebuhraya Utara-Selatan jadi jauh lebih mahal.
Dalam kebanyakan model pembiayaan kewangan projek lebuh raya kembar seperti Lebuh AMJ FT19, kerajaan membiayai terus projek tersebut disebabkan kos yang rendah. Sementara itu pula, bagi pembinaan lebuh raya ekspres, ia terpaksa diswastakan sepenuhnya kerana kerajaan sememangnya tiada kemampuan untuk membina terus lebuh raya ekspres dan menyelenggaranya tanpa kutipan tol. Maka, syarikat konsesi perlu meminjam dengan bank untuk mendapatkan wang untuk membina lebuh raya serta beroperasi, dan setelah ia siap kelak, syarikat konsesi perlu mendapatkan balik wang mereka untuk membayar pinjaman bank, membayar bil-bil utiliti, menyelenggara lebuh raya serta infrastruktur di sepanjangnya, dan juga membayar gaji para pekerjanya. Sebab itulah mereka perlu mengutip tol untuk membolehkan lebuh raya kendalian mereka beroperasi.
Bagi model pembiayaan kewangan projek Lebuharya Pan Borneo pula, ia menggunakan model hibrid - syarikat kontraktor perlu meminjam wang dari bank untuk membiayai projek tersebut. Kerajaan hanya akan membayar wang projek tersebut kepada kontraktor secara tahunan mengikut kadar kemajuan projek. Segala risiko perlu ditanggung sendiri oleh kontraktor, jadi tiada ruang untuk songlap - jika mereka mahu untung, mereka perlu siapkan projek lebih cepat dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Selain itu, mereka boleh menambah pendapatan dengan membina papan-papan iklan di sepanjang lebuh raya dan menyewakan ruang niaga hentian rehat yang bakal dibina kelak. - Soalan: Berapakah had laju yang bakal dikenakan setelah lebuh raya kembar Pan Borneo siap kelak?
Jawapan: 90 km/j sahaja, tidak lebih daripada itu. - Soalan: Kenapa 90 km/j? Kenapa bukan 110 km/j seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2?
Jawapan: Harus diingat bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo ini hanya sekadar naik taraf jalan sedia ada kepada jalan raya kembar semata-mata dan bukannya lebuh raya ekspres. Piawaian yang diguna pakai nanti ialah JKR R5 (lebar lorong 3.5 m, had laju rekabentuk: 100 km/j). Jika dibandingkan, Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 menggunakan piawaian JKR R6 (lebar lorong 3.5 m, had laju rekabentuk: 120 km/j). Namun, masa perjalanan masih dapat dipendekkan kerana konflik yang diwujudkan oleh kenderaan bergerak perlahan dapat diminimumkan. - Soalan: Adakah pendapatan peniaga-peniaga kecil di tepi jalan terjejas kelak?
Jawapan: Tidak. Meskipun beberapa hentian rehat (R&R) yang lebih sempurna akan dibina, namun peniaga kecil yang tidak mampu menyewa tapak R&R masih boleh berniaga di tepi jalan seperti biasa. Disebabkan Lebuhraya Pan Borneo ini nanti dibina mengikut piawaian JKR R5, maka sudah tentulah ada bahu jalan keras dan lembut untuk membolehkan pengguna lebuh raya untuk berhenti dengan selamat tanpa mengganggu aliran trafik. Berbeza pula dengan lebuh raya ekspres di Semenanjung, penjaja tidak dibenarkan langsung untuk berniaga di tepi lebuh raya atas faktor keselamatan. - Soalan: Apakah impak positif yang bakal diterima oleh rakyat Sabah dan Sarawak setelah lebuh raya kembar ini siap kelak?
Jawapan: Ada banyak impak positif yang bakal diterima. Paling ketara, banyak kawasan perindustrian baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Selain itu, banyak pekan-pekan kecil akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan, sama ada sebagai "pekan R&R" ataupun sebagai pekan baharu yang diwujudkan kerajaan negeri bagi tujuan penempatan semula penduduk pedalaman. Sektor pelancongan juga dapat diteroka dan dibangunkan. Misalnya, lebih ramai pengunjung dapat ke Gua Niah dengan adanya jalan raya yang sangat bagus. Lori-lori dapat mengangkut lebih banyak barangan tanpa merosakkan jalan raya. Secara amnya, kegiatan ekonomi dapat dijalankan dengan lebih rancak. - Soalan: Adakah laluan Lebuhraya Pan Borneo kali ini akan memintas Brunei?
Jawapan: Tidak. Lebih kurang 85% jajaran lebuh raya kembar ini merupakan naik taraf jalan lama, jadi sudah tentulah ia tetap melalui Brunei. - Soalan: Kenapa perlu lalu Brunei juga? Kenapa tak boleh memintas Brunei?
Jawapan: Bukan tidak boleh, tetapi sebenarnya tidak berbaloi langsung. Jarak dari Miri ke Limbang melalui Brunei sahaja pun sudah hampir 200 km, dan inilah laluan paling dekat. Jika satu laluan pintasan Brunei dibina dari Miri melalui Marudi, maka sudah tentulah laluan dari Marudi ke Limbang akan mencecah 300 km atau mungkin lebih 400 km tanpa sebarang pekan.
Selain itu, laluan Pan Borneo memang sengaja dibina melalui Brunei demi menjaga hubungan diplomatik yang akrab antara Sabah, Sarawak dan Brunei yang terjalin sejak sekian lama berikutan faktor sejarah. Dengan memanfaatkan hubungan diplomatik tersebut, Sabah dan Sarawak berpeluang menjadikan Brunei sebagai pintu masuk ke kedua-dua negeri tersebut. Meskipun Kuching dan Kota Kinabali masing-masing ada lapangan terbang bertaraf antarabangsa, namun tidak banyak laluan antarabangsa yang diperolehi kedua-dua lapangan terbang tersebut, yang sudah tentunya menyukarkan usaha menarik pelancong. - Soalan: Jika tidak boleh bina lebuh raya ekspres sekarang di Sabah dan Sarawak atas beberapa faktor, adakah ada kemungkinan suatu hari nanti lebuh raya ekspres dapat dibina di Sabah dan Sarawak?
Jawapan: Segala-galanya bergantung kepada dasar pengangkutan jalan raya oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Tidak seperti di Semenanjung yang mana dasar lebuh raya ditentukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), JKR Sabah dan JKR Sarawak pula masing-masing mempunyai Cawangan Lebuh Raya tersendiri yang menentukan hala tuju pembangunan rangkaian lebuh raya di kedua-dua negeri.
No comments:
Post a Comment