Thursday, March 19, 2015

Mythbuster: Cerita panel meter Perodua Myvi / Mythbuster: The Perodua Myvi meter panel story



Panel meter Perodua Myvi facelift 2015 kali ini menggunakan lampu latar jenis "cikai" berbanding model sebelum facelift yang menggunakan lampu latar gaya Optitron yang menjadi punca kekecohan minggu lalu.


Salam sejahtera,

Minggu lalu (10 Mac 2015), dunia automotif Malaysia digamatkan dengan isu lampu latar meter ala-Optitron pada Perodua Myvi yang menyala tidak kira pada waktu siang mahupun malam, yang mana ia disifatkan sebagai "berbahaya" oleh seorang jurutera bersara dari Jerman, Wolf Vaupel, Kenapa ia disifatkan sebagai "berbahaya"...? Beliau mendakwa bahawa lampu meter yang menyala tidak kira siang mahupun malam menyebabkan pemandu terlupa hendak menghidupkan lampu.

Kisahnya begini - Isteri Vaupel membeli sebuah Perodua Myvi pada Ogos 2014. Semasa Vaupel mencuba sendiri kereta isterinya itu, beliau terkejut apabila mendapati lampu panel meter Myvi terus menyala terang semasa kunci diputar ke posisi On tanpa menghidupkan lampu kereta. Beliau mendakwa bahawa di sepanjang perjalanan antara Bandar Kinrara ke Bukit Bintang sahaja, 1 daripada 5 buah Myvi yang ditemui tidak menghidupkan lampu. Daripada situlah beliau membuat kesimpulan bahawa lampu meter yang terang itu dikatakan menjadi punca pemandu terlupa hendak menghidupkan lampu kereta. Beliau juga mendakwa kononnya sepanjang pengalamannya memandu kereta lebih 3 juta km seumur hidup daripada 30 jenis jenama, Perodua Myvi inilah kereta pertama yang mempunyai ciri "berbahaya" sebegitu. Sehubungan dengan itu, Presiden & CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh tampil mengeluarkan kenyataan yang menafikan dakwaan sedemikian.

Soalnya sekarang, adakah lampu meter yang hidup pada waktu siang benar-benar "berbahaya" seperti didakwa...?




Sebenarnya, Perodua Myvi bukanlah satu-satunya model kereta yang dilengkapi meter gaya Optitron yang dikatakan "berbahaya" - Proton Persona Elegance juga menggunakan meter gaya serupa


Sebenarnya, Perodua Myvi bukanlah satu-satunya kereta yang lampu meternya hidup pada waktu siang tanpa perlu menghidupkan lampu kereta; ada banyak lagi kereta-kereta moden yang mempunyai ciri sama. Antaranya termasuklah Proton Persona Elegance, Proton Exora, Honda City dan banyak lagi. Tujuan utama ciri tersebut diperkenalkan adalah bagi memudahkan pemandu membaca meter kereta walaupun apabila lampu tidak dihidupkan semasa cuaca buruk. Namun, ia bukanlah bermakna bahawa lampu meter menyala pada kecerahan sama tidak kira semasa lampu dihidupkan atau dimatikan - kecerahan lampu meter gaya Optitron sebenarnya dikurangkan sedikit apabila lampu dihidupkan bagi mengurangkan kontras berlebihan yang menyilaukan mata pada waktu malam; pada waktu siang pula, lampu meter menyala lebih terang bagi melawan kecerahan cahaya matahari. 

Justeru, jika benar lampu gaya Optitron dikatakan berbahaya, kenapa Toyota yang mula-mula memperkenalkan trend meter sebegitu tidak pula dikecam...? Sebenarnya, memang ada peraturan UNECE yang mewajibkan panel meter mempamerkan penunjuk lampu hadapan dihidupkan jika lampu latar meter menyala sepanjang masa walaupun ketika lampu tidak dihidupkan; ia hanya tidak diwajibkan jika lampu latar meter hanya menyala apabila suis lampu dihidupkan. Namun, harus diingat bahawa generasi kedua Perodua Myvi mula dikeluarkan sebelum Peraturan 121 UNECE dikuatkuasakan; malah, peraturan tersebut hanya mula berkuatkuasa di Malaysia pada tahun ini (2015).

Jadi bagaimana hendak mengetahui sama ada lampu kereta dihidupkan atau tidak...?

Penulis blog automotif Paul Tan ada menyenaraikan petua yang patut digunakan bagi mengenal pasti sama ada lampu kereta dihidupkan atau tidak. Selain daripada memerhatikan perbezaan kontras lampu meter, sesetengah kereta yang lebih terkini seperti Honda City, Proton Preve dan Proton Iriz ada menyertakan lampu penunjuk berwarna hijau berupa seperti simbol lampu posisi, yang menyala apabila sekurang-kurangnya lampu posisi dihidupkan. Lampu penunjuk lampu posisi ini merupakan pemberitahuan terbaik untuk membolehkan pemandu mengetahui sama ada lampu kereta sudah dihidupkan atau tidak.

Namun, cara terbaik bagi memastikan sama ada lampu kereta sudah dihidupkan atau tidak adalah dengan memerhatikan pencahayaan sekeliling. Petanda terbaik ialah lampu latar suis penyaman udara, label transmisi automatik dan label tingkap kuasa, kerana kesemua lampu latar tersebut memang tidak menyala apabila lampu tidak dihidupkan. Jika masih rasa was-was, anda boleh menjenguk ke hadapan untuk melihat sendiri sama ada lampu hadapan dihidupkan ataupun tidak.






Lampu latar bagi meter model asal Perodua Kancil (atas) sangat malap, maka ramai di kalangan penggunanya yang menggantikan meter asal dengan meter Daihatsu Mira L200 (bawah) yang lampu latarnya jauh lebih terang dan lebih mudah dibaca


Sebenarnya, jika diikutkan, panel meter Myvi generasi kedua adalah yang terbaik sepanjang sejarah Perodua. Semasa model sulung Perodua iaitu Perodua Kancil mula dikeluarkan pada tahun 1994, lampu meternya begitu malap sehinggakan sukar untuk membaca tolok bahan api dan tolok suhu air pada waktu malam. Maka, ramai di antara pemilik Kancil yang menukar meter asal mereka kepada meter Daihatsu Mira L200 yang boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai potong. Tahap pencahayaan meter van Perodua Rusa juga sama teruk seperti model terawal Kancil; hanya pada tahun 1997 apabila varian Kancil 850 mula dikeluarkan barulah tahap pencahayaannya bertambah baik. Begitu jugalah dengan model-model berikutnya sehingga sekarang.




Cadangan untuk menyertakan lampu penunjuk lampu dihidupkan
(Kredit kepada: Hezeri Samsuri)


Justeru, saya mencadangkan agar Perodua menambah lampu penunjuk lampu posisi pada semua kenderaan keluaran Perodua agar dapat membantu pemandu mengenal pasti sama ada mereka menghidupkan lampu atau tidak. Menambah ciri lampu automatik juga sedikit-sebanyak membantu pemandu yang terlupa menghidupkan atau mematikan lampu, sebagaimana yang diterapkan pada beberapa model terkini Proton. Apa pun, Perodua sudah pun membuang lampu meter gaya Optitron yang "berbahaya" itu pada model Myvi facelift dan menggantikan kepada lampu meter jenis "cikai" yang hanya menyala apabila lampu dihidupkan.

Jika anda terlepas entri asal yang ditulis oleh Wolf Vaupel, anda boleh membaca lebih lanjut serta petikan asal entrinya di sini.




Demonstrasi panel meter Perodua Myvi generasi kedua




Lampu latar meter Perodua Myvi generasi pertama juga mempunyai ciri yang lebih kurang sama tetapi tiada siapa pula yang mempersoalkannya
(Kredit kepada: Paul Tan)

No comments:

Post a Comment