Sunday, March 29, 2015

Isu had laju - Apabila si bebal berlagak seperti jurutera... / Speed limit issues - When idiots brag like engineers...




Salam sejahtera,

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 19 Mac 2015, seorang wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Imran Abdul Hamid, mempersoalkan rasional kenapa had laju lebuh raya ekspres tidak dinaikkan daripada 110 km/j kepada 150 km/j, dengan menggunakan alasan kereta sekarang semakin canggih dan "bermutu tinggi". Menurut Imran, beliau mendakwa bahawa sepanjang pengalaman beliau tinggal di Jerman, kebanyakan lebuh raya ekspres di sana tiada had laju maksimum - justeru, beliau mendakwa kononnya had laju perlu dinaikkan sebagai langkah untuk "menjadikan Malaysia sebagai negara maju". Namun, hujah tersebut disangkal oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin, yang mengatakan had laju sedia ada tidak boleh dinaikkan kerana had laju sedia ada ditentukan oleh piawaian reka bentuk jalan raya Malaysia yang tidak berubah meskipun kereta sekarang lebih canggih, lebih laju dan lebih selamat.

Isu had laju bukanlah satu isu yang baru di kalangan rakyat Malaysia. Sejak lebih kurang sedekad lalu, semakin ramai pihak yang mempertikaikan rasional penguatkuasaan had laju sedia kala dengan menggunakan alasan sama yang sebegitu dangkal. Secara tiba-tiba muncul sebegitu ramai puak "insinyur Facebook" yang menentang penguatkuasaan had laju dan mendakwa kononnya had laju maksimum berbeza seharusnya dikenakan mengikut lorong dan jenis kereta (misalnya, had laju bagi kereta-kereta biasa seperti Perodua Myvi sepatutnya kekal 110 km/j, manakala had laju kereta sport seperti Porsche dan Lamborghini pula dinaikkan kepada 150 km/j. 

Namun, satu fakta yang tidak pula dipersoalkan oleh puak-puak "insinyur Facebook" ini ialah kenapa kadar kemalangan maut Malaysia semakin meningkat meskipun teknologi automotif semakin canggih dan selamat...? Rata-rata kereta baharu yang dijual sekarang kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya dua biji beg udara, tetapi kenapa semakin ramai pula yang mati akibat kemalangan jalan raya...?

Itu baru persoalan pertama. Persoalan kedua yang patut dijawab oleh puak-puak "insinyur Facebook" tidak bertauliah ini ialah kenapa negeri yang mempunyai jaringan jalan raya yang kurang baik pula yang mempunyai antara kadar kemalangan maut terendah di Malaysia, sedangkan negeri yang mempunyai paling banyak jaringan lebuh raya ekspres berkualiti tinggi pula merajai statistik kemalangan maut di Malaysia...? Ramai yang mendakwa kononnya kualiti jalan raya di Sabah dan Sarawak begitu teruk berbanding di Semenanjung, tetapi kenapa negeri-negeri sebegitu yang mempunyai kadar kemalangan yang jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri yang jalan rayanya begitu "bermutu tinggi"...?

Segala-galanya bermula dengan persepsi. Di Sabah dan Sarawak, pengguna jalan raya di sana sedar bahawa jaringan jalan raya di sana serba kekurangan jika dibandingkan dengan di Semenanjung Malaysia. Kadar pembaikan jalan pun agak perlahan kerana negeri mereka besar, jadi peruntukan bagi jalan raya perlu dibelanjakan dengan lebih cermat dan lebih berhemah. Sebab itulah kelajuan pemanduan di sana rata-ratanya agak perlahan iaitu sekitar 70-90 km/j sahaja. Semasa saya berada di Sabah pada tahun 2013, kelajuan tertinggi yang saya pandu di sana pun cuma 90-100 km/j di Lebuhraya Papar-Sindumin FT1. Di sebalik persepsi negatif mengenai keadaan jalan raya di Sabah dan Sarawak, ia sebaliknya melahirkan lebih ramai pemandu-pemandu yang berhemah dan menghormati peraturan jalan raya.

Berbeza pula keadaannya di Semenanjung Malaysia. Kepesatan pembangunan rangkaian lebuh raya ekspres di Semenanjung Malaysia tidak pula berupaya menurunkan kadar kemalangan maut di sana, sebaliknya kadar kemalangan maut semakin mencanak-canak naik. Kualiti jalan raya yang sangat bagus di Semenanjung Malaysia sebaliknya melahirkan lebih ramai pemandu-pemandu bebal yang kurang ajar, bodoh sombong serta mempertahankan kesalahan yang dilakukan. Tidak cukup dengan itu, mereka melenting apabila cuba didisiplinkan. Buktinya...? Lihat sajalah isu had laju - begitu ramai "insinyur-insinyur Facebook" tidak bertauliah yang menentang penguatkuasaan had laju atas alasan "kereta sekarang lebih canggih" ataupun "polis lebih suka mencari makan hasil saman rakyat miskin". Ya, memang puak-puak bebal sebegini boleh dikategorikan sebagai "miskin tegar" - tetapi bukan miskin tegar dari segi harta, sebaliknya mereka sebenarnya miskin tegar dari segi adab dan kesedaran sivik. Disebabkan puak-puak bebal inilah kita menjadi naib juara di peringkat Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-17 di peringkat dunia dalam carta kadar kemalangan maut tertinggi.




Sebenarnya, had laju lebuh raya di Malaysia tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan jika dibandingkan dengan negara lain


Jika ada di kalangan "jurutera jalan raya Facebook" tidak bertauliah masih mempersoalkan rasional had laju 110 km/j di lebuh raya atas alasan "had laju lebuh raya di negara maju lebih tinggi", saya cabar anda semua untuk menjawab beberapa persoalan di bawah ini:-

  1. Had laju maksimum bagi lebuh raya ekspres di Jepun hanya 100 km/j - adakah Jepun itu negara mundur...?
  2. Had laju lebuh raya ekspres di Singapura hanya 90 km/j - adakah Singapura itu negara mundur...?
  3. Had laju bagi kebanyakan lebuh raya di Hong Kong hanyalah 80 km/j, yang mana Lebuhraya Lantau Laluan 8 merupakan satu-satunya lebuh raya ekspres yang dikenakan had laju tertinggi 110 km/j - adakah Hong Kong itu mundur...?
  4. Had laju lebuh raya ekspres di negara penjajah sendiri iaitu Britain hanya 70 bsj (112 km/j) - adakah Britain itu negara mundur...?
  5. Lebuh raya ekspres di Switzerland mempunyai lebar lorong minimum paling lebar di Eropah iaitu 4.0 m, tetapi had laju maksimum di sana hanyalah 120 km/j - adakah Switzerland itu negara mundur...?
  6. Had laju di Amerika Syarikat berubah-ubah mengikut negeri, di mana had laju maksimum di negeri-negeri pantai timur dan pantai barat hanyalah 70 bsj (112 km/j), dan ada juga negeri seperti Wisconsin dan Oregon yang mengenakan had laju lebih rendah iaitu 65 bsj (105 km/j). Had laju maksimum terendah dikuatkuasakan di Hawaii iaitu 60 bsj (97 km/j), manakala hanya satu sahaja lebuh raya di Amerika Syarikat yang dikenakan had laju tertinggi iaitu 85 bsj (137 km/j) - jadi, adakah Amerika Syarikat atau sekurang-kurangnya negeri-negeri di kawasan pantai itu mundur...?
  7. Emiriah Arab Bersatu mengenakan had laju maksimum 140 km/j di lebuh raya, tetapi kenapa ia menduduki antara kedudukan teratas dalam carta kemalangan maut di dunia...?

Untuk pengetahuan, Had Laju Kebangsaan di Malaysia ditetapkan hasil daripada garis panduan yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik (Jalan) 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Piawaian reka bentuk jalan raya yang ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86 ini adalah hasil daripada kajian beberapa piawaian reka bentuk jalan raya antarabangsa seperti piawaian AASHTO, piawaian British (BS), serta piawaian Lebuh Raya Asia. Arahan Teknik (Jalan) 8/86 menetapkan bahawa sesebuah lebuh raya ekspres mestilah mempunyai lebar lorong minima 3.5 m supaya dapat disesuaikan dengan had laju reka bentuk 120 km/j. Oleh itu, jika had laju lebuh raya perlu dinaikkan sekalipun, ia tidak boleh naik melebihi 120 km/j.

Jika ada di kalangan "jurutera Facebook" tidak bertauliah yang masih mempersoalkan rasional kenapa autobahn Jerman tiada had laju maksimum, anda sepatutnya baca fakta-fakta berikut ini:-

  1. Kawasan yang tiada had laju hanyalah merangkumi lebih kurang 60% sahaja daripada keseluruhan sistem autobahn Jerman, yang mana kesemuanya berada di luar bandar. Sungguhpun demikian, masih ada "had laju disyorkan" iaitu 130 km/j, yang mana sekiranya pemandu yang memandu melebihi 130 km/j terlibat dalam kemalangan, dia tetap akan disaman dan juga tidak layak untuk menuntut pampasan insurans.
  2. Had laju infiniti hanya untuk kenderaan ringan sahaja. Bagi kenderaan berat, had laju maksimum 80 km/j dikuatkuasakan termasuklah di zon tiada had laju; hanya segelintir kenderaan yang memperoleh sijil kelayakan had laju 100 km/j sahaja yang boleh dipandu pada kelajuan maksimum 100 km/j.
  3. Bagi lebuh raya empat lorong, lebar lorong minimum ialah 3.75 m. Bagi lebuh raya enam lorong dan ke atas, lorong memotong pula lebih sempit dengan lebar minimum hanya 3.5 m.
  4. Di kawasan tiada had laju, hanya lebih kurang 35% sahaja pemandu yang memandu melebihi 130 km/j.
  5. Lebuh raya Switzerland lebih lebar dengan lebar lorong minimum 4.0 m, tetapi had laju yang dikenakan di sana hanyalah 120 km/j.
  6. Para pengeluar kereta Jerman (kecuali Porsche) mengehadkan kelajuan kereta buatan mereka kepada sekitar 250 km/j sahaja, kecuali beberapa model berprestasi tinggi.
  7. Di autobahn Jerman, ketiadaan had laju datang bersama-sama dengan penguatkuasaan yang sangat ketat. Pemandu wajib berada di lorong kanan (lorong perlahan) jika tidak memotong dan tidak dibenarkan untuk memotong melalui lorong kanan. Mengekori kenderaan hadapan terlalu rapat boleh membawa kepada saman berat iaitu 373 dan penggantungan lesen selama sebulan. Selain itu, semasa kesesakan lebuh raya, pemandu diwajibkan membentuk satu lorong kecemasan bagi membolehkan kenderaan kecemasan tiba ke destinasi.

Sebenarnya, sudah banyak kali saya tulis mengenai kepentingan had laju serta dalil kenapa had laju tetap perlu dikenakan walaupun kereta sekarang lebih laju - tetapi malangnya masih ramai yang berdegil dan mempertikaikannya. Ada yang mengatakan bahawa kecuaian pengguna jalan raya itulah punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia. Ya, memang benar kecuaian merupakan punca nombor satu nahas jalan raya - tetapi jika anda memandu laju, risiko kemalangan maut itu sebenarnya jauh lebih tinggi. Ada juga puak-puak bebal berotak udang yang menyalahkan "spesies kura-kura" di lorong kanan itulah punca nahas di lebuh raya ekspres, tetapi mereka sedikit pun tidak sedar diri bahawa hujah dangkal mereka itulah yang sebenarnya lebih membuktikan bahawa had laju 110 km/j tetap perlu dikekalkan kerana mereka tetap perlu menjangka apa yang tidak dijangka, dan mereka tetap memerlukan masa mencukupi untuk bertindak sekiranya terdapat halangan yang tidak disangka-sangka.

Ada juga "insinyur Facebook" yang menyarankan agar had laju maksimum berbeza mengikut lorong perlu diperkenalkan. Malah, ada juga yang menyarankan agar had laju maksimum ditetapkan mengikut jenis kereta (e.g.: jika kereta biasa, had laju kekal 110 km/j, tetapi jika kereta sport pula had laju dinaikkan kepada 150 km/j), tetapi kedua-duanya merupakan saranan yang begitu dangkal sama sekali. Penguatkuasaan had laju maksimum berbeza mengikut lorong atas alasan menerapkan disiplin lorong adalah tidak praktikal sama sekali kerana tiada had minima, jadi kenderaan bergerak perlahan masih boleh berada di lorong paling kanan kerana tiada had minimum. Sebaliknya, had laju minimum berbeza itulah yang sepatutnya diperkenalkan. Tentang had laju berbeza mengikut jenis kereta, cadangan tersebut juga begitu dangkal dan tidak praktikal kerana ia hanya mewujudkan satu sistem kasta baharu mengikut jenis kereta pula. Sebenarnya, cadangan tersebut pernah diutarakan di Parlimen pada tahun 1991 apabila ada wakil rakyat yang bertanya bagaimana pula keadaannya dengan kereta-kereta lama yang tidak mampu mencapai kelajuan lebuh raya 110 km/j seperti Volkswagen Beetle, tetapi had laju 110 km/j tetap terpakai dalam apa jua keadaan.






Justeru, kepada puak-puak "jurutera jalan raya Facebook" tidak bertauliah di luar sana, sudah-sudahlah membuat kerja bodoh mahu mempertikaikan had laju yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Pihak berkuasa menetapkan had laju kerana sayangkan nyawa anda, bukan kerana sayangkan duit anda. Jika anda melanggar had laju, anda sebenarnya membahayakan diri anda sendiri kerana keadaan di sepanjang perjalanan amat sukar untuk dijangka. Sebaliknya, jika anda mematuhi had laju, sudah tentulah anda mempunyai masa mencukupi untuk bertindak sekiranya terdapat halangan yang tidak disangka-sangka. Anda mampu mengubahnya.



No comments:

Post a Comment

Advertisement