Friday, March 4, 2016

Jalan Pulapol J43 (fka Jalan Bypass J43)



Nama baru bagi Jalan Bypass J43 atau Jalan Pintasan Jementah-Batu Anam J43 iaitu Jalan Pulapol J43
(Kredit gambar: Laman Facebook JKR Segamat)


Salam sejahtera,

Kita kini sudah memasuki bulan ketiga tahun 2016, tetapi nampaknya belum ada sebarang aktiviti reviu jalan raya daripada kami. Saya memohon maaf kerana masih belum memulakan sebarang reviu jalan raya berikutan kesibukan menyiapkan permainan simulasi pertama kami yang diberi nama Concession. Sebagai permulaan, saya menggeledah album-album terdahulu saya dan saya dapati ada satu koleksi gambar reviu jalan raya yang masih belum disiarkan lagi disebabkan saya langsung terlupa mengenainya. Justeru, saya ingin menggunakan koleksi gambar reviu yang belum diterbitkan ini sebagai pembuka reviu jalan raya tahun 2016. Jalan yang saya maksudkan itu ialah Jalan Pulapol J43, dahulunya dikenali sebagai Jalan Bypass J43 ataupun Jalan Pintasan Jementah-Batu Anam J43.

Untuk pengetahuan anda semua, saya memang sudah siap mencuba jalan tersebut pada Januari 2014 dan mengambil gambar untuk disiarkan sebagai reviu jalan raya, tetapi kekurangan bahan rujukan mengenai sejarah ringkas jalan ini mengakibatkan rancangan untuk menghasilkan reviu tersebut terbantut sehingga akhirnya saya terus terlupa bahawa saya sebenarnya memang pernah mengambil gambar di sepanjang laluannya, cuma tinggal hendak siarkan sahaja. Hanya setelah JKR Segamat mengumumkan penukaran nama Jalan Negeri Johor J43 ini sebagai Jalan Pulapol barulah saya teringat kembali untuk menyiarkan semula reviu ini.

Sebenarnya, sejarah Jalan Negeri Johor J43 ini sebenarnya ada kaitannya dengan sejarah Jalan Segamat-Muar FT23 kerana ia memang dibina serentak dengan pembinaan jalan FT23 pada tahun 1914. Jalan Bypass J43 ini dibina oleh pihak penjajah British untuk menghubungkan estet-estet getah dan kelapa sawit milik orang-orang putih di sekitar Batu Anam dengan bandar Muar. Dengan kata lain, jalan J43 ini merupakan antara sebilangan kecil Jalan Negeri Johor yang dibina semasa zaman penjajah British. Bezanya, ia siap lebih awal daripada jalan FT23, dan tahun siap inilah yang memeningkan kepala saya kerana sebelum ini saya memang pernah menjumpai sebuah atlas lama di Perpustakaan Negara yang memaparkan tahun siap bagi jajaran jalan raya utama di Malaysia, tetapi kini saya sukar memperoleh atlas tersebut. Saya amat berharap agar pihak Perpustakaan Negara dapat membantu saya agar kajian sejarah jalan raya dapat dilakukan dengan lebih tepat dengan adanya bahan-bahan rujukan yang sahih, tepat dan boleh dipercayai, yang mana bahan-bahan sebegitulah yang amat sukar untuk dicari. Kan saya dah kata, saya amat cerewet dari segi sumber rujukan, kerana saya mahu setiap maklumat penting mengenai sejarah jalan raya negara didokumentasikan dan diarkibkan untuk tatapan generasi akan datang. Seingat saya, menurut atlas tersebut, jalan J43 siap pada tahun 1935, lebih awal daripada jalan FT23 yang siap pada tahun 1939 - harap-harap betullah apa yang saya ingat itu.

Kenapa pula jalan J43 siap lebih awal daripada FT23...? Sebab utamanya sudah tentulah kerana jajaran terakhir Jalan Segamat-Muar FT23 sehingga ke bandar Segamat melibatkan pembinaan Jambatan Sungai Muar FT23, dan pembinaan jambatan itulah yang agak memakan masa. Selain itu, jalan J43 juga lebih pendek dan pembinaannya sekadar mengikut bentuk muka bumi dengan tarahan yang boleh dikatakan hampir tiada langsung.

Nama rasmi lama yang diberikan oleh JKR Segamat terhadap Jalan Negeri Johor J43 ialah Jalan Bypass J43. Ia susulan peranan utama jalan tersebut sebagai salah satu jalan raya yang memintas bandar Segamat untuk ke Gemas. Namun, pada awal tahun 2016, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan rasional penggunaan nama Jalan Bypass J43 ini atas alasan kononnya nama tersebut berbaur penjajah. Susulan dengan itu, usul penukaran nama Jalan Bypass J43 ini dibawa dalam Mesyuarat JKTD anjuran JKR Segamat baru-baru ini, yang mana kesemua yang hadir sepakat untuk memilih nama Jalan Pulapol J43 sebagai nama baharu bagi Jalan Negeri Johor J43. Rasional bagi pemilihan nama ini adalah sempena pembukaan sebuah Pusat Latihan Polis (Pulapol) di jalan tersebut. Penukaran nama daripada Jalan Bypass J43 kepada Jalan Pulapol J43 berkuatkuasa 2 Mac 2016.

Jalan Pulapol J43 ini bermula dari Batu Anam dekat Masjid Syed Alwi, di mana ia bertemu dengan Jalan Persekutuan 1. Penamatnya pula terletak di bekas jajaran lama Jalan Segamat-Muar FT23 yang kini dijadikan sebagai jalan masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jementah. Bekas jajaran lama FT23 itu juga sudah pun diturun taraf menjadi sebahagian Jalan Negeri Johor J43.

Sebenarnya, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat bukanlah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang ada di sepanjang Jalan Pulapol J43 ini. Kolej Komuniti Segamat 2 juga terletak di jalan ini, iaitu di KM4 berhampiran Batu Anam. Selain itu, UiTM Kampus Jementah pula terletak di jajaran lama Jalan Segamat-Muar FT23 yang sudah dilucutkan pewartaannya sebagai Jalan Persekutuan dan diturun taraf kepada jalan negeri sebagai sambungan kepada Jalan Pulapol J43.

Memandangkan sebelum ini saya memang pernah menguji Jalan Tasek Alai J153, satu lagi jalan raya yang memintas bandar Segamat untuk ke utara dari Jalan Segamat-Muar FT23, maka sudah tentulah saya membandingkan antara Jalan Pulapol J43 ini dengan Jalan Tasek Alai J153. Antara kedua-dua jalan tersebut, saya lebih menyukai Jalan Tasek Alai J153 kerana ia lebih lurus dan mempunyai bahu jalan, membolehkan saya mengekalkan kelajuan 100 km/j sepanjang jalan. Jalan Pulapol J43 pula lebih berkelok-kelok - apa tidaknya, jalan tersebut dibina pada zaman penjajah British dengan mengikut bentuk muka bumi tanpa sebarang tarahan. Jalan Pulapol J43 juga tiada bahu jalan lembut jika dibandingkan dengan Jalan Tasek Alai J153 yang ada bahu jalan lembut. Justeru, kelajuan paling selamat ketika menyelusuri J43 ini ialah sekitar 70-80 km/j sahaja.

Kesimpulannya, pengguna dari Lebuhraya Segamat-Muar FT23 mempunyai dua pilihan untuk ke Jalan Segamat-Gemas FT1 dan Lebuhraya Tun Razak FT12 dan sebaliknya, sama ada melalui Jalan Tasek Alai J153 yang lebih lurus dan lebih selesa, ataupun menggunakan Jalan Pulapol J43 yang lebih berkelok-kelok. Jadi yang mana satukah laluan pilihan anda...? Tepuk dada, tanya selera.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Jalan Pulapol J43 di Batu Anam - semasa gambar diambil, jalan ini masih bernama Jalan Bypass J43






Kolej Komuniti Segamat 2 di KM4 Jalan Pulapol J43






Pintu masuk utama ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat - nama Jalan Pulapol J43 dicadangkan sempena Pusat Latihan Polis ini






Papan tanda peringatan rizab jalan JKR






Kebanyakan jajaran Jalan Pulapol J43 ini berkelok-kelok






Tidak banyak lurusan yang ada di sepanjang Jalan Pulapol J43






Jalan Pulapol J43 tamat di jajaran lama FT23 yang kini dijadikan jalan masuk ke UiTM Jementah dan diturun taraf kepada Jalan Negeri Johor, juga menggunakan kod laluan J43

No comments:

Post a Comment