Salam sejahtera,
Sebelum ini anda sudah pun menyaksikan reviu mengenai jajaran arah utara Hubungan Tun Razak E33, diikuti pula dengan jajaran arah selatannya pula. Kali ini saya bawakan kepada anda bahagian terakhir dalam projek DUKE 2 E33 oleh Kesturi, yang merupakan sambungan kepada jajaran asal Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) E33. Ia susulan pembukaan bahagian terakhir projek DUKE 2 iaitu Hubungan Sri Damansara yang dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada pagi semalam, 23 Oktober 2017.
Jika sebelum ini Hubungan Tun Razak dibina bagi mengurangkan masalah kesesakan ke pusat bandar raya Kuala Lumpur yang dihadapi penduduk Sentul, Gombak dan Batu Caves, Hubungan Sri Damansara pula dibina sebagai alternatif kepada Jalan Kepong FT54 bagi menyelesaikan masalah kesesakan ke pusat bandar raya yang dihadapi penduduk Sri Damansara, Segambut, Damansara Damai dan Sungai Buloh. Nanti sekejap, penduduk Damansara Damai dan Sungai Buloh masih ada Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan NKVE E1, tetapi sudah tentulah lebuh raya itu sering sesak teruk setiap kali waktu gegas. Justeru, Hubungan Sri Damansara dibina sebagai laluan terpantas dan terhampir ke pusat bandar raya.
Seperti sebelum ini, saya menggunakan waktu malam hari pembukaan untuk menguji sendiri Hubungan Sri Damansara sepanjang 7.4 km ini. Saya memasuki Hubungan Sri Damansara dari arah Plaza Tol Batu dan Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching. Sepanjang Hubungan Sri Damansara ini terdapat 4 persimpangan bertingkat, 1 plaza tol dan 1 hentian rehat & rawat.
Persimpangan pangkal bagi Hubungan Sri Damansara ini ialah Exit 3321 Persimpangan Segambut. Selain daripada persimpangan pangkal bagi Hubungan Sri Damansara, persimpangan ini juga membolehkan pengguna E33 keluar ke Segambut yang selama ini tiada akses terhadap E33 ini. Persimpangan ini memanfaatkan penggunaan ruang jejambat lintasan kereta api sedia ada pada laluan asal E33 bagi pembinaannya.
Lebih kurang 500 m daripada Exit 3321 Persimpangan Segambut terletaknya Exit 3322 Persimpangan Plaza Tol Segambut, juga dikenali sebagai Exit 3322 Persimpangan SEGAR, di mana SEGAR di sini bermaksud SEGAmbut Rest Area. Exit 3322 Persimpangan SEGAR ini ternyata merupakan mahakarya terbaik yang pernah dibina oleh Kesturi sepanjang sejarah mereka mengendalikan projek Lebuhraya DUKE E33 ini. Apa tidaknya, Exit 3322 ini menggabungkan persimpangan bertingkat, plaza tol dan kawasan rehat & rawat (R&R) dalam satu binaan yang sama. Sebenarnya kalau diikutkan, konsep persimpangan R&R pertama kali digunakan pada Exit 803 Persimpangan Genting Sempah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 yang digabungkan dengan R&R Genting Sempah, manakala konsep persimpangan R&R dengan plaza tol pula pertama kali diimplementasikan di Exit 2505 Persimpangan Kundang di Lebuhraya Latar E25. Namun, kali ini Kesturi pergi ke tahap yang lebih tinggi iaitu dengan menggabungkan ketiga-tiganya dalam binaan yang sama, satu konsep yang selama ini sinonim dengan rangkaian lebuh raya perbandaran di Tokyo, Jepun.
Semasa saya pertama kali menampilkan model projek Exit 3322 Persimpangan SEGAR di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, ramai pembaca yang teruja dan terpesona, tetapi ada juga yang mengkritik pembinaannya atas alasan kononnya kerajaan hanya tahu melambakkan projek lebuh raya yang mengundang kesesakan lebih teruk akibat pertambahan bilangan kereta tetapi kurang memberi perhatian terhadap sistem pengangkutan rel. Kepada golongan "hijau" tersebut, saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa tanggapan anda itu ternyata cetek sama sekali. Menurut Kesturi, Exit 3322 Persimpangan SEGAR bukan sekadar persimpangan plaza tol dengan hentian rehat semata-mata, tetapi lebih kepada pusat sehenti kerana pengguna boleh memparkir kereta di situ dan memanfaatkan stesen kereta api KTM Komuter yang sedang dalam pembinaan untuk ke pusat bandar raya. Membangunkan sistem pengangkutan rel memang penting, tetapi kalau tak ada jalan hendak ke stesen LRT / MRT / komuter / monorel pun tak guna juga.
Meskipun Hubungan Sri Damansara ini sudah pun dibuka secara rasmi, namun bangunan Persimpangan SEGAR ini pula masih belum siap sepenuhnya. Masih ada banyak kerja-kerja akhir yang masih belum siap sebelum hentian rehat ini mula beroperasi, dan ini termasuklah susun atur laluan motosikal di Exit 3322 ini.
Sebut tentang laluan motosikal, ada satu perkara yang saya perlu maklumkan kepada semua pengguna motosikal yang ingin menggunakan Hubungan Sri Damansara ini, memandangkan saya sendiri menggunakan motosikal SYM Sport Rider 125i semasa mengujinya. Kepada semua penunggang motosikal, anda WAJIB mengambil susur keluar ke Jalan Lang Emas / Segambut walaupun anda hendak jalan terus, kerana tiada lorong motosikal di plaza tol laluan utama; lorong motosikal Exit 3322 ini memerlukan anda mengambil cabang jalan susur keluar ke Jalan Lang Emas sebelum anda diberi pilihan untuk keluar ke Jalan Lang Emas atau teruskan perjalanan ke Sri Damansara. Jika anda datang dari arah Sri Damansara ke Jalan Duta / laluan utama E33, anda perlu mengambil jalan susur keluar ke Jalan Lang Emas dan terus pancung ke lorong paling kanan untuk memasuki lorong motosikal di plaza tol jalan susur masuk dari Jalan Lang Emas ke laluan utama.
Nampak rumit kan...? Ya, memang nampak rumit. Daripada situlah terletaknya peranan pemasangan papan tanda yang banyak dan jelas. Sayangnya, bab papan tanda inilah yang menjadi "tumit Achilles" (kelemahan) utama Kesturi, sejak pembukaan laluan asal pada tahun 2009, yang mana saya akan huraikan lebih lanjut pada bahagian akhir reviu ini. Langsung tiada papan tanda tunjuk arah yang jelas bagi membantu navigasi penunggang motosikal di Exit 3322 Persimpangan SEGAR ini, tetapi memandangkan kompleks R&R SEGAR ini masih belum siap sepenuhnya, ia masih boleh dimaafkan, tetapi hanya untuk sebulan sahaja.
Kembali semula ke laluan utama Hubungan Sri Damansara. Secara amnya, Hubungan Sri Damansara ini sangat lurus jika dibandingkan dengan Hubungan Tun Razak kerana Hubungan Sri Damansara ini dibina di atas Jalan Lang Emas dan Jalan Taman Bukit Maluri yang memang lurus. Setakat ini papan tanda had laju di laluan tersebut masih belum dipasang, tetapi saya menjangkakan had laju 80-90 km/j di Hubungan Sri Damansara ini berbanding hanya 50 km/j di Hubungan Tun Razak.
Exit 3323 Persimpangan Jalan Burung Hantu sekadar terdiri daripada sepasang tanjakan keluar dan masuk ke Jalan Lang Emas di bawah lebuh raya menuju persimpangan lampu isyarat Jalan Burung Hantu untuk ke Metro Prima Kepong dan pekan Kepong. Persimpangan ini juga merupakan jalan masuk utama daripada Bandar Menjalara.
Persimpangan terakhir pula ialah Exit 3324 Persimpangan Menjalara, yang diubahsuai daripada Persimpangan Bukit Maluri asal dan Persimpangan Sri Damansara yang terletak berhampiran. Pengubahsuaian ini dilakukan dengan membina jejambat pusingan U untuk ke arah Batu Caves melalui KL MRR2 FT28, susur masuk dari arah Batu Caves ke pusingan U tersebut untuk masuk ke Hubungan Sri Damansara, tanjakan masuk dari arah Sungai Buloh melalui Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 ke Hubungan Sri Damansara, serta jalan susur masuk baharu ke LDP E11 dari arah FT28.
Secara amnya saya sangat berpuas hati dengan pengalaman saya menggunakan Hubungan Sri Damansara ini, cuma saya masih belum berpuas hati terhadap penggunaan papan tanda yang saya sifatkan masih perlu penambahbaikan lagi. Papan tanda tunjuk arah ke setiap persimpangan di sepanjang Hubungan Sri Damansara sudah mula menunjukkan penambahbaikan positif dari segi jarak pemasangan (500 m sebelum persimpangan berbanding pemasangan saat akhir sebelum ini), tetapi ia sudah tentu lebih baik lagi jika jarak tersebut dapat ditingkatkan kepada 1 km (kecuali jika jarak antara persimpangan sudah terlalu rapat). Cuma, destinasi dan bandar kawalan yang digunakan pada papan tanda tunjuk arah masih lagi saya sifatkan terlalu banyak dan sepatutnya boleh diringkaskan kepada hanya 3 atau 4 tempat sahaja. Misalnya, bandar kawalan bagi arah barat boleh diringkaskan kepada hanya E1 Ipoh (tanpa Klang), FT54 Kuala Selangor, Sri Damansara (tanpa seksyen) dan E11 Petaling Jaya. Bandar kawalan bagi arah barat pula sepatutnya diringkaskan kepada hanya E8 Kuantan, E33 Ulu Klang (tanpa Ampang), E33 Pusat Bandar Raya (tanpa Bulatan Pahang) dan E1 Klang. Barulah jadi kurang berserabut.
Namun, kelemahan terbaru bagi papan tanda yang digunakan kali ini ialah tulisannya yang terlalu halus dan comel di papan tanda tanjakan masuk Exit 3322 Persimpangan Jalan Burung Hantu ke Hubungan Sri Damansara dan juga di papan tanda jalan masuk ke Exit 3321 Persimpangan Segambut. Sudahlah saya ini bermata empat, kena pula dengan papan tanda yang tulisannya halus. Kalau saya sekadar menunggang motosikal di lorong paling kiri tu tak apalah juga, tapi bagaimana pula kalau saya memandu kereta di lorong paling kanan...? Bagaimana pula dengan pemandu lain yang tahap penglihatan mereka jauh lebih teruk daripada saya...?
Kenapa saya begitu cerewet akan hal papan tanda ini...? Sesebuah papan tanda mestilah direka agar ia jelas kelihatan dari jarak sekurang-kurangnya 250 m dalam keadaan gelap. Aspek papan tanda ini lebih kritikal di lebuh raya ekspres, di mana pengguna lebuh raya memandu dengan lebih laju dan mempunyai masa lebih pendek untuk membuat keputusan untuk memilih jalan yang mana satu. Untuk membantu memudahkan pengguna lebuh raya membuat keputusan dengan pantas, rekaan papan tanda mestilah seringkas yang boleh (prinsip KISS), bukannya dirojakkan dengan sebegitu banyak bandar kawalan dan destinasi. Ambil tiga atau paling banyak pun empat bandar kawalan paling utama sudah cukup.
Apa akan terjadi sekiranya terlalu banyak bandar kawalan dirojakkan pada papan tanda penunjuk arah lebuh raya...? Terlalu banyak bandar kawalan yang dirojakkan pada papan tanda akan mengelirukan pengguna lebuh raya, seterusnya melambatkan tindak balas mereka dan menurunkan tahap fokus mereka di lebuh raya. Selain itu, terlalu banyak bandar kawalan pada papan tanda sudah tentu menyebabkan tulisan yang digunakan semakin kecil dan menjejaskan tahap kebolehnampakannya, terutamanya di kalangan pemandu yang mengalami masalah penglihatan.
Selain itu, papan tanda penunjuk arah perlu didirikan pada jarak tertentu sebelum persimpangan supaya pemandu boleh bersedia untuk menukar lorong jika hendak keluar ke persimpangan tersebut. Jika papan tanda penunjuk arah hanya didirikan pada saat-saat akhir, pemandu sudah tentu tidak bersedia dan berpotensi melakukan gerakan berbahaya bagi mengelakkan terlepas persimpangan, termasuklah memancung secara tiba-tiba dari lorong paling kanan dan mengundurkan kenderaan sekiranya terlajak. Di jalan persekutuan dan negeri, jarak 500 m diperlukan untuk persimpangan utama, manakala di lebuh raya ekspres pula jarak 1 km (bagi lebuh raya dalam bandar) hingga 2 km (bagi lebuh raya luar bandar) diperlukan.
Isu papan tanda di Lebuhraya DUKE E33 ini bukanlah satu isu baharu. Ia berlarutan sejak E33 mula dibuka pada tahun 2009. Isu ini bukan saya seorang sahaja yang membangkitkannya, malah ramai pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang menggunakan E33 juga memperkatakan perkara yang sama kepada saya. Namun, penambahbaikan oleh Kesturi dari segi jarak pemasangan papan tanda penunjuk arah di Hubungan Sri Damansara merupakan langkah pertama yang wajar dipuji, dan saya amat berharap lebih banyak penambahbaikan papan tanda oleh Kesturi diterapkan pada keseluruhan jajaran E33, terutamanya di Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar.
Apa pun, tahniah dan syabas kepada Kesturi kerana berjaya menyempurnakan keseluruhan projek DUKE 2 E33 melalui pembukaan Hubungan Sri Damansara ini. Lebuhraya DUKE E33 semenangnya lebuh raya yang menjadi laluan harian saya berulang-alik untuk pergi bekerja, dan lebih banyak manfaat dapat saya perolehi sejak pembukaan Hubungan Tun Razak, di mana saya memerlukan tidak sampai 10 minit dari Batu Caves ke Bulatan Pahang. Kini Kesturi boleh memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap projek Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) yang sedang berlangsung.
Maklumat lebuh raya
Kod laluan: E33
Panjang 7.4 km
Arah laluan: Timur-barat (Segambut-Sri Damansara)
Bilangan lorong: 6
Laman web: http://www.duke.com.my
JP: この高速道路看板がこんなに可愛いわけがない
MS: Tak mungkin tulisan papan tanda lebuh raya ini boleh "secomel" ini
Tunggu sekejap - kenapa laluan E1 ke Ipoh perlu dilencongkan melalui Hubungan Sri Damansara kalau sudah ada NKVE E1 di depan mata...?
Exit 3321 Persimpangan Segambut - senarai destinasi sepatutnya boleh diringkaskan kepada hanya Segambut dan Jalan Ipoh sahaja
Jalan susur masuk ke Hubungan Sri Damansara ini memanfaatkan sepenuhnya ruang bawah jejambat sedia ada di laluan asal E33
Exit 3322 Persimpangan SEGAR terletak lebih kurang 500 m selepas Exit 3321 Persimpangan Segambut
Plaza Tol Segambut di Exit 3322 Persimpangan SEGAR bagi laluan utama...
...dan di susur keluar ke Jalan Lang Emas
Bangunan utama kompleks Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Segambut yang masih belum siap sepenuhnya
Exit 3323 Persimpangan Jalan Burung Hantu ke Bandar Menjalara & Kepong Prima
Exit 3324 Persimpangan Menjalara, persimpangan terakhir bagi Hubungan Sri Damansara
Jalan susur baharu ke LDP E11 dari Hubungan Sri Damansara & KL MRR2 FT28
Hubungan Sri Damansara E33 dibina di atas Jalan Taman Bukit Maluri & Jalan Lang Emas
Tulisan pada papan tanda ini terlalu halus dan "comel" untuk pemandu bermata empat seperti saya
Exit 3321 Persimpangan Segambut dari Arah Sri Damansara ke laluan utama E33
Exit 3323 shouldn't be named as Exit Jalan Burung Hantu, as the exit ramp is on the left most lane and one has to cut across 3/4 lanes upon coming down the ramp on a very short stretch to make a right turn to Jalan Burung Hantu...
ReplyDeleteDepending on the final road lining on how it is drawn, it is not so safe at the moment, if not, we may need to have new traffic lights implementing "hook turn" at that junction
Great observation! I already forgot about that. Yes, just like you said, the Exit 3323 off-ramp is not suitable for right-turn to Jalan Burung Hantu, unless if DBKL provides a dedicated U-turn further ahead for those going to Jalan Burung Hantu.
DeleteYeah.. That's another way since hook turn is not in our driving books...
DeleteThere are still places with no guardrails yet... one skid and we gonna end up inside those car parts factory in Segambut
Asslm.Haha betul ... saya pun serabut tgk papan tanda DUKE ni.Sepatutnya pihak Kesturi sepatutnya meminimumkan tanda/pilihan papan tanda mungkin pihak Kesturi hanya manandakan Ulu Klang shj tanpa Ampang , Pusat Bandaraya sepatutnya tukar Bulatan Pahang kepada Jln.Tun Razak kerana ia lebih relevan sbb kebanyakkan pengguna ni bila mereka nampak Jln.Tun Razak diorang akan lebih familiar jln sbb Jln Tun Razak mereka boleh pergi ke KLCC,E2 Lebuhraya PLUS , B31 Jln.Ampang , E12 AKLEH , HKL , IJN , Tmn Tasik Titiwangsa , Kg Baru dan sebagainya.Bagi persimpangan dari Jalan Lang Emas pula menuju ke E33 Hubungan Sri Damansara pula , kenapa perlu letak terlalu banyak papan tanda arah jln sebegitu byk dgn tulisan secomel itu , mungkin pihak Kesturi boleh menandakan arah E8 Kuantan , E1 Ipoh , E33 Ulu Klang & Pusat Bandaraya shj kerana mungkin pengguna akan lebih mudah faham papan ini . Dan kenapa pihak Kesturi harus meletakkan FT54 Kuala Selangor dlm kotak/tanda berwarna biru ? sepatutnya pihak Kesturi harus manandakan arah dlm warna hijau & mungkin boleh tukar daripada FT54 Kuala Selangor kpd FT54 Sg.Buloh ?.Saya memang dh agak pihak Kesturi memang lemah sedikit dlm bab menandakan arah jalan ini. Utk dari arah E33 DUKE ( Ulu Klang & E1 NKVE/PLUS ) ,kenapalah perlu menletakkan Desa Park City ? Sepatutnya letak tempat komersial/tumpuan penduduk seperti Kepong,Sg Buloh,Sri Damansara. Saya juga tidak faham kenapa pihak E33 DUKE meletakkan tanda Ipoh/Klang yang sepatutnya mereka boleh terus sahaja dan ia juga lebih dekat tanpa perlu membayar tol,mungkin ini langkah mereka utk memaksa pengguna memasuki E33 Sri Damansara Link dan membayar tol seterusnya menempuh kesesakan di FT54 Jln Kuala Selangor itu sebelum memasuki EXIT 113 Persimpangan Sg.Buloh ( E1 PLUS ) .Satu lagi kenapa pihak Kesturi tdk mengemas kini papan tanda yang baru dari arah Ulu Klang atau E1 NKVE , sepatutnya mereka mengemas kini dengan tanda arah yg baru sejajar dgn pembukaan dua hubungan baru ini Tun Razak Link & Sri Damansara Link ini.
ReplyDeleteSetuju dengan pendapat anda.
Delete