Wednesday, November 29, 2017

Jalan Pintasan Rawang FT37 membelah awan / Rawang Bypass FT37 through the sky




Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia kembali bersiaran semula setelah sekian lama susulan kesibukan kerja dan seterusnya saya mengambil kesempatan bercuti ke Langkawi bersama keluarga. Sebagai hadiah ulang tahun keenam Blog Jalan Raya Malaysia, saya bawakan kepada anda liputan perasmian Jalan Pintasan Rawang yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.

Saya dijemput untuk menghadiri upacara perasmian Jalan Pintasan Rawang yang diadakan pada 28 November 2017 bertempat di bahagian tertinggi jejambat Jalan Pintasan Rawang yang menjadi mercu tanda utama jalan ini. Dengan ketinggian maksimum 58.2 m, jejambat Jalan Pintasan Rawang kini secara rasmi memegang takhta sebagai jejambat tertinggi di Malaysia. Tempat kedua pula ialah jejambat Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 di Lojing, Kelantan (saya tidak pasti ketinggiannya, harap pihak JKR dapat memaklumkannya kepada saya) manakala Jejambat Bukit Putus FT51 setinggi 48 m yang dahulunya memegang tangga kedua kini jatuh ke tangga ketiga.

Laluan ke majlis perasmian memerlukan saya menggunakan penghujung sebelah utara di Persimpangan Serendah, jadi saya menggunakan Jalan Batu Caves-Hulu Yam B23 dan seterusnya ke selatan melalui Jalan Kuala Lumpur-Ipoh FT1 untuk memintas kesesakan bandar Rawang, memandangkan saya perlu ke tapak majlis perasmian pada waktu orang ramai sibuk ke tempat kerja. Jadi saya menggunakan peluang ini untuk merasai sendiri pengalaman mencuba Jalan Pintasan Rawang ini. Sayangnya, saya tidak dapat mengambil gambar untuk reviu kali ini dan sepanjang majlis perasmian kerana kamera telefon pintar saya rosak setelah telefon pintar Sony Xperia M4 Aqua Dual saya terjatuh ke atas jalan semasa saya menunggang motosikal beberapa minggu sebelumnya. Jadi, saya terpaksa meminjam beberapa gambar daripada Puan Noreha Mohd. Ripin dan juga Kementerian Kerja Raya sendiri; gambar yang saya ambil pula akan menyusul sebaik saya kembali menggunakan jalan ini sebaik kamera telefon pintar saya dibaiki.

Jalan Pintasan Rawang ini pendek sahaja, iaitu 9 km. Hanya ada dua sahaja persimpangan utama di sepanjang laluannya iaitu Persimpangan Taman Rimba Templer dan Persimpangan Serendah. Tidak lama selepas memasuki Jalan Pintasan Rawang melalui Persimpangan Serendah, pembahagi jalan melebar sebelum pusingan-U jenis lorong laju ke lorong laju sebelum kedua-dua hala terpisah seketika sebelum bercantum kembali.

Jalan Pintasan Rawang ini dibina sebagai jalan raya kembar yang memang lebar dan sangat selesa, tetapi ia bukanlah sebuah lebuh raya ekspres meskipun tiada langsung persimpangan lampu isyarat di sepanjang laluannya. Kalau tak silap saya, ada jugalah lebih kurang dua atau tiga persimpangan LILO di sepanjang laluan, tetapi persimpangan tersebut lebih kepada persimpangan tunas (stub) sahaja. Jalan Pintasan Rawang ini dibina sebagai jalan raya kembar mengikut piawaian geometri JKR R5 dengan lebar lorong 3.5 m, jadi had laju yang dikenakan ialah 80 km/j.

Selepas lebih kurang 6 km melalui jalan atas tanah (at-grade), Jalan Pintasan Rawang melalui tarahan ala-Grand Canyon sebelum melalui jejambat sepanjang 2.7 km, yang membawa saya ke tapak majlis perasmian tadi. Khemah bagi majlis perasmian didirikan di bahagian tertinggi jejambat tersebut iaitu 58.2 m dari aras tanah. Kalau diukur dari aras laut pula berapa ketinggiannya...? Bahagian tertinggi jejambat Jalan Pintasan Rawang didirikan di atas kawasan berbukit yang ketinggiannya dianggarkan sekitar 150 m dari aras laut, jadi anda boleh kira sendiri berapakah ketinggian jejambat tersebut dari aras laut. Tidak kurang ramai juga yang berasa gayat semasa melihat pemandangan di jejambat tersebut. Saya juga akui jejambat ini memang tinggi, tetapi disebabkan saya sudah pun mencuba kereta kabel Skycab dan Jambatan Skybridge di Gunung Mat Chinchang di Langkawi setinggi 713 m dari aras laut, maka saya tidak pun terasa gayat semasa berada di jejambat Jalan Pintasan Rawang ini.

Disebabkan jejambat yang dibina sebegitu tinggi ini, terdapat kebimbangan akan ada orang yang menjadikan lokasi tertinggi jejambat Jalan Pintasan Rawang setinggi 58.2 m sebagai lokasi terbaharu untuk membunuh diri. Apa tidaknya, statistik yang dikeluarkan baru-baru ini mengenai tahap kesihatan mental mengikut negeri di Malaysia kini semakin membimbangkan. Depresi bukan perkara main-main kerana selebriti popular seperti Chester Bennington, vokalis kumpulan Linkin Park pun boleh terkorban kerana membunuh diri bahana depresi. Namun, bunuh diri merupakan perkara di luar kawalan kerana pelakunya tidak semestinya perlu ke tempat tinggi untuk membunuh diri. Barang kali Kementerian Kerja Raya boleh mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga bagi mendirikan papan tanda khidmat nasihat masyarakat untuk membantu golongan yang mengalami depresi melalui khidmat kaunseling agar mereka tidak membunuh diri di jejambat ini.

Seterusnya, jejambat Jalan Pintasan Rawang menuruni kecerunan 5.8% sebelum bertemu dengan Lebuhraya Rawang FT1 melalui Persimpangan Taman Rimba Templer. Kecerunun sebegini pada pendapat saya sudah cukup landai dan sepatutnya tidak akan menimbulkan masalah hilang kawalan jika anda mematuhi had laju yang ditetapkan. Sudah pasti akan ada  di kalangan para pembaca budiman yang mempersoalkan, kenapa Jalan Pintasan Rawang tidak dihubungkan dengan Lebuhraya Latar E25...? Jawapannya mudah sahaja, iaitu skop dan tujuan yang berbeza. Jalan Pintasan Rawang dibina bagi membolehkan pengguna jalan raya dari Serendah, Sungai Choh, Hulu Yam, Antara Gapi, Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim memintas kesesakan bandar Rawang untuk ke Kuala Lumpur. Sementara itu, Lebuhraya Latar E25 pula dibina sebagai salah satu komponen Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur KLORR). Jika kedua-duanya dihubungkan terus, maka sudah tentulah akan terkeluar daripada tujuan asal kedua-dua laluan tersebut dibina.

Saya percaya, pastinya ramai di kalangan anda yang begitu mengagumi pembinaan jejambat Jalan Pintasan Rawang sebagai satu mahakarya kejuruteraan jalan raya paling mutakhir dalam sejarah Malaysia. Kenapa pemilihan jejambat ini dipilih...? Jawapannya terkandung dalam ucapan perasmian oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut menceritakan sedikit-sebanyak sejarah pembinaannya, jadi saya himpunkan dengan sejarah ringkas yang pernah saya tulis sebelum ini untuk menghasilkan sejarah lengkap pembinaannya.

Sejarah Jalan Pintasan Rawang sebenarnya berakar umbi daripada projek Lebuhraya Kuala Lumpur Arah Serendah (LeKLAS) yang sepatutnya dibina sebagai projek lebuh raya ekspres yang diswastakan. Konsesi bagi LeKLAS ini diberikan kepada LeKLAS Sdn. Bhd. (yang terdiri daripada MGIC Berhad, Ribuan Kerjaya Sdn. Bhd., Gabungan Delima Sdn. Bhd. dan Disitu Holding Sdn. Bhd.) pada 20 Jun 1998. Namun, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang sudah ditandatangani perjanjian konsesi pada masa itu (kecuali Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22) yang dibatalkan sama sekali ataupun dihidupkan semula sama ada melalui pengambilalihan oleh syarikat konsesi lain ataupun dijadikan sekadar naik taraf jalan persekutuan sedia ada, projek LeKLAS turuf menerima nasib yang sama setelah kontraktor asal menarik diri akibat kesan kegawatan ekonomi 1997. Hasilnya, projek LeKLAS kini dihidupkan semula sebagai projek Jalan Pintasan Rawang tetapi bukan sebagai projek lebuh raya ekspres, tetapi sebagai projek lebuh raya kembar.

Projek Jalan Pintasan Rawang diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2005 sebagai salah satu projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) susulan masalah kesesakan teruk di bandar Rawang. Perjalanan melalui Jalan Kuala Lumpur-Ipoh FT1 dari Serendah ke Bandar Baru Selayang atau sebaliknya boleh mencecah sehingga 2 jam pada waktu gegas. Memang ada pilihan untuk menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 melalui Exit 118 Persimpangan Bukit Beruntung ataupun Exit 117 Persimpangan Sungai Buaya, tetapi tidak semua orang yang sanggup membayar tol setiap hari, khususnya pada zaman sekarang di mana kos sara hidup mencanak naik. Asalnya LeKLAS dicadangkan pembinaannya atas sebab sama, tetapi setelah projek tersebut dibatalkan bahana kesan kegawatan ekonomi serantau pada tahun 1997, maka kerajaan menghidupkannya semula tetapi sebagai projek lebuh raya kembar dengan nama Jalan Pintasan Rawang. Projek Jalan Pintasan Rawang ini dibina oleh kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Syarikat Panzana Enterprise Sdn. Bhd. dengan kos kontrak RM628 juta.

Pembinaan Jalan Pintasan Rawang ini dilaksanakan dalam dua peringkat. Peringkat pertama ialah menaik taraf jajaran Lebuhraya Rawang FT1 dari Persimpangan Bandar Baru Selayang Utara sehingga ke Taman Rimba Templer sepanjang 12.5 km daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya kembar 4 lorong. Projek naik taraf ini siap pada tahun 2007.

Peringkat kedua pula ialah pembinaan laluan serba baharu sepanjang 9 km, dan peringkat inilah yang memakan masa paling lama disebabkan isu alam sekitar. Ya, kerana terdapat isu alam sekitar yang rumit untuk diselesaikan sehingga memaksa jajarannya direka semula. Bukannya kerana JKR mahupun pihak kontraktor berlenggang-kangkung. Sebenarnya, jajaran asal Jalan Pintasan Rawang ini dirancang lebih panjang dan 100% dibina at-grade. Namun, ia mendapat bantahan daripada kalangan pencinta alam sekitar yang tidak mahu projek Jalan Pintasan Rawang memberi impak negatif terhadap alam sekitar, memandangkan jajaran asal itu merentasi Taman Warisan Negeri Selangor dan Taman Rimba Templer yang tentunya mengakibatkan kemusnahan hutan yang meluas. Namun, warga Rawang, Serendah dan Sg. Choh tetap mahukan projek Jalan Pintasan Rawang dibina dan disiapkan. Hasil daripada perbincangan dengan pemimpin masyarakat setempat dan NGO alam sekitar, akhirnya JKR tampil dengan idea membina jejambat mengelilingi sempadan Taman Warisan Negeri Selangor yang diterima baik oleh semua pihak.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang membandingkan jejambat Jalan Pintasan Rawang dengan pelbagai jejambat lintasan pergunungan lain di dunia seperti Jejambat Kelok 9 di Indonesia, malah ada juga yang membandingkannya dengan Jejambat Milliau A75 di Perancis. Namun, pada pendapat saya, perbandingan yang paling sepadan adalah dengan jejambat Interstate 70 di Glenwood Canyon, Colorado, Amerika Syarikat, memandangkan jenis struktur jejambat yang dipilih adalah hampir sama, iaitu daripada jenis jejambat galang kotak. Kedua-dua jejambat juga dibina atas tujuan yang sama iaitu untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Satu-satunya perbezaan antara Jejambat Glenwood Canyon I-70 dengan Jejambat Jalan Pintasan Rawang ialah hanya lalu lintas arah barat sahaja melalui Jejambat Glenwood Canyon di I-70, manakala bagi kes Jalan Pintasan Rawang pula jejambat didirikan untuk kedua-dua hala. Perbezaan tersebut wujud kerana jajaran Interstate 70 di Glenwood Canyon dibina hasil naik taraf Jalan US 6.




Jejambat Glenwood Canyon di Interstate 70


Memandangkan jejambat Jalan Pintasan Rawang ini sangat tinggi, maka jenis jambatan dan tiang yang dipilih juga mestilah bersesuaian supaya dapat meninggalkan kesan jejak minimum terhadap alam sekitar. Jejambat pergunungan yang lebih ekstrim seperti Jejambat Milliau A75 di Perancis serta banyak jejambat pergunungan di China menggunakan rekaan ekstrim seperti jambatan gantung atau jambatan kabel penahan. Memanglah kedua-dua jambatan ini menawarkan bilangan tiang yang minimum, tetapi pada pendapat saya kedua-dua rekaan tersebut tidak sesuai kerana dua sebab. Pertama, meskipun jambatan gantung dan kabel penahan menawarkan bilangan tiang yang minimum, tetapi membina setiap tiang itu sendiri memakan jejak yang besar. Harus diingat bahawa Jalan Pintasan Rawang ini merentasi Taman Warisan Negeri Selangor yang menempatkan spesies pokok terancam, pokok Giam Kanching, yang hanya terdapat di situ sahaja. Hasilnya, rekaan jejambat galang kotak dipilih kerana meskipun bilangan tiang yang perlu didirikan itu banyak, namun setiap satunya memakan jejak yang kecil di sepanjang sempadan hutan simpan tersebut.

Sebab kedua pula ialah kerana jejambat Jalan Pintasan Rawang melintasi laluan kabel penghantaran 500 kV Tenaga Nasional. Maka, sudah tentulah pemasangan kabel jambatan bukan sahaja akan membahayakan nyawa pengguna jejambat terhadap ancaman kejutan elektrik bervoltan tinggi, tetapi turut mengancam nyawa para pekerja pembinaan jejambat itu sendiri.




Persembahan video penerangan projek Jalan Pintasan Rawang oleh JKR


Jejambat yang sebegitu tinggi ini memerlukan rekaan tiang yang kukuh. maka tiang-tiang jejambat dibina menggunakan kaedah tiang berkembar dengan rasuk pengikat tengah serta rasuk T berkembar tuangan in-situ menggunakan Sistem Abah-abah Atas Boleh Gerak (MSS). Melalui kaedah ini, tiang bagi kedua-dua hala saling menyokong antara satu sama lain, menjadikan tiang-tiang tersebut kukuh meskipun kesemua tiang didirikan di kawasan berbukit.

Sehubungan dengan pembukaan Jalan Pintasan Rawang ini, saya bagi pihak Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan pembinaannya, khususnya kepada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya dan Syarikat Panzana Enterprise Sdn. Bhd. Ternyata Jalan Pintasan Rawang ini merupakan satu mahakarya kejuruteraan jalan raya kebanggaan semua, menjadikan penantian warga Rawang, Serendah dan Sungai Choh selama 12 tahun - atau lebih tepat lagi, 19 tahun sejak projek Lebuhraya Kuala Lumpur Arah Serendah (LeKLAS) diumumkan pembinaannya. Meskipun ia dibina sebagai lebuh raya kembar capaian separa dan bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal, ia tetap bersesuaian dengan fungsinya memandangkan hanya ada dua sahaja persimpangan di sepanjang laluannya, menghapuskan keperluan untuk menjadikannya sebagai lebuh raya bertol. Dengan siapnya Jalan Pintasan Rawang ini, mimpi ngeri penduduk Rawang, Serendah dan Sungai Choh yang terpaksa meredah kesesakan sehingga 2 jam kini sudah berlalu. Paling penting, lebuh raya ini pastinya berupaya menjadikan penggunanya ingin terus menggunakannya lagi dan lagi susulan panorama indah Taman Warisan Negeri Selangor yang disajikannya.

Bila ia sudah boleh digunakan...? Pada masa saya menerbitkan entri ini, ia sepatutnya sudah pun dibuka bermula 9.00 pm pada malam hari pembukaannya. Jika anda bertanya kepada saya kod laluannya, kod laluannya masih belum diketahui lagi tetapi yang pasti, Jalan Pintasan Rawang ini jalan persekutuan. Mengenai kod laluan, saya ingin mengesyorkan kepada Bahagian Perancangan Jalan JKR & Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof agar Jalan Pintasan Rawang ini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 1; laluan asal Jalan Persekutuan 1 di bandar Rawang pula saya ingin syorkan agar dikekalkan kod laluannya tetapi diwujudkan satu kelas baharu jalan persekutuan iaitu sebagai Jalan Persekutuan Niaga. Nak tahu apa yang saya maksudkan dengan Jalan Persekutuan Niaga...? Nantikan entri seterusnya mengenai cadangan kelas Jalan Persekutuan Niaga.



Kemaskini: Waze Malaysia memaklumkan bahawa Jalan Pintasan Rawang sudah diwartakan sebagai Jalan Persekutuan dengan kod laluan FT37.





Video reviu Jalan Pintasan Rawang
(kredit video: Tru-Builder)




Jajaran at-grade yang kosong dan tiada persimpangan lain




Tarahan bukit ala-Grand Canyon




Bermulanya jejambat ikonik sepanjang 2.7 km




Bahagian tertinggi jejambat Jalan Pintasan Rawang ini tingginya 58.2 m dari aras tanah. Jangan ada yang bunuh diri di sini pula
(Kredit gambar: Kapt. Elman Mohd. Tahir)



Menyambut kedatangan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof
(Kredit gambar: Pn. Misiah Taib)




Ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha




Datuk Seri Fadillah memberikan ucapan perasmian yang turut menceritakan sebahagian sejarah pembinaan Jalan Pintasan Rawang




Upacara simbolik perasmian Jalan Pintasan Rawang




Plak perasmian Jalan Pintasan Rawang yang ditandatangani Datuk Seri Fadillah Yusof

No comments:

Post a Comment