Beginilah rupa Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 semasa konvoi Sagathon pada tahun 1986 bagi membuktikan ketahanan kereta Proton Saga
(Kredit gambar: Motor Trader)
Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana terlalu lama tidak menulis untuk Blog Jalan Raya Malaysia susulan kesibukan kerja. Kini, setelah bebanan kerja semakin berkurangan, maka dapatlah saya menulis semula dengan lebih kerap, terutamanya bagi menyambung baki reviu jalan raya untuk siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan dan Zon Utara. Tetapi sebelum itu, izinkan saya menulis satu entri sejarah lengkap jalan raya utama pertama di Sarawak sementara saya sedang memperoleh bahan rujukan berharga yang mencukupi untuk dikongsi bersama, khususnya buat anak-anak Sarawak yang dambakan sejarah asal-usul jalan raya utama di negeri kesayangan mereka ini.
Seperti yang anda dapat saksikan di Sarawak, projek Lebuhraya Pan Borneo yang merupakan projek naik taraf jalan persekutuan sedia ada kepada lebuh raya kembar sedang rancak dibina. Projek ini dilancarkan oleh kerajaan persekutuan bagi menjawab tohmahan kononnya kerajaan persekutuan meminggirkan Sabah dan Sarawak dalam hal pembinaan rangkaian jalan raya, tetapi dalam masa yang sama juga kadar kepadatan penduduk di Sabah dan Sarawak masih lagi tidak cukup padat untuk membina rangkaian lebuh raya ekspres capaian terkawal seperti di Semenanjung Malaysia. Untuk pengetahuan anak-anak Sarawak sekalian, sebenarnya kerajaan negeri Sarawak memang ada merancang untuk membina lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama dari Kuching ke Sibu dengan kod laluan FQ2, tetapi tiada maklumat mengenai bila ia akan dibina. Yang saya boleh katakan, lama lagi setelah kawasan di sepanjang Kuching-Sibu menjadi bertambah maju dan makmur setelah siapnya projek lebuh raya kembar Pan Borneo kelak.
Ramai yang mendakwa kononnya kerajaan persekutuan sengaja meminggirkan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan rangkaian jalan raya dan hanya melebihkan Semenanjung sahaja, yang mana dakwaan tersebut dicanangkan sebagai punca utama rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan berbanding Semenanjung, sedangkan hakikatnya bukan begitu. Untuk pengetahuan para pembaca di Sarawak terutamanya, rangkaian jalan raya di Semenanjung lebih cepat berkembang maju kerana sejarah pembinaan rangkaian jalan raya Semenanjung yang jauh lebih lama berbanding rangkaian jalan raya di Sarawak, sejak kurun ke-19 lagi. Misalnya, Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5 masing-masing mula dibina pada tahun 1880, 1866 dan 1887 oleh pihak penjajah British, sedangkan pada masa yang sama di Sabah dan Sarawak pula, North Borneo Chartered Company dan Dinasti Rajah Brooke tidak pula membangunkan rangkaian jalan raya tetapi sekadar menggunakan jalan air (sungai & laut) sebagai pengangkutan utama.
Sementara itu, sejarah rangkaian jalan raya di Sarawak hanya bermula selepas Perang Dunia Kedua. Malah, kebanyakan jalan raya utama di Sarawak hanya dibina sekitar dekad 1960-1980an. Setelah Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia, agenda pertama yang dirangka pada Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) yang diumumkan pada tahun 1965 ialah membangunkan satu rangkaian jalan raya tulang belakang utama di Sarawak, yang dikenali sebagai First Trunk Road (Jalan Raya Utama Pertama). Memandangkan pada masa itu secara amnya belum wujud sebarang rangkaian jalan raya utama jarak jauh di Sabah dan Sarawak, maka projek jalan raya tersebut juga disebut sebagai Lebuhraya Trans Borneo dan seterusnya Lebuhraya Pan Borneo.
Tarikh spesifik setiap jajaran dibina tidak dapat saya pastikan kerana tiada dokumentasi yang dapat ditemui mengenainya. Yang pasti, Jalan Raya Utama Pertama ini mempunyai 92 bahagian kesemuanya, yang dibina secara berperingkat. Namun, apa yang saya boleh katakan, cara setiap jajaran itu dibina agak kurang sistematik berikutan sifat kebanyakan bandar utama Sarawak yang didirikan di tebing-tebing sungai utama. Jadi, untuk membina setiap jajaran, sebatang jalan dibina terus dari bandar A ke bandar B, dan jika hendak disambung ke bandar C, maka satu simpang dibina beberapa kilometer dari bandar B sebagai permulaan jalan dan jalan raya dibina sehingga ke bandar C. Proses yang saya sebutkan tadi diulang semula sehinggalah keseluruhan Jalan Raya Utama Pertama siap. Teknik pembinaan sebegini mewujudkan beberapa jalan cabang untuk masuk ke beberapa bandar seperti Sri Aman, Sarikei dan Sibu.
Memandangkan jalan-jalan cabang tersebut merupakan satu-satunya laluan keluar masuk ke bandar masing-masing, maka terdapat satu kelemahan besar bagi pendekatan tersebut. Sekiranya jalan raya runtuh atau rosak teruk akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, maka bandar-bandar yang dihubunginya terputus terus hubungan dengan dunia luar tanpa sebarang laluan alternatif. Bagi kes Sarikei dan Sibu, kelemahan ini diatasi dengan membina satu rangkaian jalan negeri antara kedua-dua bandar tersebut sebagai laluan alternatif tanpa perlu melalui Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1, yang mana Jambatan Lanang melengkapkan rangkaian jalan negeri tersebut.
Hanya ada dua sahaja jajaran yang didokumentasikan pembinaannya, iaitu jajaran Sibu-Bintulu dan Lawas-Merapok-Sindumin. Jajaran Lawas-Merapok-Sindumin siap pada tahun 1981, di mana ia dihubungkan dengan Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 yang siap pada tahun yang sama. Sementara itu, jajaran Sibu-Bintulu pula siap sepenuhnya pada tahun 1985 sebagai jajaran terakhir Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 setelah siapnya Jambatan Batang Kemena FQA1 di Bintulu pada tahun 1982 dan Jambatan Tatau FQA1 pada tahun 1985.
Namun begitu, ia belum bermakna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 sudah siap sepenuhnya. Pada masa itu, kebanyakan jajaran Jalan Raya Utama Pertama Sarawak masih lagi merupakan jalan tanah merah. Ia dibuktikan semasa program jelajah Sagathon Rally 1986 anjuran Proton dan Edaran Otomobil Nasional (EON) selaku pengedarnya pada masa itu bagi menunjukkan ketahanan kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga. Dikatakan majoriti daripada 1,111 km laluan dari Kota Kinabalu ke Kuching pada masa itu merupakan jalan tanah merah yang tidak berturap. Hanya semasa tempoh Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) berakhir pada tahun 1995 barulah Jalan Raya Utama Pertama Sarawak aka Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQB1/FQC1 siap sepenuhnya sebagai jalan raya berturap. Setelah Akta Jalan-jalan Persekutuan 1959 dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak pada tahun 1984, maka Jalan Raya Utama Pertama Sarawak diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 1 pada tahun 1996, sesuai dengan namanya.
Kini keseluruhan 1,077 km Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQB1/FQC1 sedang dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar seperti ini
Secara keseluruhannya, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQB1/FQC1 ini mengambil masa selama 30 tahun untuk disiapkan sejak ia mula diumumkan pada tahun 1965. Ia dibina secara berperingkat, bermula sebagai jalan tanah merah, seterusnya jalan kerikil dan akhirnya sebagai jalan raya berturap. Disebabkan itu jugalah maka ada di antara jajaran yang dibina sempit dan hanya memenuhi piawaian JKR R3 (lebar lorong 3.0 m, had laju reka bentuk 70 km/j). Untuk memenuhi keperluan negeri Sarawak terutamanya dalam bidang pengangkutan dan industri, maka Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQB1/FQC1 asalnya dicadangkan untuk dinaiktaraf sebagai jalan super two tetapi akhirnya dimuktamadkan untuk dinaik taraf sebagai lebuh raya kembar.
No comments:
Post a Comment