Tuesday, October 23, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 8: Martabat jalan raya Sarawak di Jalan Bintulu-Miri FQA1 / Reputation of Sarawakian highways at Bintulu-Miri Road FQA1




Salam sejahtera,

Seperti yang anda semua sedia maklum, komplen nombor satu saya mengenai rangkaian jalan raya Sarawak ialah pada papan tanda yang digunakan. Kebanyakan papan tanda yang digunakan bukan sahaja tidak mengikut Arahan Teknik (Jalan) 2E/85 - Guide Sign Design and Application, malah tiada piawaian seragam dari segi jenis font tulisan, warna tulisan serta warna latar belakang yang digunakan pada papan tanda. Selain itu, kod laluan juga tidak digunakan. Akibatnya, orang-orang Sarawak tidak dapat membezakan yang mana satu jalan persekutuan dan jalan negeri kendalian Jabatan Kerja Raya Sarawak dan yang mana satu jalan perbandaran kendalian pihak berkuasa tempatan. Daripada situ bermulalah episod tendang-menendang aduan kerosakan jalan umpama bola. Setiap kali ada jalan berlubang, JKR Sarawak sering menjadi beg tinju masyarakat, meskipun jalan yang rosak itu bukan jalan selenggaraan JKR Sarawak. Reputasi jatuh, maruah tercalar.




Jadi bagaimanakah JKR Sarawak boleh memulihkan kembali maruah dan reputasi mereka selaku badan yang diamanahkan untuk membina dan menyelenggara infrastruktur untuk rakyat terutamanya jalan raya...? Memang betul Sarawak melalui Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) sedang membina sebatang lebuh raya kembar yang bakal menjadi kebanggaan kebanggaan rakyat Sarawak. Tetapi itu sahaja masih belum mencukupi untuk memartabatkan rangkaian jalan raya Sarawak dalam erti kata sebenar. Untuk mengangkat kembali martabat jalan raya Srawak serta maruah JKR sebagai pemegang amanah rakyat Sarawak untuk membina dan memelihara rangkaian jalan raya Sarawak, maka segala-galanya perlu dimulakan dengan perkara asas. Asas yang diterapkan kepada anggota tentera untuk membina satu pasukan tentera yang sangat kuat dan digeruni ialah melalui latihan kawad kaki. Maka, asas untuk memartabatkan jalan raya perlu dimulakan dengan melakukan transformasi besar-besaran terhadap papan tanda jalan raya Sarawak. Jenis papan tanda bagaimana yang saya kehendaki...? Baca sehingga habis untuk mengetahuinya.

Bagi mengakhiri perjalanan hari terakhir jelajah FTRoadpedia Sarawak, kami masih perlu menamatkan baki 203 km perjalanan dari Bintulu ke Miri melalui Jalan Bintulu-Miri. Seperti Jalan Kuching-Sri Aman FQA1, Jalan Bintulu-Miri FQA1 bermula dari bandar Bintulu sebagai Jalan Negeri Sarawak, tetapi saya tidak tahu Q berapa kerana seperti di kebanyakan bandar lain di Sarawak, kod laluan sangat jarang digunakan pada papan tanda jalan raya. Hmm... bagaimana hendak hentikan kecaman masyarakat terhadap JKR kalau papan tanda pun tak ikut garis panduan Arahan Teknik JKR dan tiada kod laluan...? Apa pun, Jalan Bintulu-Miri hanya mula menggunakan kod laluan FQA1 bermula di Persimpangan Nyabau.

Tidak lama selepas meninggalkan Bintulu, keadaan jalan menjadi sangat selesa dan sangat mulus. Apa tidaknya, jajaran yang saya lalui itu ialah jajaran Persimpangan Nyabau-Persimpangan Bakun, salah satu daripada dua jajaran perintis bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 selain Jalan Teluk Melano-Sematan. Maka, sebahagian besar jajaran sudah hampir siap kecuali Persimpangan Nyabau, Persimpangan Bakun serta sebilangan kecil bahagian di jajaran tersebut. Jajaran Persimpangan Nyabau-Persimpangan Bakun ini memberikan bayangan keseluruhan bagaimana rupanya keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 apabila siap kelak. Apabila projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 siap kelak, ia betul-betul menyerupai Lebuhraya Segamat-Muar FT23, Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5, Lebuh AMJ FT19 dan Jalan Raya Utama Tengah (CSR) FT34. Mungkin status FQA1 sebagai lebuh raya kembar capaian terhad dan bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal menyebabkan anda memandang rendah tentang FQA1, tetapi biar saya bongkarkan satu fakta yang bakal membeliakkan mata anda - baru-baru ini projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 telah memenangi Anugerah Tahun dalam Infrastruktur 2018 bagi kategori Jalan Raya dan Lebuh Raya, mengalahkan dua finalis lain yang mana kedua-duanya merupakan projek lebuh raya ekspres capaian terkawal: Projek Koridor Interstate 59/Interstate 20 di Alabama, Amerika Syarikat dan projek Lebuhraya Zhengzhou-Xixia di China. Serius...!!!

Di Persimpangan Bakun, kerja pembinaan persimpangan bertingkat di situ sedang berjalan dengan rancak. Jalan Bakun FQ803 dibina sebagai jalan masuk ke Empangan Bakun, empangan hidroelektrik terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, dengan kapasiti janaan 2,400 MW. Kapasiti penjanaan yang sangat besar ini menyebabkan terdapat rancangan untuk membangunkan satu sistem grid elektrik bagi menghubungkan Bakun dengan Sabah dan Kalimantan, malah pernah ada rancangan untuk memasang kabel bawah tanah untuk dihubungkan dengan Sistem Grid Nasional di Semenanjung Malaysia. Sebenarnya, sebelum ini terdapat dua kali cubaan membinanya pada tahun 1980an dan 1990an tetapi gagal atas sebab kegawatan ekonomi.

Sementara itu, jalan di sebelah kiri yang juga dihubungkan ke Persimpangan Bakun merupakan sebatang jalan raya baharu ke Kawasan Perindustrian Samalaju, sebuah kawasan perindustrian baharu yang diwujudkan di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri. Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri mula dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2007 sebagai satu lagi laluan alternatif dari Bintulu ke Miri.

Jalan Bintulu-Miri FQA1 ini sangat lengang dan sangat kosong tanpa ada apa-apa pekan. Kalau ada insiden tidak diingini seperti kenderaan rosak, memang azablah jawabnya. Secara kebetulan semasa hari sudah hampir senja, saya ternampak ada seorang penunggang motosikal yang terpaksa menolak motosikalnya yang rosak. Di mana letaknya pekan paling hampir...? Pekan pertama yang saya temui sepanjang Jalan Bintulu-Miri FQA1 ialah Batu Niah, dan jaraknya ialah 107 km dari Pesimpangan Nyabau di Bintulu. Ya, serius saya katakan. Justeru, pastikan kenderaan anda diselenggara dengan baik untuk mengelakkannya rosak di tengah jalan - serius azab...!!!

Seperti namanya, pekan Batu Niah terletak berhampiran dengan Taman Negara Gua Niah yang menempatkan Gua Niah, gua terbesar di Malaysia. Maka kemakmuran pekan Batu Niah datang bukan sahaja daripada pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 yang lalu-lalang, tetapi juga sebagai pekan persinggahan bagi yang hendak ke Gua Niah. Dari Batu Niah, Miri hanya tinggal 96 km, tetapi sebelum itu masih ada satu lagi pekan persinggahan iaitu Bekenu. Jarak Bekenu dari Batu Niah ialah 52 km. Sementara itu, jarak dari Batu Niah ke pekan Beluru pula 58 km dan perlu memasuki Jalan Beluru-Bakong.

Hari sudah malam. Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 malam. Kami dimaklumkan bahawa rombongan akan singgah sebentar di tapak projek Pakej 11 di Sungai Tangap sebagai persinggahan terakhir kami sebelum tiba di Sibu. Di pejabat tapak projek, pihak LBU menjamu kami dengan makan malam yang lazat seperti nasi berlaukkan kari kambing. Selesai makan malam, kami meneruskan perjalanan kami ke Miri.

Selepas sebegitu jauh berjalan, kelibat petempatan mula kelihatan tatkala perjalanan berbaki 11 km sahaja lagi. Lega...!!! Akhirnya perjalanan yang sangat panjang bakal berakhir di Miri, bandar raya kedua terbesar di Sarawak selepas Kuching. Jalan FQA1 bertukar menjadi jalan raya kembar sehingga ke Miri. Seperti yang pernah saya katakan, Miri merupakan satu-satunya bandar kawalan di sepanjang FQA1 di mana FQA1 merentasi pusat bandar rayanya. Jika dibandingkan dengan bandar kawalan lain di sepanjang FQA1 termasuklah Kuching, FQA1 dilencongkan melalui simpang tiga atau bulatan ke arah lain tanpa merentasi pusat bandarnya.

Bermula dari Persimpangan Lapangan Terbang Miri, mata saya disajikan dengan pemandangan yang betul-betul saya ingin lihat selama ini sepanjang berada di Sarawak - papan tandanya. Sepanjang FQA1 sehinggalah ke hotel penginapan kami di Pullman Miri Waterfront untuk malam terakhir FTRoadpedia Sarawak, papan-papan tanda di sepanjang jalan sudah banyak digantikan dengan papan tanda format baharu JKR - warna latar biru gelap yang seragam, tulisan putih yang menggunakan font Transport, dan yang paling penting, dilengkapi jata laluan serta nombor laluan. Papan tanda seperti inilah yang yang sepatutnya dipasang pada semua jalan raya di serata Sarawak. Justeru, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas kepada JKR Miri kerana menjadi perintis kepada usaha memartabatkan jalan raya Sarawak melalui pemasangan papan tanda yang mematuhi Arahan Teknik (Jalan) 2E/85. Saya juga ingin menggesa JKR Sarawak dan semua JKR Bahagian di Sarawak agar menggantikan kesemua papan tanda di kesemua jalan persekutuan dan jalan negeri kendalian JKR Sarawak sebagai bukti kukuh bahawa JKR Sarawak benar-benar serius ingin mengangkat martabat dan maruah rangkaian jalan persekutuan dan negeri di Sarawak.

Oleh kerana hari sudah gelap, maka saya putuskan untuk mengambil gambar-gambar papan tanda jalan raya Miri semasa dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Miri untuk pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Majlis penutup FTRoadpedia Sarawak diadakan di Hotel Pullman Miri Waterfront dan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya YB Baru Bian. Secara amnya, saya sifatkan siri jelajah kali ini sebagai amat berjaya kerana pada hari terakhir jelajah FTRoadpedia Sarawak, saya disajikan dengan usaha bersungguh-sungguh oleh JKR Miri bagi merintis kepada inisiatif memartabatkan jalan raya Sarawak melalui pemasangan papan tanda yang mengikut piawaian JKR. Finale sebeginilah yang saya ingin lihat. Barulah berbaloi dengan ratusan ringgit tiket kapal terbang yang saya laburkan untuk menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang. Saya menyertai setiap jelajah FTRoadpedia bukan kerana sekadar mahu makan angin, menginap di hotel-hotel mewah dan menikmati juadah yang sedap-sedap. Tujuan saya menyertai jelajah FTRoadpedia adalah kerana saya mahukan rangkaian jalan raya Malaysia dimartabatkan. Bagi FTRoadpedia Sarawak pula, satu lagi sebab utama saya menyertainya adalah bagi menunaikan hajat seorang sahabat yang sudah meninggal dunia - dan jika sahabat saya itu masih hidup, beliau pastinya amat berbangga dengan tahap kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 ini sebagai usaha memartabatkan jalan raya Sarawak.

Jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Fadillah Yusof, mantan Menteri Kerja Raya yang mengilhamkan siri jelajah FTRoadpedia ini. Juga terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia kerana sering mengundang saya untuk menyertai (atau lebih tepat lagi, mahukan saya untuk menyertai) setiap edisi jelajah FTRoadpedia yang dianjurkan. Juga terima kasih kepada para pelanggan kami di FGK Kuala Lumpur - hasil sokongan anda semua, saya berjaya menyempurnakan siri reviu jalan raya kedua termahal oleh Blog Jalan Raya Malaysia.

FTRoadpedia Sarawak berakhir di sini, tetapi sebelum itu saya ingin menulis satu lagi entri senarai hajat Jalan Pintasan Brunei sebelum siri reviu FTRoadpedia Sarawak ditamatkan dengan sempurna. Selamat tinggal Bumi Kenyalang, saya pasti akan kembali lagi untuk menguji jalan raya pesisir pantai Sarawak pula.





Jajaran Persimpangan Nyabau-Persimpangan Bakun yang semakin memperlihatkan rupa akhirnya ketika siap




Persimpangan Bakun - asalnya merupakan simpang tiga tetapi berubah menjadi simpang empat susulan pembukaan Kawasan Perindustrian Samalaju




Majlis penutup FTRoadpedia Sarawak di Hotel Pullman River Waterfront yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian




Panorama muara Sungai Baong dari pusat bandar raya Miri




Miri merupakan bandar raya kedua terbesar di Sarawak selepas Kuching dan juga lebih besar daripada Bandar Seri Begawan, Brunei






Meninggalkan pusat bandar raya Miri untuk ke Lapangan Terbang Miri




Macam inilah sepatutnya rupa papan tanda jarak di jalan raya Sarawak




Reka bentuk papan tanda penunjuk arah bergrafik yang lengkap dengan kod laluan





Lagi koleksi gambr papan tanda format baharu JKR di Miri






Memasuki Persimpangan Lapangan Terbang Miri




Jumpa lagi Bumi Kenyalang...!!!

No comments:

Post a Comment