Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Wednesday, October 28, 2015

Jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 dan projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 dimuktamadkan / East Coast Expressway Phase 3 (ECE3) E8 alignment and Northern Terengganu Coastal Road T1 and T3 upgrade has been finalized



Peta jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 yang sudah dimuktamadkan
(Kredit kepada: Laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan Lebuhraya Malaysia)


Salam sejahtera,

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam ditangguhkan seketika untuk memberi laluan kepada dua berita menarik buat anak-anak Terengganu. Berita pertama ialah jajaran dan senarai persimpangan bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 sudah pun dimuktamadkan, manakala berita kedua pula ialah kerajaan negeri Terengganu merancang untuk menaiktaraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu (Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3) daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada jalan raya kembar.




Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 akan bermula dari Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu


Kami mulakan dengan projek LPT3 E8 terlebih dahulu. Projek sambungan kepada Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 itu bakal dimulakan dari penamat LPT2 E8 di Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu dan berakhir di Tumpat ini, yang dianggarkan sepanjang 124 km. Setelah ia siap kelak, Lebuhraya Pantai Timur E8 akan menjadi satu laluan lebuh raya ekspres terpanjang di Malaysia, dengan panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 570 km (setelah ditolak jarak dari Plaza Tol Gombak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur sejauh 19 km, yang tidak lagi melalui E8). Ia sekaligus akan mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1 sepanjang 460 km. Kos keseluruhan bagi pembinaan LPT3 E8 ini dianggarkan sejumlah RM2.4 bilion, yang mana kerajaan negeri Terengganu akan mendahulukan wang mereka sebanyak RM1.8 bilion sebelum menuntutnya semula daripada kerajaan persekutuan untuk membolehkan jajaran di Terengganu dimulakan segera.

Senarai persimpangan bertingkat di sepanjang LPT3 E8 adalah seperti berikut:-
  1. Persimpangan Permaisuri - ke Bandar Permaisuri, Penarik dan jeti ke Pulau Redang melalui Jalan Negeri Terengganu T1
  2. Persimpangan Jertih - ke Jertih, Kampung Raja dan Besut melalui Jalan Persekutuan 84
  3. Persimpangan Machang (aka Persimpangan Pasir Puteh) - ke Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Jeli melalui Jalan Persekutuan 3 dan 4
  4. Persimpangan Ketereh - ke Ketereh, Kok Lanas, Pulai Chondong dan Melor melalui Jalan Negeri Kelantan D14 ataupun Jalan Persekutuan 8
  5. Persimpangan Kota Bharu - ke Pasir Mas, Kota Bharu dan Wakaf Bharu melalui Jalan Persekutuan 3
  6. Persimpangan Tumpat (aka Persimpangan Pengkalan Kubor) - ke Tumpat dan Pengkalan Kubor melalui Jalan Persekutuan 134

Setelah melepasi Persimpangan Tumpat, LPT3 akan melalui plaza tol terakhir di Pengkalan Kubor dan kompleks imigresen dan kuarantin baharu di sana sebelum melintasi Sungai Golok untuk ke Tak Bai, Thailand melalui Jalan Kebangsaan Thailand 4084. Jenis lintasan pula masih belum dimuktamadkan sama ada melalui jambatan ataupun terowong, berikutan terdapat khabar angin yang mengatakan Thailand akan membina terowong melintasi Sungai Golok untuk ke Pengkalan Kubor. Walau apa pun jenis lintasan yang dipilih, ia mungkin akan menyebabkan tamatnya perkhidmatan feri sungai di Pengkalan Kubor yang dikendalikan oleh JKR Kelantan.

Bagaimana dengan senarai hentian rehat dan rawat serta hentian sebelah...? Maafkan saya, tiada butiran lanjut mengenainya yang dapat saya perolehi buat masa sekarang. Apa pun, jutaan terima kasih kepada laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan juga laman Facebook sekutu kami, Lebuhraya Malaysia, atas maklumat yang diberikan ini.

Seterusnya kita ke berita kedua pula iaitu projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya kembar 4 lorong. Projek naik taraf itu dijalankan bagi menyediakan laluan bebas tol yang lebih menjimatkan masa berbanding Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3. Meskipun Jalan Persekutuan 3 sepatutnya merupakan jalan raya pantai timur Semenanjung Malaysia, namun jajaran dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pula sebenarnya melalui kawasan pedalaman pantai timur dan bukannya betul-betul di kawasan pantai. Ia berbeza dengan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, Jalan Kuantan-Pekan FT3 dan Jalan Pekan-Mersing FT3 yang memang merupakan jalan raya pantai dalam erti kata sebenar.

Dalam projek naik taraf jalan raya ini, tidak semua jajaran yang dilalui itu benar-benar Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3. Projek ini akan dimulakan dari Pengkalan Nyireh melalui Jalan Negeri Terengganu T167 ke Dendong dan seterusnya akan melalui satu laluan baharu yang memintas jalan T3 sehingga ke Taman Ilmu Terengganu. Dari Taman Ilmu Terengganu, projek jalan raya kembar ini akan melalui jalan T3 sedia ada sehingga ke Kampung Che Selamah, dan seterusnya jalan T1 dari Kampung Che Selamah ke Gong Badak Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 100 km dan jarak perjalanan dianggarkan lebih kurang sejam sahaja berbanding ketika menggunakan jalan FT3 yang mengambil masa sehingga 2 jam.

Teruja...? Saya pasti berita pembinaan LPT3 ke Pengkalan Kubor ini pasti akan menyebabkan anak-anak Kelantan dan Terengganu berasa teruja dan gembira. Berita sebegini juga mampu menangkis dakyah kononnya kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional meminggirkan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), serta membuktikan bahawa anak-anak Kelantan sememangnya dambakan laluan lebuh raya ekspres yang bakal memacu perkembangan ekonomi di Terengganu dan Kelantan kelak. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa kesepakatan pucuk pimpinan kerajaan negeri Kelantan sekarang dengan kerajaan persekutuan yang sanggup mengenepikan persengketaan dan perbezaan fahaman politik demi kesejahteraan rakyat. Sementara itu pula, kerja naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 juga membuktikan bahawa kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya sememangnya bersungguh-sungguh mahu menyediakan laluan alternatif percuma tanpa tol yang bagus dan berjiwa rakyat dalam erti kata sebenar.

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam akan bersambung selepas entri ini.

Monday, March 2, 2015

10 punca utama kebakaran kereta / Top 10 leading causes of car fires



Kebakaran sebuah Proton Exora di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 pada 17 Februari 2015, 2 hari selepas projek XPDC Teganu Kita 2015 oleh Blog Jalan Raya Malaysia, menjadi viral di laman sosial sehingga mewujudkan "pakar-pakar forensik kebakaran" tidak bertauliah di alam siber.


Salam sejahtera,

Seperti kebakaran rumah, kebakaran kenderaan merupakan satu mimpi ngeri buat mana-mana pemilik kenderaan. Setiap pemilik kenderaan sudah pun melaburkan puluhan ribu, ratusan ribu, malah jutaan ringgit untuk memiliki kereta kesayangan mereka dan menyelenggaranya bagai menatang minyak yang penuh. Namun, takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menduga. Akibat kebakaran kereta, satu keluarga patah kaki dan hilang sumber pengangkutan. Wang yang dilaburkan untuk membeli dan memeliharanya hangus begitu sahaja. Sungguhpun boleh menuntut pampasan insurans sekalipun, ia tetap merugikan pemiliknya kerana tidak fasal-fasal terpaksa buat hutang baru. Itu masih boleh dikatakan beruntung lagi, tetapi bagaimana pula yang kehilangan orang yang tersayang akibat kebakaran kereta...? Maka, tidak hairanlah kenapa kebakaran menjadi antara igauan paling ngeri bagi setiap pemilik kenderaan selain curi kenderaan.

Saya sepatutnya menulis mengenai isu kebakaran kenderaan ini semasa sebelum cuti perayaan Tahun Baru Cina, tetapi kesibukan saya dengan projek XPDC Teganu Kita 2015 menyebabkan saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat menulis mengenainya. Pada masa itu heboh diperkatakan mengenai kes kebakaran sebuah Proton Exora di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dekat Bandar Cheneh Baru. Susulan kebakaran tersebut, secara tiba-tiba muncul sebegitu ramai "pakar-pakar forensik kebakaran FB" yang memberikan pelbagai dakwaan bersifat dangkal yang hanya berasaskan andaian semata-mata tanpa bukti saintifik kukuh. Ada yang mendakwa kononnya petrol RON95 "berkualiti rendah" dan "lebih mudah mengakibatkan kebakaran", tetapi bagaimana pula dengan kes kebakaran kereta Ferrari yang memang hanya boleh menggunakan petrol RON97 sahaja di KL Sentral tempoh hari...? Ada sesiapa "pakar forensik kebakaran FB" yang berani jawab...? Dalam kes kebakaran Proton Exora itu pula, "pakar-pakar forensik kebakaran FB" itu mendakwa kononnya kebakaran tempoh hari itu adalah akibat "petrol yang diisi penuh semasa cuaca panas". Nasihat saya, kalau tidak tahu hujung pangkal, lebih baik serahkan sahaja kepada pihak bomba untuk menyiasat punca kebakaran kerana hanya mereka sahaja yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik kebakaran.

Daripada mewujudkan sebegitu banyak andaian mengarut, ada baiknya jika anda teliti 10 punca utama kebakaran kenderaan yang dikompilkan oleh HowStuffWorks.com. Urutan yang dberikan itu mungkin tidak betul-betul mencerminkan kedudukan sebenar dalam konteks Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya ia amat membantu pemilik kenderaan untuk bersiap-sedia dan mengambil sebarang langkah pencegahan.




Ford Pinto merupakan model kereta yang mempunyai kecacatan reka bentuk yang membawa kepada ancaman kebakaran



10.) Kecacatan reka bentuk

Tiada siapa yang mahu merekabentuk kereta yang boleh terbakar dengan mudah. Namun, ada kalanya terdapat sedikit kecacatan reka bentuk yang terlepas pandang oleh jurutera-jurutera yang membangunkan model tersebut. Syarikat-syarikat automotif sentiasa memantau tahap keselamatan reka bentuk kenderaan buatan mereka pada peringkat pembangunan, pengeluaran serta pasca jualan. Jika mereka mengesan terdapat sebarang kecacatan yang boleh mengancam keselamatan pemiliknya (terutamanya risiko kemalangan jalan raya dan kebakaran), maka syarikat automotif bertanggungjawab memanggil semula kenderaan yang terbabit untuk memperbetulkannya.

Sentiasa peka akan berita-berita panggilan semula model kenderaan anda. Laman web paling baik untuk anda merujuk tanpa terlepas berita pengumuman panggilan semula model sudah tentulah Paultan.org. Jika kenderaan anda tersenarai sebagai model yang dipanggil semula, terus hantar ke pusat servis bertauliah. Anda tidak perlu membayar walau sesen pun untuk menghantar kenderaan anda yang dipanggil untuk diperbaiki. Jangan sampai kecuaian anda yang tidak menghantar kenderaan yang dipanggil untuk diperbetulkan menyebabkan kebakaran yang boleh mengakibatkan kerugian puluhan hingga ratusan ribu ringgit.


9.) Malas menyelenggara kenderaan

Mungkin ada yang membuat andaian bahawa terlajak menukar minyak enjin tidak mungkin boleh mengakibatkan kebakaran. Itu barang kali betul, tetapi kemalasan anda untuk memperbaiki bahagian yang bermasalah meskipun anda memang tahu sudah rosak sudah pasti akan mengakibatkan kebakaran. Malah, minyak enjin yang dibiarkan meleleh tanpa dibersihkan pun boleh mengakibatkan kebakaran sekiranya ia menitik sehingga ke paip ekzos. Tambahan pula, anda tidak mungkin akan sedar sama ada wayar-wayar kereta anda digigit tikus sehinggalah kereta anda hangus terbakar. Tak mahu kereta anda hangus...? Lebih baik anda sentiasa periksa kenderaan anda dan perbaiki segala kerosakan yang dikesan. Jangan jadi Haji Bakhil bin Lebai Kedekut dalam hal ini kerana ia memang tidak berbaloi sama sekali.


8.) Nahas jalan raya

Rata-rata kereta hari ini direkabentuk dengan sebegitu baik dengan zon remukan yang direkabentuk sebegitu baik agar dapat melindungi pemandu dan penumpang daripada impak hentaman semasa pelanggaran. Tidak cukup dengan itu, banyak kereta yang kini dilengkapi dengan sekurang-kurangnya dua biji beg udara. Namun, anda harus ingat bahawa tiada satu pun rekaan struktur badan kenderaan yang mampu melindungi daripada wayar putus ataupun talian bahan api terputus akibat impak pelanggaran, tidak kiralah teknologi GOA Toyota, G-CON Honda, RISE Mitsubishi mahupun RESS Proton. Justeru, jika terlibat dalam kemalangan, jangan tunggu lagi, terus keluarkan semua orang daripada kereta. Sekurang-kurangnya, anda dan keluarga anda terselamat daripada ancaman kebakaran yang mungkin boleh mengorbankan keseluruhan keluarga anda.


7.) Arson

Arson bermaksud jenayah membakar harta benda orang lain (atau diri sendiri) dengan sengaja. Tiada siapa yang begitu bodoh hendak membakar kereta sendiri, tetapi jika anda tinggal di kawasan yang mempunyai tahap sosioekonomi yang rendah (seperti kawasan setinggan dan rumah murah), anda perlu sentiasa berwaspada terhadap orang-orang yang mencurigakan. Samseng, pencuri kenderaan dan pemecah rumah sering berada di kawasan sebegini. Situasi sudah tentu akan bertambah parah sekiranya ada dua kumpulan samseng bergaduh, kerana besar kemungkinan mereka akan membakar kenderaan untuk memusnahkan musuh-musuh mereka. Selain itu, pemecah kereta mungkin akan membakar kereta yang dipecahnya selepas mencuri sesuatu barang di dalamnya (seperti sistem audio) bagi menghapuskan bukti.

Begitu juga dengan tunjuk perasaan di jalan raya anjuran segelintir kumpulan politik; kita tidak tahu sama ada tunjuk perasaan mereka itu boleh bertukar ganas sehingga ke tahap membakar kenderaan ataupun tidak. Jika ada perhimpunan politik ataupun tunjuk perasaan diadakan di lokasi tertentu, lebih baik anda batalkan hasrat untuk ke lokasi tersebut.


6.) Bateri kereta

Bateri kereta boleh mencetuskan kebakaran dengan pelbagai cara. Semasa anda mula-mula memasang bateri baharu pun, sedikit percikan bunga api akan terhasil apabila anda menyambungkan kedua-dua terminal positif dan negatif. Semasa bateri beroperasi, gas hidrogen yang mudah meletup akan terhasil. Jika dibiarkan tanpa dilegakan, gas hidrogen yang terkumpul akan menyebabkan bateri meletup. Namun, jika dibiarkan lubang-lubang sel terbuka, gas hidrogen keluar dengan banyaknya dan boleh mengakibatkan letupan sekiranya bersentuhan dengan permukaan panas ataupun terkena percikan api. Untuk menanganinya, setiap penutup sel mempunyai lubang-lubang pengudaraan kecil bagi membolehkan gas hidrogen dilepaskan perlahan-lahan bagi mengelakkan letupan.

Itu baru cerita bateri asid-plumbum biasa untuk kenderaan petrol dan diesel. Bagi kenderaan elektrik dan hibrid pula, kedua-duanya memerlukan bateri litium-ion kerana bateri tersebut boleh menyimpan tenaga elektrik yang jauh lebih besar daripada bateri asid-plumbum biasa. Namun, bateri litium-ion menggunakan logam litium yang sangat reaktif serta garam litium yang dilarutkan dalam pelarut mudah terbakar. Maka, jika bateri bocor, maka sudah tentu ia akan mencetuskan letupan yang dahsyat.





Penukar bermangkin yang terlampau panas akibat enjin tidak diselenggara, ataupun memparkir kereta di kawasan semak, juga boleh mencetuskan kebakaran
(Kredit gambar: Eila Razi)


5.) Penukar bermangkin

Tahun lalu, saya ada menulis mengenai ancaman kebakaran yang disebabkan oleh penukar bermangkin, sama ada akibat memparkir kereta di kawasan semak-samun yang kering ataupun disebabkan enjin yang tidak diselenggara. Rasanya tidak perlulah saya bercerita lebih panjang mengenainya - hanya baca sahaja entri yang sudah saya tulis mengenainya.




Honda City merupakan antara model kereta yang tiada tolok suhu tetapi sebaliknya menggunakan lampu amaran enjin sejuk dan enjin panas lampau



4.) Enjin panas lampau

Biasanya, enjin yang mengalami panas lampau hanya sekadar mengakibatkan enjin menjadi kejang dan rosak. Namun, jika terus dibiarkan beroperasi tanpa mengendahkan amaran panas lampau pada tolok suhu, maka suhu enjin akan terus meningkat sehingga cukup tinggi untuk membakar minyak pelincir pula. Ia benar terutamanya bagi model-model kereta yang tiada tolok suhu tetapi sekadar mempunyai lampu amaran enjin panas lampau sahaja (seperti Honda City), kerana anda tidak dapat memperhatikan corak peningkatan suhu enjin anda untuk mengenal pasti masalah. 

Justeru, jika jarum tolok suhu sudah menghampiri tanda H ataupun jika lampu amaran enjin panas lampau menyala, jangan teruskan perjalanan tetapi terus berhenti di tepi jalan dan matikan enjin serta-merta. Biarkan enjin menyejuk selama setengah jam sebelum membuka penutup radiator bagi memeriksa semula paras air. Jika terkurang, tambah air serta-merta sehingga penuh. Setelah enjin berjaya dihidupkan semula, hantar segera ke bengkel dan minta mekanik memeriksa kereta anda untuk mengelakkan kos baik pulih penuh yang sangat mahal. Namun, langkah pencegahan paling penting ialah sentiasa memeriksa sistem sejukan enjin anda dan menukar air radiator setahun sekali.


3.) Kebocoran bendalir kereta

Kereta anda merupakan perumah bagi pelbagai jenis cecair berbahaya yang mudah terbakar. Selain petrol yang sememangnya amat mudah terbakar, kereta anda menggunakan minyak enjin untuk sistem pelinciran, bendalir transmisi automatik ataupun minyak gear manual bagi sistem transmisi, bendalir brek bagi sistem brek, bendalir stereng kuasa bagi sistem stereng, malah bendalir yang dicampurkan dengan air untuk sistem sejukan juga merupakan bendalir yang mudah terbakar. Jika ada di antaranya yang meleleh, jangan tunggu lagi, cepat-cepat bersihkan lelehan itu. Jika masih meleleh, bermakna ada berlaku kebocoran dan hantar kereta anda ke bengkel segera untuk memperbaiki kebocoran tersebut.


2.) Kerosakan elektrik dan litar pintas

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 45% punca kebakaran kereta di Malaysia berpunca daripada ubah suai kenderaan yang ekstrim. Namun, jika dikaji semula secara mendalam, enjin yang diubahsuai secara ekstrim menjadi punca kebakaran akibat faktor kombinasi iaitu litar pintas dan enjin panas lampau. Antara kedua-dua faktor ini, litar pintas merupakan faktor yang lebih banyak menyebabkan kebakaran berbanding enjin panas lampau. Selain itu, pemasangan aksesori yang tidak standard juga boleh menjadi punca kebakaran akibat sebab yang sama. 

Punca utama kenapa kerosakan elektrik dan litar pintas menjadi punca utama kebakaran adalah disebabkan kerja-kerja pendawaian yang cincai oleh mekanik setiap kali melakukan pengubahsuaian enjin serta pemasangan aksesori - wayar-wayar disambung dengan sekadar menjalur penebat asal, memintal teras wayar-wayar yang hendak disambungkan dan seterusnya membalutnya semula menggunakan pita pembalut. Sambungan tersebut bukan sahaja tidak kukuh, malah pita pembalut itu juga boleh tercabut apabila gamnya sudah tidak lagi lekat. Sebab itulah kereta boleh jadi mudah terbakar...!!! Selain itu, sesetengah aksesori tambahan disambungkan tanpa menggunakan fius, menyebabkan pengguna terdedah dengan risiko litar pintas apabila berlaku kerosakan pada aksesori sehingga menyebabkan arus berlebihan mengalir.


1.) Kebocoran sistem bahan api

Kebocoran sistem bahan api menduduki takhta teratas dalam carta punca utama kebakaran kereta disebabkan bahaya petrol itu sendiri yang amat mudah terbakar - malah, wapnya lebih mudah terbakar daripada cecair petrol itu sendiri. Nak tahu setakat mana tahap bahaya minyak petrol...? Petrol boleh terbakar dengan hanya dikenakan cetusan bunga api mudah semasa anda menggesek roda pemetik api pada suhu serendah 7°C. Jika anda mendakwa kononnya petrol RON95 lebih mudah terbakar daripada RON97, maka ketahuilah bahawa RON97 juga terbakar pada suhu sama. Jika terdapat lelehan petrol, maka kenderaan tersebut berdepan dengan ancaman kebakaran yang serius. Apa yang menjadikannya lebih berbahaya ialah kebocoran petrol agak sukar untuk dikesan. Anda perlu memeriksa keseluruhan talian minyak untuk mengesan sama ada berlaku kebocoran pada mana-mana komponen sistem bahan api - leher pengisi minyak, tangki minyak, talian bahan api, talian balik bahan api, pemancit bahan api, dsb. Jika berlaku kebocoran, jangan guna kenderaan tersebut tetapi hantar segera ke bengkel untuk diperiksa. Paling baik, tukar talian minyak setiap 5 tahun untuk memastikan sistem bahan api kedap sepenuhnya.


Selain 10 punca utama di atas, ada lagikah punca yang boleh mengakibatkan kebakaran...? Memang ada, antaranya masalah brek yang terkunci sehingga mengakibatkan pad brek menjadi panas dan terbakar. Selain itu, sistem tali sawat yang bermasalah serta pemampat penyaman udara kejang juga boleh mengakibatkan kebakaran - semasa saya di kampung halaman pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, kereta Perodua Kembara ayah saya tiba-tiba berasap semasa saya pulang dari pasar malam. Semasa terhidu bau getah terbakar dan ternampak asap, saya cepat-cepat beransur ke tepi jalan dan mematikan enjin. Semasa membuka bonet, mujurlah tiada api terhasil, dan saya dapati bau hangit tersebut datang dari arah tali sawat. Semasa menghantar Perodua Kembara itu ke bengkel, mekanik di situ mendapati punca masalah tali sawat Kembara itu ialah takal bawahnya yang hampir tercabut, menyebabkan lebih kurang RM200 melayang untuk menukar takal tersebut termasuk kos upah. Namun, mana lebih baik, rugi RM200 atau rugi puluhan ribu ringgit jika kereta terbakar...? Nasihat saya, jika anda mengesyaki ada perkara tidak kena pada kereta anda, jangan jadi Haji Bakhil bin Lebai Kedekut - lebih baik poket anda rabak sedikit daripada anda patah kaki dan poket anda rabak habis akibat kebakaran kereta.

Sunday, March 1, 2015

XPDC Teganu Kita 2015 Finale: LPT E8 vs LPB E32 - antara tanggungjawab sosial dengan keuntungan semata-mata / ECE E8 vs WCE E32 - a fine line between social responsibility and mere profit



Lebuhraya Pantai Timur E8 berjaya disiapkan dengan jayanya demi rakyat, meskipun berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran sepanjang tempoh pembinaannya


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, kami di Blog Jalan Raya Malaysia amat berterima kasih kepada semua pembaca kerana telah menjadikan misi kami di bumi Terengganu mencapai kejayaan besar yang tidak disangka-sangka. Tidak seperti projek-projek reviu jalan raya berskala besar yang lain sebelum ini, projek reviu jalan raya di Terengganu kali ini merupakan projek pertama yang berjaya diadakan hasil derma daripada para pembaca, meskipun terpaksa balik hari. Sokongan padu daripada anda semua, daripada golongan rakyat marhaen sehinggalah ke peringkat Kementerian Kerja Raya sendiri, telah menjadikan projek kali ini satu kejayaan besar yang berupaya membangkitkan semangat kami untuk menghasilkan reviu jalan raya yang lebih panjang lagi.

Apa pun, tujuan utama projek kali ini lebih kepada menghargai peranan Lebuhraya Pantai Timur E8 yang dibina dengan jayanya, meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Jika anda sudah membaca entri mengenai sejarah lengkap Lebuhraya Pantai Timur E8 sebelum ini, anda seharusnya berupaya untuk membayangkan pelbagai halangan yang terpaksa dihadapi semua pihak yang menjayakannya - masalah kewangan, komitmen bekas syarikat konsesi, kegawatan ekonomi, pergolakan politik, bencana alam, kontraktor tidak kompeten, kenaikan harga bahan binaan - anda namakan sahaja. Kejayaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur E8 jelas menunjukkan bukti kesungguhan kerajaan dalam membangunkan infrastruktur pengangkutan bertaraf global sebagai usaha membawa arus pembangunan bersifat holistik ke seluruh negara tanpa ada kawasan yang tercicir.

Jika anda mengikuti perkembangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 selama ini, anda seharusnya menyedari bahawa LPT2 E8 merupakan lebuh raya ekspres yang menikmati tempoh tol percuma paling lama dalam sejarah industri lebuh raya ekspres negara. Sejak jajaran Telemong-Kuala Terengganu dan Ajil-Bukit Besi mula dibuka pada Ogos 2011, LPT2 menikmati tempoh tol percuma selama hampir 4 tahun, yang jika diikutkan boleh mengakibatkan kerugian akibat kos melepas sehingga berbilion ringgit. Namun, ia tidak diendahkan sebagai bukti rakyat didahulukan. Mungkin projek LPT2 ini sering mengundang kontroversi kerana pembukaannya yang sering tertangguh, sehingga ada pihak yang mendakwa terdapat unsur songlap dan kronisme, tetapi kesungguhkan kerajaan membuka jajaran siap tanpa mengenakan tol sewajarnya dihargai kerana dalam kes LPT2 ini, tanggungjawab sosial lebih diutamakan daripada keuntungan semata-mata. Selain itu, LPT2 E8 juga dibina sebagai lebuh raya ekspres kembar 4 lorong sepenuhnya tanpa "mencilok" mana-mana bahagian jalan raya sedia ada untuk dijadikan sebagai "lebuh raya", sekaligus membuktikan tahap integriti kejuruteraan tinggi yang diterapkan dalam LPT2.

Pengalaman saya ketika pertama kali menggunakan Lebuhraya Pantai Timur E8 pada tahun 2011 masih segar dalam ingatan kerana ia jelas membuktikan kepada saya akan tanggungjawab sosial oleh Anih Berhad selaku syarikat konsesi. Pada masa itu, saya mengikuti rombongan pertunangan adik lelaki saya ke Felda Mempaga, Bentong. Semasa singgah sebentar di Plaza Tol Lanchang, ibu saya menghadapi kesukaran untuk ke tandas, memandangkan ibu saya menghidapi penyakit strok yang memerlukannya menggunakan kerusi roda. Beberapa orang pekerja Anih Berhad datang membantunya untuk ke tandas dan seterusnya kembali semula ke kereta. Maka, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada para pekerja tersebut khasnya serta kepada Anih Berhad amnya kerana menerapkan tanggungjawab sosial sebegini dalam budaya kerja mereka.




Peta Lebuhraya Pantai Barat E32 bagi jajaran sebelah negeri Selangor yang mengundang kontroversi berikutan penggunaan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang mempunyai kadar kemalangan maut yang tinggi sebagai sebahagian E32


Jika dibandingkan dengan Lebuhraya Pantai Barat E32, terus-terang saya katakan bahawa Lebuhraya Pantai Barat E32 pula seakan-akan lebih mengutamakan keuntungan semata-mata daripada tanggungjawab sosial. Apa tidaknya, syarikat konsesi WCE diberikan tempoh konsesi yang sangat panjang tetapi bayang pembinaannya langsung tidak kelihatan sehingga sekarang, meskipun majlis pecah tanahnya sudah pun dilaksanakan tahun lalu. Namun, apa yang saya amat tidak berpuas hati ialah pencabulan integriti kejuruteraan lebuh raya dalam reka bentuk LPB E32 itu - dalam pelan LPB E32, terdapat dua pautan putus yang terang-terangan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres dengan sekadar menggunakan jajaran Jalan Persekutuan 5 sedia ada sebagai sebahagian E32 nanti, meskipun umum sudah mengetahui bahawa jajaran yang digunakan itu mempunyai kadar kemalangan maut yang sangat tinggi dan jika rancangan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres itu diteruskan, maka kadar kemalangan di pautan-pautan putus itu pasti akan mencanak-canak naik, sedangkan lebuh raya ekspres sepatutnya meminimakan kadar kemalangan maut melalui penerapan kawalan masuk penuh. Maka, jelaslah bahawa projek LPB E32 ini dijalankan oleh syarikat konsesinya tanpa sedikit pun memikirkan soal tanggungjawab sosial dan integriti kejuruteraan. Sebab itulah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bertindak tegas dengan mengkaji semula jajaran E32 itu berikutan kecaman orang ramai mengenai isu keselamatan di sepanjang E32 itu nanti.

Kesimpulannya, Lebuhraya Pantai Timur E8 jelas lebih mementingkan tanggungjawab sosial daripada keuntungan semata-mata. Projek tersebut sering berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran, namun ia tetap berjaya diatasi demi kesejahteraan rakyat. Dalam projek LPT2 E8, sepatutnya tol sudah mula boleh dikutip secara beransur-ansur di jajaran yang sudah dibuka, tetapi kerajaan mengambil keputusan untuk menunggu keseluruhan LPT2 untuk siap terlebih dahulu dan memberi peluang untuk rakyat Terengganu menilai sendiri lebuh raya tersebut dalam tempoh setengah tahun ini sebelum kutipan tol dimulakan. Berbeza pula dengan Lebuhraya Pantai Barat E32 yang masih belum nampak kelibat pembinaannya meskipun majlis pecah tanah sudah pun dilakukan. Tidak cukup dengan itu, LPB E32 juga mencabuli piawaian lebuh raya ekspres dengan mengambil jajaran jalan FT5 sedia ada bagi dua pautan putusnya, sungguhpun mereka sepatutnya sudah sedia maklum bahawa kedua-dua jalan tersebut mempunyai kadar kemalangan maut yang tinggi. Ia jelas membuktikan bahawa syarikat konsesi WCE E32 ini sangat tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata, sedangkat LPT E8 boleh dibina sebagai lebuh raya ekspres sejati tanpa perlu memakan mana-mana laluan jalan raya sedia ada meskipun kadar aliran trafik di Pantai Timur secara amnya lebih rendah daripada kawasan Pantai Barat.

Dengan berakhirnya entri ini, saya dengan ini mengisytiharkan projek XPDC Teganu Kita 2015 tamat dengan jayanya. Jutaan terima kasih buat semua pihak yang membantu kami menjayakan projek ini terutamanya kepada para penderma. Projek reviu berskala besar yang seterusnya dijangka akan diadakan dalam pertengahan tahun ini iaitu sebelum bulan Ramadan, yang mana saya amat berharap dapat mengadakan reviu berskala besar bagi Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan, yang masih belum dapat direalisasikan lagi sepenuhnya, nantikanlah pengumuman lanjut mengenainya pada masa akan datang.

Terima kasih Malaysia...!!!

Friday, February 27, 2015

XPDC Teganu Kita 2015 Part 4: Suzuki Belang R150 - motosikal kapcai dengan saiz enjin terbesar / Suzuki Belang R150 - an underbone motorcycle with the biggest engine size



Suzuki Belang R150


Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia kembali bersiaran setelah lebih seminggu berehat sempena cuti Tahun Baru Cina. Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana agak lewat menyiarkan entri ini kerana demam semasa di kampung, mungkin bahana musim kering yang melanda negara sekarang. Namun syukur alhamdulillah, saya kini kembali sihat seperti sedia kala dan boleh kembali menulis untuk blog ini...!!!

Seperti yang saya janjikan pada entri-entri terdahulu dalam siri XPDC Teganu Kita 2015, saya bawakan kepada anda reviu eksklusif mengenai jentera yang saya gunakan sepanjang siri reviu berskala besar kali ini. Biasanya bagi reviu bermotosikal, saya biasanya menggunakan motosikal Yamaha Lagenda 110 (2011-2012) dan diikuti dengan Honda Wave 125X Ultimo (2012-sekarang). Namun, Honda Wave Ultimo itu terpaksa saya rehatkan buat seketika berikutan beberapa kerosakan berangkai (bearing roda pecah, rim sport makan bearing, tayar belakang botak, rantai dan gegancu haus dan perlu ditukar). Sebenarnya kesemuanya itu cuma sekadar haus dan lusuh serta beberapa kerosakan kecil yang melibatkan kos yang kecil (kecuali rim sport), tetapi jika dihimpunkan maka kosnya sama seperti baik pulih penuh (full overhaul). Memang rabak habis kocek saya, ditambah pula dengan masalah kewangan yang saya alami sepanjang penghujung tahun lalu dan awal tahun ini. Namun, kebetulan pula pada awal Februari, seorang rakan serumah saya terpaksa dikejarkan ke hospital kerana patah kaki. Jadi, sepanjang dia di hospital, dia mengamanahkan saya untuk menjaga motosikal kesayangannya dan mengizinkan saya untuk menggunakannya sementara saya mengumpul modal untuk memperbaiki motosikal saya - dan motosikal rakan serumah saya itulah Suzuki Belang R150 yang saya gunakan dalam siri reviu kali ini.

Sedikit mengenai model Suzuki Belang ini. Suzuki Belang R150 merupakan model motosikal kapcai 4 lejang dengan saiz enjin terbesar dalam kelasnya. Motosikal ini mula dikeluarkan pada tahun 2004 di Thailand, Indonesia dan Filipina dengan nama Suzuki Raider 150 (Suzuki Satria 150 di Indonesia) sebelum ia dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2009. Ia menggunakan enjin silinder tunggal 150 cc DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak serta digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan. Enjin yang digunakan pada Belang asalnya digunakan pada motosikal sport Suzuki FXR150 yang dikeluarkan dari tahun 1998 hingga tahun 2002. Secara kebetulan, saya pernah menguji model FXR150 milik seorang rakan 15 tahun dahulu, jadi ada baiknya saya membuat perbandingan antara kedua-dua model tersebut.




Suzuki FXR150


Sementara itu pula, Suzuki FXR150 pula merupakan motosikal sport kecil 4 lejang yang dikeluarkan oleh Lion Suzuki (kini Suzuki Assemblers Malaysia), dengan 75% komponen tempatan. Model buatan Malaysia itu juga dieksport ke beberapa negara luar termasuklah Indonesia dan New Zealand. Sepanjang tempoh pengeluarannya, ia merupakan satu-satunya model sport kecil 4 lejang di Malaysia dan hanya bersaing dengan model-model pesaing 2 lejang seperti Yamaha TZM150 dan Honda NSR150. Sayangnya, tatkala Honda (dan Yamaha) sudah mula mengeluarkan model sport 4 lejang 150 cc mereka sendiri, Suzuki tiada pula rancangan untuk menghidupkan semula model tersebut ataupun mengeluarkan model generasi kedua.




Suzuki Belang R150 menggunakan enjin yang sama seperti pada model sport FXR150 tetapi sudah dinyahtala untuk dipadankan dengan badannya yang sangat ringan


Terus-terang saya katakan, enjin 150 cc DOHC 4 injap yang digunakan pada FXR150 itu sememangnya antara enjin 150 cc terbaik pernah dibina oleh Suzuki. Sebab itulah enjin tersebut digunakan semula pada model Belang ini. Namun, enjin pada Belang ini sebenarnya sudah dinyahtala sedikit untuk disesuaikan dengan kerangka dan badannya yang lebih ringan - enjin FXR150 mampu menghasilkan kuasa kuda setinggi 20 bhp @ 12,500 rpm serta kilasan 18 N-m @ 10,000 rpm, sementara enjin Belang pula dijinakkan sedikit kepada 16.5 PS @ 9,500 rpm dan kilasan 12.76 N-m @ 8,500 rpm. Tidak seperti model-model pesaing mereka, kedua-dua model FXR150 dan Belang menggunakan sistem sejukan udara yang digandingkan dengan sistem sejukan minyak agar dapat melesapkan haba secekap sistem sejukan cecair tetapi dengan kos penyelenggaraan yang sangat rendah. Anda hanya perlu jaga minyak enjin sahaja untuk memastikan enjin Belang anda disejukkan sebaiknya.

Menghidupkan enjin Belang cukup mudah, sama ada melalui penghidup elektrik mahupun penghidup tendang. Namun, untuk menggunakan penghidup elektrik, anda perlu menarik tuas klac terlebih dahulu sebelum menekan punat penghidup. Oleh kerana penghidup elektrik merupakan peralatan standard pada motor ini, penghidup tendang seakan tidak diperlukan melainkan ketika bateri lemah.




Panel meter digital Belang yang canggih


Salah satu perkara yang saya paling suka pada Belang sudah tentulah meter digitalnya yang tampak canggih, menggabungkan takometer dengan panel LCD yang terdiri daripada meter laju digital, tolok bahan api dan odometer. Tiada penunjuk kedudukan gear sebagaimana yang ada pada FXR150, kecuali lampu gear neutral dan lampu gear enam. Namun, satu penambahan terbaharu berbanding FXR150 ialah lampu nasihat penukaran gear yang berwarna putih. Ia menyala pada kedudukan rpm tertentu, bergantung kepada mod yang digunakan sama ada mod biasa, Eco atau Power, yang boleh ditukar dengan menekan punat Mode ketika berhenti. Lampu tersebut tidak akan menyala pada mod biasa. Pada mod Eco pula, lampu tersebut menyala pada sekitar 5,000-6,000 rpm untuk penjimatan bahan api maksimum, manakala pada mod Power pula lampu putih itu menyala pada 8,500 rpm iaitu pada takat enjin menjana tork maksimum.

Memandangkan enjin Belang ini merupakan enjin oversquare (lubang lebih besar daripada lejang), maka anda perlu menukar gear pada rpm yang agak tinggi. Kekuatan enjinnya sangat terasa pada empat gear terawal, tetapi pada gear lima dan enam pula ia seakan agak malas untuk menarik badannya yang seberat 108 kg itu. Maka, jika anda menukar gear pada rpm yang agak rendah, maka sudah tentulah agak liat untuk mendapatkan kelajuan maksimum. Untuk mendapatkan kelajuan maksimum, saya menukar gear pada sekitar 11,000 rpm pada empat gear pertama, manakala gear keenam ditukar pada sekitar 10,000 rpm. Hasilnya, kelajuan maksimum yang saya berjaya capai dengan Belang ini ialah 136 km/j. Nak lebih laju lagi...? Boleh, dengan syarat anda perlu menukar kepada CDI racing kerana CDI standard Belang mengehadkan rpm enjin kepada 11,500 rpm sahaja. CDI standard FXR150 pula membolehkan kelajuan enjin ditingkatkan kepada 12,500 rpm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum antara 140-150 km/j, bergantung kepada berat penunggang.

Bagaimana pula dengan penggunaan bahan apinya...? Belang ini boleh jadi jimat minyak dan boleh juga jadi pelahap, bergantung kepada gaya tunggangan anda. Jika anda menunggang dengan relaks, menukar gear pada rpm pertengahan dan mematuhi had laju, maka Belang ini boleh jadi lebih jimat minyak. Namun, jika anda merempit sakan dan menukar gear pada rpm tinggi, ia memang pelahap, serius saya katakan. Tak percaya...? Saya sertakan data-data penggunaan bahan api sepanjang perjalanan pergi balik KL-Kuala Terengganu-KL dalam projek XPDC Teganu Kita di bawah ini. Oh ya, anda juga perlu memastikan rantai sentiasa ditegangkan dengan betul kerana ia juga turut mempengaruhi penggunaan bahan api.


Stesen minyak
Bacaan awal odometer
(km)
Bacaan akhir odometer
(km)
Jarak
(km)
Isian petrol
(liter)
Penggunaan bahan api
(km/L)
Kelajuan purata
(km/j)
Petronas Lebuhraya Karak
28221.4
28258.6
37.2
1.35
27.56
90
Shell R&R Temerloh (arah timur)
28258.6
28327.0
68.4
2.35
29.11
90-120
Petronas R&R Gambang (arah timur)
28327.0
28388.7
61.7
2.762
22.34
120
Shell R&R Cheneh (FT14)
28388.7
28477.2
88.5
3.36
26.34
110-120
Shell R&R Bukit Besi (FT14)
28477.2
28574.2
97
3.59
27.02
110
Shell Chabang Tiga, Kuala Terengganu
28574.2
28660.5
86.3
3.31
26.07
60-110
Petronas Bandar Almuktafi Billah Shah
28660.5
28751.6
91.1
2.587
35.21
90-100
Petronas Jalan Kuantan-Sungai Lembing
28751.6
28857.6
106
3.53
30.03
90-100
Petronas R&R Gambang (arah barat)
28857.6
28906.4
48.8
1.535
31.79
110-120
Shell R&R Temerloh (arah barat)
28906.4
28967.6
61.2
1.77
34.58
110
Petronas R&R Genting Sempah
28967.6
29054.4
86.8
2.941
29.51
70-110

Jumlah jarak perjalanan: 833 km (tidak termasuk jarak KL-Petronas Lingkaran Karak dan R&R Genting Sempah-KL)
Penggunaan bahan api purata keseluruhan: 28.64 km/L


Sungguhpun demikian, ada dua perkara yang paling saya kurang senangi pada Suzuki Belang ini. Pertama, lampu hadapan yang digunakan sangat malap, sungguhpun Suzuki mendakwa rekaan lampu hadapannya diinspirasikan daripada model-model superbike mereka. Apa tidaknya, lampu hadapan Belang menggunakan dua biji mentol 25W, yang mana hanya lampu sebelah atas sahaja menyala pada suluhan lampu rendah, manakala pada suluhan lampu tinggi pula kedua-dua mentol tersebut menyala. Namun, serius saya katakan, lampu yang digunakan itu terlalu malap, malah lebih malap daripada lampu Wave Ultimo saya. Akibatnya, saya menghadapi kesukaran untuk melihat jalan di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa perjalanan balik pada waktu malam, memandangkan garisan jalan di sepanjang E8/FT2 sudah hilang kesan pemantulannya. Akibatnya, saya terpaksa memperlahankan motosikal pada kelajuan sekitar 70 km/j dan membuka visor topi keledar untuk memudahkan penglihatan sehinggalah saya tiba di Genting Sempah, di mana Lebuhraya Karak E8/FT2 mula disinari pancaran lampu jalan LED sehingga ke penamatnya di Plaza Tol Gombak - pada masa itulah baru saya lebih berani untuk menunggang dengan lebih laju sedikit. Jika dibandingkan, lampu hadapan Suzuki FXR150 pula jauh lebih terang - malah lebih terang daripada lampu hadapan Yamaha TZM150 - kerana ia menggunakan dua biji mentol halogen berkuasa tinggi sehingga memerlukan geganti (relay) untuk menghidupkannya.

Namun, perkara utama yang paling saya tidak senangi pada Suzuki Belang ini ialah sistem pengunci sterengnya yang saya sifatkan sebagai terlalu primitif dan tidak selamat. Memandangkan Suzuki Belang ini merupakan model prestasi, maka sudah tentulah ia menjadi salah satu motosikal idaman mat rempit dan samseng jalan raya, justeru ia memerlukan satu sistem kunci yang setidak-tidaknya berupaya menggagalkan usaha pencuri motosikal bangsat anak haram jadah daripada mencurinya. Turut menambah parah keadaan ialah rekaan kowling hadapannya turut mendedahkan mekanisme pengunci stereng Belang ini. Dalam entri pertama siri XPDC Teganu Kita, saya ada menceritakan detik-detik cemas bagaimana Suzuki Belang milik rakan serumah saya ini nyaris dicuri tetapi digagalkan oleh seorang jiran yang prihatin. Suzuki Assemblers Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada Yamaha FZ150i yang menggunakan sistem pengunci stereng yang sama primitif dan tidak selamat sehinggalah Yamaha menambah baik sistem penguncinya dengan menggunakan sistem pengunci stereng dengan penutup lubang kunci, yang ditempatkan pada bahagian hadapan tangki agar mekanisme pengunci sterengnya lebih tersorok dan lebih selamat. Kunci seperti itulah yang sepatutnya digunakan pada Suzuki Belang...!!! Untuk menambah baik tahap keselamatannya ke tahap yang lebih tinggi, Suzuki juga wajar menggantikan sistem karburetor sedia ada kepada sistem pancitan bahan api dengan sistem pelumpuh (immobilizer) yang dihubungkan pada ECU agar pencuri motosikal bangsat tidak boleh menghidupkan enjin langsung walaupun setelah suis kunci penyalaan dipintaskan.

Secara amnya, saya sangat berpuas hati akan pengalaman saya menggunakan Belang ini, meskipun terdapat kelemahan ketara dari segi keselamatan dan sistem pencahayaannya yang perlu diperbaiki. Memandangkan hari gaji semakin dekat, ia turut bermakna sudah tidak lama sahaja lagi untuk motosikal Honda Wave Ultimo saya untuk diperbaiki dan seterusnya mengembalikan Suzuki Belang ini kepada tuannya, mungkin dengan menghantar Belang ini pulang ke kampung halamannya di Sabak Bernam, Selangor. Sedih juga bila difikirkan, tetapi demi amanah daripada seorang sahabat, saya memang perlu mengembalikannya apabila tiba masanya. Apa pun, pengalaman merasai sendiri kehebatan motosikal kapcai 4 lejang paling berkuasa dalam kelasnya ini sememangnya satu pengalaman yang amat berharga dalam hidup saya.



Spesifikasi Suzuki Belang R150

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)

Apa yang saya suka
  1. Enjin paling besar dan paling berkuasa dalam kelasnya
  2. Panel meter digital yang canggih
  3. Brek cakera yang sangat cekap
  4. Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha 135LC
Apa yang saya tidak suka
  1. Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
  2. Lampu hadapan yang terlalu malap

Wednesday, February 18, 2015

XPDC Teganu Kita 2015 Part 3: Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dan sejarahnya / Jerangau-Jabor FT14 and its history

Salam sejahtera,

Dalam bahagian ketiga siri reviu XPDC Teganu Kita ini, saya ingin membawakan kepada anda sebatang jalan raya yang telah banyak berjasa kepada anak-anak Terengganu selama 36 tahun sebelum siapnya Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8, iaitu Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Ia merupakan jalan persekutuan kedua yang menghubungkan antara Kuantan dengan Kuala Terengganu selain Jalan Persekutuan 3. Jarak antara kedua-dua bandar raya tersebut melalui kedua-dua laluan pun lebih kurang sama juga iaitu lebih kurang 200 km. Bezanya ialah jalan FT3 melalui sepanjang pesisiran pantai, manakala jalan FT14 pula melalui laluan pedalaman. Konsep ini samalah seperti dua batang jalan raya bersejarah di Jepun iaitu Jalan Tokaido (jalan pantai) dan Jalan Nakasendo (jalan pedalaman) yang menghubungkan antara Tokyo dengan Osaka. Namun, kerajaan mengambil keputusan untuk membina Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 bukan sahaja sebagai laluan alternatif dari Kuantan ke Kuala Terengganu, malah sebagai infrastruktur asas utama untuk membangunkan kawasan mundur di sepanjang pedalaman Terengganu. Hasil pembinaan jalan ini, beberapa buah bandar baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, seperti Bukit Besi, Bandar Almuktafi Billah Shah dan Bandar Cheneh Baru.

Sedikit mengenai sejarah pembinaan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ini. Projek Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 mula diumumkan pada tahun 1973 semasa penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) oleh Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak. Pembinaannya selari dengan matlamat penubuhan Ketengah iaitu untuk membangunkan kawasan mundur di kawasan pedalaman selatan Terengganu. Pada masa itu, hanya kawasan di sepanjang pesisiran pantai serta Lembah Terengganu sahaja yang maju di Terengganu manakala kawasan pedalaman pula begitu mundur. Sebelum pembinaan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ini, Jalan Persekutuan 3 merupakan satu-satunya jalan persekutuan yang ada di Terengganu pada masa itu. Namun demikian, pembinaan FT14 ini mendorong kepada pembinaan lebih banyak jalan persekutuan di Terengganu sebagai penghubung antara FT14 dengan FT3. Pembinaannya dimulakan pada Januari 1977 dan siap pada tahun 1979. Dua batang jalan raya digunakan sebagai laluan perintis bagi Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ini, iaitu Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT14/FT106 dan Jalan Ajil-Dungun FT14/FT132.

Sungguhpun demikian, projek Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 sering berdepan dengan masalah jalan rosak sejak di peringkat pembinaan lagi, dan ia berlarutan sehingga sekarang, meskipun kerajaan sudah menghabiskan begitu banyak wang untuk memperbaikinya. Akibatnya, kerajaan sering dipersalahkan sedangkan dalang sebenar kepada kerosakan FT14 pula terlepas. Masalah jalan rosak di FT14 sebenarnya berpunca daripada lori-lori besar dengan muatan berlebihan (terutamanya lori sawit, lori bijih besi dan lori amang) yang sering menggunakan jalan tersebut. Had berat yang dikenakan kepada lori-lori berat ialah 9 tan bagi setiap gandar, tetapi banyak lori-lori yang masih berdegil dan terus melanggar had berat tersebut. Penguatkuasaan yang lemah turut menambah parah keadaan, dibuktikan dengan hanya satu sahaja stesen jambatan timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ada di sepanjang FT14 iaitu di Bukit Besi. Jika dibandingkan, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 yang lebih pendek pula mempunyai dua buah stesen jambatan timbang JPJ iaitu di Paloh Hinai dan Keratong, membolehkan operasi penguatkuasaan memerangi lori-lori terlebih muatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Sebab itulah walaupun Lebuhraya Tun Razak FT12 juga ada kalanya mengalami kerosakan akibat punca yang sama, namun ia tidak seserius Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dan masih dapat diatasi. Justeru, JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu bekerja lebih keras dan membuktikan bahawa mereka tidak tidur bagi memerangi lori-lori terlebih muatan dengan membina lebih banyak stesen jambatan timbang di sepanjang FT14 untuk usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu, saya mengambil keputusan untuk menggunakan laluan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 sepanjang 179.63 km ini. Peringkat pertama lebuh raya ini ialah Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT14/FT106, yang merupakan jalan raya kembar. Namun, tidak semua jajaran Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT106 ini terdiri daripada jalan raya kembar; jajaran dari Bukit Payong ke Wakaf Tapai pula masih lagi jalan raya tunggal dan kini sedang dalam proses naik taraf kepada jalan raya kembar. Projek naik taraf laluan ini sememangnya sudah dijangkakan kerana koridor Kuala Terengganu-Kuala Berang merupakan kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi di Terengganu, menyebabkan kadar aliran trafik yang tinggi di jajaran berkenaan. Jajaran dari Kuala Terengganu ke Ajil diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 14, manakala jajaran dari Ajil ke Kuala Berang pula diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 106. Di pekan Ajil, Jalan Persekutuan 14 dilencongkan ke kiri di Persimpangan Ajil.

Lanskap mula berubah sebaik sahaja saya membelok ke kiri di Persimpangan Ajil untuk meneruskan perjalanan. Jika sepanjang perjalanan sebelumnya saya melalui jalan raya kembar (kecuali jajaran Bukit Payong-Wakaf Tapai yang baru hendak dinaik taraf kepada jalan raya kembar), jajaran seterusnya pula 99% jalan raya tunggal. Di jajaran inilah Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 terkenal dengan reputasinya sebagai jalan raya utama paling teruk di Terengganu disebabkan banyak jajaran yang rosak, berlubang dan menggerutu. Namun, seperti yang telah saya katakan tadi, ia bukanlah salah JKR, tetapi sebenarnya pemandu lori terlebih muatan yang sering menggunakan laluan inilah yang sepatutnya dipersalahkan. Akibatnya, JKR Terengganu terpaksa membazirkan jutaan ringgit untuk memperbaikinya, tetapi masalah tetap berterusan disebabkan kedegilan syarikat-syarikant pengangkutan lori yang tamak dan rakus.

Sepanjang pengalaman saya menggunakan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ini, jajaran Ajil ke Bukit Besi merupakan jajaran yang paling teruk. Sebenarnya, memang ada bahagian yang sudah pun dibaiki di sepanjang jajaran ini, tetapi peratusnya masih lebih rendah daripada bahagian yang tidak dibaiki. Apa boleh buat, peruntukan yang diberikan kepada JKR Terengganu untuk membaiki jalan ini sangat terhad. Namun, ia tidak seharusnya dipandang enteng kerana ada beberapa kali saya nyaris-nyaris terbabas di jajaran ini disebabkan keadaan jalan yang sangat teruk. Akibatnya, saya terpaksa memperlahankan motosikal kepada sekitar 60-70 km/j di jajaran yang rosak teruk. Walau bagaimanapun, nasib saya sangat baik kerana sejak Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dibuka, bilangan kenderaan di Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 (kecuali jajaran Kuala Terengganu-Ajil) merosot sehingga 80% - begitu lengang sehinggakan anda boleh berbaring di atasnya (awas, ini sekadar metafora sahaja, jangan cuba betul-betul) - jadi saya berupaya untuk mengelak lubang-lubang di sepanjang jalan tanpa perlu risau akan kenderaan laju di belakang.

Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Besi merupakan hentian rehat pertama yang wajib disinggahi pengguna Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Ia terletak betul-betul di tepi simpang tiga Bukit Besi yang melencongkan jajaran baki bagi FT14 sehingga ke Kuantan; jalan terus akan membawa anda ke LPT2 E8 dan Kuala Dungun melalui Jalan Persekutuan 132. Jika sebelum ini simpang Bukit Besi merupakan simpang tiga, tetapi kini ia sudah dijadikan simpang empat pula; cabang keempat pula dijadikan jalan masuk ke Shell R&R Bukit Besi serta beberapa buah rumah kedai baharu di situ. Jadi, pengguna LPT2 E8 yang perlu keluar dari lebuh raya untuk mengisi minyak boleh keluar ke Bukit Besi dan mengisi minyak di situ.

Jajaran dari Bukit Besi ke Kuantan juga tidak kurang teruknya seperti di jajaran Ajil-Bukit Besi tadi, tetapi sekurang-kurangnya 66% daripada jajaran tersebut kini sudah pun dibaiki. Dalam usaha ini, JKR Terengganu seharusnya dipuji kerana semasa membaiki jalan tersebut, mereka bukan sekadar menurap kembali semata-mata, tetapi mereka turut menaik taraf jajaran yang dibaiki kepada jalan super two dengan bahu jalan keras. Jadi bolehlah saya menunggang lebih laju sedikit kepada sekitar 90-100 km/j. Keadaan jalan yang sudah dibaiki 66%, ditambah pula dengan keadaan jalan yang lengang, menjadikan tunggangan lebih santai dan menjimatkan. Jika perjalanan dari Bukit Besi ke Kuala Terengganu melalui LPT2 E8 memerlukan setangki penuh, kuantiti petrol yang sama membolehkan saya mengembara lebih jauh dari Kuala Terengganu ke Almuktafi Billah Shah melalui lebuh raya FT14 ini.

Almuktafi Billah Shah terletak lebih kurang 21 km dari simpang Bukit Besi tadi. Di situ juga terdapat sebuah lagi hentian rehat dan stesen minyak Petronas. Sebaik tiba di Almuktafi Billah Shah, saya mengambil keputusan untuk berehat sebentar sambil minum petang dan mengisi minyak. Pembukaan LPT2 E8 ternyata membawa kesan negatif kepada bandar-bandar yang selama ini bergantung kepada pengguna FT14 yang lalu-lalang sebagai sumber ekonomi mereka. Para peniaga di pekan Ajil misalnya mendakwa perniagaan mereka merosot 40% sejak LPT2 E8 dibuka. Di Almuktafi Billah Shah pun saya dapati bilangan pengunjung di hentian rehat Almuktafi Billah Shah begitu kurang. Saya berasa sungguh sedih apabila memikirkan nasib mereka yang terjejas mata pencarian akibat pembukaan LPT2 E8. Sekurang-kurangnya, Bukit Besi dan Bandar Baru Cheneh masih beruntung kerana kedudukannya sangat hampir dengan jalan masuk ke LPT2 E8, jadi mereka masih boleh menggunakan kesempatan daripada ketiadaan stesen minyak di sepanjang LPT2 E8 itu. Namun, bagaimana pula dengan Almuktafi Billah Shah...? Inilah realiti sebenar yang menunjukkan kesan negatif pembukaan lebuh raya ekspres terhadap pekan-pekan dan kampung-kampung yang bergantung kepada pengguna jalan raya yang lalu-lalang sebagai punca rezeki.

Perjalanan seterusnya dari Almuktafi Billah Shah dan Cheneh pula begitu panjang iaitu 61 km - tanpa ada apa-apa kecuali hutan dan estet kelapa sawit. Sekali-sekala ada jugalah beberapa simpang ke jalan-jalan susur yang menghubungkan FT14 dengan FT3 - misalnya, simpang ke Bandar Ketengah Jaya dan Paka melalui FT122, simpang ke Bandar Seri Bandi dan Kijal melalui FT124, serta simpang ke Chukai melalui FT237. Hentian rehat ketiga (dan terakhir) di sepanjang Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 terletak di Bandar Baru Cheneh, yang turut dilengkapi stesen minyak Shell. Ia juga menandakan bahawa saya sudah semakin hampir ke penghujung FT14.

Semasa menghampiri penghujung FT14, terdapat simpang ke Jabor melalui jalan T15, namun saya belum boleh menarik nafas lega lagi kerana ia bukanlah penamat sebenar bagi Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ini. Hanya setelah melepasi sempadan Pahang-Terengganu barulah saya boleh menarik nafas lega. Tidak jauh dari sempadan Terengganu-Pahang terletaknya Bulatan Desa Aspa yang menghubungkan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dengan Jalan Pintasan Gebeng FT101 dan LPT1 E8. Sekali lagi, keadaan jalan di bulatan tersebut agak mengecewakan kerana menggerutu, namun ia sememangnya salah kenderaan berat terlebih muatan kerana jalan FT101 dihubungkan ke Kawasan Perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan. Selepas bulatan ini, Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 menjadi jalan raya kembar seketika sebelum ia tamat di Persimpangan Jerangau-Jabor yang menghubungkannya dengan Jalan Pintasan Kuantan FT3. Memandangkan hari sudah mulai gelap, saya perlu segera mengisi minyak di Kuantan sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur melalui LPT1 E8.

Episod seterusnya pula ialah sedikit reviu mengenai jentera yang saya gunakan sepanjang XPDC Teganu Kita 2015 iaitu Suzuki Belang R150. Namun, disebabkan saya akan pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baru Cina, entri tersebut akan disiarkan minggu hadapan setelah saya pulang semula ke ibu kota. Akhir kata, Selamat Tahun Baru Cina buat para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang berketurunan Cina...!!!

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Permulaan Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT14/FT106 di Persimpangan Chabang Tiga






Simpang ke Lebuhraya Bukit Payong-Kuala Telemong (aka Jalan Cabang Bukit Payong)






Jajaran dari Bukit Payong ke Wakaf Tapai kini sedang dinaik taraf kepada jalan raya kembar






FT14 kembali menjadi jalan raya kembar di Wakaf Tapai






Suasana di pekan Ajil






Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dilencongkan ke kiri di Persimpangan Ajil - Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang bertukar kod laluan kepada FT106






FT14 kini menjadi jalan raya tunggal bagi hampir keseluruhan jajaran baki - masih ada 173 km lagi untuk ke Kuantan






Keadaan jalan bagi jajaran Ajil-Bukit Besi sangat teruk dan menggerutu






Keadaan jalan yang menggerutu dan berpasir memaksa saya memperlahankan kelajuan






JKR Terengganu telah membelanjakan banyak wang untuk memperbaiki Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 sejak pembukaannya pada tahun 1979






Laluan baharu yang dibina bagi memintas selekoh berbahaya






Felda Jerangau Barat






Lengang gila kan...? Keadaan jalan yang teruk menyebabkan bilangan pengguna Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 merosot teruk sehingga 80%






FT14 dilintasi LPT2 E8 di Bukit Besi






Simpang tiga Bukit Besi kini sudah menjadi simpang empat - cabang keempat membawa ke stesen minyak Shell






Stesen minyak Shell Simpang Bukit Besi






Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Besi






Perjalanan masih berbaki 131 km dari simpang Bukit Besi






Sepanjang Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14, hanya ada satu sahaja stesen penguatkuasaan JPJ iaitu di Bukit Besi - apabila kucing tiada gigi, tikus pula menari-nari






Jalan masuk ke Bukit Besi






Lagi keadaan jalan yang teruk di Bukit Besi






JKR Terengganu membaiki jalan bukan dengan sekadar menurap semula tetapi turut menjadikan jajaran yang dibaiki sebagai jalan super two






Simpang ke Bandar Ketengah Jaya melalui jalan FT122






Simpang ke Bandar Seri Bandi melalui FT124






Simpang ke Chukai melalui FT237






Kuantan sudah tidak jauh sahaja lagi






Simpang ke Cherul






Stesen minyak Shell di Bandar Baru Cheneh






Kawasan Rehat dan Rawat Bandar Baru Cheneh






Jalan masuk ke Bandar Baru Cheneh






Exit 839 Persimpangan Cheneh merupakan salah satu daripada hanya dua buah persimpangan yang dihubungkan terus dengan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14






Simpang ke Felda Neram 1






Simpang ke Ladang Jabor bukanlah penamat sebenar bagi Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14






Sempadan Terengganu-Pahang menunjukkan saya semakin menghampiri penamat FT14






Jarak dari Bulatan Desa Aspa ke Kuala Terengganu ialah 181 km






Bulatan Desa Aspa menghubungkan antara FT14 dengan Jalan Pintasan Gebeng FT101 dan LPT1 E8






Bahagian terakhir FT14 dari Bulatan Desa Aspa ke Persimpangan Jerangau-Jabor dibina sebagai jalan raya kembar






Penamat Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 di Jalan Pintasan Kuantan FT3