Wednesday, May 24, 2017

DUKE 2 E33: Hubungan Tun Razak - pelengkap Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 / Tun Razak Link - perfecting the Kuala Lumpur-Kuantan Road FT2




Salam sejahtera,

Pada 23 Mei 2017 jam 8.00 pm, salah satu komponen projek Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) 2 E33 iaitu Hubungan Tun Razak selamat dibuka kepada lalu lintas. Jajaran tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh. Laluan sambungan sepanjang 9 km ini menghubungkan antara Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dengan Bulatan Pahang yang menjadi titik permulaan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2.

Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya, kenapa pula saya katakan Hubungan Tun Razak ini sebagai pelengkap Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2...? Semuanya berpunca daripada sejarah gelap pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 yang didedahkan oleh Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) dalam buku mereka mengenai pembinaan Lebuhraya Duke E33. Mengikut sejarah, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 sepatutnya berakhir di Batu 3 Jalan Pahang FT2. Namun, komplikasi perundangan telah mengakibatkan projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 sekadar dimatikan di Kampung Bandar Dalam dan bukannya di Jalan Pahang FT2, di mana berlaku pertikaian mengenai pengambilalihan tanah di Kampung Puah dan Kampung Chubadak yang dipenuhi kawasan setinggan sehingga dibawa ke mahkamah. Pertikaian tersebut berlaku kerana terdapat ramai penduduk setinggan yang enggan berpindah meskipun sudah menerima pampasan daripada kerajaan. Semasa ia dibawa ke mahkamah, keputusan memihak kepada kumpulan penduduk setinggan tersebut. Daripada situlah bermulanya episod kota sesat FT2 di Kuala Lumpur. Namun, semasa pembinaan Lebuhraya Duke E33 pula, keputusan mahkamah kali ini memihak kepada Kesturi yang sudah pun bersiap-sedia dengan fakta-fakta kes, membolehkan jajaran baki bagi Lebuhraya KL-Karak FT2 yang diambil alih bagi projek Lebuhraya Duke E33 disambung sehingga ke Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, dan kali ini ia dipanjangkan lagi sehingga ke Bulatan Pahang.

Itu baru cerita sejarah gelap FT2 yang diselesaikan melalui pembinaan Lebuhraya Duke E33 serta sambungannya iaitu Hubungan Tun Razak. Namun, sebab utama yang sering disebut-sebut oleh Kesturi sebagai sebab nombor satu bagi pembinaan Hubungan Tun Razak sudah tentulah masalah kesesakan di pusat bandar raya Kuala Lumpur yang hendak memasuki E33 - dari pusat bandar raya, pengguna jalan raya yang hendak memasuki E33 perlu meredah azab kesesakan di Jalan Pahang FT2 sebelum memasuki Lebuhraya Duke E33, dan kalau hendak keluar dari E33 ke pusat bandar raya pula, kena keluar melalui Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam dan seterusnya melalui Jalan Sentul, ataupun melalui Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching dan seterusnya melalui Jalan Kuching FT1. Dengan kata lain, sama ada meredah azab kesesakan jalan raya ataupun terpaksa melencong jauh.




Reka bentuk jajaran Hubungan Tun Razak


Jadi bagaimana rasanya pengalaman menggunakan Hubungan Tun Razak ini...? Sepatutnya saya hendak mencubanya semalam, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa membatalkan terlebih dahulu hasrat untuk mencubanya. Jadi saya ingin meminjam sebentar gambar-gambar yang diambil oleh Puan Misiah Taib dari Kementerian Kerja Raya sebelum saya mencubanya sendiri pada bulan Ramadan ini. Jadi, ini beberapa komen awal saya mengenai Hubungan Tun Razak ini:-
  1. Daripada gambar-gambar yang ditunjukkan oleh Puan Misiah, ada dua perkara utama yang saya kurang berpuas hati di sini, iaitu reka bentuk Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar yang diubahsuai serta papan tanda yang digunakan.
  2. Cara Hubungan Tun Razak dihubungkan untuk trafik dari arah Batu Caves ke Bulatan Pahang boleh dikatakan terbaik. Namun, cara laluan dari arah berlawanan dihubungkan pula tidak memuaskan - sebaik melepasi Bandar Baru Sentul, anda perlu melalui satu hairpin tajam yang direkabentuk hanya untuk kelajuan sekitar 20-35 km/j sebelum memasuki Hubungan Karak bagi laluan terus. Dengan kata lain, anda pecut, anda menempah maut. Selain itu, reka bentuk sebegitu boleh menyebabkan kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku, bahana semua pengguna lebuh raya terpaksa memperlahankan kelajuan.
  3. Dari arah Jalan Duta melalui laluan utama E33, anda perlu belok kiri ke arah utara, kemudian ambil cabang kiri di Plaza Tol Sentul (memintas Plaza Tol Sentul yang asal), melalui pusingan U bertingkat ke Plaza Tol Sentul tambahan, dan akhir sekali memasuki Hubungan Tun Razak. Itu masih lagi boleh dikira ok dan masuk akal lagi.
  4. Namun, cara lalu lintas dari arah Ulu Klang dihubungkan ke Hubungan Tun Razak pula paling mengarut sama sekali. Anda bayangkan, untuk ke kiri, anda perlu memasuki susur ke arah kanan (arah Batu Caves), kemudian melalui pusingan U bertingkat ke Plaza Tol Sentul tambahan, dan akhir sekali barulah memasuki Hubungan Tun Razak. Kenapa tidak bina sahaja tanjakan terus ke kiri dengan tiga lorong tol...? Bukankan lebih mudah begitu...?
  5. Ada dua sebab utama kenapa saya menghentam cara lalu lintas dari arah timur (Ulu Klang) dihubungkan ke Hubungan Tun Razak melalui sambungan yang tidak masuk akal seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan keempat tadi. Pertama, ia bakal menyumbang kepada kesesakan di Plaza Tol Sentul yang ironinya merupakan plaza tol terkecil di sepanjang Lebuhraya Duke E33. Kedua, ia menyumbang kepada konflik jalinan antara lalu lintas dari arah Ulu Klang yang perlu himpit ke kiri di Plaza Tol Sentul untuk ke Hubungan Tun Razak dengan lalu lintas dari Bulatan Pahang yang perlu himpit ke kanan untuk ke Batu Caves. Sesebuah lebuh raya ekspres sepatutnya direkabentuk bagi meminimumkan titik-titik konflik bagi meningkatkan tahap keselamatannya, bukannya menambah parah akan titik konflik sedia ada. Justeru, lebuh raya yang gagal menangani titik-titik konflik merupakan lebuh raya yang direkabentuk untuk gagal.
  6. Sekarang kita pergi pula kepada papan tanda yang digunakan. Nampak gayanya kelemahan papan tanda yang pernah saya sebut dalam reviu Lebuhraya Duke E33 masih berterusan tanpa sebarang pengajaran yang diambil.
  7. Isu "simpang lorong tikus" di hadapan Exit 3309 Persimpangan Sentul Pasar (arah utara) masih lagi tidak ditangani oleh pihak Kesturi. Jika dibandingkan, laluan bagi arah selatan pula dihubungkan ke Taman Pelangi melalui simpang LILO yang sempurna. Kenapa Kesturi tidak pula melakukannya bagi laluan arah utara pula...? Simpang lorong tikus sebegitu sangat berbahaya serta boleh menyebabkan kemalangan maut akibat kenderaan yang berhenti mengejut. Saya sendiri pun beberapa kali nyaris kemalangan di situ disebabkan konflik dengan kenderaan dari laluan utama yang hendak keluar ke Taman Pelangi.

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa saya ini sangat kejam, kerana baru sehari sahaja lebuh raya baharu dibuka sudah saya kecam. Ya, Lebuhraya Duke E33 juga merupakan sekutu rapat bagi Blog Jalan Raya Malaysia, jadi disebabkan Lebuhraya Duke E33 sekutu rapat BJRM inilah saya perlu menegur apa sahaja yang tidak kena pada Lebuhraya Duke E33 supaya mereka boleh mengambil tindakan penambahbaikan sebelum mereka dikecam lebih teruk oleh pengguna lebuh raya pula. Tambahan pula, memang sudah jadi etika saya sebagai penulis blog jalan raya untuk tidak mengatakan sesuatu yang teruk itu sebagai "bagus", tak kiralah walau serapat mana pun saya dengan Menteri Kerja Raya.

Kepada Kesturi, mohon maaf zahir batin sekiranya reviu yang diadakan selepas baru sahaja sehari Hubungan Tun Razak dibuka ini berbunyi agak keras dan kejam. Saya menegur bukan untuk menghentam secara membuta-tuli semata-mata, tetapi kerana saya mahu rangkaian jalan raya dan lebuh raya Malaysia dihormati dan dimartabatkan. Jadi sebab itulah apa sahaja yang tidak betul pada jalan raya dan lebuh raya Malaysia memang saya akan bising. Bukan kerana benci, tapi kerana sayang. Akhir kata, semoga apa sahaja kelemahan yang telah pun saya kenal pasti melalui reviu kali ini mendapat perhatian Kesturi dan seterusnya dilakukan usaha pembaikan dan penambahbaikan agar kecacatan tersebut tidak berlarutan.





Persimpangan Bulatan Pahang dari arah Jalan Tun Razak (arah lawan jam)




Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dari arah Hubungan Tun Razak




Hubungan Tun Razak di atas Jalan Pahang FT2




Hubungan Tun Razak berhampiran Persimpangan Bulatan Pahang - rekaan papan tanda yang digunakan tidak memuaskan kerana ikut perangai DBKL
(Kredit gambar: Puan Misiah Taib)

Monday, May 22, 2017

Modenas Pulsar RS200, NS200 & V15 - Pelancaran paling berani / The boldest launch ever



Pelancaran 3 model motosikal serentak
(dari kiri ke kanan: Modenas V15, Modenas Pulsar NS200 & Modenas Pulsar RS200)
(Kredit gambar: MotoMalaya)


Salam sejahtera,

Buat pertama kalinya dalam sejarah Modenas, mereka akhirnya telah memecahkan tradisi mereka dengan melancarkan model-model motosikal yang bergenre berbeza daripada model-model keluaran mereka sebelum ini. Sejak mereka mula-mula mengeluarkan motosikal Modenas Kriss 110 pada tahun 1996, rata-rata model keluaran mereka asyik-asyik model-model kapcai ataupun skuter. Satu-satunya model bergenre berbeza yang dikeluarkan oleh Modenas pada masa itu hanyalah Modenas Jaguh 175 yang diasaskan daripada model Kawasaki Eliminator 175.

Pada awalnya, sambutan rakyat Malaysia terhadap motosikal keluaran Modenas sangat menggalakkan, sehingga ke tahap Modenas pernah menapau pasaran motosikal kapcai 4 lejang sehingga ke tahap 52%. Namun, penguasaan tersebut tidak kekal lama, bermula dengan kemunculan model pesaing terkuat iaitu Yamaha Lagenda 110. Akhirnya, dominasi Modenas berjaya dipecahkan hasil kemunculan model-model motosikal baharu yang lebih berkuasa, lebih bergaya serta menepati citarasa pengguna.

Salah satu sebab utama kejatuhan Modenas pada ketika itu ialah disebabkan pengguna sudah bosan dengan lambakan model-model kapcai Modenas yang hanya sekadar mengitar semula enjin lama tanpa sebarang inovasi baharu, sedangkan para pesaing pula sentiasa menambah baik model-model keluaran mereka termasuklah menggunakan enjin baharu. Di samping itu, ramai di kalangan peminat motosikal Malaysia yang sudah bosan kerana Modenas tidak mengeluarkan motosikal bergenre berbeza sesuai dengan peningkatan usia dan tahap kematangan para penggunanya. Para pemilik yang sebelum ini sering menggunakan kapcai ingin merasai motosikal bergenre berbeza seperti motosikal sport, naked, cafe racer dsb. Akibat ketandusan model-model seumpamanya, Modenas sering dikritik dan dikecam oleh para peminat motosikal Malaysia kerana tidak mahu keluar daripada kepompong mereka selama ini. Jika dibandingkan, Demak yang dahulunya hanya dikenali sebagai pengeluar motosikal picisan yang menghasilkan model-model "klon" kini sudah pun mengeluarkan model-model motosikal yang lebih besar seperti Demak Skyline 200. Bukan itu sahaja, malah mereka turut berjaya membuka kilang kedua mereka di Olak Lempit, Banting, Selangor pada tahun 2014 sebagai tambahan kepada kilang induk mereka di Kuching, Sarawak.

Namun demikian, Modenas tetap tidak mahu terus dihentam oleh peminat motosikal yang kecewa dengan perkembangan mereka yang tampak lesu. Untuk mengubah kembali nasib mereka, Modenas mengambil langkah drastik dengan bekerjasama dengan beberapa pengeluar motosikal di luar negara bagi kerjasama penghasilan model-model baharu. Hasilnya, pada tahun 2017 Modenas begitu agresif mengeluarkan sebegitu banyak model-model motosikal baharu, yang mana ada di antaranya yang merupakan model-model game changer seperti Modenas Karisma generasi kedua, Modenas Elegan 250 dan Modenas Kriss MR2.

Pada 19 Mei 2017, Modenas mempertaruhkan tiga lagi model baharu dalam satu majlis pelancaran yang saya sifatkan sebagai pertaruhan paling berani oleh Modenas. Apa tidaknya, buat pertama kali dalam sejarah Modenas, mereka mengeluarkan model motosikal sport dan naked, yang sebelum ini tidak pernah dikeluarkan oleh mereka. Model-model yang saya maksudkan itu ialah Modenas Pulsar RS200, Modenas Pulsar NS200 dan Modenas V15. Ketiga-tiga model adalah hasil usaha sama dengan syarikat pengeluar motosikal terkemuka India iaitu Bajaj. Model-model tersebut dilancarkan sempena acara DRB-HICOM Autofest 2017 oleh DRB-HICOM yang merupakan syarikat induk bagi Modenas di ibu pejabat mereka di Hicom Glenmarie, Shah Alam.

Mungkin ada di antara anda yang langsung tidak mengenali nama Bajaj mahupun motosikal flagship mereka iaitu Pulsar. Untuk pengetahuan anda, Bajaj Auto ditubuhkan pada tahun 1945 di Pune, India, dan ia dikenali sebagai pengeluar beca berenjin terbesar di dunia. Selain itu, Bajaj juga ada mengeluarkan motosikal, di mana Bajaj Chetak merupakan antara model terawal keluaran Bajaj yang diasaskan daripada model klasik Vespa 2 lejang.

Sementara itu, Bajaj Pulsar merupakan model game changer Bajaj yang mula dikeluarkan pada tahun 2001, hasil ilham CEO baharunya pada waktu itu iaitu Rajiv Bajaj. Ia dihasilkan daripada penyelidikan yang dilakukan oleh divisyen kejuruteraan Bajaj Auto bersama-sama Tokyo R&D. Model ini dibangunkan susulan ketiadaan model-model motosikal jalanan berkapasiti sederhana dalam pasaran India kecuali motosikal Royal Enfield. Kejayaan pelancaran model motosikal naked Hero Honda CBZ menjadi pencetus terhadap pembangunan Bajaj Pulsar. Pembangunan Pulsar mengambil masa selama 3 tahun dengan kos keseluruhan 1 bilion rupee (RM67.058 juta).

Model asal Pulsar merupakan sebuah motosikal naked dengan enjin 150 cc sejukan udara. Ia menghasilkan 13 kuasa kuda. Pada masa itu, Pulsar amat dikenali sebagai antara motosikal terawal di India yang menampilkan brek cakera hadapan. Pada tahun 2003, model generasi kedua dikeluarkan, dengan menampilkan enjin dua palam pencucuh yang dikenali sebagai DTS-i.yang merupakan teknologi motosikal kebanggaan Bajaj.

Model Modenas Pulsar ini dibina berasaskan Bajaj Pulsar model tahun 2014. Ia menampilkan enjin 1 silinder 200 cc SOHC 4 injap sejukan cecair dengan tiga palam pencucuh dan sistem pancitan bahan api bagi menghasilkan keluaran kuasa kuda sebanyak 24.5 PS @ 9,750 rpm dan tork 18.6 N-m pada 8,000 rpm, digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan. Angka-angka kuasa ini sebenarnya sudah menghampiri angka-angka prestasi motosikal KTM Duke 200 dan Honda CBR250R yang lebih besar sedikit. Prestasi sebegini berjaya dihasilkan susulan penggunaan tiga palam pencucuh bagi memastikan pembakaran bahan api benar-benar lengkap dan bersih, membolehkan Bajaj Pulsar lulus piawaian emisi Bharat Stage IV (bersamaan piawaian emisi Euro 4) untuk motosikal. Teknologi DTS-i ini menjadikan Pulsar yang dijenamakan semula oleh Modenas ini sebagai motosikal Modenas pertama yang lulus piawaian emisi Euro 4. Bajaj mendakwa bahawa motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksimum 140 km/j, tetapi ramai pemiliknya yang berupaya mencapai kelajuan yang lebih tinggi sehingga sekitar 160 km/j. Angka-angka kelajuan ini cukup untuk memalukan Honda CBR250R yang dikritik di Malaysia kerana masih dikeluarkan dalam konfigurasi enjin 1 silinder, sedangkan model-model pesaingnya yang lain pula menggunakan enjin dua silinder sebaris.

Sebenarnya, langkah Modenas menjenamakan model ini sebagai Modenas Pulsar sebenarnya samalah seperti yang dilakukan oleh Kawasaki yang menjual Pulsar di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina. Ia kerana negera-negara sebegini dikenal pasti sebagai pasaran baru bangkit (emerging market); justeru, model motosikal sport kecil yang sangat murah amat diperlukan bagi menembusi pasaran sebegini. Bukan kerana Kawasaki tidak berkeupayaan membina motosikal sport kecil, cuma kosnya nanti mungkin tidak mesra warga marhaen. Justeru, Kawasaki menggunakan strategi menjenamakan Bajaj Pulsar sebagai Kawasaki Pulsar di beberapa negara pasaran baru bangkit, dan kali ini Modenas turut mengikut jejak langkah Kawasaki bagi membolehkan mereka mula menghasilkan motosikal sport kecil.

Sebaik sahaja kali pertama saya terlihat akan kelibat Modenas Pulsar di ruang pameran Modenas semasa acara DRB-HICOM Autofest berlangsung, serius saya katakan bahawa Modenas Pulsar RS200 merupakan motosikal paling cantik, paling seksi dan paling menggiurkan yang pernah dikeluarkan oleh Modenas. Anda yang melihat gambar-gambar Modenas Pulsar RS200 buat pertama kali pun pasti tidak akan menyangka bahawa motosikal keluaran Modenas boleh jadi seseksi ini. Lihat sajalah pada rekaan lampu-lampu hadapannya yang menggunakan lampu projektor berkembar, lampu DRL LED putih serta lampu-lampu isyarat membelok LED yang kecil dan capang tetapi tampak seksi. Lampu belakangnya juga daripada jenis LED yang disusun membentuk reka bentuk kristal. Reka bentuk motosikal yang tampak seksi lagi menggiurkan ini pastinya menyerlahkan kemachoan anda, seolah-olah anda seperti seorang hero sejati dalam filem Tamil mahupun filem Hindustan. Motosikal ini turut dilengkapi brek cakera depan dan belakang serta dilengkapi sistem brek cegah kunci (ABS). Kelajuan maksimum...? Bajaj mendakwa motor ini mampu mencapai 140 km/j sahaja, tetapi banyak video di YouTube yang membuktikan bahawa motor ini sebenarnya mampu mencapai sehingga 160 km/j atau lebih dalam keadaan standard, bergantung kepada berat penunggang dan teknik penunggangan.

Kita beralih pula kepada versi naked bagi Pulsar iaitu Modenas Pulsar NS200. Tak adillah kalau saya asyik menumpukan perhatian kepada RS200 sahaja, sedangkan Modenas melancarkan tiga model baharu pada 19 Mei. Bagi yang ingin memiliki motosikal untuk kembara secara santai tetapi tetap mahukan kuasa, Modenas Pulsar NS200 sesuai untuk anda. Postur tunggangannya juga lebih selesa daripada RS200 kerana hendalnya ditinggikan sedikit berbanding hendal RS200 yang memang direka untuk merempit sakan. Enjin yang digunakan juga sama seperti RS200. Cuma, tangkinya lebih kecil sedikit - jika RS200 mendapat tangki 13 liter, tangki NS200 pula bersaiz 12 liter. Kedua-duanya sama-sama menjimatkan, dengan penggunaan bahan api purata sekitar 35 km/L. Namun, tidak seperti RS200, NS200 pula tidak dilengkapi ABS.

Akhir sekali, kita tinjau pula model terakhir yang ditampilkan dalam trio tiga model baharu hasil kerjasama dengan Bajaj. Model terakhir yang ditampilkan ialah Modenas V15, juga hasil penjenamaan semula model Bajaj V15. Tidak seperti dua model tadi yang berpaksikan prestasi, V15 ini pula sekadar sebuah motosikal naked asas yang lebih sesuai sebagai kenderaan harian untuk berulang-alik ke tempat kerja. Enjinnya pun berlainan, iaitu enjin 150 cc 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara dengan 2 palam pencucuh yang sekadar mampu menghasilkan 12 PS @ 7,500 rpm dan tork 13 N-m @ 5,500 rpm. Ia juga menggunakan karburetor berbanding model-model Pulsar yang menggunakan pancitan bahan api. Sungguhpun demikian, V15 masih berupaya untuk lulus piawaian emisi Bharat Stage IV hasil penggunaan teknologi DTS-i. Meskipun direkabentuk berasaskan motosikal cafe racer klasik, namun ia tetap menerima sentuhan model seperti lampu belakang LED dan tolok bahan api jenis LED.

Jadi bagaimana dengan ketiga-tiga model baharu Modenas ini...? Serius saya katakan bahawa ketiga-tiga jentera terbaru Modenas ini merupakan model-model game changer yang mampu melonjak semula angka-angka jualan Modenas ke tahap yang sukar dipercayai. Apa tidaknya, ketiga-tiganya boleh anda miliki dengan harga mampu milik, yang mana Modenas V15 boleh dimiliki dengan harga sebuah motosikal kapcai, iaitu RM5,989.00 (termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans). Modenas Pulsar NS200 dan RS200 pula masing-masing dijual dengan harga RM9,220.00 dan RM11,342.00 (termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans). Itu baru masuk bab harga. Semasa saya mula-mula kongsikan gambar-gambar bagi ketiga-tiga motosikal ini, boleh dikatakan rata-rata pembaca begitu teruja untuk memilikinya, memandangkan ia merupakan model motosikal sport pertama Modenas yang mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Jadi apa tunggu lagi...? Jangan pula anda gunakan Modenas Pulsar untuk merempit sakan sudah...!!!


Bagaimana teknologi DTS-i berfungsi




DTS-i tiga palam pencucuh (Modenas Pulsar RS200/NS200)




DTS-i dua palam pencucuh (Modenas V15)


Teknologi yang menjadi teras utama bagi Modenas Pulsar RS200, NS200 dan V15 ialah teknologi DTS-i (Penyalaan Bunga Api Berkembar Digital). Teknologi DTS-i ini menggunakan berbilang palam pencucuh untuk meningkatkan kuasa enjin melalui pembakaran yang lebih sempurna berbanding dengan menggunakan hanya satu sahaja palam pencucuh bagi setiap silinder dalam enjin konvensional. Teknologi ini samalah seperti teknologi i-DSI (Penyalaan Berjujukan Berkembar Pintar) Honda yang digunakan pada model Honda Jazz 2001, Honda City 2003, Honda Civic Hybrid dan Honda Insight.

Dalam enjin konvensional, sebiji palam pencucuh digunakan untuk membakar campuran udara-bahan api. Namun, pemasaan penyalaannya perlu diawalkan kerana bunga api yang dihasilkan mengambil masa untuk membakar keseluruhan campuran udara-bahan api dalam kebuk pembakaran. Semasa kelajuan enjin semakin tinggi, masa bagi setiap lejang kuasa pula menjadi semakin pendek, jadi pemasaan penyalaan pula perlu diawalkan untuk pembakaran lebih sempurna kerana masa untuk bunga api palam pencucuh membakar keseluruhan campuran udara-bahan api kekal sama.






Enjin DTS-i 3 palam pencucuh yang digunakan pada Modenas Pulsar






Enjin DTS-i 2 palam pencucuh yang digunakan pada Modenas V15


Dalam enjin DTS-i pula, dua atau tiga biji palam pencucuh digunakan. Oleh kerana lebih banyak palam pencucuh digunakan, maka masa pembakaran juga semakin singkat untuk pembakaran yang lebih sempurna. Hasilnya, pemasaan penyalaan boleh dilengahkan tetapi masa pembakaran jauh lebih singkat daripada enjin dengan palam pencucuh tunggal sesilinder - jika pemasaan bagi sistem penyalaan enjin konvensional adalah sekitar beberapa darjah sebelum titik tetap atas (BTDC), pemasaan palam pencucuh bagi enjin DTS-i pula boleh ditetapkan 13° lebih lewat daripada enjin konvensional bagi enjin dua palam pencucuh (Modenas V15) dan 15° lebih lewat bagi enjin tiga palam pencucuh (Modenas Pulsar RS200 & NS200) - pun begitu, kedua-dua enjin membakar campuran bahan api 26% (bagi kes V15) hingga 50% (bagi kes RS200 dan NS200) lebih pantas daripada enjin konvensional.

Jadi apakah faedah utama bagi teknologi DTS-i ini...? Menurut Bajaj, terdapat empat faedah utama teknologi DTS-i ini, iaitu masa pembakaran yang lebih pantas, pembakaran yang lebih sempurna, peningkatan prestasi enjin, dan akhir sekali kurang pelepasan gas-gas pencemar yang dihasilkan. Ketiga-tiga model Bajaj yang dijenamakan oleh Modenas ini lulus piawaian emisi Bharat Stage IV (bersamaan Euro 4), menjadikan model-model tersebut sebagai model-model terawal Modenas yang lulus Euro 4. Sebelum ini, Modenas 118EFI merupakan model pertama Modenas yang lulus piawaian emisi Euro 3 hasil penggunaan sistem pancitan bahan api.






Spesifikasi Modenas Pulsar RS200 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair DTS-i dengan tiga palam pencucuh
Sesaran: 199.5 cc
Lubang x lejang: 72 x 49 mm
Kuasa kuda maksimum: 24.5 PS (18.02 kW) @ 9,750 rpm
Tork maksimum: 18.6 N-m @ 8,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 6 kelajuan (1 bawah, 5 atas)
Sistem bahan api: Pancitan bahan api
Brek: Cakera (depan dan belakang) dengan ABS
Berat kering: 155 kg
Kapasiti tangki bahan api: 13 L
Kelajuan maksimum: 140 km/j (dakwaan pengeluar); sekitar 160 km/j (ujian)
Penggunaan bahan api: 35 km/L (bandar); 43 km/L (lebuh raya)

Apa yang saya suka
  1. Motosikal sport pertama keluaran Modenas
  2. Ditampilkan dengan teknologi termaju daripada Bajaj iaitu DTS-i
  3. Reka bentuk yang sangat seksi
  4. Salah satu daripada trio motosikal Modenas terawal yang lulus piawaian emisi Euro 4
  5. Antara model motosikal sport yang paling jimat minyak
  6. Dijual dengan harga yang sangat mampu milik
  7. Dilengkapi ABS sebagai komponen standard
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada penunjuk kedudukan gear
  2. Penggunaan 3 palam pencucuh bermaksud kos penukaran palam pencucuh menjadi 3 kali ganda berbanding model pesaing yang hanya ada 1 palam pencucuh sahaja



Spesifikasi Modenas Pulsar NS200 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair DTS-i dengan tiga palam pencucuh
Sesaran: 199.5 cc
Lubang x lejang: 72 x 49 mm
Kuasa kuda maksimum: 24.5 PS (18.02 kW) @ 9,750 rpm
Tork maksimum: 18.6 N-m @ 8,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 6 kelajuan (1 bawah, 5 atas)
Sistem bahan api: Pancitan bahan api
Brek: Cakera (depan dan belakang) tanpa ABS
Berat kering: 155 kg
Kapasiti tangki bahan api: 12 L
Kelajuan maksimum: 140 km/j (dakwaan pengeluar); sekitar 160 km/j (ujian)
Penggunaan bahan api: 35 km/L (bandar); 43 km/L (lebuh raya)

Apa yang saya suka
  1. Ditampilkan dengan teknologi termaju daripada Bajaj iaitu DTS-i
  2. Posisi tunggangan yang selesa
  3. Salah satu daripada trio motosikal Modenas terawal yang lulus piawaian emisi Euro 4
  4. Antara model motosikal naked yang paling jimat minyak
  5. Dijual dengan harga yang sangat mampu milik
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada penunjuk kedudukan gear
  2. Penggunaan 3 palam pencucuh bermaksud kos penukaran palam pencucuh menjadi 3 kali ganda berbanding model pesaing yang hanya ada 1 palam pencucuh sahaja


Spesifikasi Modenas V15 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara DTS-i dengan dua palam pencucuh
Sesaran: 149.5 cc
Lubang x lejang: 56 x 58 mm
Kuasa kuda maksimum: 12 PS (8.83 kW) @ 7,500 rpm
Tork maksimum: 13 N-m @ 5,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas)
Sistem bahan api: Karburetor
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 136 kg
Kapasiti tangki bahan api: 13 L
Kelajuan maksimum: 100-110 km/j (dakwaan pengeluar)
Penggunaan bahan api: 45 km/L (bandar); 55 km/L (lebuh raya)

Apa yang saya suka
  1. Motosikal naked pada harga motosikal kapcai
  2. Ditampilkan dengan teknologi termaju daripada Bajaj iaitu DTS-i
  3. Salah satu daripada trio motosikal Modenas terawal yang lulus piawaian emisi Euro 4
  4. Antara model motosikal naked yang paling jimat minyak
Apa yang saya tidak suka
  1. Hanya cukup makan untuk mencapai kelajuan lebuh raya ekspres
  2. Penggunaan 2 palam pencucuh bermaksud kos penukaran palam pencucuh menjadi 2 kali ganda berbanding model pesaing yang hanya ada 1 palam pencucuh sahaja






Pandangan keseluruhan Modenas Pulsar RS200




Pandangan hadapan Modenas Pulsar RS200




Pandangan sisi Modenas Pulsar RS200




Modenas Pulsar RS200 menggunakan sepasang lampu hadapan jenis projektor serta dilengkapi lampu DRL LED yang menjadikannya tampak garang




Lampu belakang Modenas Pulsar RS200 adalah daripada jenis LED kristal




Enjin 200 cc SOHC 4 injap 1 silinder sejukan cecair DTS-i dengan 3 palam pencucuh




Ekzos RS200 yang nampak comel tetapi sporty




Meter Modenas Pulsar RS200 yang menggabungkan takometer digital, tolok bahan api LCD dengan paparan LCD yang memaparkan speedometer, odometer, tripmeter dan jam




Pandangan sisi Modenas Pulsar NS200




Lampu hadapan Modenas Pulsar NS200 pula adalah jenis mentol halogen tunggal




Lampu belakang NS200 yang berlainan daripada RS200




Meter NS200 sama sahaja seperti RS200




Pandangan sisi Modenas V15




Lampu hadapan V15, juga daripada jenis mentol halogen tunggal




Lampu belakang V15 dari jenis LED




Meter Modenas V15 sangat ringkas, terdiri daripada speedometer analog, odometer dan tolok bahan api jenis LED

Thursday, May 18, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 1: Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 / Kuala Lumpur-Seremban Old Road FT1




Salam sejahtera,

Perjalanan melalui Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 merupakan pembuka kepada siri jelajah FTRoadpedia Zon Selatan. Jalan ini tidaklah panjang sangat, hanya 70 km sahaja. Namun, jalan ini telah menyaksikan bagaimana jatuh bangunnya pekan-pekan di sepanjang laluannya sebaik sahaja Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E2 dibuka pada 16 Jun 1982, dan seterusnya setelah Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21 pada 1 Mac 2010.

Kembara kami bermula dari ibu pejabat Kementerian Kerja Raya Malaysia di Kuala Lumpur. Kalau diikutkan, jika Kilometer Sifar Kuala Lumpur dikira dari bangunan Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, maka Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 bermula dari Bulatan KTM sebagai Jalan Kinabalu FT1 sehingga ke Bulatan Merdeka, seterusnya sebagai Jalan Loke Yew FT1 sehingga ke Bulatan Cheras dan sebagai Jalan Cheras FT1 sehinggalah di Cheras Sentral yang menjadi permulaan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) E7/FT1. Namun, kami menggunakan laluan permulaan yang berlainan. Kami menggunakan "jalan belakang" iaitu Jalan Sultan Salahuddin, seterusnya Lebuhraya Sultan Iskandar (MRR1), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 dan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 sebelum memasuki Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1.




Video reviu Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1


Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 sepanjang 70 km terbahagi kepada 3 bahagian utama. Bahagian pertama ialah Jalan Cheras FT1 dari Kuala Lumpur sehingga ke Kajang, yang mana sebahagian besarnya sudah pun dinaik taraf menjadi lebuh raya capaian terkawal yang dikenali sebagai Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) E7/FT1. Namun, tidak semua jajaran Lebuhraya Grand Saga E7/FT1 yang menggunakan jajaran asal FT1; FT1 dilencongkan keluar di Exit 702 Persimpangan Hulu Langat, di mana ia melalui pekan Batu 9 Cheras sebelum bertemu dan bertindih semula dengan E7 di Exit 703 Persimpangan Telekom. Seterusnya, FT1 dilencongkan keluar di Exit 707 Bukit Dukung sehinggalah ke bandar Kajang.

Kami hanya keluar dari Lebuhraya Cheras-Kajang E7 di Exit 708 Persimpangan Saujana Impian untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Lama KL-Seremban FT1. Keadaan jalan di saki-baki jajaran Jalan Cheras FT1 sepanjang keluar dari E7 tadi ke pusat bandar Kajang boleh dikatakan agak teruk disebabkan banyak kerja pembinaan yang dilakukan, terutamanya kerja-kerja penyiapan Stesen MRT Sungai Jernih dan pelebaran Jalan Cheras FT1 Apa boleh buat, sabar sajalah. Jalan Cheras FT1 dari Kuala Lumpur secara rasminya tamat di simpang empat Pusat Bandar Kajang, di mana kami membelok ke kiri untuk memasuki bahagian kedua Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 iaitu Jalan Semenyih FT1.

Sebut tentang bandar Kajang, saya percaya rata-rata anda semua mengenali Kajang sebagai "bandar sate". Ya, seperti yang kita semua sedia maklum, Kajang terkenal dengan satenya. Apa yang membezakan sate Kajang dengan sate di tempat lain ialah daging yang digunakan lebih besar. Selain itu, sambal kacangnya juga berbeza kerana anda boleh menentukan sendiri tahap kepedasan yang anda inginkan - anda diberikan kuah kacang kosong dan sambal cili, dan anda hanya perlu membubuh sambal cili ke dalam kuah kacang mengikut tahap kepedasan yang anda inginkan, jadi sambal kacangnya benar-benar boleh diubah suai sepenuhnya (fully-customizable). Pada zaman dahulu, penjual sate di Kajang mengandar dapur pemanggang sate dan periuk berisi kuah sambal kacang pada sebatang kayu panjang untuk membolehkan mereka menjaja sate di tepi jalan raya utama di Kajang, dan cara mengandar peralatan memasak sate itu juga menjadi identiti sate Kajang. Kini, rata-rata penjual sate di Kajang menjual sate di premis-premis kekal ataupun setidak-tidaknya di gerai-gerai tanpa mengandar peralatan sate seperti dahulu. Dalam banyak-banyak pengusaha sate di Kajang, yang paling terkenal dan terbesar sudah tentunya Restoran Sate Kajang Haji Samuri yang terletak di Bangunan Dato' Nazir di sebelah Stadium Kajang. Selain restoran utamanya di situ, Restoran Sate Kajang Haji Samuri juga mempunyai banyak cawangan di serata Lembah Klang, termasuklah di R&R Elmina di Lebuhraya Guthrie E35.

Jika dibandingkan dengan Jalan Cheras FT1 di Kajang tadi, Jalan Semenyih FT1 pula lebih lebar, iaitu 4 lorong sehinggalah ke pekan Semenyih. Namun, tidak semua jajaran Jalan Semenyih FT1 dari Kajang ke Semenyih terdiri daripada jalan raya kembar; ada juga masanya jalan tersebut menjadi jalan raya tunggal. Sementara itu, Exit 2101 Persimpangan Kajang Selatan yang menghubungkan jalan FT1 ini dengan Lebuhraya Lekas E21 membentuk sempadan antara bandar Kajang dengan pekan Semenyih.

Semenyih merupakan salah satu pekan yang pernah terbunuh ekonominya bahana pembukaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E2. Keadaan ini berlaku kerana Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E2 (dan seterusnya membentuk sebahagian Lebuhraya Utara-Selatan E2) menggunakan laluan yang selari dengan landasan kereta api, menjadikan jarak antara FT1 dengan E2 semakin jauh terasing. Namun, kadar urbanisasi di Lembah Klang yang melimpah sehingga ke Semenyih menjadikan Semenyih diserap sebagai sebahagian kawasan Lembah Klang. Pembangunan di Semenyih semakin ketara sebaik projek Lebuhraya Kajang-Seremban E21 (pada masa itu dikenali sebagai Kaseh sebelum ia berubah nama kepada Lekas pada tahun 2006) mula diumumkan pada tahun 1997. Antara limpahan pembangunan di Semenyih termasuklah pembinaan kampus University of Nottingham di Jalan Broga B34, tidak jauh dari pekan Semenyih, di samping pembinaan Tesco Semenyih dan pembukaan banyak taman perumahan baharu.

Kami singgah sebentar di MARA Japan Industrial Institute tidak jauh sahaja lagi dari Beranang untuk sarapan pagi. Di situ, kami makan sate sebagai juadah sarapan kami. Ya, pagi-pagi lagi dah makan sate. Terkejut...? Sebenarnya jika anda rajin mengembara menggunakan jalan persekutuan dan belajar mengenai budaya penduduk setempat yang tinggal di sepanjang laluannya, situasi sebegini bukanlah sesuatu yang pelik, kerana itulah yang dikatakan sebagai budaya penduduk setempat. Sama jugalah seperti di Kijal di mana orang-orang di situ makan lemang seperti biasa di luar musim Hari Raya. Di MARA Japan Industrial Institute juga diadakan satu majlis flag-off ringkas sebelum meneruskan perjalanan ke checkpoint seterusnya di Rembau.

Semasa kami meneruskan perjalanan, pekan seterusnya yang kami lalui ialah pekan Beranang. Pekan Beranang itu sendiri masih lagi sebuah pekan koboi, tetapi pada pagi itu secara kebetulan terdapat ramai orang membeli-belah kerana ada pasar pagi di situ. Jika diperhatikan, Beranang merupakan pekan yang paling teruk terjejas setelah pembukaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E2 35 tahun dahulu. Kini, meskipun kegemilangan pekan Beranang sudah tidak lagi dapat dikembalikan,namun sudah banyak kawasan perumahan baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan susulan pembinaan Lebuhraya Lekas E21. Malah, pekan Beranang kini sudah disambungkan ke E21 melalui Exit 2102A Persimpangan Eco Majestic yang dibuka pada 19 Oktober 2016.

Satu perkara menarik di pekan Beranang ialah terdapat satu jalan yang dikenali sebagai Jalan Bukit Kepong di situ. Namun, ia tidak akan membawa anda ke pekan Bukit Kepong di daerah Muar, Johor yang terkenal dengan tragedi penyembelihan beramai-ramai anggota polis dan ahli-ahli keluarga mereka di situ oleh pengganas komunis. Untuk ke Bukit Kepong yang terkenal dengan peristiwa penyembelihan tersebut, anda perlu gunakan Jalan Muar-Labis J32 untuk ke sana.

Sempadan negeri Selangor-Negeri Sembilan terletak betul-betul selepas pekan Beranang. Seperti edisi Pantai Timur sebelum ini, ramai kakitangan konsesi penyelenggaraan jalan (dalam kes ini, Roadcare) yang berkumpul beramai-ramai dan melambai-lambai ke arah konvoi kami. Terima kasih atas sokongan anda semua ya!

Sebaik melepasi sempadan negeri Selangor-Negeri Sembilan, perjalanan ke Seremban hanya tinggal 23 km sahaja, manakala checkpoint kami seterusnya di Rembau hanya tinggal 47 km sahaja lagi. Sebaik melepasi sempadan negeri, Jalan Semenyih FT1 berubah namanya kepada Jalan Mantin FT1, dan di situlah pekan terakhir yang bakal kami lalui sebelum tiba di Seremban.

Sedikit sejarah mengenai asal-usul Mantin. Sebenarnya, nama asal bagi Mantin ialah Setul. Namun, semasa kedatangan penjajah British di Tanah Melayu, para pegawai British tertarik apabila mendapati terdapat banyak bijih timah di kawasan tersebut, lalu orang-orang putih memanggil Setul sebagai "Many Tin" yang bermaksud banyak (bijih) timah. Berita penemuan kawasan yang kaya dengan bijih timah di situ menarik kedatangan banyak pelombong Cina ke Setul. Namun, disebabkan kesukaran untuk orang-orang Cina pada masa itu untuk menyebut Many Tin, maka sebutan mereka berubah menjadi "Mantin", dan ia kekal menjadi nama pekan tersebut sehinggalah ke hari ini.

Simpang masuk ke Lebuhraya Lekas E21 melalui Exit 2104 Persimpangan Mantin membentuk sempadan selatan bagi pekan Mantin. Selepas persimpangan tersebut, Jalan Mantin FT1 berubah kepada jalan pergunungan mendaki kaki Banjaran Titiwangsa. Jalan berubah menjadi jalan 2+1 Di situ asalnya terletak satu hutan rekreasi Bukit Galla tetapi akhirnya telah ditutup bagi memberi ruang kepada pembinaan Lebuhraya Lekas E21, dan sekarang pintu masuknya sudah tidak lagi dapat dijejaki. Kini, satu-satunya jalan untuk ke Bukit Galla sekarang hanyalah melalui pekan Labu.

Laluan mendaki tadi kemudian bertukar menjadi laluan menuruni bukit. Ia menandakan kami semakin menghampiri bandar Seremban. Sebaik tiba di kaki bukit, kami melintasi bahagian bawah Lebuhraya Lekas E21 buat kali terakhir. Laluan seterusnya berubah kembali menjadi laluan mendaki, dan di situlah terletaknya simpang masuk ke E21 melalui Exit 2105 Persimpangan Setul. Laluan mendaki tadi kemudian berubah kepada laluan menuruni bukit, dan sebaik sahaja kami menuruni bukit, kami secara rasminya sudah memasuki bandar Seremban.

Tidak seperti laluan di sebelah selatan iaitu Jalan Seremban-Tampin FT1, jalan ini kekal jalan raya tunggal meskipun setelah berada di pusat bandar Seremban. Jika dibandingkan, Jalan Seremban-Tampin FT1 kini sudah pun dinaiktaraf menjadi jalan raya kembar sehinggalah ke Stesen Kereta Api KTM Sungai Gadut. Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 tamat di permulaan utara pasangan sehala FT1 di Seremban. Dari situ, kami memintas pusat bandar Seremban melalui Jalan Dato' Siamang Gagap dan seterusnya melalui Jalan Lingkaran Dalam Seremban N1 sehinggalah ke persimpangan Jalan Seremban-Tampin FT1.

Destinasi kami seterusnya ialah di Rembau. Apa tempat menarik yang ada di Rembau sehingga menjadi checkpoint kami yang seterusnya...? Saksikanlah dalam entri seterusnya.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Kami tidak menggunakan Jalan Kuching FT1, Jalan Loke Yew FT1 dan Jalan Cheras FT1 untuk memasuki Jalan Lama KL-Seremban FT1 - sebaliknya kami gunakan "jalan belakang" ke Lebuhraya Sultan Iskandar FT2...






...dan seterusnya Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 sebelum memasuki Lebuhraya Grand Saga E7/FT1






Kembara kami ke Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 bermula di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 - selebihnya, anda boleh tonton video di atas






Penamat Jalan Cheras FT1 di Persimpangan Bandar kajang - belok kiri untuk ke Jalan Semenyih FT1






Jalan Semenyih FT1 di Kajang






Perjalanan masih berbaki 42 km dari bandar Kajang ke Seremban






Masih belum meninggalkan bandar Kajang tetapi had laju sudah naik ke 90 km/j






Exit 1805 Persimpangan Kajang Prima untuk memasuki Lebuhraya Kajang SILK E18






Exit 2101 Persimpangan Kajang Selatan membentuk sempadan antara bandar Kajang dengan pekan Semenyih






Jajaran Jalan Semenyih FT1 dari Exit 2101 sehingga ke pekan Semenyih kini sudah dilebarkan bagi mengurangkan kesesakan di situ, memandangkan Jalan Semenyih FT1 merupakan laluan utama ke Kajang dan Kuala Lumpur






Pekan Semenyih






Simpang ke Jalan Semenyih-Banting FT31 yang dahulunya Jalan Negeri Selangor B18 - mohon JKR Hulu Langat agar menggantikan papan tanda ini dengan kod laluan baharu






Persimpangan ke University of Nottingham Kampus Semenyih melalui Jalan Broga B34






Selepas pekan Semenyih, jarak ke Seremban kini hanya tinggal 33 km sahaja lagi






Ada restoran McDonald's di sini






Lambakan kawasan perumahan baharu yang membuktikan limpahan pembangunan di Semenyih






Jalan Semenyih FT1 menyempit menjadi jalan 2 lorong






Membelok ke kanan untuk ke MARA Japan Indstrial Institute untuk sarapan dan majlis pelepasan ringkas






Upacara flag-off yang disempurnakan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin






Pekan Beranang yang sudah menjadi pekan koboi. Diharap jelajah FTRoadpedia kali ini dapat membantu mengembalikan semula kegemilangan pekan Beranang






Bukit Kepong yang menjadi lokasi tragedi penyembelihan anggota polis oleh tentera pengganas komunis tidak terletak di sini






Akhirnya memasuki Negeri Sembilan...!!!






Seperti biasa, pasti ramai warga konsesi penyelenggaraan yang berkerumun dan melambai-lambai ke arah konvoi kami setiap kali di sempadan negeri mahupun daerah






Perjalanan ke Seremban masih berbaki 23 km






Memasuki pekan Mantin - persimpangan ke Jalan Mantin-Lenggeng N34






Suasana di pekan Mantin






Hanya tinggal 14 km sahaja lagi...!!!






Simpang masuk ke Exit 2104 Persimpangan Mantin untuk memasuki Lebuhraya Lekas E21






Meninggalkan pekan Mantin






Jalan Mantin FT1 berubah menjadi jalan pergunungan mendaki kaki Banjaran Titiwangsa






Melintasi bahagian bawah Lebuhraya Lekas E21






Menuruni bukit pula






Menghampiri Exit 2105 Persimpangan Setul. Selekoh ini kelihatan jelas dari arah Lebuhraya Lekas E21






Simpang ke Exit 2105 Persimpangan Setul






Main drift sedap ni :p






Menuruni bukit buat kali terakhir sebelum tiba di Seremban






Akhirnya kami tiba di Seremban






Pangsapuri di Lobak, Seremban






Penamat Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1 di bahagian utara pasangan sehala FT1 di Seremban