Salam sejahtera,
Sudah berpuluh-puluh reviu jalan raya yang sudah saya hasilkan sejak pembukaan Blog Jalan Raya Malaysia pada 15 November 2011. Namun, saya belum pernah membuat reviu mengenai laluan yang saya sering gunakan untuk pulang dari Kuala Lumpur ke kampung halaman saya di Segamat, Johor. Laluan yang saya paling banyak gunakan untuk pulang ke Segamat ialah melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2, Jalan Persekutuan 19, serta Jalan Persekutuan 1. Saya tinggalkan dahulu Lebuhraya Utara-Selatan E2 kerana saya mempunyai perancangan untuk membuat satu reviu penuh mengenainya pada masa akan datang, Kali ini, fokus saya ialah Jalan Persekutuan 1, yang mana saya akan bahagikan kepada 2 bahagian, iaitu Jalan Gemas-Tampin FT1 dan Jalan Seremban-Tampin FT1. Bagaimana pula dengan baki dari Gemas ke Segamat? Saya akan merangkumi bahagian tersebut dalam reviu bagi bahagian Gemas ke Yong Peng pada masa akan datang.
Kita mulakan kembara kali ini dengan singgah ke Gemas, sebuah pekan persinggahan penting bagi perjalanan melalui jalan raya mahupun kereta api. Pekan tersebut merupakan titik pertukaran utama bagi laluan kereta api untuk ke pantai timur dan pantai barat dari arah Johor Bahru. Sebab itulah stesen kereta api Gemas sentiasa sahaja sibuk. Kesibukan akan bertambah setelah kerja-kerja pembinaan landasan berkembar dari Seremban ke Gemas siap kelak, yang mana Gemas akan memiliki sebuah stesen kereta api baru yang saiznya tiga kali ganda lebih besar di sebelah stesen asal. Stesen baru itu dibina setinggi empat tingkat dengan berbilang pelantar bagi laluan untuk ke pantai barat dan pantai timur. Sementara itu, laluan Johor Bahru ke Gemas dan Gemas ke Tumpat masih lagi landasan tunggal, yang mana laluan Johor Bahru ke Gemas akan mula dinaik taraf menjadi landasan berkembar sebaik sahaja laluan berkembar Seremban-Gemas siap.
Terdapat satu lintasan kereta api searas di Gemas, yang kini merupakan satu-satunya lintasan keretapi searas yang masih wujud di sepanjang Jalan Persekutuan 1. Sebelum itu, terdapat dua lagi lintasan kereta api searas di Buloh Kasap dan Batu Anam, tetapi lintasan kereta api di Buloh Kasap telah ditutup dan digantikan dengan jejambat lintasan kereta api. Sementara itu, lintasan kereta api di Batu Anam masih dibuka meskipun jejambat lintasan kereta api di situ sudah lama siap, dan ia hanya akan ditutup apabila laluan Gemas-Johor Bahru dinaik taraf kepada landasan berkembar.
Saya bertolak dari Segamat dalam keadaan tangki minyak masih berisi suku. Petrol yang tinggal memang mencukupi untuk perjalanan dari Segamat ke Tampin. Sebaik sahaja di stesen minyak Shell dekat Simpang Bahau, barulah saya memenuhkan tangki minyak yang hanya sebesar 3.7L itu.
Lebar lorong bagi jajaran Jalan Gemas-Tampin FT1 dari Gemas ke Simpang Bahau sepanjang 7 km masih lagi selebar 3.25 m (JKR R4), manakala lebar lorong bagi jajaran selebihnya dari Simpang Bahau ke Tampin ialah selebar 3.5 m (JKR R5), menjadikan jajaran tersebut sebagai jalan super two. Malah, ia boleh dikatakan jalan super two terawal di Negeri Sembilan, kerana jalan ini memang sudah selebar begitu sejak pertama kali saya melalui jalan ini pada tahun 1991 bersama-sama keluarga semasa saya masih lagi kanak-kanak. Kini, meskipun sudah lebih dua dekad berlalu, namun keadaan jalan tersebut masih lagi sebagus dahulu. Malah, saya boleh katakan Jalan Gemas-Tampin FT1 sebagai antara jalan raya terbaik di Negeri Sembilan, hanya di belakang
Jalan Bukit Putus Baru FT51.
Sebaik sahaja melepasi Simpang Bahau yang menghubungkan Gemas dengan Bahau dan Temerloh melalui Jalan Persekutuan 10, saya mula memecut dengan kelajuan sekitar 90-100 km/j. Laluan pada mulanya lurus dengan dua selekoh kurang tajam sebelum ia mula berkelok-kelok sedikit. Setelah 10 km meninggalkan Gemas, laluan menjadi lurus semula. Tidak lama kemudian, semasa menghampiri jambatan Sungai Kelamah, saya melencong sebentar ke Memorial Peringatan Perang Sungai Kelamah di tepi jambatan tersebut.
Semasa Perang Dunia Kedua, satu pertempuran sengit telah berlaku di Jambatan Sungai Kelamah pada 14 Januari 1942. Pada masa itu, Jalan Persekutuan 1 masih lagi jalan tanah merah, manakala Jambatan Sungai Kelamah yang asal merupakan sebuah jambatan kayu. Dalam pertempuran tersebut, tentera Australia yang turut membantu pasukan tentera Berikat menghantar tenteranya di sini untuk menghalang kemaraan Jepun dengan meletupkan jambatan asal tersebut. Setelah jambatan tersebut diletupkan, tentera Australia menyerang hendap tentera Jepun yang terputus laluan mereka akibat pengeboman jambatan tersebut. Sebanyak 1,000 orang askar Jepun mati dalam pertempuran tersebut, memandangkan kebanyakan daripada mereka berbasikal sahaja untuk mara ke selatan. Sungguhpun secara teknikalnya tentera Australia menang dalam pertempuran tersebut, ia langsung tidak menghalang Jepun untuk mara ke selatan. Ia terbukti dengan kematian 81 orang tentera Australia di tangan askar-askar bermata sepet itu. Selain Jambatan Sungai Kelamah, Jambatan Gemas serta Jambatan Buloh Kasap turut diletupkan bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke selatan melalui Segamat. Memandangkan laluan utama sudah disekat, maka askar-askar Jepun mengambil jalan lain untuk ke selatan melalui Muar, Bakri dan Parit Sulong (melalui Jalan Persekutuan 5 dan 24). Untuk memperingati anggota tentera Australia dan Jepun yang terkorban dalam pertempuran di Sungai Kelamah, setiap tahun waris-waris mereka akan datang ke Memorial Peringatan Perang Sungai Kelamah pada hari ulang tahun pertempuran tersebut. Sementara itu, tiga jambatan konkrit baru dibina bagi menggantikan jambatan yang diletupkan di Sungai Kelamah, Gemas dan Buloh Kasap.
Sungguhpun pertempuran di Sungai Kelamah itu digelar sebagai Pertempuran Gemencheh, namun jarak Gemencheh dari jambatan Sungai Kelamah sebenarnya lebih kurang 15 km, manakala jaraknya dari Gemas pula ialah 11 km. Pekan Gemencheh merupakan bandar ketiga terbesar dalam daerah Tampin selepas bandar Tampin dan Gemas. Memandangkan pekan ini berfungsi sebagai pekan persinggahan bagi pengguna Jalan Gemas-Tampin FT1, pekan ini sememangnya sibuk. Malah, pekan ini sudah ada restoran KFC.
Sebaik melepasi pekan Gemencheh, jalan FT1 ini semakin menghampiri kaki Banjaran Titiwangsa, dengan kecerunan sekitar 1-2%. Hanya sebaik sahaja berada di kaki Banjaran Titiwangsa barulah kecerunan meningkat sebentar kepada 5% sebelum melalui laluan menuruni bukit pendek dengan kecerunan 3%. Lorong mendaki bukit dari arah Gemencheh pendek sahaja - tak sampai 50 m pun - tetapi lorong mendaki bukit dari arah Tampin pula lebih panjang, iaitu lebih kurang 700 m. Sedar atau tidak, pada bahagian ini sebenarnya FT1 sudah memasuki wilayah negeri Melaka. Jalan agak berkelok-kelok sedikit sehinggalah melepasi simpang Tebong, di mana terdapat lorong-lorong memotong di situ. Pada selekoh sebaik sahaja melepasi lorong memotong tersebut, kita akan memasuki Negeri Sembilan semula. Jajaran FT1 di sinilah satu-satunya jajaran yang betul-betul melalui Melaka.
Kita memasuki Negeri Sembilan semula dengan laluan yang agak berkelok-kelok, dengan dua selekoh 90 darjah betul-betul sebelum simpang Hutan Percha. Laluan Hutan Percha melalui jalan M10 dan M131 sering dijadikan laluan pintasan bagi pemandu dari arah Alor Gajah dan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang ingin mengelak kesesakan di bandar Tampin. Apa pun, fokus utama kita ialah laluan FT1, jadi kita tinggalkan dahulu jalan Hutan Percha ini dalam reviu akan datang, insya-Allah.
Petempatan seterusnya ialah Kampung Keru, yang merupakan petanda kita memasuki kawasan Luak Tampin, iaitu luak terbaru antara lima luak yang berkuasa memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Luak Tampin ini pun kecil sahaja, iaitu sekadar merangkumi bandar Tampin serta beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Repah dan Kampung Keru. Sementara itu, sebahagian besar daerah Tampin terletak dalam kawasan Luak Johol. Sementara pemimpin-pemimpin utama di empat lagi luak yang berkuasa memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (Johol, Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu) dipanggil Undang, pemimpin bagi Luak Tampin pula digelar Tunku Besar Tampin. Kediaman rasminya terletak di tepi Jalan Seremban-Tampin FT1 dekat bandar Tampin.
Petunjuk utama yang menunjukkan saya semakin dekat dengan bandar Tampin ialah apabila melalui simpang N115, 8 km dari Tampin. Perjalanan semakin mengasyikkan dan menyeronokkan. Simpang Kampung Repah yang menghubungkan FT1 dengan
Jalan Tampin-Karak FT9 menunjukkan hanya tinggal 3 km sebelum sampai ke Tampin. Jalan Gemas-Tampin berakhir di simpang empat berlampu isyarat sebaik sahaja sebelum memasuki pusat bandar Tampin, di mana Jalan Persekutuan 1 dilencongkan ke kanan sebagai Jalan Seremban-Tampin FT1; jika jalan terus, kod laluan bertukar kepada Jalan Persekutuan 61. Membelok ke kiri juga adalah FT61, tetapi ia adalah Jalan Pintasan Tampin FT61 yang kini dijadikan sebagai laluan utama FT61 yang pendek dari Tampin ke Alor Gajah.
Selamat datang ke Gemas
Lencongan jalan sehala pendek di pusat bandar Gemas
Stesen keretapi Gemas
Stesen keretapi baru Gemas yang lebih besar setinggi empat tingkat dibina di sebelah stesen lama
Satu-satunya lintasan kereta api searas yang masih wujud di Jalan Persekutuan 1
Selekoh tajam dekat simpang masuk ke Kem Syed Sirajuddin Gemas yang dirawat dengan melebarkannya serta menandakan garisan hitam putih (chevron)
Simpang ke Kem Syed Sirajuddin Gemas
Isi minyak sebentar di Shell Simpang Bahau
Simpang Bahau - belok kanan untuk ke Bahau dan Temerloh melalui Jalan Persekutuan 10
Jalan super two bermula. Yeehaa!
Memorial Peringatan Perang Sungai Kelamah
Jambatan konkrit di Jalan Persekutuan 1 ini dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang diletupkan oleh tentera semasa Pertempuran Gemencheh
Pekan Gemencheh yang sibuk - siap ada KFC lagi tu!
Anda akan memasuki negeri Melaka sebaik sahaja tiba di kemuncak lorong mendaki pendek ini
Lorong mendaki arah Gemencheh pula lebih panjang
Memasuki Negeri Sembilan semula sebaik melepasi selekoh di hadapan ini... eh? Gerai Coconut Shake pun berbahaya juga ke?
Selekoh 90 darjah yang tajam, hanya selamat dilalui pada kelajuan bawah 60 km/j. Terdapat satu lagi selekoh 90 darjah betul-betul sebelum simpang Hutan Percha, tetapi jejarinya lebih lebar
Simpang Hutan Percha untuk ke Alor Gajah melalui jalan M10 dan M131 - kod laluan di sini salah, bukan FT131 tapi M131
Simpang Jalan Persekutuan 9 di Kampung Repah
Satu lagi selekoh 90 darjah yang dirawat
Simpang empat ini asalnya bulatan sebelum ditukarkan kepada simpang empat - belok kanan ke Jalan Seremban-Tampin FT1