Disebabkan pengalaman teruk lagi mengazabkan yang saya alami sepanjang saya menggunakan pengangkutan awam, ada beberapa orang sahabat di luar saya yang bimbang kalau-kalau saya akan mengkritik dan mengecam perkhidmatan MRT yang baru masuk hari pertama beroperasi. Memang saya tidak nafikan, ada kalanya reviu yang disiarkan di Blog Jalan Raya Malaysia ini bersifat mengecam sekiranya sesuatu jalan raya, lebuh raya, kereta, motosikal dsb. tidak memuaskan dari segi beberapa sudut tertentu. Namun, adakah reviu MRT SBK Fasa 1 oleh Blog Jalan Raya Malaysia ini benar-benar bersifat mengecam seperti yang disangkakan...? Sila baca sampai habis untuk mengetahui jawapannya.
Sebelum saya teruskan, maka ada baiknya saya mulakan dengan sedikit sejarah ringkas mengenai pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Perkembangan pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur memang sudah bermula sejak zaman penjajah lagi. Namun, hanya pada tahun 1975 barulah kelihatan ada usul bagi menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam, melalui pengenalan perkhidmatan bas mini. Semasa bas mini mula diperkenalkan, tambangnya sangat murah iaitu 40 sen sahaja. Sebab itulah ia mendapat sambutan hangat di kalangan warga marhaen di ibu kota. Tiada jadual tetap bagi waktu perjalanannya, asalkan anda tahu nombor bas dan laluannya. Keadaan bas yang sering penuh seperti sardin memang perkara lumrah pada masa itu. Pada tahun 1990, warna bas mini diseragamkan kepada warna merah jambu dan putih. Perkhidmatan bas mini ditamatkan pada tahun 1998 dan digantikan dengan bas Intrakota, dan seterusnya Rapid KL.
Dalam masa yang sama pula, perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel dilaksanakan melalui pengenalan KTM Komuter oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada tahun 1995. Ia berkongsi landasan dengan sistem rel berat kebangsaan KTMB sendiri, yang mana perkhidmatan KTM Komuter dilaksanakan di landasan yang dinaiktaraf kepada landasan elektrik berkembar. Ia disusuli dengan STAR LRT (kini Aliran Ampang & Aliran Sri Petaling) pada tahun 1996, dan PUTRA LRT (kini
Aliran Kelana Jaya) pada tahun 1998, yang mana PUTRA LRT merupakan sistem metro bawah tanah pertama di Malaysia. Seterusnya pada tahun 2003 pula, KL Monorail diperkenalkan, yang menjadikan Malaysia dikenali sebagai antara negara terawal yang menjadikan sistem monorel sebagai antara sistem metro utama di bandar raya besar. Ia juga dikenali kerana menggunakan 100% monorel buatan Malaysia.
Namun, disebabkan tiada integrasi antara laluan-laluan metro tersebut, kesemua laluan metro di Kuala Lumpur (kecuali KTM Komuter yang menjadi divisyen paling menguntungkan buat KTMB) mengalami kerugian. Maka, sebuah syarikat milik kerajaan iaitu Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) di bawah jenama Rapid KL ditubuhkan pada tahun 2003 bagi mengambil alih kesemua laluan rel metro KL (kecuali KTM Komuter) untuk disatukan dan disepadukan secara holistik.
Bagi menangani masalah kesesakan jalan raya di Lembah Klang yang tidak berkesudahan meskipun setelah begitu banyak lebuh raya ekspres dibina serta bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, maka satu cadangan bagi membangunkan satu sistem pengangkutan berasaskan rel yang menjadi tulang belakang bagi sistem metro Lembah Klang dicadangkan dan seterusnya diluluskan pelaksanaannya pada tahun 2010. Daripada situlah lahirnya sistem MRT Lembah Klang yang terdiri daripada 3 laluan utama, iaitu 2 laluan jejari (Aliran Sungai Buloh-Kajang & Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) dan 1 laluan lingkaran (Aliran Bulatan). Bagi MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang, fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan mula dibuka kepada orang awam hari ini, manakala fasa kedua bagi baki jajaran akan dibuka Julai 2017. Untuk fasa pertama ini, tambang percuma ditawarkan selama sebulan sehingga 15 Januari 2017. Jutaan terima kasih kepada Rapid KL selaku pengendali MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang kerana bermurah hati menawarkan tambang percuma ini bagi memberi peluang kepada setiap lapisan rakyat untuk mencubanya.
Saya mengambil kesempatan tambang percuma yang ditawarkan untuk mencuba sendiri pengalaman menaiki tren MRT ini, di samping menunaikan impian Allahyarham Aiman untuk merasainya dan berkongsi pengalaman bersama-sama para pembaca yang budiman. Nampaknya sambutan yang diberikan oleh warga kota nyata menggalakkan, dibuktikan dengan sebegitu ramai warga kota yang mengambil kesempatan cuti sekolah membawa ahli keluarga mencuba sendiri tren MRT ini.
MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang ini menggunakan tren 4 gerabak jenis Siemens Inspiro yang dikilangkan khas di Rasa, Selangor. Tren Siemens Inspiro ini menghasilkan kuasa kuda setinggi 1,840 kW dan mampu mencapai kelajuan operasi 100 km/j. Rel ketiga di tepi landasan utama menyalurkan bekalan elektrik arus terus (DC) 750 volt yang diperlukan oleh tren. Seperti tren Bombardier Innovia Metro yang digunakan pada Aliran Kelana Jaya, tren Siemens Inspiro ini tidak berpemandu dan hanya dikawal secara berpusat. Selain itu, ia juga mengunakan landasan jenis tolok piawai (1,435 mm). Dari segi ukurannya pula, meskipun tren yang digunakan ini hanya 4 gerabak sahaja, ia sebenarnya lebih panjang daripada tren 6 gerabak Aliran Ampang / Sri Petaling. Tak percaya...? Biar gambar di bawah ini menerangkan untuk anda.
Dari atas ke bawah: Perbandingan saiz antara tren KTM Komuter, MRT SBK, Aliran Ampang / Sri Petaling (tren lama), Aliran Kelana Jaya (tren baru 4 gerabak, tren lama 4 gerabak & tren lama 2 gerabak), dan KL Monorail (tren baru 4 gerabak & tren lama 2 gerabak)
(klik untuk besarkan)
Sebaik sahaja saya selesai menunaikan solat Jumaat, saya terus bertolak ke Stesen MRT Semantan kerana ia lebih dekat dan kurang kesesakan yang perlu saya harungi pada masa itu berbanding di Stesen MRT Sungai Buloh yang memerlukan saya mengharung kesesakan di KL MRR2 FT28/FT54 di Sri Damansara berikutan kerja-kerja pembinaan DUKE 2 E33. Dengan tidak disangka-sangka, rupa-rupanya pada masa yang sama Tuan Haji Razali dari Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (UKK JKR) turut mengambil kesempatan mencubanya - tetapi dengan stesen permulaan yang berlawanan.
Sebaik sahaja saya naik ke Stesen MRT Semantan, saya mengkagumi rekaan stesen tersebut yang sangat kemas dan futuristik. Stesen tersebut - dan semua stesen MRT di sepanjang laluan - jelas lebih besar daripada mana-mana stesen LRT mahupun komuter. Ia juga meriah dengan manusia yang mengerumuni setiap stesen untuk mencuba MRT baharu ini. Satu lagi kejutan ialah sudah ada kedai di stesen MRT walaupun baru hari ini dilancarkan kepada orang awam - di Stesen MRT Semantan sahaja sudah ada dua kedai yang beroperasi termasuklah 7 Eleven. Setiap stesen turut dilengkapi tandas awam dan surau.
Bagi Fasa 1 SBK, stesen-stesen MRT adalah seperti berikut:-
Nama stesen
|
Jenis pelantar
|
Kedudukan
|
Nota
|
Sungai Buloh
|
Pulau
|
Bertingkat
|
Pertukaran ke
KTM Komuter; penamat bagi pertindihan dengan Aliran Sungai
Buloh-Serdang-Putrajaya
|
Kampung Selamat
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Kwasa Damansara
|
Pulau bertingkat
pertukaran pelantar bersilang
|
Bertingkat
|
Permulaan bagi
pertindihan dengan Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; tingkat atas bagi
arah selatan manakala tingkat bawah bagi arah utara.
|
Kwasa Sentral
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Kota Damansara
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Surian
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Mutiara
Damansara
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Bandar Utama
|
Sisi
|
Bertingkat
|
Pertukaran ke
LRT3 Aliran Bandar Utama-Klang. Didirikan di sebelah Sri Pentas. Sebahagian
kecil bahagian bangunan lama 1 Utama dirobohkan bagi projek LRT3 itu.
|
Taman Tun Dr.
Ismail
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Phileo Damansara
|
Pulau
|
Bertingkat
|
|
Pusat Bandar
Damansara
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Semantan
|
Sisi
|
Bertingkat
|
|
Ok, bagaimana pula dengan mutu perkhidmatannya...? Jujur saya katakan bahawa bahawa mutu perkhidmatan MRT SBK ini adalah yang paling cemerlang. Jika dibandingkan dengan mana-mana tren yang pernah saya naiki sebelum ini, mutu perkhidmatan tren MRT SBK ini adalah yang terbaik. Ruangnya sangat besar dan sangat selesa dan tren langsung tiada rasa bergoyang. Dari segi kekerapan pula, kekerapannya sangat pendek, dengan selang masa antara tren memakan masa antara 3 hingga 5 minit sahaja, dan itulah yang paling saya suka tentang perkhidmatan MRT SBK ini. Perjalanan dari hujung ke hujung melalui 12 stesen yang dibuka bagi fasa pertama ini mengambil masa tidak sampai 40 minit - dan memandangkan saya mencuba MRT ini semasa menghampiri waktu gegas sebelah petang, saya dapat bayangkan betapa cemburunya para pemandu di jalan raya yang saya lintasi di sepanjang perjalanan apabila memerhatikan tren MRT bergerak lincah sehingga 100 km/j, sedangkan mereka yang tersangkut dalam kesesakan pula bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Itulah, lain kali cuba anda tinggalkan kereta anda di stesen LRT mahupun MRT dan gunakan pengangkutan awam ke tempat kerja, jadi tak perlulah setiap hari anda membazirkan sejumlah petrol yang kalau diikutkan mencukupi bagi perjalanan dari KL ke Seremban.
Pun begitu, MRT SBK ini masih ada kelemahannya yang tersendiri. Bagi saya, kelemahan utama bagi MRT SBK Fasa 1 ini ialah kedudukan Stesen MRT Semantan itu sendiri yang terletak di tengah-tengah Jalan Semantan yang membentuk sebahagian Lebuhraya Sprint E23. Kedudukan stesen tersebut boleh menyebabkan aliran trafik E23 terganggu akibat kenderaan yang diparkir di tepi jalan bagi mengambil atau menurunkan penumpang. Kelemahan sebegini sebenarnya berpunca daripada kecacatan reka bentuk Lebuhraya Sprint E23 itu sendiri yang mana jajaran di Pusat Bandar Damansara ini mencabuli piawaian lebuh raya ekspres yang memerlukan kawalan masuk penuh tanpa ada capaian terus ke mana-mana bangunan mahupun premis hartanah, dan kedudukan Stesen MRT Semantan ini menyerlahkan lagi kecacatan reka bentuk sedia ada pada Lebuhraya Sprint E23 itu. Justeru, Stesen MRT Semantan sepatutnya dikhususkan untuk mereka yang menapak dan berlenggang-kangkung sahaja; jika mahu mengambil atau menurukan penumpang, stesen yang lebih sesuai ialah Stesen MRT Pusat Bandar Damansara yang mana jalan susurnya tidak mengganggu aliran trafik serta dilengkapi kawasan parkir. Sementara itu, Tuan Haji Razali pula ada menyebut mengenai kecacatan reka bentuk bagi jalan susur keluar masuk di parkir bertingkat di Stesen MRT Sungai Buloh.
Kesimpulannya, kejayaan pelaksanaan MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang merupakan satu penanda aras baharu dalam sejarah pengangkutan awam negara. Aliran Sungai Buloh-Kajang, bersama-sama Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Aliran Bulatan dan LRT3 Aliran Bandar Utama-Klang diharapkan dapat meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam sehingga 40% pada tahun 2021 berbanding hanya 18% pada tahun 2009. Pun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, dan salah satu idea menarik yang patut dicuba ialah perkhidmatan teksi motosikal. Paling penting, mentaliti warga kota yang sebahagiannya masih terus memandu kereta seorang sebuah untuk ke pejabat meskipun mereka sedar bahawa mereka banyak membazirkan wang, petrol dan masa secara sia-sia dan tidak produktif ini wajib diubah, kerana bangsa yang maju bukanlah bangsa yang banyak berkereta tetapi merupakan bangsa yang hanya perlu berlenggang-kangkung sahaja ke pejabat.
Pintu masuk ke Stesen MRT Semantan
Peta sistem transit rel Lembah Klang
Tambang percuma beb - masuk sahaja, tak payah bayar selama sebulan
Memulakan perjalanan dari Stesen Semantan
Stesen Pusat Bandar Damansara
Paparan penunjuk stesen yang canggih dan interaktif
Dalaman tren ini lebih luas daripada mana-mana tren yang pernah saya gunakan
Dalam masa yang sama pula Tuan Haji Razali dari Unit Komunikasi Korporat JKR mencuba MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang dari Stesen Sungai Buloh
Exit 2313 Persimpangan Kerinchi Link kelihatan jelas dari sini
Stesen Phileo Damansara
Tren MRT diparkir di tengah bagi memenuhi keperluan waktu puncak
Melencong ke TTDI
Stesen Taman Tun Dr. Ismail
Tren MRT Siemens Inspiro ini nampak futuristik kan...?
Bersedua untuk beralih arah sebentar ke LDP E11
Stesen Bandar Utama ini terletak betul-betul di sebelah Sri Pentas
Meninggalkan LDP E11 untuk beralih ke Persiaran Surian
Stesen Mutiara Damansara
Kelibat
NKVE E1 kelihatan dari sini
Stesen Surian
Stesen Kota Damansara
Papan tanda had laju di laluan MRT SBK
Bakal meninggalkan Kota Damansara
Melintasi Jalan Sungai Buloh-Subang FT15
Stesen Kwasa Sentral
Stesen Kwasa Damansara dibina bertingkat sebagai pertukaran ke MRT Aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). Jajaran MRT SBK bertindih dengan MRT SSP sehingga ke Stesen Sungai Buloh
Jalan Sungai Buloh-Subang FT15 dari Stesen Kwasa Damansara
Depoh Sungai Buloh menempatkan tren-tren MRT bagi Aliran Sungai Buloh-Kajang
Saya tidak faham kenapa stesen ini dinamakan Stesen Kampung Selamat. Sepatutnya ia dinamakan Stesen Kampung Baru Sungai Buloh.
Penamat Jalan Sungai Buloh-Subang FT15 di Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54. Stesen Sungai Buloh terletak betul-betul selepas selekoh terakhir ini
Stesen Sungai Buloh
Kelihatan kelibat Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Stesen Sungai Buloh
Ramai betul yang ingin mencuba MRT ini
Turun ke tingkat tengah untuk ke stesen komuter
Exit 113 Persimpangan Sungai Buloh, kelihatan dari Stesen Sungai Buloh
Kini Stesen Komuter Sungai Buloh ditempatkan di bangunan sama dengan stesen MRT