Friday, December 29, 2017

#Mansuh4Tol - Apa akan berlaku pada 3 lebuh raya terlibat / What will happen to 3 affected expressways




Salam sejahtera,

Kini hanya tinggal lebih kurang 72 jam sahaja lagi sebelum kutipan tol di 4 plaza tol dihentikan kutipannya, iaitu Plaza Tol Batu Tiga, Plaza Tol Sungai Rasau (kedua-duanya di Lebuhraya Persekutuan FT2), Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1) dan Plaza Tol CIQ Bangunan Sultan Iskandar (di Lebuhraya JB EDL E14). Pastinya ramai pengguna lebuh raya tersebut akan bersorak ria dan bergembira, tetapi jangan terlalu bergembira dahulu. Kenapa pula anda tidak boleh terlalu gembira...? Baca sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

Apa pun, biar saya jelaskan apa yang akan berlaku pada 3 lebuh raya yang terlibat.


1. Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (Bukit Kayu Hitam-Jitra)




24 km terawal Lebuhraya Utara-Selatan E1 akan diturun taraf kepada Lebuhraya Bukit Kayu Hitam FT1 bermula 1 Januari 2018


Pertama sekali, saya bawakan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (aka Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1) sebagai lebuh raya pertama yang menerima kesan pemansuhan tol tersebut.

Jajaran terawal Leburhaya Utara-Selatan E1 (KM0-KM24) ini dibina hasil naik taraf Jalan Persekutuan 1 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya kembar 4 lorong. Jika anda perhatikan, jajaran ini jauh berbeza daripada mana-mana jajaran lain di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 berikutan jajaran ini tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres. Lebar lorongnya sama iaitu selebar 3.65 m, tetapi tiada bahu jalan keras, ada banyak lintasan searas (termasuklah persimpangan searas, sama ada berlampu isyarat atau tidak), ada banyak simpang jalan-jalan kecil, serta dihubungkan terus ke bangunan-bangunan, rumah-rumah dan tanah persendirian melalui jalan-jalan kecil. Hanya ada 2 persimpangan bertingkat di sepanjang jajaran ini, iaitu Persimpangan Changlun yang dihubungkan ke Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 dan pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Dengan kata lain, jajaran Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1 ini merupakan lebuh raya kembar capaian terhad, bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal, jadi ia sudah tentulah ia mencabuli piawaian JKR R6 dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads. Tetapi kenapa ia dibenarkan...? Jawapannya mudah, kerana jajaran ini dibina sebelum Arahan Teknik 8/86 dikeluarkan, jadi ia dibina atas dasar klausa datuk.

Daripada maklumat yang saya perolehi, pemansuhan kutipan tol Bukit Kayu Hitam akan membawa kepada pelucutan pewartaan jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam sebagai Lebuh Raya Ekspres dan penyerahan semula jajaran tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Justeru, jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 ini akan mengguna pakai kod laluan FT1 dan bukan lagi E1. Papan tanda Lebuh Raya Bermula dan Lebuh Raya Tamat akan dipacakkan di KM24 sebelum pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Penurunan taraf jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam juga akan menyebabkan panjang keseluruhan laluan E1 berkurangan daripada 460 km kepada 436 km.

Tentang papan tanda pula, kesemua papan tanda berwarna latar hijau akan digantikan dengan papan tanda JKR berwarna latar biru secara berperingkat. Tidak pasti bagaimana pula dengan saiznya kerana selalunya saiz papan tanda JKR agak kecil berbanding papan tanda PLUS, tetapi jika JKR ingin mengekalkan saiz papan tanda yang besar, jadi saya jangkakan rekaan papan tanda seperti di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 akan digunakan. Oh, bagaimana pula dengan jata laluan AH2 yang disertakan pada papan tanda PLUS...? Saya tidak pasti, tetapi saya ingin menggesa agar JKR turut mengekalkan jata AH2 pada papan tanda gantian itu nanti. Apa pun, penggantian papan tanda ini tidak akan berlaku serta-merta, tetapi memerlukan satu tempoh transisi sehingga keseluruhan papan tanda PLUS digantikan dengan papan tanda JKR.




Papan tanda lencongan kenderaan bergerak perlahan seperti ini perlu dipasang di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara


Oh, sebelum saya terlupa, saya ingin menggesa JKR agar mendirikan papan tanda lencongan keluar untuk kenderaan bergerak perlahan di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara arah selatan supaya kenderaan tersebut tidak terlajak memasuki lebuh raya ekspres yang tidak membenarkan penggunaan kenderaan tersebut.


2. Lebuhraya JB EDL E14





Adakah penamatan kutipan tol JB EDL E14 yang baru berlangsung 3 tahun daripada tempoh konsesi 30 tahun berakhir 2042 berupaya menamatkan derita MRCB Lingkaran Selatan...?


Pengalaman mengendalikan Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur Johor Bahru (JB EDL) E14 merupakan satu pengalaman yang amat memeritkan buat pengendalinya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Mula dibuka kepada lalu lintas pada 1 April 2012, JB EDL E14 beroperasi tanpa mengutip sebarang hasil selama 2 tahun kerana kerajaan pada masa itu masih belum memuktamadkan kaedah pelaksanaan bayaran tol di situ. 

Kutipan tol hanya dimulakan tahun 2014 di Bangunan Kastam & Imigresen Sultan Iskandar (CIQ BSI), tetapi hanya untuk yang keluar masuk ke Singapura sementara orang JB pula sedang berseronok menggunakan JB EDL E14 secara percuma - itu pun masih ada juga macai politik yang mempersoalkannya dan menuduh kerajaan "menzalimi" golongan yang berulang-alik ke Singapura, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Namun, keputusan yang diambil oleh kerajaan itu ternyata satu kesilapan yang membunuh nyawa MRCB Lingkaran Selatan. Kerajaan Singapura bertindak balas terhadap penguatkuasaan kutipan tol di CIQ BSI dengan mengenakan caj Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang menyebabkan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki Johor Bahru melalui Tambak Johor turun mendadak.  (Pembetulan: VEP sebenarnya sudah ada, cuma Singapura mengenakan caj timbal balas atas alasan "sepadan".) Dengan hanya bergantung kepada pengguna lebuh raya yang berulang-alik ke Singapura yang membentuk kumpulan paling minoriti di JB EDL E14, maka sudah tentulah pendapatan MRCB Lingkaran Selatan terjejas teruk, sehingga ke tahap berisiko untuk muflis. Susulan dengan itu, MRCB Lingkaran Selatan merayu kepada kerajaan agar mengambil alih JB EDL E14 untuk menyelamatkannya daripada muflis.

Pengumuman pemansuhan tol JB EDL E14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengembalikan situasi seperti semasa sebelum pelaksanaan kutipan tol di CIQ BSI serta meninggalkan 1,001 misteri yang masih belum terjawab. Pertama, siapakah yang mengambil alih JB EDL E14 ini, syarikat lain atau kerajaan sendiri...? Kedua, bagaimana dan berapa banyakkah pampasan yang perlu dibayar kerajaan terhadap MRCB Lingkaran Selatan, memandangkan E14 baru sahaja 5 tahun beroperasi dan hanya sempat mengutip tol selama 3 tahun, sedangkan tempoh konsesi JB EDL E14 masih berbaki 25 tahun sehingga 2042...?

Ada sumber yang mengatakan bahawa PLUS pada tahun 2016 berminat untuk mengambil alih JB EDL E14. Jika memang benar PLUS mengambil alih JB EDL E14, maka segala misteri mengenai E14 akhirnya terjawab.


3. Lebuhraya Persekutuan FT2





Penamatan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bakal menamatkan derita penduduk Shah Alam & Klang, tetapi adakah ia berbaloi...?


Pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2 sangat dinanti-nantikan oleh para pengguna jalan raya di Lembah Klang, khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Apa tidaknya, Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan laluan tulang belakang utama di Lembah Klang serta menjadi nadi ekonomi utama Lembah Klang.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula dengan pembinaan Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sebagai jalan raya kembar yang dibuka kepada lalu lintas pada 14 Januari 1959, melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 2. Namun, masalah kesesakan serta lalu lintas bercelaru di jajaran Petaling Jaya bahana sistem rekaan persimpangan lampu isyarat di situ telah menyebabkan jajaran tersebut dinaik taraf kepada lebuh raya capaian terkawal 6 lorong dengan menggantikan kesemua persimpangan searas di sepanjang laluannya kepada persimpangan bertingkat. Pembinaan bermula pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977 dengan dibiayai pinjaman daripada Bank Dunia. Projek tersebut turut menampilkan pembinaan sepasang lorong basikal selebar 2 meter yang kemudiannya ditukarkan menjadi lorong motosikal.

Sementara itu, jajaran Subang-Klang pula dinaiktaraf oleh PLUS, syarikat konsesi bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2. Ia melibatkan pelebaran Lebuhraya Persekutuan FT2 di jajaran tersebut kepada 6 lorong, pembinaan jejambat Bulatan Berkeley serta pembinaan jejambat Bulatan Simpang Lima di Klang. Kerja naik taraf dimulakan pada tahun 1992 dan dibuka kepada lalu lintas pada 11 Mei 1993. 2 plaza tol didirikan, iaitu Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Sejak kutipan tol dimulakan di situ dimulakan, ia sering dijadikan isu yang menjadi mainan parti-parti politik, meskipun PLUS secara terang-terangan mendedahkan peta laluan pemintas tol di akhbar-akhbar utama semasa awal pembukaannya. Tempoh konsesi sepatutnya ialah sehingga tahun 2038 susulan semakan semula perjanjian konsesi PLUS yang menyeragamkan tahun tamat konsesi bagi kesemua lebuh raya ekspres kendalian PLUS ke tahun 2038 bagi meminimumkan kadar kenaikan tol. Jika diikutkan, tahun tamat asal konsesi PLUS di Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah pada tahun 2018, tetapi perjanjian 2011 menganjakkan tahun tamat konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 ke tahun 2038.

Namun, semasa Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan memutuskan untuk menamatkan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula 1 Januari 2018, lebih awal 20 tahun daripada sepatutnya. Akhirnya warga Lembah Klang yang sering berulang-alik dari Klang ke Kuala Lumpur boleh menarik nafas lega kerana sudah ada lebuh raya percuma dalam erti kata sebenar.

Pun begitu, jangan terlalu gembira dahulu. Kenapa...? :-
  1. Pada 1 Januari 2018 nanti, jajaran bertol Lebuhraya Persekutuan FT2 dari Subang ke Klang akan diserahkan kembali ke bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR). Bermakna, jika selama ini jajaran tersebut diselenggara setiap hari dan diturap semula dengan kerap oleh PLUS, namun kali ini penurapan semula akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh JKR Selangor. Jadi, kalau Lebuhraya Persekutuan FT2 berlubang nanti jangan marahlah ya. Saya bukan hendak memperlekehkan JKR, tetapi saya sebenarnya ingin mengingatkan anda semua bahawa keupayaan kewangan JKR sangat terhad kepada peruntukan yang diterima oleh mereka. Justeru, JKR tidak mempunyai kuasa berbelanja sebesar PLUS yang menerima kutipan tol setiap hari yang membolehkan mereka menurap semula permukaan lebuh raya dengan lebih kerap.
  2. Kata orang tua-tua, mati semut kerana gula. Begitu jugalah dengan mana-mana lebuh raya ekspres, khususnya yang tidak dikenakan tol. Ramai yang menganggap kononnya pemansuhan tol boleh menjadikan aliran trafik lancar, tetapi hakikatnya dakwaan tersebut ternyata karut sama sekali. Dalilnya...? Lihat sajalah beberapa lebuh raya percuma atau dimansuhkan tolnya seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 dan SKVE E26 Seksyen 1a. Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 sering sesak dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Salak dan dari Persimpangan Bandar Tun Razak ke Persimpangan Connaught setiap kali waktu gegas. Sementara itu, SKVE E26 Seksyen 1a sering sesak dari Exit 2602 Persimpangan Putrajaya ke Exit 1808 Persimpangan Country Heights semasa waktu gegas. Jadi mana perginya "kelancaran lalu lintas tanpa tol" yang didakwa macai-macai politik yang memperjuangkan tol percuma itu...? Lebih teruk lagi, JKR tiada kuasa untuk melaksanakan laluan kontra di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagaimana lebuh raya ekspres lain.
  3. Ini pula harga paling mahal yang perlu anda bayar susulan pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2. Dalam satu entri lepas mengenai konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2, saya ada menyatakan bahawa pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 akan menyebabkan kenaikan tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, tetapi nampaknya ia tidak berlaku. Namun, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan bahawa pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol akan membawa kepada lanjutan tempoh konsesi. Tidak pasti berapa lama lagi tambahan tempoh konsesi, tetapi saya jangkakan berkemungkinan sekitar puluhan tahun jugalah.

Kesimpulan

Pengumuman pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 nyata memberikan satu kelegaan buat para penggunanya. Namun, ia bukan bermakna pengguna jalan raya boleh bergembira kerana masih ada benang yang terikat. Pemansuhan tol tersebut menyebabkan sejumlah wang yang amat banyak diperlukan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi, bukan sahaja sebagai ganti rugi bagi tempoh kutipan tol yang dimansuhkan, tetapi juga pampasan kepada para pekerja yang diberhentikan. Bukan senang hendak mencari kerja pada zaman sekarang. Saya tahu pasti akan ada puak-puak penunggang agama yang akan mengatakan, "rezeki Allah ada di mana-mana", tetapi realitinya jauh lebih sukar. Tak percaya, anda cubalah berhenti kerja dan mohon kerja di tempat lain pula. Tempoh mencari kerja itu ternyata satu azab yang amat perit kerana anda tiada sumber pendapatan untuk menyara diri anda dan keluarga anda sehinggalah anda memperoleh gaji pertama di tempat kerja baharu.

Jika tidak perlu bayar ganti rugi pun, pemansuhan tol di 4 plaza tol tersebut akan menyebabkan tempoh konsesi PLUS terpaksa dilanjutkan. Apa tidaknya, pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol tersebut mengurangkan kutipan tol PLUS, menyebabkan keupayaan membayar balik hutang juga menjadi semakin kecil. Akibatnya, masa yang lebih lama diperlukan untuk membayar balik baki hutang kepada bank, meninggikan jumlah faedah yang perlu dibayar dan seterusnya jumlah bayaran balik. Jika jumlah bayaran balik hutang PLUS bercampur faedah yang sepatutnya perlu dibayar balik sehingga tahun 2038 berjumlah RM62 bilion bagi pinjaman RM30 bilion, maka sudah tentulah jumlah tersebut akan bertambah sekiranya konsesi dilanjutkan supaya sepadan dengan keupayaan membayar balik hutang yang semakin berkurangan.

Selain itu, masalah lain yang akan timbul setelah pemansuhan tol nanti ialah kesesakan yang semakin teruk berikutan lebih banyak kenderaan yang tertarik untuk menggunakan lebuh raya percuma, serta masalah kerosakan lebuh raya yang semakin lambat diambil tindakan, memandangkan lebuh raya percuma nanti diambil alih oleh JKR yang kuasa berbelanjanya terhad mengikut peruntukan yang diterima.

Pun begitu, ia tidak bermakna pemansuhan tol itu semestinya tidak bagus untuk rakyat, meskipun lebuh raya ekspres sebenarnya memang tidak bersifat marhaen seperti mana jalan persekutuan. Kelebihan terbesar sudah tentulah pengurangan kos sara hidup yang selama ini membebankan kerana sebegitu banyak wang yang dibazirkan setiap bulan untuk membayar tol semata-mata untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kalau ikutkan, masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan hanya menggunakan motosikal sebagai kenderaan bekerja, tetapi ramai golongan yang berkeluarga masih perlu menggunakan kereta seperti untuk menghantar anak-anak ke sekolah sebelum pergi bekerja.

Bagi kes Bukit Kayu Hitam dan Johor Bahru pula, pemansuhan tol bermaksud menggalakkan kedatangan pelancong dari negara jiran iaitu dari Thailand dan Singapura. Rakyat dapat menambah pendapatan hasil urusan jual beli pelancong Thailand dan Singapura, manakala kerajaan pula mendapat pendapatan tambahan melalui cukai.

Namun, yang paling penting di sini ialah pemansuhan tol sepatutnya berupaya mengajar pengguna lebuh raya agar lebih menghargai syarikat konsesi lebuh raya sementara mereka masih menguruskan lebuh raya. Selama ini, syarikat konsesi sering dikecam kerana mengutip tol, sedangkan mereka hanya mahu mendapatkan kembali wang mereka yang dilaburkan bagi membina dan membangunkan lebuh raya, di samping membayar hutang bank. Pengguna lebuh raya sering lupa, jika kereta mereka rosak di lebuh raya, syarikat konsesi jugalah yang menghantar lori tunda secara percuma. Mereka lupa bagaimana syarikat konsesi mendirikan hentian rehat di sepanjang lebuh raya sebagai tempat mereka untuk makan, minum, melepaskan hajat, berehat dan solat. Mereka lupa, tatkala mereka merosakkan lebuh raya melalui kilasan terlalu tinggi pada roda bahana memandu terlalu laju, syarikat konsesilah yang bertungkus-lumus membaikinya setiap hari tanpa banyak soal. Mereka lupa, tatkala mereka mengotorkan lebuh raya dengan melontar keluar sampah-sarap dari celah tingkap kereta, pekerja syarikat konsesilah yang membersihkannya. Mereka lupa akan berapa banyak peluang pekerjaan yang diberikan oleh syarikat konsesi kepada anak-anak bangsa sendiri. Mereka lupa akan berapa banyak anak bangsa mereka sendiri yang diberi peluang mencari rezeki di hentian-hentian rehat milik syarikat konsesi. Paling ketara, mereka lupa bagaimana lebuh raya ekspres yang dibina oleh syarikat-syarikat konsesi mendekatkan rakyat dari dua bandar atau desa yang jauh serta membawa pembangunan ekonomi di sepanjang laluannya.

Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan rakyat Malaysia berupaya untuk bermusafir dengan selamat dan selesa. Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang berupaya untuk maju dari segi pengangkutan. Namun, lama-kelamaan,barulah saya sedar bahawa andaian saya ternyata salah sama sekali. Kenapa...? Kerana ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu menghargai syarikat konsesi lebuh raya sehinggalah apabila syarikat konsesi tidak lagi menguruskan lebuh raya tersebut. Mereka lebih percayakan ahli-ahli "politaikus" yang hanya tahu sembang kencang sehingga ke tahap khinzir pun boleh terbang tetapi langsung tidak pernah terlibat dalam pengurusan lebuh raya ekspes. Hendak marahkan JKR kerana lambat menampal lebuh raya berlubang...? Tak guna pun, sumbangan kita kepada JKR hanyalah berupa cukai jalan yang bayarannya sama seperti 2 kampit tar Brotherhood, dan hanya dibayar setahun sekali. Itu sahaja. Jadi selepas ini jika lebuh raya yang dimansuhkan tolnya berlubang dan lambat ditampal, anda hanya ada diri anda sendiri untuk dipersalahkan. 

Kerana anda tidak sedar apa yang anda ada sehingga ia lenyap.

Wednesday, December 13, 2017

Jajaran dua lorong Lebuhraya Senai-Desaru E22 bakal dilebarkan / Senai-Desaru Expressway E22 two-lane section will be widened



Jajaran dua lorong Lebuhraya Senai-Desaru E22 menjadi kritikan nombor satu di kalangan penggunanya kerana jajaran tersebut paling banyak memakan korban


Salam sejahtera,

Mana-mana anak bangsa Johor pasti mengenali Lebuhraya Senai-Desaru E22 ini. Lebuh raya ekspres sepanjang 77 km yang dibuka sepenuhnya pada tahun 2011 ini dikenali bukan sahaja sebagai laluan terpantas untuk ke pantai peranginan Desaru dan Bandar Penawar, tetapi juga kerana reputasi negatifnya di kelangan pengguna lebuh raya tersebut. Reputasi buruk yang sering disebut-sebut di kalangan pengguna E22 ialah keadaan jalan yang teruk, tol yang mahal, serta jajaran dua lorong yang sering menjadi lokasi utama kemalangan maut di sepanjang E22. Tentang keadaan jalan berlubang, kita tinggalkan dahulu kerana saya sudah pun menulis mengenainya dan kita serahkan kepada pihak Senai Desaru Expressway Berhad (SDEB) untuk menanganinya. Kali ini, kita ulas mengenai isu lebuh raya dua lorong yang menjadi isu nombor satu yang menjadi bahan komplen utama di kalangan pengguna E22.

Lebuhraya Senai-Desaru E22 mula dibina pada tahun 2005. Fasa pertama dari Senai ke Cahaya Baru serta laluan cabang dari Cahaya Baru ke Pasir Gudang siap dibina pada tahun 2009, yang mana kedua-duanya merupakan lebuh raya ekspres penuh empat lorong. Namun, jajaran terakhir dari Cahaya Baru ke Bandar Penawar pula dibina sebagai jalan super two dua lorong kecuali Jambatan Sungai Johor E22 yang dibina terus empat lorong, siap pada tahun 2011. Ada dua sebab utama kenapa jajaran tersebut dibina dua lorong sahaja dan bukannya empat lorong. Pertama, sudah tentulah kerana kekangan kewangan yang dialami SDEB pada masa itu. Kedua, semasa Lebuhraya Senai-Desaru E22 mula dibangunkan, bancian trafik di Jalan Sungai Rengit FT92 pada masa itu sangat rendah, jadi tidak berbaloi jika dibina terus empat lorong. Namun, jajaran dua lorong E22 ini mempunyai rizab tanah yang cukup besar untuk membolehkannya dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres empat lorong penuh.

Saya tahu mungkin ada yang tidak boleh menerimanya, tetapi hakikatnya ialah konfigurasi sesebuah jalan mengikut jenis jalan & bilangan lorong ditentukan daripada data bancian jalan. Bermakna, jika jajaran E22 dari Cahaya Baru ke Bandar Penawar hanya dibina dua lorong, ia bermaksud data bancian trafik FT92 tidak mengizinkan pembinaan terus kepada empat lorong. Ironinya, setelah E22 dibuka, jajaran dua lorong itulah yang kadar aliran trafiknya paling tinggi, sedangkan jajaran empat lorong pula begitu lengang. Apa tidaknya, anak-anak muda Felda yang bekerja di Pasir Gudang dan Johor Bahru sering menjadikan Lebuhraya Senai-Desaru E22 sebagai laluan utama untuk berulang-alik. Jika dibandingkan, jajaran empat lorong E22 pula terpaksa bersaing dengan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 dan Jalan Permas Baru FT35.

Berbeza dengan pendapat umum mengenai konfigurasi dua lorong di E22, sebenarnya tidak salah untuk membina lebuh raya ekspres dua lorong. Kenapa tidak salah...? Sebab paling utama ialah penentu utama sama ada sesebuah jalan itu layak dikategorikan sebagai lebuh raya ekspres bukanlah bilangan lorong, tetapi sebaliknya darjah kawalan masuknya. Sesebuah jalan raya kembar tidak layak dipanggil lebuh raya ekspres sekiranya tidak memenuhi keperluan kawalan masuk penuh seperti pemasangan pagar di sepanjang laluan; tiada akses langsung atau tidak langsung (melalui jalan kecil) kepada mana-mana rumah, bangunan, tanah, kebun atau mana-mana premis hartanah; tiada lintasan searas; dan hanya boleh disambungkan ke jalan raya utama (jalan persekutuan / negeri / arteri) atau lebuh raya ekspres lain melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya, meskipun lebuh raya kembar itu ada banyak lorong sekalipun. Sebaliknya, sebatang jalan super two boleh dikategorikan sebagai lebuh raya ekspres sekiranya kesemua mekanisme kawalan masuk penuh yang saya nyatakan tadi diterapkan.

Jika anda tidak percaya, anda boleh lihat banyak negara termasuk Jepun, Switzerland, Kanada, malah Amerika Syarikat sekalipun membina lebuh raya dua lorong.




Jepun pun banyak membina lebuh raya dua lorong - bukan setakat dua lorong, nak memotong pun tak boleh




Negara Pakcik Sam pun membina lebuh raya dua lorong. Lebuh raya Interstate pula tu...!!!
(Lokasi: Interstate 93, Franconia Notch, New Hampshire, AS)


Namun, apa yang menjadikan jajaran lebuh raya dua lorong di E22 sering dikecam pengguna lebuh raya ialah kerana kadar nahas jalan raya yang sangat tinggi di jajaran tersebut. Sebahagian besar daripada keseluruhan kes kemalangan jalan raya di E22 berlaku di jajaran dua lorong ini. Konfigurasi satu lorong pergi dan satu lorong balik menyebabkan pengguna lebuh raya perlu makan jalan ke lorong arah bertentangan untuk memotong. Kalau di jalan raya yang lengang memang tiada masalah, tetapi memotong di jajaran dua lorong E22 ini bermaksud anda memperjudikan nyawa anda dan bermain rolet Rusia sambil memotong disebabkan kadar aliran trafik yang tinggi di situ.




SKVE Seksyen 3 juga lebuh raya dua lorong, tetapi tiada siapa pun yang mengecamnya


Nanti sekejap, bukankah SKVE E26 Seksyen 3 dari Telok Panglima Garang ke Pulau Indah juga lebuh raya dua lorong...? Kenapa SDE E22 dikecam tetapi SKVE E26 pula tiada sorang pun mengecamnya...? Ini tidak adil...!!! Sebabnya, SKVE Seksyen 3 memang lengang dan tidak banyak kenderaan, kalau ada pun kebanyakannya cumalah lori-lori yang hendak ke Pelabuhan Barat di Pulau Indah serta penduduk Pulau Indah sendiri. Lagipun, Pulau Indah bukannya ada apa-apa yang menarik melainkan setakat pelabuhan sahaja. Ia jauh berbeza berbanding jajaran dua lorong di SDE E22 yang memang ada banyak kereta.

Susulan rungutan pengguna mengenai satus lebuh raya dua lorong di E22, Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) telah bersetuju untuk menaik taraf jajaran dua lorong tersebut kepada lebuh raya ekspres empat lorong penuh, yang mana ia akan ditenderkan pada pertengahan tahun 2018. Projek naik taraf tersebut diharap berupaya untuk meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan jajaran tersebut. Tambahan pula, projek naik taraf ini tepat pada masanya memandangkan jajaran FT92 dari Exit 2212 Persimpangan Penawar sehingga ke penamatnya di Sungai Rengit sedang dinaiktaraf menjadi jalan raya kembar 4 lorong susulan projek RAPID Pengerang.

Mungkin ramai yang akan bertanya kepada saya tentang berapa kos projek naik taraf tersebut dan bagaimana ia dibiayai memandangkan SDEB berdepan dengan masalah kewangan, tetapi setakat ini belum ada maklumat seumpamanya dikeluarkan oleh KKR. Apa yang saya boleh katakan, kita tunggu sahaja projek naik taraf bermula tahun 2018 dan daripada situ nanti saya dan anda akan dapat mengetahuinya.

Tuesday, December 12, 2017

Temuramah eksklusif Bernama News Channel bersama Blog Jalan Raya Malaysia / Bernama News Channel exclusive interview with Malaysian Highway Blog






Mas: Ok, kembali lagi bersama Mas dan Su dalam NINE11. Su, kita selalunya pandang remeh berkenaan dengan jalan raya ini. Tetapi sebenarnya jalan atau lebih dikenali sebagai الطريق dalam bahasa lainlah ya, jalan ini sebenarnya menghubungkan kita daripada satu destinasi ke satu lagi destinasi. Sebab jalan ini sentiasa ada saja kan. Kita pun tak perasan.

Su: Ok, jadi ada kesinambunganlah dia punya link tu kan. Untuk ke mana pun saya memang susah nak ingat jalan. Tapi yang menariknya, ada seorang individu ini yang begitu unik dan pelik juga hobinya sebenarnya, kerana boleh reviu & bercerita tentang pengalamannya lalu jalan ini dan juga tahu sejarah jalan berkenaan. Haa... siapakah itu...?

Mas: Mari kita perkenalkan Encik Mohd Hezery Hussin, penulis & juga pemilik Blog Jalan Raya Malaysia. Terima kasih kerana bersama-sama kami.

Hezery: Terima kasih juga kerana menjemput saya hari ini.

Mas: Nak cerita sikit tentang jalan raya - macam mana boleh berminat untuk menceritakan tentang satu perkara yang orang tak tengok pun sebenarnya...?

Hezery: Ia lebih kepada pengalaman saya sendirilah, ataupun lebih senang saya cerita, lebih kepada pengalaman saya dengan arwah ibu saya sebelum ini. Sebab, masa arwah ibu saya hidup lagi, sebab dia sebelum ini menghidap strok, jadi satu-satunya hiburan yang dia ada selain daripada menonton televisyen, (ialah) pergi berjalan-jalanlah. Kadang-kadang apabila saya balik kampung tu ada jugaklah dia ajak saya, "Jom jalan-jalan!" Jadi daripada situ dan daripada pengalaman saya membawa ibu saya berjalan-jalan itulah yang timbul minat untuk reviu jalan-jalanlah.

Su: Dengan setiap penulisan Encik Hezery sendiri, apa yang direviukan...? Apa perkara yang penting, bila tengok jalan ini, apa yang penting dari segi apa tempat nak pergikah, keadaan jalankah atau macam mana...?

Hezery: Saya bila hendak reviu satu-satu jalan, yang paling penting saya nak reviu satu-satu jalan itu complete dari titik A ke titik B. Maksudnya, daripada penamat ke penamat. Kalau macam sekerat-sekerat, saya biasanya tak berminat. Sebab, bila saya dapat keseluruhan laluan itu, baru saya dapat gambaran yang lebih jelas. Tapi biasalah, once in a while kadang-kadang ada masanya saya tak dapat 100% jugalah.

Mas: Bolehkah beri sedikit contoh bagaimana Encik Hezery melakukan reviu tersebut...? Dari segi macam mana, dari point A ke point B...? Just a short one.

Hezery: Saya bagi contoh yang paling mudah. Biasanya bila saya jumpa jalan baru, saya pun rasa macam, "Hmm, macam best je." Jadi saya pun pergilah ke jalan tersebut, kemudian dekat tempat-tempat yang menarik saya akan berhenti sekejap tepi jalan, ambil gambar, lepas tu teruskan, jumpa lagi tempat menarik, ambil gambar, dan seterusnya.

Mas: (sambil slaid gambar-gambar Jalan Pintasan Rawang FT37 dimainkan) Dekat slaid ni apa yang kita nampak...? Mungkin kita tengok highway saja kan...? Tapi apa cerita di sebalik highway tersebut...?

Hezery: Ini Jalan Pintasan Rawang FT37.

Su: Yang baru tu kan...?

Hezery: Ya.

Mas: Ok, betul. Tengok gambar pun dah tahu dah. Dan ada dari segi info-info yang diberikan, adakah disahkan oleh JKR sendiri atau setakat tulis pengalaman sahaja...?

Hezery: Bergantung kepada apa yang saya tulislah. Kalau biasanya tu saya tulis tentang pengalamanlah. Kalau pengalaman tu, saya cuma share sajalah. Tapi kalau yang lebih detail macam contoh sejarahnya tu, yang itu memang ambil masa sikitlah sebab saya kena korek segala sumber-sumber maklumat terutamanya sumber-sumber maklumat bertulis. Dan sebenarnya itulah yang paling susah.

Mas: Sebenarnya reviu ni sangat penting dan sangat berguna buat masyarakat, kerana sekurang-kurangnya kalau kita hendak pergi ke jalan tersebut kita tahu sedikit sebanyak, mungkin ada selekohkah, mungkin ada kedai di sebalik jalan dan sebagainya. Mungkin harapan Encik sendiri, bagaimana Encik melihat selepas ini...? Mungkin selepas ini orang akan tengok, every time mereka nak lalu jalan tu mereka akan pergi ke your blog. So what is your harapan sebenarnya...?

Hezery: Harapan saya melalui reviu jalan ini terutamanya ada dua. Yang pertamanya ialah, saya nak masyarakat appreciate nikmat melalui jalan-jalan yang pernah saya lalui sebelum ini, dan alhamdulillah, bermula daripada tahun 2016 Kementerian Kerja Raya sudah pun anjurkan FTRoadpedia, dan saya sendiri pun memang join sekali dengan Kementerian Kerja Raya untuk pergi ke laluan-laluan yang lebih panjang lagi, jadi lebih banyak reviu-reviu yang saya dapat hasilkan dan dapat saya tulislah.

Mas: Kita pun nak tahu juga berapa banyak laluan yang sudah dilalui setakat ini...?

Hezery: Kalau nak dijumlahkan semua sekali, saya pun tak ingat jumlah berpuluh-puluh jugalah (Pembetulan: Jumlah keseluruhan reviu jalan raya yang dihasilkan ialah 107, tidak termasuk jalan perbandaran). Saya dah listkan semua sekali di dalam blog.

Su: Banyak jugalah tu, agaknya lebih kurang berapa tu...?

Hezery: Saya tak ingat semua sekali, tapi rasanya lebih kurang 100 (107).

Su: Wow! Banyak juga tu. Apa pandangan Encik Hezery tentang infrastruktur ataupun laluan jalan raya antara di Malaysia ikut pengalaman Encik Hezery sendiri dengan negara jiran kita, ada yang jalan ni tak berapa ok, tapi di Malaysia ni rasanya agak baguslah. Pada pandangan Encik Hezery sendiri, pada pengalaman Encik Hezery sendiri...?

Hezery: Pada pengalaman saya sendiri sepanjang saya lalu, secara amnya jalan kita sendiri banyak yang bagus. Memang ada orang cakap jalan tu berlubang, tapi kalau ikutkan sebenarnya kalau kita salurkan (aduan) kepada pihak yang betul sebenarnya, insya-Allah, boleh settle.

Su: Selain daripada jalan raya, mungkin ada minat lain selepas ini...?

Hezery: Minat lain selepas ini, selain daripada setakat reviu jalan ada jugalah saya tulis tentang isu-isu yang berkaitan dengan jalan rayalah.

Mas: Seperti...?

Hezery: Contohnya, yang paling popular, isu tol.

Su: Ada tak mana-mana tulisan Encik Hezery mendapat feedback daripada orang-orang tertentu...? Sebagai rujukankah, nak tanyakah, daripada publickah, individukah, atau organisasi...?

Hezery: Hasil daripada tulisan saya, yang penting saya dapat mendekati industri lebuh raya ekspres tu sendiri, dan yang paling penting ialah dapat perhatian daripada Kementerian Kerja Raya sendiri.

Mas: Bagaimana Encik Hezery sendiri melihat apa yang Encik Hezery lakukan ni memberi balik kepada masyarakat...?

Hezery: Apa yang saya boleh lihat di sini ialah saya nak mendidik masyarakat supaya memartabatkan jalan raya. Saya bukan setakat tulis tu just, ok, bunyi macam best, orang lain cuba, tapi saya ada something yang saya harapkan lebih daripada itu sebenarnya. Saya nak masyarakat tahu guna kod laluan.

Mas: Hmm... kod laluan. Apakah itu kod laluan...? (Cuba terangkan) sedikit.

Hezery: Saya ceritakan sedikit tentang kod laluan. Biasanya dekat papan tanda jalan raya akan ada macam logo-logo heksagon warna kuning yang dalamnya ada nombor. Itu kod laluan.

Mas: Apa pentingnya untuk mengetahui kod laluan itu...?

Hezery: Kepentingan penggunaan kod laluan ini sebenarnya ada banyak. Yang paling utama ialah untuk membantu pengguna jalan raya untuk merancang laluan. Macam contoh, kalau dari KL nak ke Klang, kita ada sekurang-kurangnya 3 laluan. Kita ada NKVE E1, kita ada Lebuhraya Persekutuan FT2, dan kita ada Lebuhraya Kesas E5. Sebenarnya kalau ikutkan lebih lagi. Kalau kita tak gunakan kod laluan, orang mungkin ingat laluan lain tapi sebenarnya dekat laluan lain. Jadi kalau ada temu janji di situ, susahlah.

Su: Kalau jalan-jalan di Malaysia ni ada nama-nama tertentu di bandaran ataupun laluan kampung, persekutuan ada nama-nama - di Malaysia ni ada yang suka menamakan jalan-jalan berkenaan. Apa pandangan Encik Hezery berbeza dengan negara luar...?

Hezery: Negara luar, dia lebih melabelkan sesuatu laluan itu guna kod laluan. Macam contoh, terutamanya di Amerika Syarikat, mereka lebih banyak menggunakan kod laluan. Kalau ikutkan memang mereka ada nama jalan, tapi mereka lebih banyak menggunakan kod laluan. Jadi saya nak budaya sama diterapkan di Malaysia ini.

Mas: Sepatutnya kita mengetahui (kod laluan). Su, bila kita bawa (kereta) tu kita tengok ja (papan tanda) tapi kita tak tengok pun (kod laluan).

Su: Betul, saya setuju dengan Mas. Saya tengok papan tanda yang berwarna kuning tapi saya tak faham pun T apa, kan...? Kalau tengok pada kod laluan, ke penyambungankah atau macam mana...? Itu yang Encik Hezery boleh jelaskan sedikit.

Hezery: Tentang kod laluan ni, ia boleh menerangkan yang mana satu jalan persekutuan, yang mana satu jalan negeri dan yang mana satu lebuh raya ekspres. Kalau ia nombor sahaja, itu jalan persekutuan. Kalau ia bermula dengan huruf E, itu lebuh raya ekspres. Kalau bermula dengan huruf lain selain huruf E, jalan negeri.

Mas: Lepas ni kalau nak balik kampung ke apa, macam Su sendiri balik Terengganu mesti banyak lalu highway kan...?

Su: Saya ada perasan di Kedah ada nama-nama macam Siong, nama yang pelik-peliklah kan...? Di situ adakah Encik Hezery menghafal nama-nama itu juga dari segi sejarahnya...?

Hezery: Kalau ikutkan saya memang tak hafallah. Sebab tu saya lebih suka guna kod laluan, sebab lebih senang untuk saya pergi ke satu-satu tempatlah. Kalau nama, orang tempatan mungkin ingat, tapi kalau macam orang luar, masalah.

Mas: Apa sebenarnya pentingnya untuk seseorang itu mengenali laluan atau jalan yang mereka lalui...? Kadang-kadang kita ni memang tak perasan sebab kita hari-hari bawa kereta, kita anggap macam benda tu (laluan) biasa saja, tapi ia sangat penting sebenarnya. Jadi mengapa ia sangat penting...?

Hezery: Kepentingannya ada banyak. Yang pertama sudah tentulah untuk membantu kita merancang perjalanan. Dan yang kedua pula, kalau kita nampak ada kerosakan, senang kita nak buat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab, sebab kadang-kadang kalau nampak jalan raya rosak, orang tak tahu nak report kepada siapa. Dan pengguna pun just main tembak sahaja tanpa usul periksa, dan itu yang jadi masalah.

Su: (Itu) perkara yang kita sebenarnya kadang-kadang terlepas pandang. Dan sini di blog Encik Hezery sendiri ada menerangkan apa (bagaimana) laporan sepatutnya dilakukan, ada tips-tips juga ya...?

Mas: Di mana sekiranya Mas ataupun Su ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan Blog Jalan Raya (Malaysia) ini macam mana...? Mungkin boleh pergi ke Facebook, di mana  (laman) Facebook itu dan juga website...?

Hezery: Kalau nak tahu lebih lanjut tu boleh pergi ke (laman) Facebook Blog Jalan Raya Malaysia di facebook.com/blogjalanrayamalaysia

Mas: Su, selepas ini kalau kita bawa keretakah, naik highwaykah ke mana-mana jalan raya, make sure kita kena tengok papan tanda dan kita kena mengetahui papan tanda itu.

Su: Baru saya terfikir untuk check papan tanda itu dan kepentingannya. Baik, terima kasih kepada Encik Hezery atas maklumat yang cukup berguna kepada kami dan juga penonton NINE11.