Salam sejahtera,
Siri Belasungkawa Admin Aiman Abmajid kini diteruskan lagi, tetapi kali ini tajuk siri ini ditukar namanya kepada Siri Belasungkawa Aiman & Zabedah. Ia susulan pemergian ibu tercinta, Zabedah bt Mohd. Aris, yang pergi menghadap Ilahi pada 10 Januari 2017 di kampung halaman saya di Segamat, Johor akibat terjatuh. Sebelum itu, beliau menderita akibat strok selama lebih 10 tahun. Untuk pengetahuan anda semua, Allahyarhamah ibu saya dilahirkan di Kampung Tonjos, Segamat, Johor pada 26 Jun 1959 dan meninggal dunia di rumah keluarga kami di kampung kelahirannya sendiri.
Saya masih ingat lagi semasa ibu saya mula-mula diserang strok pada minggu kedua bulan Ramadan 2006. Pada masa itu, saya dan dua orang adik lelaki saya sedang melanjutkan pelajaran di universiti, manakala adik perempuan saya pula masih bersekolah. Secara kebetulan, pada hari sebelum arwah ibu saya diserang strok, saya yang belajar di Universiti Selangor (Unisel) pada masa itu melawat adik saya Hazezy yang tinggal di asrama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk meminjam komputernya untuk membuat tugasan universiti, memandangkan saya pada masa itu tiada komputer. Pada hari sebelum kejadian, ibu saya dengan suara yang masih elok dan tidak pelat ada menelefon saya dan berpesan agar tidak meninggalkan solat. Namun, pada keesokan harinya, saya dikejutkan oleh panggilan telefon daripada adik saya Nadyatul Hidayu yang memanggil kami pulang ke kampung kerana ibu kami terjatuh di hadapannya dan tidak boleh bangun. Daripada situlah kisahnya bagaimana Allahyarhamah mula menghidap strok selama lebih 10 tahun sebelum Allah sendiri menamatkan penderitaannya baru-baru ini.
Untuk entri kali ini, saya tidak mahu menjadikan entri ini sebagai kisah seorang anak yang meratapi kematian ibunya. Sebaliknya, saya ingin bercerita tentang kisah seorang ibu yang gembira dan berpuas hati kerana anaknya berpeluang membawanya berjalan-jalan buat kali terakhir sebelum maut menjemputnya. Bohonglah kalau saya langsung tiada rasa sedih, memandangkan yang meninggal dunia kali ini ialah ibu saya sendiri. Tambahan pula, saya baru sahaja berhadapan dengan musibah kematian Admin Aiman Abmajid genap sebulan sebelumnya, yang bukan sahaja menjadi tonggak perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia, malah saya menganggapnya sebagai adik saya sendiri. Cuma, saya tidak mahu ibu saya pergi meninggalkan saya dan adik-adik saya dengan perasaan serba-salah sekiranya saya terus bersedih dan meratapi pemergiannya; sebaliknya, saya mahu arwah ibu saya berasa puas hati kerana anak sulungnya kini sudah boleh mewarisi semangatnya. Sebagaimana ibu-ibu yang lain, almarhum ibu saya tentunya mahu saya terus hidup dengan gembira dan bahagia.
Satu persamaan ketara yang saya warisi daripada arwah ibu saya ialah kami suka berjalan-jalan. Sebab itulah lahirnya Blog Jalan Raya Malaysia yang memuatkan banyak reviu jalan raya untuk dikongsikan kepada para pembaca semua. Setiap kali saya membawa ibu saya berjalan-jalan menaiki kereta, beliau selalu akan menyuruh saya untuk berhenti di mana-mana gerai tepi jalan yang menarik perhatiannya untuk membeli makanan, minuman atau apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Saya dan adik-adik saya sering mengusiknya dengan mengatakan "para peniaga warung tepi jalan pasti akan cepat kaya dan bersorak keriangan sebaik melihat kelibat Cik Bedah". Untuk pengetahuan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta para sahabat dalam Kementerian Kerja Raya, segala input daripada saya mengenai kempen FTRoadpedia semuanya diilhamkan daripada pengalaman saya membawa ibu saya berjalan-jalan melalui jalan persekutuan.
Kali terakhir saya membawa ibu saya berjalan-jalan adalah pada hari ketiga terakhir saya bercuti pada hujung tahun 2016. Secara kebetulan, Hidayu yang kini bekerja di Naza juga sedang bercuti di kampung. Pada masa itu, saya membawa ibu saya untuk menukar kad banknya di Bank Muamalat Segamat. Malangnya, semasa saya hendak memapahnya untuk ke bank, kakinya kejang dan tidak boleh berjalan. Setelah pengawal keselamatan di situ memberitahu kami bahawa kad tersebut masih boleh digunakan untuk setahun lagi, kami terpaksa membatalkan niat ibu saya untuk menukarkan kadnya, tanpa sedikit pun saya sedari bahawa saya sudah tidak lagi berpeluang untuk menukarkan kadnya itu buat selama-lamanya.
Setelah tidak berupaya untuk menukarkan kad banknya, ibu saya mengajak saya untuk membawanya berjalan-jalan, tanpa saya sedari bahawa itulah kali terakhir kami pergi berjalan-jalan bersama. Pada mulanya saya menolak, kerana pada masa itu kereta saya sudah mengalami masalah pada getah bushing pada lower arm bahagian hadapan kiri, jadi saya tidak berani hendak memandu terlalu jauh. Beliau mengajak saya ke Felda Kemelah, tetapi saya khuatir akan keadaan jalan yang mungkin akan menambah parah akan masalah pada lower arm kereta saya. Akhirnya, kami sepakat memutuskan untuk ke Batu Anam yang jaraknya lebih kurang sama seperti ke Felda Kemelah.
Kami pun meneruskan perjalanan ke Batu Anam. Kalau diikutkan, pekan Batu Anam bukannya ada apa-apa yang menarik sangat pun. Namun, kami tetap disajikan dengan pemandangan yang meskipun nampak biasa-biasa sahaja tetapi tetap menenangkan terutamanya di kawasan kampung. Sebaik sahaja di pekan Batu Anam, saya sebenarnya berniat mahu membawa ibu saya dan Hidayu untuk mencuba Jalan Negeri Johor J157 yang baru sahaja siap ditambah baik oleh JKR Segamat, tetapi ibu saya mengajak saya untuk berpatah balik dan pulang supaya tidak terlepas solat Asar. Semasa perjalanan pulang, kami sempat singgah di Taman Yayasan untuk membeli "sotong raja" dan waffle. Ini jugalah kali terakhir beliau menikmati waffle perisa mentega kacang kegemarannya.
Begitulah perjalanan terakhir kami sebagai anak dan ibu. Perjalanan terakhir ini pendek sahaja, iaitu lebih kurang 2 jam keseluruhannya. Saya berasa ralat juga kerana kalau diikutkan, saya memang ingin membawanya lebih jauh, tetapi apakan daya, panggilan untuk menunaikan solat adalah lebih penting. Tambahan pula, lower arm kereta saya itu pun sudah mula berpenyakit, jadi saya perlu lebih cermat supaya tidak banyak duit yang akan melayang kelak. Namun, senyuman ibu saya yang sangat berpuas hati kerana berpeluang untuk berjalan-jalan dengan saya itu tentunya amat bermakna buat saya. Bak kata lirik lagu yang tajuknya saya gunakan untuk entri ini, kalau rasa tidak mencukupi pun tak apa, sedikit-sedikit pun seronok juga.
Semasa saya hendak pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja, saya mengejutkan ibu saya, bersalaman dan menciumnya. Dia kemudiannya memeluk saya dengan erat, jauh lebih erat daripada yang pernah dilakukannya kepada saya, dan meminta saya pulang lagi menziarahinya pada 11 Januari 2017. Namun, tanpa saya sedari, tarikh 11 Januari itulah tarikh di mana beliau disahkan sudah meninggal dunia setelah disedari oleh jiran-jiran kami. Saya berasa amat kesal dan amat hiba kerana tidak berpeluang untuk berada di sisinya pada masa itu, meskipun pada pagi 10 Januari itu ibu saya memang ada menelefon saya untuk mengesahkan kepulangan saya. Namun, suka atau tidak, saya tiada pilihan melainkan redha akan ketentuan Allah, kerana kalau saya pulang pada 9 Januari sekalipun, masa ajal yang ditentukan kepada ibu saya tetap tidak akan berganjak, diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat.
Buat mamaku Zabedah bt Md. Aris, maafkan Ery kerana tidak mampu untuk memberikan kemewahan kepada mama. Maafkan Ery kerana tidak dapat bersama-sama dengan mama 24/7 untuk menjaga mama sehinggalah ke detik-detik terakhir hayat mama. Maafkan Ery sekiranya ada tutur kata mahupun perbuatan Ery yang menyinggung hati mama. Maafkan Ery sekiranya Ery menjadi beban dan banyak menyusahkan mama sejak lahir sehingga sekarang. Terima kasih kerana melahirkan, membesarkan dan mendidik Ery sehingga dewasa. Terima kasih atas setiap titik air susu mama dalam tubuh Ery. Terima kasih atas setiap sen yang mama berikan kepada Ery untuk membesarkan Ery, mahupun membantu Ery ketika dalam kesusahan. Terima kasih kerana sudi mengampunkan segala dosa Ery terhadap mama walau sejahat mana Ery ini. Terima kasih kerana memberikan Ery peluang untuk berbakti kepada mama hingga ke hujung nyawa. Terima kasih atas doa mama untuk Ery selama ini. Meskipun Ery sedar Ery bukanlah layak untuk memasuki syurga Allah, namun Ery tetap tidak berputus asa berdoa dan mengharapkan belas ihsan Allah agar Ery dapat disatukan kembali dengan mama di syurga pada hari kiamat kelak. Setiap pahala yang datang daripada setiap klik oleh pembaca Blog Jalan Raya Malaysia ini Ery tujukan khas buat mama juga. Terima kasih atas segalanya, bersemadilah dengan aman dan nantikanlah Ery di pintu syurga kelak. Ery doakan agar roh mama ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan Ery doakan agar kita dapat disatukan kembali sebagai sebuah keluarga 6 beranak yang bahagia, amin.
Al-Fatihah buat bondaku yang tercinta, Zabedah bt. Md. Aris (1959-2017).
クローゼットの奥で眠るドレス
履かれる日を待つハイヒール
物語の脇役になって大分月日が経つ
忙しいからこそ たまに
息抜きしましょうよ いっそ派手に
朝昼晩とがんばる 私たちのエスケープ
思い立ったが吉日 今すぐに連れて行って
二時間だけのバカンス 渚の手前でランデブー
足りないくらいでいいんです
楽しみは少しずつ
Ha Ahh-
お伽話の続きなんて誰も聞きたくない
優しい日常愛してるけれど
スリルが私を求める
家族のために頑張る 君を盗んでドライヴ
全ては僕のせいです わがままに付き合って
二時間だけのバカンス いつもいいとこで終わる
欲張りは身を滅ぼす
教えてよ、次はいつ?
ほら車飛ばして 一度きりの人生ですもの
砂の上で頭が痺れるようなキスをして
今日は授業をサボって 二人きりで公園歩こう
もしかしたら一生忘れられない笑顔僕に向けて
朝昼晩とがんばる 私たちのエスケープ
思い立ったが吉日 今すぐに参ります
二時間だけのバカンス 渚の手前でランデブー
足りないくらいでいいんです
楽しみは少しずつ
[terjemahan]
Baju yang terbiar di dalam almari
Menunggu untuk dipakai dengan kasut tumit tinggi
Keduanya hanyalah watak picisan, hari dan bulan silih berganti
Kerana kau terlalu banyak kerja
Sekali-sekala, jom kita bercuti dengan penuh bergaya
Pagi, petang dan malam kau bekerja, inilah peluang untuk kita
Tiada masa yang sebaik sekarang, bawaku ke sana sekarang juga
Percutian untuk hanya 2 jam, kita bertemu di pantai sana
Kalau rasa tak cukup pun tak apa
Sedikit-sedikit pun seronok juga
Ha Ahh...
Bab sambungan cerita dongeng kali ini, tiada yang nak dengar lagi
Aku sayang kelembutan ini setiap hari
Tetapi cabaranlah yang aku cari
Demi keluarga aku bekerja, aku ambil kau untuk berjalan sama
Semuanya memang salah aku, jadi hadaplah denganku sahaja
Percutian untuk hanya 2 jam berakhir dengan benda baik sahaja
Orang yang tamak selalu rugi
Beritahuku bila lagi?
Mari, pecutlah kereta, ini nyawa kita, peluang ini sekali sahaja
Di atas pasir, kucuplah kepalaku sehinggaku rasa berdenyut
Mari kita ponteng kelas, berjalan-jalan di taman, hanya kita berdua
Jadi aku takkan sama sekali lupa senyumanmu ke arahku sepanjang hayat
Pagi, petang dan malam kita bekerja, inilah peluang untuk kita
Tiada masa yang sebaik sekarang, kita ke sana sekarang juga
Percutian untuk hanya 2 jam, kita bertemu di pantai sana
Kalau rasa tak cukup pun tak apa
Sedikit-sedikit pun seronok juga
No comments:
Post a Comment