Tuesday, January 17, 2017

Apa Kejadahnya: KL tanpa kapcai - sistem kasta bentuk baharu oleh Ku Nan / What The Hell: KL without underbones - a new caste system by Ku Nan



Senario serupa seperti di Shenzen, China ini bakal berlaku di Kuala Lumpur sekiranya Tengku Adnan mahu meneruskan cadangan mengharamkan penggunaan motosikal di pusat bandar raya KL
(Kredit gambar: Daily Mail UK)


Salam sejahtera,

Semalam (16 Januari 2017) buat kesekian kalinya Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor sekali lagi menimbulkan kontroversi dengan mengutarakan satu cadangan dangkal bersifat diskriminatif, iaitu cadangan melarang motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur. Cadangan tersebut disambut dengan maki-hamun dan sumpah-seranah daripada golongan penunggang motosikal di ibu kota, khususnya golongan berpendapatan rendah serta golongan pekerja yang memang memerlukan penggunaan motosikal seperti posmen, mat despatch, penghantar piza, penjaja kecil dsb. Malah, pengeluar motosikal seperti Modenas turut tidak berpuas hati akan cadangan dangkal lagi diskriminatif oleh Ku Nan itu.

Ada dua alasan yang diberikan oleh Ku Nan bagi rasional pengharaman motosikal kapcai ini. Pertama, bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Kedua, atas alasan pengurangan karbon dan pencemaran udara. Kedua-dua alasan tersebut merupakan alasan bodoh lagi dangkal bagi seorang yang langsung tidak pernah menaiki pengangkutan awam ke pejabat tetapi sekadar menggunakan kereta rasmi kerajaan yang mana duit minyaknya dibiayai daripada duit cukai rakyat.

Kenapa saya katakan alasan-alasan oleh Ku Nan itu merupakan alasan bodoh lagi dangkal...? Saya hendak tanya sendiri kepada Ku Nan, adakah liputan pengangkutan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur benar-benar menyeluruh...? Tak payah pergi jauhlah, kita lihat di pusat bandar raya KL itu sendiri. Bolehkah anda pergi dari KLCC ke Perpustakaan Negara tanpa perlu menapak jauh...?Bolehkah anda pergi dari KL Sentral ke bangunan Tabung Haji tanpa perlu menapak jauh...? Berapa lama masa menunggu untuk mendapatkan bas...? Berapa lama pula masa yang perlu diambil untuk menaiki bas dari Batu Caves ke pusat bandar raya KL yang hanya sejauh lebih kurang 15 km sahaja...? Dan adakah tambang bas dan LRT itu lebih murah daripada duit minyak motor bagi jarak dan destinasi yang sama...? Saya cabar Ku Nan untuk menjawab kesemua soalan itu, kerana dalam bulan Februari ini saya akan membuat perbandingan antara motosikal dan LRT Aliran Sri Petaling dari Sentul ke Putra Heights dari segi kos tambang dan masa perjalanan.






Motor kapcai pencemar udara...? Motor pancitan bahan api seperti Modenas 118EFI dan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection kan ada. Habis tu kereta tak mencemar udara ke...?


Mengenai alasan pengurangan karbon oleh Ku Nan, dia mendakwa bahawa langkah dangkal ini "seiring dengan pelaksanaan di bandar utama lain yang turut tidak membenarkan penggunaan motosikal ini bagi tujuan pengurangan karbon". Sekali lagi saya mencabar Ku Nan untuk menyenaraikan bandar raya dan di negara manakah yang mengharamkan penggunaan motosikal di pusat bandar raya. Yang sebenarnya, hampir kesemua negara maju membenarkan penggunaan motosikal di pusat bandar raya. Di Eropah, larangan hanya dikenakan terhadap motosikal lama. Misalnya, Paris melarang motosikal lama yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2000 daripada memasuki pusat bandar raya; motosikal baharu pula boleh memasuki Paris sepanjang masa. Di London pula, larangan serupa tidak dikenakan, sebaliknya motosikal yang tidak melepasi piawaian emisi Euro 3 akan dikenakan denda atau levi sebanyak £12.50 sehari. Sebaliknya, carian di internet yang saya jalankan mendapati hanya China sahaja yang sudah melaksanakan pengharaman motosikal di bandar raya utama mereka, manakala Hanoi di Vietnam pula hanya akan melaksanakannya bermula tahun 2025.




Anatomi sistem pancitan bahan api motosikal


Memang saya akui tahap pelepasan emisi oleh motosikal adalah lebih tinggi daripada kereta, tetapi ada sebabnya. Motosikal secara fizikalnya lebih kecil daripada kereta, jadi sudah tentulah mekanisme kawalan emisinya juga lebih ringkas daripada kereta. Sistem kawalan emisi motosikal hanya terhad kepada sistem ekzos (peredam, paip ekzos dan penukar bermangkin jika ada), saluran pernafasan kotak engkol ke penapis udara, pancitan bahan api (jika ada) dan pancitan udara sekunder (jika ada). Jika dibandingkan, kereta selalunya ada dua peredam pada sistem ekzosnya serta ada yang menggunakan dua penukar bermangkin. Selain itu, kereta-kereta moden juga dilengkapi bekas arang (charcoal canister) bagi menyerap wap petrol daripada terlepas ke udara. Di samping itu juga, kereta-kereta moden turut dilengkapi sistem kitaran semula gas ekzos (EGR) bagi mengurangkan suhu puncak pembakaran untuk mengurangkan penghasilan nitrogen oksida (NOx) serta sistem pancitan udara sekunder. Kesemua ini menjadikan sistem kawalan emisi kereta lebih rumit daripada motosikal. Pun begitu, dalam penggunaan seharian motosikal tetap lebih mesra alam daripada kereta, kerana selain membakar kurang petrol, motosikal juga kurang cenderung terperangkap dalam kesesakan berbanding kereta. Sementara itu, meskipun di atas kertas selalunya kereta dikatakan kurang mencemar udara, namun jumlah gas-gas pencemar yang dilepaskan semasa terperangkap dalam kesesakan sudah tentulah lebih tinggi daripada motosikal. Justeru, alasan pencemaran udara bagi pengharaman motosikal di pusat bandar raya KL merupakan alasan yang bebal lagi dangkal.




Anda mungkin akan perlu menunggu berkurun untuk pesanan piza anda sampai sekiranya motor kapcai diharamkan daripada memasuki bandar KL kelak


Jadi apa akan terjadi sekiranya KL benar-benar mengharamkan penggunaan motosikal...? Laman portal automotif Pandu Laju ada memberi 10 gambaran mengenai KL tanpa motor kapcai, jadi saya akan memberikan gambaran saya pula:-

  1. Pos Laju boleh tukar nama sebagai Pos Siput atau Pos Kura-kura - Motor kapcai jadi pilihan posmen, mat despatch, penghantar piza dan runner (penghantar barang) disebabkan sifat fizikalnya yang kecil, ringan dan lincah. Kalau jalan sesak teruk pun, boleh saja lalu atas kaki lima atau laluan pejalan kaki (saya tahu sebab saya pun banyak kali pernah buat begitu). Jadi, apa akan jadi sekiranya kapcai diharamkan...? Memang mereka boleh memilih untuk naik motor yang lebih besar, tetapi sudah tentulah tidak selincah motor kapcai. Hendak mencilok (mencelah) pun susah. Keadaan menjadi lebih parah jika mereka terpaksa menggunakan kereta mahupun pengangkutan awam. Justeru, Pos Laju sudah boleh tukar nama menjadi Pos Perlahan, Pos Siput mahupun Pos Kura-kura.
  2. Pelanggan penghantaran Pizza Hut boleh menikmati piza percuma setiap hari - Pizza Hut menawarkan jaminan penghantaran dalam masa 30 minit, yang mana sekiranya piza dihantar lebih lewat daripada 30 minit selepas pesanan dibuat di telefon, pelanggan tersebut akan mendapat baucar piza percuma bagi pesanan seterusnya. Kalau tidak silap saya, Domino's Pizza juga ada menawarkan jaminan yang serupa. Masa tersebut diambil kira masa pembuatan (2 minit membuat piza dan 13 minit membakar piza), jadi penghantar piza hanya ada masa 15 minit sahaja untuk menghantar piza tersebut. Sebab itulah ramai penghantar piza yang menjadi mat rempit demi memastikan piza sampai tepat pada masanya. Jika kapcai diharamkan, penghantar piza hanya ada pilihan kereta, pengangkutan awam atau setidak-tidaknya motosikal yang lebih besar, yang sudah tentunya tidak selincah kapcai. Akibatnya, walau macam mana merempit sekalipun, piza akan tetap sampai lambat.
  3. Mi segera menjadi makanan asasi posmen, mat despatch dan runner - Memandangkan gaji mereka tetap tidak naik, maka sudah tentulah mi segera menjadi makanan asasi mereka memandangkan kos petrol dan penyelenggaraan naik, sungguhpun tidak setinggi kereta. Kalau naik kapcai, merasa jugalah mereka makan makanan yang lebih mewah sedikit dengan gaji yang sama.
  4. Kos setem dan upah penghantaran meningkat - Sekiranya posmen, mat despatch, runner dan penghantar piza terpaksa menukar kenderaan kepada motosikal yang lebih besar ataupun kereta, maka sudah tentulah kos petrol dan penyelenggaraan pun naik. Maka selepas ini tidak mustahil jika setem yang diperlukan bukan lagi 60 sen tetapi boleh jadi RM6, RM16, atau mungkin lebih mahal lagi. Begitu juga halnya dengan penghantar piza. Jika selalunya mereka akan mendapat upah sekitar RM2 bagi setiap penghantaran, kadar upah mungkin perlu dinaikkan sehingga RM20, membankrapkan syarikat piza dan juga pelanggan.
  5. Aiskrim bakal jadi makanan mewah mampu tengok di kalangan budak sekolah - Salah satu kenangan terindah zaman kanak-kanak sudah tentulah pengalaman membeli aiskrim daripada penjual aiskrim bermotosikal. Makanan jenis sebeginilah yang mampu dibeli oleh murid-murid sekolah yang wang sakunya tidak sebanyak mana. Sebenarnya memang ada lori aiskrim mahupun van aiskrim, tetapi mereka selalunya menjual aiskrim di satu tempat sahaja dan bukannya meronda di serata taman perumahan. Jika mereka perlu meronda di serata taman perumahan, jangan terkejut jika sekiranya aiskrim biasa yang sepatutnya berharga RM1 boleh jadi semahal aiskrim Wall's Magnum.
  6. Semakin banyak kisah penjahat berjaya melarikan diri kerana polis tersangkut dalam kesesakan - Satu lagi pihak yang bakal terjejas bahana cadangan dangkal Ku Nan ialah pihak polis. Unit rondaan bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama pentingnya seperti pasukan kereta ronda biasa PDRM kerana unit bermotosikal inilah barisan pertahanan pertama yang turut berperanan memerangi penjenayah tegar meskipun dalam keadaan jalan raya yang sesak. Meskipun Honda VFR800 Interceptor paling sinonim dengan unit bermotosikal PDRM, namun mereka juga mempunyai unit rondaan yang menggunakan motosikal kapcai. Jadi apa akan berlaku sekiranya cadangan dangkal Ku Nan ini dilaksanakan...? Sudah tentulah banyak penjenayah berbahaya akan berjaya melepaskan diri daripada polis.
  7. Semakin ramai budak-budak sekolah menunggang superbike - Pelajar-pelajar sekolah yang menunggang motosikal ke sekolah memang merupakan pemandangan biasa, khususnya di kalangan pelajar Menengah Atas (Tingkatan 4-6) yang memang dalam usia yang dilesenkan serta di luar bandar (yang sudah tentunya ramai yang tiada lesen). Namun, jika kapcai diharamkan oleh Ku Nan, maka pelajar-pelajar sekolah ini hanya ada pilihan sama ada menaiki bas sekolah yang padat seperti sardin ataupun motor yang lebih besar, yang tentunya lebih mahal.
  8. Produktiviti merosot, tetapi gaji mahu naik - Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar raya yang mana tahap produktiviti penduduknya boleh dikatakan sebagai teruk. Kenapa saya kata sedemikian...? Jika anda berkereta seorang sebuah, anda memang wajib bertolak sebaik sahaja selepas solat Subuh; jika anda terlewat, anda pasti akan tersangkut dalam kesesakan. Kalau anda tersangkut dalam kesesakan, petrol yang dibazirkan selama sejam adalah mencukupi untuk satu perjalanan dari KL ke Seremban. Sebab itulah ramai yang sampai lambat ke pejabat. Namun, jika anda bertolak awal pun, anda akan sampai awal dan tetap membazir masa untuk menunggu pintu pejabat dibuka. Sama jugalah halnya semasa pulang dari pejabat, sehingga menyebabkan ramai warga KL yang terlepas solat Maghrib bahana terperangkap dalam kesesakan. Namun begitu, warga KL sudah tentulah mahu gaji dinaikkan bahana beban kos sara hidup, tol, petak parkir dan harga petrol. Jika motosikal kapcai tidak diharamkan- setidak-tidaknya warga kota ada jugalah alternatif bagi membantu mereka mengikat perut di samping meningkatkan produktiviti. Maklumlah, ekonomi Malaysia kan sedang berada "di landasan yang betul". Kalau benar Ku Nan haramkan motor kapcai nanti macam mana...? Sudahlah kos sara hidup naik, harga minyak naik, kalau Ku Nan buat perangai dengan mengutarakan cadangan haram jadah sebegini, maka sudah tentulah dia menyebabkan kerajaan terus-menerus menjadi sasaran maki-hamun dan sumpah-seranah rakyat marhaen kerana bukan sahaja gagal membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, malah menjadikannya semakin parah. Justeru, Ku Nan sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana gagal menjamin kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi hanya berjaya menjamin kesengsaraan mereka sahaja.
  9. Sistem kasta bentuk baharu - Semasa zaman penjajahan British dahulu, salah satu daripada "jasa" utama mereka ialah penghapusan sistem kasta di kalangan masyarakat India. Sistem kasta menyebabkan kumpulan kasta bawahan dinafikan hak-hak mereka oleh golongan kelas atasan, meskipun mereka berpijak di bumi yang sama dan bernafas menggunakan udara yang sama. Namun, terdapat cubaan untuk menghidupkan kembali sistem kasta, tetapi berdasarkan jenis kenderaan yang dimiliki. Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu, pernah mengancam hendak mengharamkan motosikal daripada menggunakan lebuh raya ekspres bahana marahkan sekumpulan penunggang superbike yang memotong keretanya. Akibatnya, dia dijatuhkan dalam keadaan yang memalukan di Sungai Siput pada hari jadinya sendiri semasa Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008. Sekarang, Ku Nan langsung tidak mengambil pengajaran daripada apa yang pernah berlaku kepada Samy Vellu apabila dia mencadangkan larangan motor kapcai daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur. Kepada Ku Nan, anda sepatutnya sedar diri dan tidak lupa daratan kerana anda dinaikkan oleh rakyat marhaen dan bakal dijatuhkan oleh rakyat marhaen.
  10. Wilayah Persekutuan KL bakal menjadi petak parkir terbesar di Asia Tenggara - Sekiranya motor kapcai diharamkan, warga KL hanya ada pilihan sama ada menggunakan pengangkutan awam yang masih lagi tidak menyeluruh dan kurang boleh diharap, ataupun berkereta. Maka, sudah tentulah kesesakan jalan di Kuala Lumpur yang memang sudah sedia kritikal akan menjadi lebih parah. Jika lambakan kereta ini tidak ditangani, maka sudah tentulah masalah kesesakan ini akan sampai ke tahap anda boleh tinggalkan kereta di tengah-tengah jalan dan berjalan kaki sahaja ke pejabat kerana trafik memang tidak bergerak dan berjalan kaki pun lebih cepat.
  11. Warga KL bakal bermandi hujan asid dan bernafas menggunakan tong oksigen - Ini merupakan kesudahan terburuk sekiranya Ku Nan tetap berdegil mahu mengharamkan penggunaan motor kapcai di tengah-tengah bandar raya KL. Apa tidaknya, kereta-kereta yang tidak bergerak semasa kesesakan akan melambakkan bertan-tan gas rumah hijau terutamanya karbon dioksida serta gas-gas pencemar seperti karbon monoksida, nitrogen oksida (NOx), hidrokarbon tak terbakar, sulfur dioksida dsb. Meskipun secara teknikalnya motosikal kapcai menghasilkan lebih banyak gas-gas pencemar disebabkan sistem kawalan emisinya yang lebih ringkas, namun secara kumulatif jumlah gas-gas pencemar yang dihasilkan sebuah motosikal dalam sehari masih jauh lebih rendah daripada kereta kerana motosikal kapcai lebih lincah dan kurang cenderung terperangkap dalam kesesakan. Jika pencemaran dijadikan alasan, maka kerajaan sepatutnya menguatkuasakan peraturan emisi yang lebih ketat, yang sudah tentu akan membawa kepada penjualan lebih banyak model-model motor kapcai pancitan bahan api yang tentunya lebih jimat minyak dan lebih mesra alam. Cadangan mengharamkan kapcai hanyalah ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kesimpulannya, cadangan pengharaman motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur oleh Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan sememangnya satu cadangan yang dangkal, bebal, biadab, kurang ajar serta tidak memahami kesengsaraan warga marhaen di ibu kota. Tatkala warga kota berdepan dengan kesengsaraan akibat peningkatan mendadak kos sara hidup dan harga minyak, motor kapcai menjadi talian hayat bagi membolehkan mereka berjimat-cermat. Seorang menteri yang tidak pernah menaiki pengangkutan awam ke pejabat tetapi hanya tahu menaiki kereta rasmi kerajaan yang duit minyaknya dibayar hasil cukai rakyat dan duduk di pejabat berhawa dingin tidak layak sama sekali mengarahkan rakyat untuk berhenti menggunakan motor kapcai, kerana dia sendiri pun tidak menunjukkan teladan baik untuk dicontohi serta tidak peka akan kesengsaraan rakyat. Cadangan haram jadah Ku Nan ini juga akan turut menyebabkan banyak pekerjaan berasaskan motosikal bakal terjejas seperti posmen, mat despatch, runner, penghantar piza, pengusaha teksi motosikal, malah tidak ketinggalan juga polis. Jika ia berlaku, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan...? Adakah Ku Nan sendiri sedia dipertanggungjawabkan atas terjejasnya periuk nasi mereka ini semua...? Beri cadangan dengan menggunakan kepala otak dan bukannya kepala lutut. Jangan sampai warga KL menghukum kesombongan anda dalam pilihan raya akan datang nanti.

3 comments:

  1. yeop setuju dengan semua kenyataan ini.

    mana tidaknya, semuanya disebabkan "cash is king" yang "diilhamkan" oleh bos besarnya.

    dahlah semua harga barang naik lagi, tol naik lagi, minyak pun tak menentu.

    bertambah pulak kesesakan lalu-lintas di bandar metropolitan itu.

    setidaknya, ikutlah cara negara Eropah buat kerja.

    ni masing-masing nak tutup malu diri sendiri.

    dahlah kononnya nak adakan "race motor" kat dataran merdeka.

    ReplyDelete
  2. Klau tak salah dia ni ahli parlimen putrajaya. Beranikah kaki dan tangan kerajaan putrajaya mengundi pembangkang dalam PRU 14 ??? Sana-sama kita nantikan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak semudah itu. Kakitangan kerajaan telah diingatkan agar menyokong kerajaan, kerana mereka berperanan melaksanakan dasar kerajaan.

      Delete