Friday, January 20, 2017

Pengumuman: Skuad BJRM Prihatin ke hentian rehat kurang pelanggan / Announcement: BJRM Cares Squad to rest areas lacking customers









Antara beberapa hentian rehat yang ketandusan pelanggan, dari atas ke bawah: R&R Perasing, R&R Mambau, R&R Tanjung Dua Belas, dan R&R Klang Utara


Salam sejahtera,

Kelmarin, Berita Harian ada menyiarkan berita mengenai keluhan para peniaga di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8, yang mana ada peniaga yang hanya memperoleh RM10 sahaja sehari berikutan ketiadaan pengguna lebuh raya yang singgah di situ. Ia turut mengundang campur tangan kerajaan negeri Terengganu yang kini sedang mencari jalan bagi meningkatkan jumlah pelanggan yang singgah di situ.

Sebenarnya, isu ketandusan pelanggan di kawasan rehat yang sepatutnya menjadi tumpuan pengguna jalan raya atau lebuh raya singgah sebentar untuk berehat, makan dan minum bukanlah isu baharu. Isu sebegini timbul setiap kali ada lebuh raya baharu dibuka. Sepanjang saya menghasilkan banyak reviu lebuh raya dan jalan raya, saya dapati ada 3 punca utama yang menyebabkan sesebuah hentian rehat itu kurang dikunjungi pengguna lebuh raya atau jalan raya:-
  1. Ketiadaan stesen minyak - Sepanjang saya menghasilkan reviu-reviu lebuh raya, saya dapati bahawa ketiadaan stesen minyak merupakan penyumbang nombor satu bagi masalah R&R tiada pelanggan ini. Peranan stesen minyak amat penting bagi menentukan hidup mati sesebuah hentian rehat, kerana pengguna lebuh raya bukan sekadar mahu singgah makan atau berehat semata-mata; alang-alang berhenti sebentar untuk mengisi perut, sudah tentulah mereka mahu turut mengisi tangki minyak juga. Namun, sekiranya hentian rehat tiada stesen minyak, sudah tentulah mereka tidak akan singgah dan terpaksa keluar dari lebuh raya ke pekan terdekat untuk mengisi minyak, makan dan berehat. Akhirnya, apa gunanya R&R kalau pengguna tidak singgah akibat ketandusan stesen minyak yang merupakan infrastruktur keperluan bagi mana-mana kenderaan bermotor...?
  2. Kadar aliran trafik yang kurang - Selalunya, lebuh raya ekspres dibina selari dengan jalan persekutuan atau negeri sedia ada. Jadi, sudah tentulah kadar akan terbahagi kepada pengguna lebuh raya ekspres baharu itu dengan pengguna yang masih setia menggunakan jalan lama. Dengan kata lain, pembukaan lebuh raya ekspres akan menyebabkan penurunan mendadak pengguna jalan lama kerana sebahagiannya akan beralih kepada lebuh raya ekspres. Fenomena sebegini mendatangkan kesan positif dan juga negatif - kesan positifnya ialah jalan jadi kurang sesak dan kurang cenderung berlaku kemalangan, tetapi kesan negatifnya ialah kurang pengguna yang akan singgah berhenti rehat dan seterusnya menyebabkan penurunan pendapatan bagi golongan peniaga yang bergantung kepada pengguna jalan raya atau lebuh raya sebagai sumber ekonomi utama. Selalunya golongan yang terjejas adalah terdiri daripada para peniaga di jalan persekutuan, tetapi ada kalanya peniaga hentian rehat lebuh raya pula yang menjadi mangsa.
  3. Lokasi hentian rehat - Selain dua faktor utama di atas, ada juga hentian rehat yang kurang dikunjungi disebabkan lokasinya yang sama ada tersorok ataupun terletak jauh ke dalam, menyebabkan pengguna sama ada terlepas daripada menemuinya ataupun enggan singgah kerana persepsi "hentian rehat terpencil". Kes sebegini bukan sahaja benar bagi R&R Perasing di LPT2 E8, tetapi juga di R&R Paya Rumput di Lebuh AMJ FT19 dan juga di R&R Puchong di LDP E11. Bagi mengatasi masalah ini, papan tanda yang lebih jelas perlu diperbanyakkan, di samping penambahbaikan dari segi lanskap supaya persepsi R&R terpencil dan tersorok dapat dibuang.

Setakat ini, ada beberapa hentian rehat lebuh raya ekspres yang dikenal pasti mengalami masalah ketandusan pelanggan seperti berikut:-
  1. R&R Perasing, LPT2 E8
  2. R&R Mambau, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29
  3. R&R Beranang, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21)
  4. R&R Tanjung Dua Belas, SKVE E26
  5. R&R Puchong Selatan, LDP E11
  6. R&R Air Hitam, LDP E11
  7. R&R Penchala, LDP E11
  8. R&R Klang Utara, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) E30

(Kemaskini: lokasi R&R yang ditebalkan ialah lokasi yang sudah dikunjungi Skuad BJRM Prihatin)

Saya akan berkunjung ke beberapa R&R bagi meninjau keadaan di sana untuk perhatian syarikat konsesi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta beberapa pihak lain yang terlibat seperti syarikat-syarikat minyak. Saya akan mulakan dengan R&R Beranang secara berseorangan pada Ahad ini, 22 Januari 2017 diikuti beberapa R&R lain. Bagi R&R Beranang, insya-Allah saya akan mengadakan lawatan ke sana pada Februari ini, dan atas permintaan beberapa peminat Blog Jalan Raya Malaysia, kami akan ke sana secara konvoi motosikal.

Oleh itu, sekiranya ada di antara anda yang mengenali para peniaga di situ, ataupun sekiranya anda sendiri merupakan peniaga di situ, hebah-hebahkanlah agar suara para peniaga di R&R yang saya senaraikan di atas ini mendapat perhatian dan pembelaan.

4 comments:

  1. R&R Jejantas Penanti di Lebuhraya Butterworth-Kulim E15

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adakah ia juga ketandusan pelanggan...? Jika ya, saya akan masukkan dalam senarai. Cuma kalau hendak ke sana, hmm... kena ambil cuti panjang nampak gayanya.

      Delete
  2. Sememangnya ketandusan pelanggan walaupun mempunyai stesen minyak di kedua-dua arah. Antara punca utama ialah kewujudan ladang ayam yang terletak tidak sampai 500 meter dari R&R tersebut menyebabkan masalah lalat yang menyebabkan pelanggan kurang selesa untuk singgah di situ sehinggakan banyak gerai dan restoran terpaksa gulung tikar. Hanya tinggal satu sahaja gerai yang masih bertahan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas makluman. Sebarang maklumat tambahan amat berguna bagi merangka penyelesaian jangka panjang bagi memastikan R&R Perasing terus bertahan.

      Delete