Thursday, February 2, 2017

Skuad BJRM Prihatin: R&R Beranang / BJRM Cares Squad: Beranang RSA



Video liputan Blog Jalan Raya Malaysia di R&R Beranang


Salam sejahtera, Selamat Tahun Baru Cina buat para peminat Blog Jalan Raya Malaysia dari kalangan kaum Cina dan Selamat Hari Wilayah Persekutuan buat orang-orang Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Seperti yang dijanjikan, saya akan membawakan kepada anda entri sulung dalam siri Skuad BJRM Prihatin, iaitu di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Beranang, Lebuhraya Lekas E21. Seperti yang anda semua sedia maklum, R&R Beranang merupakan satu-satunya hentian rehat yang dibina di sepanjang Lebuhraya Lekas E21 untuk kemudahan dan keselesaan pengguna lebuh raya. Hentian rehat ini dibuka serentak dengan pembukaan Pakej 1B dari Exit 2101 Persimpangan Kajang Selatan ke Exit 2103 Persimpangan Pajam pada 23 Ogos 2008.

Namun, kini hanya ada dua sahaja gerai yang dibuka bagi setiap hala, berikutan kurangnya pengguna lebuh raya yang singgah di hentian rehat ini. Hendak kata R&R ini daif, tidak juga kerana reka bentuknya boleh dikatakan agak terkini dan diselenggara dengan baik. Hendak kata hentian rehat ini terpencil pun tidak juga kerana ia terletak betul-betul di tepi lebuh raya. Dan hendak kata pengguna lebuh raya E21 ini kurang pun tidak juga kerana kini bilangan pengguna Lebuhraya Lekas E21 semakin meningkat - meskipun tidak seramai Lebuhraya Utara-Selatan E2 - kerana penguna E21 rata-ratanya ingin memintas kesesakan E2 untuk ke Seremban.

Bagi slot Skuad BJRM Prihatin kali ini, saya mengunjungi R&R Beranang sebanyak 2 kali iaitu pada 23 Januari dan 28 Januari 2017. 23 Januari 2017 jatuh pada hari Isnin, jadi anda seharusnya dapat mengagak bagaimana situasi di R&R Beranang pada hari tersebut.




Lihat sajalah keadaan R&R Beranang yang lengang pada hari biasa, lebih-lebih lagi pada musim hujan




Hentian rehat ini besar, tetapi sangat lengang dan menyedihkan pada hari biasa




Sungguhpun lengang, tetapi tandas tetap diselenggara dan dipastikan bersih


Bagaimana pula keadaannya pada 28 Januari...? 28 Januari merupakan Tahun Baru Cina, jadi sudah tentulah ramai pengguna lebuh raya yang singgah di E21. Tak percaya? Biar gambar-gambar di bawah ini (dan video di atas) menceritakan keadaannya.




Nampak tak betapa banyak kereta yang singgah di R&R Beranang pada musim cuti Tahun Baru Cina...?




Pada musim cuti sebeginilah dua gerai yang dibuka ini menjadi tumpuan para pengguna lebuh raya sehingga pengusahanya tidak menang tangan melayan mereka




Kemeriahan suara anak-anak kecil di taman permainan ini tidak dialami pada hari-hari biasa


Nampak tak betapa jauh bezanya keadaan di R&R Beranang pada hari biasa dengan musim cuti perayaan...? Jadi kenapa R&R Beranang ini kurang dikunjungi pelanggan pada hari-hari biasa...?

Ada dua sebab utama. Salah satu sebab utama ialah keadaan Lebuhraya Lekas E21 yang gelap. Namun, kelemahan tersebut sudah pun diatasi kerana Lebuhraya Lekas E21 kini sudah diterangi lampu jalan - siap pakai lampu LED lagi tu. Pun begitu, faktor lebuh raya gelap itu sendiri bukanlah satu-satunya faktor penghalang yang menyebabkan kurang pengguna yang singgah di R&R tersebut.

Sebaliknya, faktor nombor satu yang menyebabkan R&R Beranang kurang dikunjungi ialah ketiadaan stesen minyak di hentian rehat tersebut. Seperti yang dapat anda saksikan dalam video liputan yang saya sertakan ini, kawasan hentian rehat Beranang ini sangat besar dan sepatutnya boleh memuatkan lebih kurang dua stesen minyak, tetapi malangnya tiada satu pun stesen minyak yang dibuka di situ, meskipun sudah lebih lapan tahun R&R Beranang ini dibuka. Akibatnya, R&R Beranang ini hanya dibanjiri pengguna lebuh raya pada waktu cuti sahaja tetapi sangat lengang pada hari-hari biasa.

Jadi apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pihak Lekas untuk menarik orang ramai singgah di R&R Beranang ini...? Berikut merupakan beberapa cadangan yang perlu dilaksanakan oleh pihak Lekas:-

  1. Bina stesen minyak - Saya menyeru kepada Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) Sdn. Bhd. dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mengenakan tekanan kepada syarikat-syarikat minyak agar membina stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang ini. Syarikat-syarikat minyak tidak sewajarnya bersikap terlalu mementingkan keuntungan semata-mata dengan enggan membina stesen minyak, kerana sikap sebeginilah yang mewujudkan situasi ayam dengan telur - syarikat minyak hanya mahu bina stesen minyak apabila pengguna lebuh raya Lebuhraya Lekas E21 sudah ramai, tetapi pengguna lebuh raya hanya mahu menggunakan E21 sekiranya stesen minyak dibina di R&R Beranang. Malah, pengalaman saya sendiri membuktikan bahawa hentian rehat yang tiada stesen minyak selalunya kurang dikunjungi berbanding hentian yang ada stesen minyak.
  2. Jenamakan semula R&R Beranang kepada R&R Eco Majestic - Bagi menarik semula pengguna lebuh raya agar kembali singgah ke R&R Beranang, satu lagi kemungkinan yang perlu difikirkan dan dipertimbangkan ialah penjenamaan semula R&R Beranang kepada R&R Eco Majestic. Ia kerana jarak antara R&R Beranang dengan Exit 2102A Persimpangan Eco Majestic hanya 2 km sahaja. Maka, sudah tentulah nama tersebut mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi, yang mana ia berupaya menarik pengguna lebuh raya untuk singgah.
  3. Mengubahsuai semula R&R Beranang - R&R Beranang kini sudah berusia lebih 8 tahun. Jadi, sudah tentulah ia semakin hilang tarikan dari segi rekabentuknya. Semasa ia mula-mula dibuka dahulu, reka bentuk R&R Beranang boleh dikatakan futuristik dan berorientasikan industri. Namun, ia semakin hilang seri, lebih-lebih lagi apabila hentian rehat itu sendiri kurang dikunjungi pengguna. Namun, saya faham bahawa kos pengubahsuaian R&R Beranang sudah tentu agak memakan belanja, jadi ada baiknya pihak Lekas berkolaborasi dengan Eco World selaku pemaju Eco Majestic untuk mengubahsuai dan menceriakan semula R&R Beranang, dan seterusnya menjenamakannya semula sebagai R&R Eco Majestic. Langkah sebegini seharusnya dilihat sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi Eco World.
  4. Menjadikan R&R Beranang sebagai pusat tarikan makanan tradisi Selangor dan Negeri Sembilan - R&R Beranang terletak betul-betul di sebelah sempadan Negeri Sembilan-Selangor, jadi sudah tentulah ia seharusnya dijadikan pusat pertembungan budaya antara kedua-dua negeri dari segi makanan tradisional. Di sebelah negeri Selangor misalnya, Beranang terletak dalam daerah yang sama dengan Kajang iaitu daerah Hulu Langat, jadi tarikan utama bandar Kajang iaitu sate Kajang seharusnya dieksploitasikan sebaik-baiknya dengan mempelawa banyak pengusaha sate Kajang untuk membuka perniagaan mereka di R&R Beranang. Dan jika saya kata mempelawa pengusaha sate Kajang, ia bukan bermakna tawarkan mereka berniaga sahaja, tetapi pihak Lekas sepatutnya mempromosikannya. Selain sate Kajang, juadah tradisional Minangkabau dan Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api pun seharusnya dijadikan tarikan di R&R Beranang dengan cara sama seperti sate Kajang tadi.
  5. Memperbanyakkan aktiviti karnival jualan - Suatu ketika dahulu, R&R Bukit Dukung di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dan R&R Klang Utara di Jalan Pintasan Baru Selat Klang Utara E30 merupakan dua hentian rehat yang ketandusan pengunjung. Namun, syarikat konsesi masing-masing iaitu Grand Saga dan Grand Sepadu mengambil inisiatif mengadakan karnival jualan di hentian rehat masing-masing, menarik sebegitu ramai pengguna lebuh raya singgah di kedua-dua hentian rehat tersebut. Justeru, Lekas seharusnya belajar daripada Grand Saga dan Grand Sepadu untuk melaksanakan inisiatif sama agar ramai pengguna singgah di R&R Beranang. Karnival jualan bermaksud ramai pengunjung, dan ramai pengunjung bermaksud rezeki yang lebih melimpah-ruah kepada para peniaga di sana.

Kesimpulannya, ketiadaan stesen minyak merupakan punca nombor satu kenapa R&R Beranang di Lebuhraya Lekas E21 ketandusan pelanggan; kalau ramai pun, hanya di musim perayaan sahaja. Justeru, syarikat-syarikat minyak seharusnya tidak terlalu mengejar keuntungan tetapi lebih mengutamakan keperluan fardu kifayah bagi pengguna E21 dengan membina stesen-stesen minyak di R&R Beranang. Pengalaman saya sudah pun membuktikan bahawa stesen minyak memberikan nyawa kepada kebanyakan hentian rehat di Malaysia. Selain itu, pihak Lekas tidak seharusnya bersikap mudah menyerah kalah, tetapi sebaliknya perlu bangkit semula dan tidak putus asa menarik pengguna lebuh raya untuk singgah ke R&R Beranang melalui kerjasama dengan Eco World bagi penjenamaan semula R&R Beranang serta mengambil inisiatif mengadakan karnival jualan bagi menarik orang ramai untuk singgah di R&R Beranang. Semoga dengan pelaksanaan kesemua gesaan saya di atas ini dapat membantu membela kembali nasib para peniaga di Kawasan Rehat & Rawat Beranang.

Destinasi Skuad BJRM Prihatin yang seterusnya nanti ialah Kawasan Rehat & Rawat Tanjung Dua Belas di SKVE E26. Tarikhnya akan saya umumkan nanti, jadi nantikanlah pengumuman mengenainya hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

1 comment:

  1. SAYA dn kluarga berhenti kat hentian beranang jam 6.30 tp mcm seram je tak jadi nk ke toilet. Terus Jalan.

    ReplyDelete