Salam sejahtera,
FTRoadpedia Pantai Timur merupakan siri kedua bagi jelajah FTRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya Malaysia, sebagai kesinambungan daripada siri pertama FTRoadpedia ke Batu 10 Lekir, Perak pada 6-7 Ogos 2016. Rombongan kali ini lebih meriah dengan lebih ramai wakil-wakil media yang turut serta dalam siri jelajah kali ini, termasuklah Hezeri Samsuri dari Careta dan Durrani Sharon dari Paul Tan. Jika dahulunya kami hanya menggunakan sebuah bas, kali ini armada kami terdiri daripada dua buah bas.
Peta laluan Jalan Gombak FT68 & Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2
Peta laluan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3
Laluan perjalanan yang kami gunakan terdiri daripada:-
- Jalan Gombak FT68
- Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2
- Jalan Pintasan Kuantan FT3 dan Jalan Bukit Ubi C4
- Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3
- Lebuhraya Pantai Timur E8
Selain itu, kami turut melawat dua tapak projek iaitu projek Persimpangan Bertingkat Jalan Bukit Ubi C4 di Kuantan dan projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12. Di samping itu juga, sebagai upacara penutup, kami turut bertindak membentuk Skuad BJRM Prihatin bagi menyelesaikan isu Kawasan Rehat & Rawat Perasing ketandusan pelanggan seperti yang telah dilaporkan sebelum ini.
Tidak seperti edisi pertama di Lekir sebelum ini, tiada penglibatan secara langsung daripada orang awam. Sebaliknya, satu-satunya penglibatan orang awam bagi edisi kedua adalah sebagai tukang baca sahaja. Kenapa perubahan ini dilakukan...? Meskipun penganjuran edisi pertama di Lekir secama amnya berjaya, namun Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pula kurang berpuas hati kerana pengalaman semasa jelajah pertama FTRoadpedia kurang didokumentasikan sebagai catatan perjalanan individu (travelog) bagi menarik minat lebih ramai pengguna jalan raya untuk menggunakan jalan persekutuan; kalau ada pun, cuma sekadar mengharapkan reviu jalan raya oleh Blog Jalan Raya Malaysia semata-mata. Justeru, dalam edisi kali ini, Datuk Seri Fadillah amat mengharapkan para peserta kali ini menggunakan segala peluang dalam edisi pantai timur bagi menghasilkan satu catatan perjalanan yang mampu memberikan impak besar yang mampu menjadi daya penarik kepada pengguna jalan raya agar kembali menggunakan jalan persekutuan. Catatan tersebut tidak perlulah panjang berjela seperti reviu-reviu jalan raya yang saya tulis, tetapi yang paling penting ialah ia mampu menarik minat para pembaca untuk mencuba jalan-jalan persekutuan.
Anda sudah bersedia...? Mari kita mulakan dengan reviu kunjungan semula Jalan Gombak FT68 buat kali ketiga.
No comments:
Post a Comment