Wednesday, February 22, 2017

Pengumuman: FTRoadpedia Pantai Timur / Announcement: East Coast FTRoadpedia




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini berikutan kesibukan kerja. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk membuat satu pengumuman bagi siri kedua reviu jalan raya hasil kerjasama dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia, iaitu FTRoadpedia Pantai Timur.




Siri FTRoadpedia Pantai Timur ini merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang diadakan di Lekir, Perak pada tahun 2016. Susulan kejayaan penganjuran siri pertama itu, kami berbesar hati ingin mengumumkan sambungannya yang diadakan di Terengganu. Ia juga merupakan kesinambungan daripada siri reviu XPDC Teganu Kita yang diadakan pada tahun 2015, cuma bezanya ialah tatkala XPDC Teganu Kita dijalankan di sepanjang laluan lebuh raya ekspres (kecuali Jalan Tengku Mizan FT65 dan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14), siri FTRoadpedia Pantai Timur pula akan melalui jalan-jalan persekutuan dari Kuala Lumpur sehingga ke Kuala Terengganu.

Laluan yang bakal kami gunakan adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Gombak FT68 (kali ketiga selepas reviu solo oleh Admin Hezery dan seterusnya Hezeri Samsuri)
  2. Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2
  3. Jalan Pintasan Kuantan FT3
  4. Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3
  5. Jalan Pintasan Kijal FT145

Oleh kerana destinasi kali ini lebih jauh (iaitu lebih kurang 8 jam tidak termasuk rehat), maka siri jelajah FTRoadpedia Pantai Timur kali ini berlangsung selama 3 hari, iaitu bermula 23 Februari 2017 (esok) dan akan berakhir pada 25 Februari 2017 (Sabtu).

Oh ya, saya masih berhutang beberapa lagi baki reviu jalan raya semasa siri FTRoadpedia pertama sebelum ini di Lekir. Justeru, saya akan berusaha menghabiskan kesemuanya meskipun mengalami kesibukan kerja. Oleh itu, kesabaran anda amat saya hargai.

Buat para peminat Blog Jalan Raya Malaysia di Terengganu, kita jumpa di Kuala Terengganu...!!!

No comments:

Post a Comment