Wednesday, August 10, 2016

Jelajah FTRoadpedia @ Lekir: Prologue



Rombongan jelajah FTRoadpedia yang disertai oleh kami (Hezery dan Aiman), Menteri Kerja Raya, para pegawai tertinggi KKR, ahli-ahli Rakan KKR serta wartawan dari Bernama dan TV3


Salam sejahtera kepada semua peminat jalan raya negara khususnya para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia,

Blog Jalan Raya Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) berbesar hati membawakan kepada anda Jelajah FTRoadpedia yang julung-julung kali diadakan di Dewan Komuniti Bestari Mukim Lekir, Batu 10, Jalan Sitiawan-Teluk Intan FT5, Perak. Siri Jelajah FTRoadpedia ini mencatatkan sejarah tersendiri sebagai siri reviu pertama hasil kerjasama terus dengan KKR di bawah payung Rakan KKR, sebagai siri reviu pertama yang disertai kedua-dua admin Blog Jalan Raya Malaysia (Mohd. Hezery bin Hussin dan Aiman Ab. Majid), serta sebagai siri reviu jalan raya pertama yang menggunakan bas. Jika dibandingkan, kesemua koleksi reviu jalan raya kami sebelum ini menggunakan sama ada motosikal ataupun kereta.




Peta laluan jelajah FTRoadpedia dari Kuala Lumpur ke Lekir
(sila zum peta untuk perincian lebih lanjut)


Sebagai sebahagian daripada siri jelajah ini, kami membawakan kepada anda beberapa reviu jalan raya yang dilalui di sepanjang perjalanan. Jalan-jalan tersebut ialah:-
  1. Jalan Klang-Teluk Intan FT5
  2. Jalan Sitiawan-Teluk Intan FT5
  3. Jalan Seri Manjung-Kampung Koh FT60 & Jalan Iskandar Shah FT18
  4. Jalan Teluk Intan-Bidor FT58
  5. Jalan Padang Tembak A147
  6. Jalan Pintasan Bidor FT321

Siri reviu kali ini turut disertai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta para pegawai tertinggi KKR seperti Dato' Ir. Roslan Md. Taha, Datuk Sarani Dollah, Puan Misiah Taib, Puan Noreha Mohd. Ripin serta ramai lagi. Turut serta dalam rombongan kami ialah beberapa ahli Rakan KKR serta wartawan dari Bernama dan TV3. Bagi menghormati Menteri Kerja Raya serta para pegawai tertinggi KKR yang duduk di kerusi hadapan, maka sebahagian besar gambar bagi tiga siri reviu teratas akan menggunakan sama ada gambar oleh Aiman ataupun gambar-gambar yang diambil oleh Datuk Sarani ataupun jurugambar KKR, memandangkan saya duduk di kerusi tengah dan di sebelah laluan tengah bas yang menyukarkan saya untuk mengambil gambar. Hanya reviu bagi FT58, A147 dan FT321 sahaja yang dapat saya ambil gambar dari kerusi hadapan bas, memandangkan pada masa itu Datuk Seri Fadillah serta kesemua pegawai tertinggi KKR terus berada di Lumut dan tidak ikut sama pulang ke Kuala Lumpur bagi program khas bersama-sama para Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Selain daripada menyertai karnival FTRoadpedia di Batu 10 Lekir, kami turut singgah seketika di pejabat tapak projek naik taraf salah satu pautan putus Lebuhraya Pantai Barat E32 iaitu sebahagian Jalan Sitiawan-Teluk Intan FT5 dari Lekir sehingga ke Teluk Intan sepanjang lebih kurang 15 km, yang mana selama ini saya tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan idea penggunaan jalan FT5 itu. Nak tahu hasil penemuan kami...? Teruskan mengikuti siri reviu Jelajah FTRoadpedia @ Lekir untuk mengetahuinya.

Sudah bersedia...? Kita mulakan dengan reviu Jalan Klang-Teluk Intan FT5...!!!

No comments:

Post a Comment

Advertisement