Thursday, July 28, 2016

Pengumuman: Kempen FTRoadpedia bermula / The FTRoadpedia campain begins




Salam sejahtera,

Baru-baru ini, Kementerian Kerja Raya Malaysia mengumumkan kempen jelajah FTRoadpedia yang akan diadakan di Mukim Lekir, Perak pada 6 hingga 7 Ogos 2016. Kempen FTRoadpedia ini bertujuan sebagai langkah penjenamaan semula rangkaian jalan persekutuan untuk menjadikan jalan persekutuan sebagai pilihan utama bagi kembara seisi keluarga untuk beriadah atau bercuti secara santai. Selain itu, kempen FTRoadpedia juga bertujuan bagi membangunkan semula komuniti para penduduk yang tinggal di sepanjang jalan-jalan persekutuan utama yang bergantung kepada pengguna jalan persekutuan sebagai sumber rezeki. Di samping itu, FTRoadpedia bermatlamat bagi mengubah persepsi orang awam - khususnya generasi Y ke atas - yang selama ini sering menganggap lebuh raya ekspres dan hanya lebuh raya ekspres sahaja sebagai satu-satunya laluan utama untuk perjalanan jarak jauh sama ada untuk balik kampung, bekerja jarak jauh ataupun pergi bercuti, sehingga mengabaikan rangkaian jalan persekutuan yang telah berjasa kepada rakyat Malaysia sejak lebuh seratus tahun.




Salah satu kesan negatif Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 ialah LPT2 E8 mengancam pendapatan penduduk di sepanjang Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 yang selama ini mencari makan di situ


Kenapa jalan persekutuan...? Untuk makluman anda, salah satu kesan buruk terbesar pembinaan lebuh raya ekspres ialah kemerosotan pendapatan para peniaga, pengusaha penginapan dsb. yang selama ini amat bergantung kepada pengguna jalan persekutuan sebagai sumber ekonomi mereka. Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 merupakan salah satu contoh paling ekstrim bagaimana lebuh raya ekspres boleh membunuh sumber ekonomi penduduk yang bergantung kepada pengguna jalan persekutuan sebagai sumber mata pencarian, yang mana pembukaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 telah menyebabkan kadar aliran trafik di sepanjang FT14 merosot sehingga 80% - sehingga ke tahap anda boleh berbaring di atasnya (Amaran: Ini hanya metafora sahaja, jangan buat betul-betul). Akibatnya, pendapatan para penduduk yang mencari makan di sepanjang FT14 merosot teruk sehingga 40%. Justeru, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka, dan hasilnya ialah kempen FTRoadpedia ini. Melalui kempen FTRoadpedia ini, KKR amat berharap agar pengguna jalan raya kembali menggunakan dan menyayangi jalan persekutuan agar nasib para penduduk di sepanjangnya dapat dibela.

Selain bertujuan untuk membela nasib penduduk di sepanjang jalan persekutuan yang berharap kepada pengguna jalan persekutuan sebagai punca utama mata pencarian, FTRoadpedia juga ingin mengubah pemikiran pengguna jalan raya (khususnya generasi Y ke atas) yang selama ini hanya menganggap hanya lebuh raya ekspres sahaja satu-satunya laluan untuk pergi bekerja, balik kampung, bercuti atau beriadah agar pemikiran dan persepsi mereka dapat diubah dan seterusnya diharap mereka menjadikan jalan persekutuan sebagai laluan utama dan bukannya pilihan terakhir.

Jangan salah sangka. FTRoadpedia bukan bermaksud mengajak anda untuk meninggalkan terus lebuh raya ekspres. Kami hanya mahu lebuh raya ekspres dan jalan persekutuan sama-sama naik dan saling melengkapi antara satu sama lain. Lebuh raya ekspres berperanan sebagai aorta bagi sistem rangkaian jalan raya bagi pengangkutan jarak jauh. Namun, ia tidak berupaya menghubungkan setiap kampung, pekan atau bandar di sepanjang laluannya. Justeru, peranan tersebut diisi oleh jalan persekutuan yang lebih berjiwa rakyat dalam erti kata sebenar, memandangkan jalan persekutuan menghubungkan setiap bandar dan kampung dalam laluannya.






Alangkah baiknya jika jalan-jalan persekutuan Malaysia diabadikan dalam lagu sebagaimana Nat King Cole mengabadikan Jalan US 66 dalam lagunya


Paling penting, inisiatif FTRoadpedia ini diharap berupaya memartabatkan kembali rangkaian jalan persekutuan di Malaysia. Sejak Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas pada tahun 1994, peranan jalan persekutuan semakin dilupakan. Apa tidaknya, lebuh raya ekspres sangat lurus, sangat selesa, sangat selamat, kurang halangan dan boleh dipandu laju. Jika dibandingkan, jalan persekutuan pula banyak yang berkelok-kelok terutamanya jalan-jalan lama, kurang selesa kerana perlu banyak berhenti dan mengekori kenderaan perlahan, kurang selamat kerana banyak lintasan searas, gaung dalam, selekoh tajam, bukit curam serta terpaksa bermain rolet Rusia setiap kali hendak memotong dan keluar masuk persimpangan searas, banyak halangan seperti selekoh, pokok-pokok besar, kenderaan lain yang lalu-lalang dan manusia, serta tidak boleh dipandu terlalu laju. Jika dibandingkan, Amerika Syarikat amat memartabatkan rangkaian jalan raya mereka tidak kira lebuh raya Interstate, jalan US mahupun jalan negeri, dengan kisah Jalan US66 sebagai kisah klasik usaha memartabatkan rangkaian jalan US, sehingga ke tahap ada drama dan lagu berasaskan jalan tersebut. Jadi, saya amat mengharapkan perkara sama dapat direalisasikan di Malaysia.

Terus terang saya katakan, kembara melalui jalan persekutuan sebenarnya jauh lebih seronok daripada lebuh raya ekspres, kerana anda disajikan dengan pelbagai pemandangan menarik yang anda tidak akan dapati di mana-mana lebuh raya ekspres, seperti kehijauan hutan, pasir putih tepi pantai yang begitu cantik dan indah, panorama kampung yang mendamaikan, sawah padi yang luas terbentang dan bertukar menjadi kekuningan semasa musim menuai, gadis-gadis desa yang lemah-lembut lagi bersopan-santun, kepelbagaian budaya penduduk setempat, dan banyak lagi. Hasilnya, anda tidak akan berasa bosan ketika memandu di jalan persekutuan - dan sekiranya anda menghayatinya, anda sedikit pun tidak akan sedar bahawa anda sebenarnya sudah lama memandu. Anda tidak akan dapat pemandangan seumpamanya di lebuh raya ekspres yang menyediakan jarak dan kawasan penglihatan yang lebih luas, tetapi lanskapnya terasa kosong sahaja serta kelihatan sama sahaja walaupun ketika anda memandu laju, sehingga membawa kepada hipnosis lebuh raya. Selain itu, jika anda ingin menunaikan solat terutamanya solat Jumaat, ada banyak masjid yang anda boleh pilih di sepanjang jalan persekutuan untuk singgah sebentar. Jika dibandingkan di lebuh raya ekspres, hanya kawasan rehat dan rawat (R&R) sahaja yang menawarkan surau untuk pengguna lebuh raya - kalau setakat nak solat 5 waktu biasa tu sesuailah, tetapi ia sama sekali tidak sesuai untuk solat Jumaat kerana tiada penduduk yang bermastautin di kawasan gerai. Bagi penunggang motosikal pula, sekiranya hari hujan, anda ada banyak tempat yang boleh anda pilih untuk berteduh sebentar, sama ada di hentian bas, stesen minyak, kedai mahupun di bawah jejambat - berbeza dengan lebuh raya ekspres yang memerlukan anda meredah hujan seketika sehingga pakaian anda habis basah lencun. Nak makan pun senang kerana ada banyak pilihan di jalan persekutuan. R&R lebuh raya ekspres pula tidak banyak pilihan dan cepat penuh.

Satu lagi sebab untuk menggunakan jalan persekutuan sudah tentulah kerana ia percuma untuk rakyat. Pembangunan dan penyelenggaraan jalan persekutuan memang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan daripada hasil cukai rakyat kepada rakyat sendiri. Inilah satu sebab utama kenapa kempen menuntut pemansuhan tol sebenarnya hanya sia-sia, kerana kerajaan memang membina jalan persekutuan yang berfungsi menghubungkan rakyat di desa dan kota, dari titik A ke titik B. Lebuh raya ekspres pula hanya menghubungkan segelintir sahaja bandar yang ada kepentingan ekonomi. Jika anda asyik mendesak kerajaan untuk tidak menaikkan tol, maka duit yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan jalan raya hanya mengakibatkan ketiadaan dana untuk penyelenggaraan jalan persekutuan.

Jadi apa yang boleh anda lakukan bagi membantu kami memartabatkan kembali dalam skala yang lebih besar...? Pertama, sukailah laman Facebook FTRoadpedia. Kedua, apa kata anda cuba untuk tidak menggunakan lebuh raya ekspres sebagai laluan perjalanan anda tetapi menggunakan jalan persekutuan yang selari dengannya. Hasilkan reviu jalan raya dan hebahkan kepada rakan-rakan dan sahabat handai anda mengenai kecantikan dan keindahan panorama di sepanjang jalan raya Malaysia. Ketiga, datanglah beramai-ramai ke Dewan Komuniti Bestari, Mukim Lekir, Sitiawan, Perak pada 6 Ogos 2016 tidak lama lagi bagi pelancaran kempen FTRoadpedia.

Selain itu, para peniaga yang mencari makan di sepanjang jalan persekutuan boleh mengambil inisiatif menghasilkan cenderamata berasaskan jalan persekutuan masih-masing, seperti baju T, koleh, rantai kunci, pinggan mangkuk mahupun stiker (misalnya, peniaga di jalan FT5 boleh menghasilkan baju T dengan jata laluan FT5. Ada banyak idea yang boleh dikumpulkan bagi memartabatkan kembali jalan persekutuan, seperti mengadakan wiki khas (saya ada mencadangkannya sendiri kepada KKR untuk mewujudkan satu wiki khas bagi rangkaian jalan raya Malaysia). Publisiti meluas melalui media massa juga amat penting. Bagi para sejarawan tempatan, himpunkan segala maklumat sejarah jalan persekutuan masing-masung dan dokumentasikan dalam bentuk buku. Yang penting, orang ramai perlu diyakinkan agar kembali menggunakan jalan persekutuan sebagai laluan kembara utaa secara santai.

2 comments:

  1. Assalamualaikum wrt wbt Encik Squall Shinoda. :) Saya Fatimah, wartawan dari suratkhabar The Star. Pihak kami amat berminat untuk interview Encik berkenaan opinion letter encik yang bertajuk "Improve design of motorcycle lanes". Boleh saya tahu bagaimana utk berhubung dgn Encik? Saya tinggalkan email utama saya: fatimah.zainal@ymail.com. Thank you, hope to hear from you soon.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Email sudah dihantar, sila periksa inbox anda.

      Terima kasih.

      Delete