Monday, July 25, 2016

Apa Kejadahnya: Caj parkir naik, tambang pengangkutan awam naik - beginikah caranya nak galakkan orang KL naik pengangkutan awam...? / What The Hell: Parking charge went up, public transport



Caj parkir terbaru oleh DBKL menjerut leher warga kota tatkala mereka terpaksa bergelut menangani kenaikan kos sara hidup
(Kredit gambar: Cilisos.my)


Salam sejahtera,

Satu sebab kenapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya rasakan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hilang serinya adalah kerana saya merasakan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini lebih kepada "sambutan orang-orang munafik" - kerana setiap kali perayaan Hari Raya Aidilfitri, pasti ungkapan "maaf zahir batin" menjadi halwa telinga. Namun, sebaik sahaja selepas musim cuti Hari Raya Aidilfitri - malah, ada kalanya tidak sampai 24 jam selepas menyambut 1 Syawal - orang yang meminta maaf itu pula kembali membuat onar yang menyakitkan hati. Meskipun bermaaf-maafan semasa sambutan 1 Syawal sememangnya perkara yang dituntut dalam Islam, namun sikap segelintir "mangkuk hayun" haram jadah yang kembali "membuat tahi" setelah meminta maaf pada 1 Syawal menyebabkan saya terpaksa berfikir 100 kali sama ada perlu atau tidak saya memaafkan mereka. Orang-orang yang termasuk dalam golongan ini termasuklah ahli-ahli politik dan macai-macai mereka, serta orang yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kesejahteraan rakyat tetapi sebaliknya memeras rakyat demi kepentingan tembolok sendiri. Salah satu pihak yang termasuk dalam golongan yang tidak boleh dimaafkan walaupun pada 1 Syawal ini termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Segala-galanya bermula semasa perasmian terowong kedua Jalan Sultan Abdul Halim (aka Jalan Duta) ke Lebuhraya Sultan Iskandar FT2 pada 2 Julai 2016 oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Dalam ucapan tersebut, dia telah mengumumkan rancangan menaikkan kadar caj parkir di kawasan daerah perniagaan pusat (CBD) daripada 50 sen kepada RM2 sejam pertama dan RM3 bagi sejam berikutnya. Peningkatan kadar caj parkir baharu ini sangat zalim dan sangat menjerut leher, dengan peningkatan 4 hingga 6 kali ganda caj parkir lama. Selepas tempoh 2 jam, kenderaan yang diparkir akan ditunda ke depoh tundaan DBKL. Sudahlah parkir cekik darah, kalau parkir lama sikit sudah kena tunda pula tu. Namun, rancangan untuk mengehadkan tempoh parkir maksimum kepada 2 jam dibatalkan susulan bantahan daripada orang-orang KL yang rata-ratanya naik angin akan cadangan bebal tersebut, tetapi rancangan untuk mengenakan caj parkir yang mencekik darah itu pula tetap diteruskan,




Zon bagi kadar caj parkir baharu DBKL - merah bermaksud kawasan CBD, kuning bermaksud kawasan luar pusat bandar raya, manakala putih pula kawasan selain daripada yang dinyatakan
(Kredit gambar asal: The Star)


Kadar caj parkir (baca: rompakan) terbaru yang dikuatkuasakan oleh DBKL adalah seperti berikut:-
  • Kawasan CBD (pusat bandar raya, Bangsar, Bukit Kiara, Bukit Damansara, Sri Hartamas dan Taman Tun Dr. Ismail): RM2 bagi sejam pertama, RM3 bagi setiap jam berikutnya, naik daripada 80 sen sebelum ini
    (Nota: TTDI kini dikeluarkan daripada senarai di atas susulan bantahan penduduk yang mendakwa TTDI merupakan kawasan perumahan dan bukannya CBD)
  • Luar pusat bandar raya (Sentul, Jalan Ipoh, Kepong, Brickfields, Cheras, Kg. Pandan, Sri Petaling, Taman Melati, Pasar Borong Selayang): RM1.50 sejam, naik daripada 50 sen sebelum ini
  • Selain daripada kawasan di atas: RM1 sejam, naik daripada 50 sen sebelum ini

Nampak tak betapa cekik darahnya kadar parkir "bodoh-bodoh" di pusat bandar raya KL tanpa bumbung dan tanpa kawalan keselamatan...? Jika sebelum ini, seseorang yang memparkir kereta sepanjang hari di pusat bandar raya (seperti pemilik kedai) perlu membelanjakan lebih kurang RM208 sebulan untuk parkir (andaian jika tiada pas bermusim), jumlah itu meningkat lebih 3 kali ganda menjadi RM832. Itu kalau seorang sahaja yang memparkir kereta, bagaimana kalau si isteri pun turut bekerja dan memparkir kereta sepanjang hari...? Jumlah tersebut akan menjadi RM1,664 sebulan, satu angka yang tidak masuk akal sama sekali. Jumlah kos parkir isi rumah sebegitu sudah lebih mahal daripada bayaran bulanan kereta Honda Civic Turbo.

Kenapa pula caj parkir ini hendak dinaikkan sehingga ke tahap yang tidak masuk akal...? Alasan yang digunakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mohd. Amin bin Abd. Aziz, mendakwa kononnya caj parkir dinaikkan bagi mengurangkan kemasukan kenderaan persendirian (terutamanya kereta) ke kawasan CBD, dengan harapan bahawa caj parkir yang menjerut leher ini kononnya akan membuatkan orang KL mempertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam atau setidak-tidaknya berkongsi kereta jika hendak masuk ke kawasan CBD. Kalau diikutkan sebenarnya memang ada benarnya, jika kita mempertimbangkan fakta bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan pendaftaran kenderaan persendirian terbanyak di Malaysia, diikuti Johor, Untuk pengetahuan anda, bilangan kenderaan persendirian yang didaftarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2011 adalah sebanyak 4.9 juta kenderaan, lebih dua kali ganda lebih ramai daripada penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu sendiri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3.5 juta kenderaan persendirian keluar masuk ke pusat bandar raya setiap hari, tetapi hanya ada 45,000 sahaja petak parkir yang ada.

Namun, boleh percaya 100% ke niat "murni" DBKL ini...? Pada tahun 2014, DBKL mengalami kerugian kos melepas sebanyak RM138 juta akibat caj pengiklanan yang tidak dikutip. Maka, caj parkir yang menjerut leher itu boleh jadi bertujuan untuk menutup kembali ketirisan semasa kutipan caj pengiklanan tersebut. Tambahan pula, kawasan yang kalau diikutkan terletak di luar pusat bandar raya seperti Sri Hartamas, Bangsar, TTDI dan Bukit Kiara merupakan "tempat orang-orang kaya", jadi faham-faham sajalah.

Itu baru satu hal. Satu lagi hal ialah Datuk Seri Mohd. Amin boleh pula membandingkan kadar caj parkir di KL dengan Bangladesh dan Myanmar dan mendakwa kononnya kadar parkir di Kuala Lumpur kini sama seperti di Dhaka dan Yangon. Buat pengetahuan orang-orang KL sekalian, Datuk Bandar anda sebenarnya telah menipu anda semua hidup-hidup - kadar parkir di Dhaka sebenarnya ialah 20 Taka (Tk20; bersamaan RM1.04) sekali masuk dalam sehari...!!! Dengan kata lain, caj parkir di Dhaka hanya jadi lebih mahal daripada kadar lama caj parkir KL jika diparkir kurang daripada 2 jam. Sementara itu pula, caj parkir di Yangon pula ialah 200 kyat (K200; bersamaan 69 sen) sejam, dan caj parkir terbaru di KL kini lebih mahal daripada kedua-dua bandar raya tersebut.

Jadi siapakah gerangan mangkuk hayun yang tampil dengan cadangan mencekik darah warga kota dengan kadar parkir yang terlalu mahal dan tidak masuk akal ini...? Bantahan demi bantahan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga beberapa ahli politik membawa kepada tuding-menuding antara satu sama lain. Ahli-ahli politik pembangkang mendakwa bahawa DBKL langsung tidak berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) sebelum hendak menaikkan caj parkir. Namun, setelah ditanya sendiri oleh Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Bandar Kuala Lumpur pula menuding jari kepada SPAD dan mendakwa SPAD memang mahu caj parkir dinaikkan. Cerita berbeza didendangkan apabila Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai pula mendakwa bahawa dalang di sebalik kenaikan caj parkir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dilantik bagi menguruskan petak-petak parkir awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 2015.

Dengan pendedahan bahawa operasi petak parkir awam DBKL diuruskan oleh YWP dan bukannya DBKL sendiri secara tidak langsung membuka satu lagi pekung di dada DBKL sendiri. Apa tidaknya, pelantikan YWP bagi menguruskan petak-petak parkir awam DBKL telah mewujudkan rangkaian orang tengah yang tidak sepatutnya wujud dalam pengurusan parkir. Jika sebelum ini DBKL memperoleh 100% pulangan daripada kutipan caj parkir, kini bahagian mereka hanya tinggal 35% sahaja; selebihnya masuk ke poket YWP. Jika dilihat kepada objektif penubuhan YWP, ia bertujuan untuk memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui pemberian biasiswa pendidikan, pinjaman perumahan rakyat dsb. Namun, apa kejadahnya kalau membantu mereka dengan cara "merompak" jutaan kenderaan yang memparkir kereta di KL...? Cuba teliti betul-betul siapa pengerusi YWP. Oh... Ku Nan rupanya. Memang haram jadah betul, tak habis-habis hendak merompak warga kota. Patutlah beriya-iya hendak merompak rakyat yang berkereta bahana sistem pengangkutan awam yang macam haram jadah.

Selain YWJ, terdapat juga individu haram jadah yang menggesa agar caj parkir dinaikkan, kalau boleh biar sampai RM40 sejam. Individu yang saya maksudkan itu ialah Khairiah Mohd. Talha, Ahli Jawatankuasa Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Alasannya ialah kononnya bandar raya global di negara-negara maju mengenakan caj parkir yang lebih mahal daripada kadar caj parkir KL. Kepada Khairiah Mohd. Talha, daripada anda sibuk buat cadangan bodoh lagi dangkal itu, lebih baik anda selesaikan kegagalan anda merancang pembangunan Kuala Lumpur. Masalah kesesakan lalu lintas dan juga pengangkutan awam yang macam haram jadah itu tidak pula anda dapat selesaikan. Selesaikan dahulu isu penyangak hartanah yang lebih banyak membina rumah mampu tengok daripada rumah mampu milik. Juga selesaikan isu pembinaan sebegitu banyak lebuh raya ekspres di Lembah Klang yang akhirnya gagal menangani masalah kesesakan tetapi sebaliknya mengakibatkan kesesakan yang lebih teruk pula. Juga selesaikan isu mutu perkhidmatan pengangkutan awam yang sangat teruk dan macam haram jadah - dengan segelintir pemandu teksi yang berlagak samseng dan mengenakan tambang mencekik darah, bas yang sering lambat dan tidak menepati masa, serta masalah kelambatan dan kekurangan tren LRT sejak RapidKL mengubah sistem laluan LRT Aliran Ampang yang mana tiada lagi laluan terus dari Ampang ke Sentul Timur; sebaliknya, pengguna LRT Aliran Ampang kini perlu menukar tren di stesen Chan Show Lin jika hendak ke Sentul Timur. Akibatnya, ramai pengguna LRT dari Ampang mengamuk dan naik berang susulan kesesakan yang timbul disebabkan penukaran sistem laluan tersebut.

Kalau dah mutu sistem pengangkutan awam pun macam lahanat, macam mana nak pujuk orang KL untuk gunakan pengangkutan awam...?

Tidak cukup dengan cerita LRT lambat dan sistem laluan baharu "syok sendiri" oleh RapidKL, kenaikan tambang juga satu lagi isu yang gagal ditangani. Tambang naik bukannya sedikit pula tu, sekali naik sampai hampir 100% seolah-olah semua orang KL kaya-raya, sedangkan majoriti pengguna pengangkutan awam terdiri daripada golongan berpendapatan rendah serta penduduk yang tinggal berdekatan dengan stesen. Tambah menyakitkan hati, orang yang bertanggungjawab menaikkan tambang pengangkutan awam itu pula menyalahkan pendahulunya susulan kenaikan tambang pengangkutan awam terutamanya ERL, sedangkan hakikatnya semasa zaman pendahulu keempatnya itu tiada pula kita dengar tambang pengangkutan awam naik.

Mana perginya duit kutipan GST yang kini jauh lebih banyak daripada sumbangan tahunan Petronas kepada kerajaan persekutuan...? Kenapa tidak gunakan sahaja duit GST itu untuk mensubsidikan pengangkutan awam...? Sekurang-kurangnya kalau tambang pengangkutan awam disubsidikan, warga kota tidaklah naik angin sebegini teruk walaupun ketika tol naik sekalipun kerana masih ada alternatif. Konon nak kurangkan bilangan kereta di jalan-jalan KL sehingga sejuta buah, tapi tak sedar diri yang mana sistem pengangkutan rel sedia ada cuma mampu menampung kapasiti 900,000 penumpang pada satu-satu masa. Nak suruh orang KL duduk bertenggek atas tren macam di India dan Bangladesh ke...? Otak letak di mana...? Inilah contoh kenyataan syok sendiri yang sekadar dibuat di dalam bilik berhawa dingin sahaja tanpa mengukur baju di badan sendiri terlebih dahulu.

Buat Ku Nan dan Mohd. Amin Abd. Aziz, adakah anda berdua ada berusaha mencari jalan alternatif bagi mengurangkan beban warga kota yang terpaksa berkereta disebabkan tahap pengangkutan awam yang begitu teruk dan tidak boleh diharap...? Kalau sekurang-kurangnya ada buat kempen pergi kerja naik motor, tak apalah juga. Sekurang-kurangnya ada jugalah alternatif yang murah, versatil, cekap dan bebas daripada masalah kesesakan jalan raya, tol dan parkir sementara hendak menunggu sistem pengangkutan awam ditambah baik. Tapi masalahnya adakah Ku Nan dan Mohd. Amin ada buat kempen tu...? Kempen yang bersifat menghina penunggang motosikal adalah.

Akibat caj parkir baharu di KL yang menjerut leher itu, akhbar Kosmo! melaporkan bahawa caj parkir baharu oleh DBKL itu bakal membunuh perniagaan di pusat bandar raya. Kebimbangan mereka memang berasas, kerana caj parkir cekik darah itu menyebabkan warga KL sudah tidak lagi berminat untuk datang membeli-belah di pusat bandar raya kerana tidak mahu membakar duit untuk caj parkir. Tapi Ku Nan dan Mohd. Amin peduli apa...? Mereka bekerja dalam pejabat berhawa dingin dan menaiki kereta rasmi kerajaan yang mana duit minyak dibiayai hasil cukai rakyat, jadi manalah mereka ambil peduli akan kesusahan dan keperitan yang dihadapi rakyat marhaen...? Justeru, dakwaan KL sebagai bandar raya mesra perniagaan kini sudah boleh dianggap bohong semata-mata.

Kesimpulannya, kenaikan caj parkir awam DBKL yang dilaksanakan baru-baru ini sangat cekik darah dan sangat zalim terhadap warga KL. Sehubungan dengan isu caj parkir cekik darah tersebut, Ku Nan dan Mohd. Amin telah melakukan tiga dosa besar yang tidak boleh dimaafkan sama sekali terhadap warga KL - pertama, menaikkan caj parkir tatkala mereka gagal menambah baik sistem pengangkutan awam; kedua, menipu orang KL dengan mengatakan kononnya caj parkir di Yangon dan Bangladesh lebih mahal sedangkan saya berjaya membuktikan sebaliknya; dan yang ketiga, tidak mahu bertanggungjawab terhadap sebarang kesudahan buruk yang disebabkan oleh caj parkir cekik darah tersebut. Kepada warga KL, jika benar anda betul-betul marah, naik angin dan rasa menderita akibat kenaikan caj parkir itu, saya ingin menyeru kepada anda agar bertindak dan tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada dua ekor lahanat yang bertanggungjawab menjerut leher warga kota dengan caj parkir tidak masuk akal tersebut. Sebarkan entri ini yang mendedahkan pembohongan Datuk Bandar KL ini agar semua warga KL sedar akan hak mereka. Alang-alang hendak membantah, bantahlah betul-betul sehingga Datuk Bandar KL menurunkan kembali caj parkir - ataupun jika dia meletakkan jawatan. Kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, anda sepatutnya berasa malu dan meletakkan jawatan kerana anda berdua sudah gagal menunaikan amanah bagi memelihara kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang semakin tersepit akibat beban kos sara hidup yang semakin mencanak naik.

No comments:

Post a Comment

Advertisement