Wednesday, July 27, 2016

Perodua Bezza 2016 yang sangat berbeza / The totally different 2016 Perodua Bezza

Salam sejahtera,

Tanggal 21 Julai 2016, satu penantian yang selama ini amat ditunggu-tunggu peminat Perodua sudah pun berakhir apabila model sedan sulung Perodua iaitu Perodua Bezza sudah selamat dilancarkan. Apa tidaknya, selama ini Perodua hanya mengeluarkan model-model hatchback sahaja; jika dibandingkan, pesaing utamanya iaitu Proton menghasilkan kedua-dua model sedan dan hatchback. Dengan pelancaran Perodua Bezza ini, Perodua akhirnya berupaya memecahkan dominasi Proton Saga FLX sebagai model sedan bajet untuk seisi keluarga.

Kajian pasaran oleh Proton sendiri membuktikan bahawa pengguna sebenarnya lebih gemarkan model sedan daripada hatchback kerana sedan berupaya memuatkan lebih banyak barangan berbanding hatchback. Namun, kejayaan model Perodua Myvi yang mengangkat Perodua sehingga menjadi pengeluar kereta nombor satu di Malaysia sedikit-sebanyak berupaya menafikan hasil kajian Proton itu, sungguhpun Perodua Myvi merupakan sebuah model hatchback. Pun begitu, peminat Perodua tetap mengharapkan agar Perodua sendiri menghasilkan model sedan sendiri supaya lebih banyak barangan dapat diangkut. Ia terbukti semasa Perodua mengeluarkan model MPV Alza mereka, yang mana pengguna lebih banyak melayan Alza sebagai sebuah kereta estet 5 tempat duduk daripada sebuah MPV 7 tempat duduk. Mahu tidak mahu, Perodua akhirnya akur dengan kehendak pasaran dan mula membangunkan model sedan mereka sendiri.

Selama ini, Perodua sering dianggap sebagai sebuah syarikat kereta yang hanya tahu menyalin model-model kereta daripada syarikat induk mereka, Daihatsu (dan Toyota). Namun, ramai yang tidak tahu bahawa ada kalanya syarikat induk mereka pula yang menyalin model-model kereta Perodua sendiri. Contoh paling mudah ialah Perodua Myvi generasi kedua. Meskipun Myvi generasi kedua masih berasaskan Daihatsu Boon generasi kedua, namun hanya rekaan lampu hadapan dan badan kereta sahaja yang sama seperti Boon; selebihnya pula direka jauh berbeza daripada Boon. Hasilnya, Daihatsu menggunakan rekaan Myvi generasi kedua untuk dijual sebagai Daihatsu Sirion bagi pasaran eksport di beberapa negara seperti Indonesia. Selain Myvi generasi kedua, Perodua juga membina sendiri beberapa model enjin mereka - enjin ED-VE 850 cc DVVT yang digunakan pada Perodua Viva 850 merupakan satu-satunya model yang menggunakan enjin ED-VE buatan sendiri dan tidak terdapat pada mana-mana model Daihatsu mahupun Toyota. Kali ini, Perodua mahu membuktikan bahawa mereka memang berupaya merekabentuk kereta sendiri tanpa mengharapkan mana-mana model Daihatsu mahupun Toyota, dan hasilnya ialah Perodua Bezza yang anda dapat lihat sekarang.

Pembangunan model Bezza bermula seawal tahun 2010 lagi apabila Perodua mempamerkan rekaan kereta konsep mereka yang diberi nama Bezza semasa Pertunjukan Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010. Susulan maklum balas yang amat menggalakkan semasa Perodua mempamerkan model konsep Bezza, mereka kembali semula semasa KLIMS 2013 dengan satu lagi kereta sedan konsep yang mana kali ini dinamakan sebagai Buddyz. Kedua-dua rekaan model dihasilkan sendiri oleh Jabatan Rekabentuk Perodua yang diketuai oleh Encik Muhamad Zamuren Musa, tanpa merujuk kepada mana-mana model kereta Daihatsu, memandangkan Daihatsu tiada model kereta sedan. Model sedan sulung Perodua akhirnya diluluskan pembangunannya pada tahun 2015 dengan berasaskan pelantar Perodua Axia.

Nama Bezza memang berasal daripada bahasa Melayu, menjadikannya sebagai model pertama Perodua yang kembali menggunakan nama model daripada bahasa Melayu setelah sekian lama menggunakan nama-nama yang pelik bermula daripada Myvi. Namun, Perodua sengaja menambah satu lagi huruf Z di dalam nama Bezza untuk menjadikannya kelihatan seperti nombor 22, bagi menandakan tahun 2016 sebagai ulang tahun ke-22 Perodua sejak mula tampil dengan model Kancil sebagai model sulung mereka.

Saya berkesempatan untuk bertandang ke Perodua Taman Samudera, Batu Caves pada keesokan harinya (22 Julai 2016) sebaik sahaja selesai solat Jumaat untuk melihat sendiri model Perodua Bezza dari jarak dekat. Secara kebetulan, mereka turut mengadakan satu jamuan ringan bagi meraikan pelancaran Bezza ini.

Serius saya katakan, saya berasa sangat teruja apabila dapat melihat sendiri model sedan pertama oleh Perodua ini. Bezza ini memang nyata jauh berbeza daripada mana-mana model Perodua yang pernah saya lihat dan cuba. Pertama, kerana Bezza ini 100% rekaan anak Melayu dalam Perodua, berbeza daripada majoriti model Perodua yang berasaskan rekaan orang Jepun. Kedua, Bezza ini merupakan kereta pertama Perodua yang berjaya memperoleh penarafan 5 bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP, meskipun setakat ini hanya terhad kepada varian 1.3 Advance sahaja. Ketiga, Bezza juga menampilkan banyak pembaharuan yang pertama kali ditampilkan dalam mana-mana model Perodua, dan ada di antaranya yang pertama kali ditampilkan pada mana-mana kereta nasional, iaitu teknologi hentian melahu.

Tiga varian ditawarkan bagi model Bezza. Varian paling cikai ialah varian Standard G yang digerakkan oleh enjin 1KR-VE 998 cc VVT-i serba baharu. Enjin baharu ini memang serba baharu dan tidak sama dengan enjin 1KR-FE yang digunakan pada salah satu varian Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia, meskipun kedua-duanya dilengkapi sistem pemasaan injap boleh laras VVT-i. Jika dikaji sejarah pembangunan enjin siri 1KR oleh Daihatsu dan Toyota, enjin 1KR-FE dibangunkan terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan enjin 1KR-DE yang dibuang sistem VVT-i bagi membolehkannya mematuhi piawaian Kereta Hijau Kos Rendah (LCGC) yang ditetapkan oleh pihak pemerintah Indonesia serta piawaian Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Namun, disebabkan enjin 1KR-DE keluaran Perodua menampilkan talaan berbeza serta nisbah mampatan yang berbeza daripada enjin 1KR-DE keluaran Daihatsu sendiri, maka enjin yang digunakan pada Perodua Axia itu diberi nama 1KR-DE2. Seterusnya, enjin 1KR-VE pula dibina oleh Perodua berasaskan enjin 1KR-DE2 tetapi dengan beberapa perubahan, seperti liang masukan yang direka semula, rongga masukan yang lebih panjang bagi meningkatkan kecekapan masukan udara semasa kelajuan rendah, serta penggunaan pemancit bahan api dan tapet injap baharu. Hasilnya, enjin 1KR-VE ini mampu menghasilkan keluaran kuasa 67 bhp (50 kW) @ 6,000 rpm dan tork 91 N-m @ 4,400 rpm serta berupaya mencatatkan penggunaan bahan api 22.8 km/L bagi transmisi manual dan 21.3 km/L bagi transmisi automatik. Meskipun hanya sekadar enjin 1 liter, namun enjin ini sebenarnya cukup berkuasa untuk menarik sebuah sedan yang pendek sedikit sahaja daripada Proton Saga FLX. Berat kering yang tidak sampai 900 kg juga banyak membantu bagi memastikan enjin yang digunakan ini cukup berkuasa walaupun ketika mendaki bukit curam menggunakan varian G transimsi automatik. Jadi siapa kata enjin 1 liter tidak cukup kuasa untuk menarik sedan yang pendek sedikit sahaja daripada Saga FLX...?

Dua varian lain iaitu Premium X dan Advance pula ditenagai enjin 1NR-VE serba baharu yang dibangunkan oleh Perodua. Enjin 1NR-VE ini sebenarnya salah satu varian daripada enjin 1NR-FE yang digunakan pada varian termurah Toyota Avanza yang dijinakkan sedikit bagi membolehkan varian 1.3 liter ini mematuhi piawaian EEV. Enjin 1NR-FE pada Toyota Avanza ditala untuk menghasilkan 95 bhp (71 kW) @ 6,000 rpm, manakala enjin 1NR-VE pada Bezza pula menghasilkan 94 bhp (70 kW) @ 6,000 rpm. Kedua-dua enjin menghasilkan tork sama iaitu 121 N-m, tetapi pada takat kelajuan enjin yang berbeza - enjin Bezza menghasilkan angka tork tersebut pada 4,000 rpm manakala enjin Avanza pula pada 4,200 rpm. Hasilnya, enjin 1KR-VE pada Bezza mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21.7 km/L bagi transmisi manual dan 21 km/L bagi transmisi automatik, yang mana boleh dianggap sebagai kereta 1.3L paling jimat dalam kelasnya. Nak lagi jimat...? Boleh. Varian Advance menampilkan hentian melahu yang berupaya meningkatkan penjimatan bahan api kepada 22 km/L walaupun hanya ada varian transmisi automatik sahaja.

Varian G dan X boleh didapati dalam pilihan transmisi manual 5 kelajuan dan automatik 4 kelajuan. Tentang pemilihan transmisi automatik, mungkin bunyinya agak mengecewakan kerana Perodua masih lagi menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan, sedangkan pesaing lainnya iaitu Proton Saga FLX dan Mitsubishi Attrage sudah pun berhijrah kepada CVT. Namun, kalau sudah enjin Bezza ini sangat jimat, pakai kotak gear automatik 4 kelajuan pun sudah memadai, jadi ia boleh dimaafkan sama sekali. Varian Advance hanya boleh didapati dalam transmisi automatik 4 kelajuan tetapi masih berupaya menjadi varian paling jimat minyak hasil penggunaan teknologi hentian melahu, Penggunaan teknologi hentian melahu juga adalah yang pertama seumpamanya bagi kereta nasional, malah Proton sendiri pun belum ada model kereta yang menggunakan teknologi sedemikian.

Sekarang kita pergi pula kepada ruang dalaman Bezza ini pula. Serius saya katakan, dari segi ruang dalaman, Perodua berjaya membuatkan mulut saya ternganga sebesar-besarnya. Meskipun sedan ini pendek sedikit sahaja daripada Saga FLX, namun Bezza mempunyai ruang kaki yang lebih luas dan ruang kepala yang agak besar, meskipun untuk penumpang dengan ketinggian 178 cm seperti saya. Itu baru tempat duduk, belum lagi but belakang. Dari luar, but Bezza ini nampak pendek sahaja, tetapi sebaik sahaja ia dibuka, ruang dalaman but tersebut benar-benar membuatkan mulut saya ternganga. But Bezza ini sangat besar, serius...!!! Dengan but bersaiz 508 liter, ia bukan sahaja lebih besar daripada but Proton Saga FLX 2011 (413 L), malah but Perodua Bezza ini juga lebih besar daripada Proton Persona Elegance 2010 (430 L), Mitsubishi Attrage 2013 (450 L) dan Toyota Vios 2013 (506 L). Ia hanya kalah dengan Honda City 2014 yang mempunyai saiz but terbesar dalam kelasnya iaitu 536 L.

Jika diperhatikan pada reka bentuk dalaman Bezza ini, ia tidak begitu fotogenik sebagaimana Axia mahupun Myvi. Namun, pembeli prospek peduli apa, janji ia tidak nampak terlalu cikai. Panel meternya sangat ringkas, terdiri daripada meter laju dan takometer analog serta paparan LCD yang memaparkan tolok bahan api, posisi transmisi automatik, odometer, tripmeter, penggunaan bahan api (purata dan semasa), anggaran lingkungan jarak perjalanan maksimum, pemasa hentian melahu serta maklumat waktu servis.

Dari segi sistem audio, radio yang digunakan pada dua varian termurah sangat berbeza daripada mana-mana model kereta lain kerana ia tiada pemain CD tetapi hanya boleh memainkan lagu MP3 dari pemacu kilat USB. Puas saya mencari di manakah slot CD tetapi saya tetap tidak jumpa. Kalau ikutkan, radio pada Honda City 2009 kelihatan seolah-olah tiada pemain CD, tetapi sebenarnya slot pemain CD ada tersembunyi di balik paparan LCD radio tersebut. Namun, dalam kes Perodua Bezza pula, memang tiada langsung pemain CD pada radio di varian Standard G dan Premium X. Radio pada Premium X turut ditambah keupayaan memainkan lagu melalui Bluetooth,  tetapi masih tiada pemain CD. Hanya varian Advance sahaja yang dilengkapi pemain CD. Bukan itu sahaja, radio pada varian Advance adalah dari jenis unit skrin sentuh dengan sistem navigasi GPS serta turut menyokong sambungan kepada telefon pintar Android melalui ciri Smart Link. Ya, telefon pintar Android sahaja, iPhone pula tidak disokong. Selain itu, kesemua varian 1.3 liter (Premium X dan Advance) turut dilengkapi satu port pengecas USB dengan kadaran arus 2 ampere. Tatkala port pengecas 2 ampere ini berupaya mengecas power bank dan bateri telefon pintar dengan pantas, namun ia sebenarnya kurang sesuai digunakan pada telefon pintar yang mempunyai saiz bateri kurang daripada 2,000 mAj kerana arus pengecasan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan bateri telefon pintar meletup, lebih-lebih lagi jika bateri yang digunakan itu bateri cap ayam. Jika dibandingkan, Proton Iriz dilengkapi pilihan 2 port pengecas USB yang mempunyai kadaran arus berbeza iaitu 1.5 ampere dan 2.1 ampere, yang boleh disesuaikan pada lebih banyak pilihan telefon pintar. Justeru, kepada pemilik Perodua Bezza yang menggunakan telefon pintar dengan kapasiti bateri di bawah 2,000 mAj, sila gunakan pengecas kereta original yang dipalamkan pada soket penyala rokok 12 volt dan bukannya port USB yang disediakan.

Untuk menghidupkan enjin, varian Standard G menggunakan kunci biasa, manakala kesemua varian 1.3 liter pula dilengkapi suis penghidup tekan yang tidak memerlukan anda untuk memasukkan kunci - hanya simpan fob kunci ke dalam kocek seluar, tekan brek dan tekan butang penghidup untuk menghidupkan enjin. Untuk mematikan enjin, hanya tekan butang yang sama. Ciri penghidup tekan juga tidak memerlukan anda untuk menekan butang pada kunci penggera bagi membuka kunci pintu; sebaliknya, anda hanya perlu tekan sahaja suis hitam kecil pada hendal pembuka pintu pemandu. Jika kunci asal ada bersama-sama anda, kunci pintu akan terbuka; jika tiada kunci, ia tidak akan terbuka.

Dari segi keselamatan pula, Perodua Bezza sangat berbeza daripada mana-mana model kereta keluaran Perodua sebelumnya kerana ia merupakan kereta pertama yang memperoleh 5 bintang penuh dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP. Namun, ia hanya terpakai pada varian Advance sahaja, kerana ia dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang tidak terdapat pada varian lain. Namun, apa yang mengecewakan ialah Bezza ini hanya ada dua sahaja beg udara walaupun pada varian termahal; tiada beg udara tepi mahupun beg udara tirai.

Jadi siapa patut memiliki model Perodua Bezza ini...? Sesiapa sahaja yang ingin memiliki kereta pertama, serta keluarga yang mula berhijrah daripada kereta kecil seperti Kancil, Kelisa, Viva, Axia dan Myvi memang patut memiliki Bezza ini. Namun, jika anda orang KL, anda patut membeli varian Advance yang dilengkapi ciri hentian melahu supaya anda tidak lagi perlu membazirkan bahan api dengan sia-sia setiap kali terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Anda perlu ingat bahawa petrol yang dibazirkan setiap jam semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya itu sepatutnya boleh digunakan untuk perjalanan dari KL ke Seremban. Justeru, pujian harus diberikan kepada Perodua kerana membina kereta mampu milik yang dilengkapi hentian melahu, kerana selama ini hanya kereta-kereta mahal dan kereta hibrid sahaja yang dilengkapi teknologi sedemikian.

Setakat ini sahajalah reviu eksklusif Blog Jalan Raya Malaysia mengenai model sedan sulung Perodua iaitu Bezza. Ia sememangnya berbeza daripada mana-mana model keluaran Perodua sebelum ini, dan ia terbukti sebuah sedan bajet yang praktikal dan sesuai untuk seisi keluarga. Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan Perodua Bezza sebagai "pembunuh" Proton Saga yang selama ini merajai segmen sedan bajet sejak 1985, kerana Proton sudah pun bertindak balas dengan mengumumkan pelancaran tiga model terbaru mereka dalam tempoh tiga bulan akan datang - bermula dengan Persona generasi kedua (Ogos), Saga generasi ketiga (September) dan sebuah MPV subpadat berasaskan Suzuki Ertiga (Oktober). Namun, siapa tahu...? Selain Proton Saga, Mitsubishi Attrage juga merupakan satu lagi model pesaing bagi Perodua Bezza.



Spesifikasi Perodua Bezza 2016

Enjin:-
  • 1KR-VE 998 cc VVT-i DOHC 12 injap 4 lejang 3 silinder sebaris sejukan cecair (Standard G)
  • 1NR-VE 1,329 cc Dual VVT-i DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair (Premium X & Advance)
Sesaran: 998 cc (Standard G); 1,329 cc (Premium X  & Advance)
Lubang x lejang: 71 x 84 mm (Standard G); 72.5 x 80.5 mm (Premium X & Advance)
Nisbah mampatan: 11.5:1
Kuasa kuda: 67 bhp (50 kW) @ 6,000 rpm (Standard G); 94 bhp (70 kW) @ 6,000 rpm
Tork: 91 N-m @ 4,400 rpm (Standard G); 121 N-m @ 4,000 rpm (Premium X & Advance)
Jarak roda: 2,455 mm
Berat kering: 865-930 kg
Muatan tangki bahan api: 36 liter

Apa yang saya suka
  1. Dua pilihan enjin serba baharu yang sangat jimat minyak
  2. Ada hentian melahu pada varian Advance
  3. Pertama kali didatangkan dengan butang penghidup tekan dan kemasukan pintar (smart entry) bagi varian 1.3 liter
  4. Model pertama Perodua yang memperoleh 5 bintang dalam ASEAN NCAP - tiada lagi stigma kereta tin Milo
  5. Ruang but yang sangat besar sehingga menewaskan model-model segmen B yang lebih besar
Apa yang saya tidak suka
  1. Hanya ada paling banyak pun dua sahaja beg udara walaupun pada varian paling mahal
  2. Rekaan papan pemuka dalaman yang kurang fotogenik







Gambaran keseluruhan Perodua Bezza






Pandangan bahagian hadapan yang menampakkan sedikit design cues daripada Perodua Axia






Lampu belakangnya nampak sama seperti Honda Civic FB 2012






Dua pilihan enjin serba baharu untuk Perodua Bezza - varian Standard G digerakkan oleh enjin 1KR-VE 998 cc dengan VVT-i...






...manakala varian lain digerakkan oleh enjin 1NR-VE 1,329 cc dengan Dual VVT-i






Rekaan meter Bezza yang sangat ringkas






Radio pada varian Standard G - mana perginya pemain CD...?






Hanya varian Advance sahaja yang dilengkapi unit skrin sentuh dengan sistem navigasi GPS dan pemain CD






Butang kawalan radio pada stereng hanya ada pada varian Advance






Varian Standard G dihidupkan dengan menggunakan kunci biasa...






...manakala varian 1.3 liter pula dilengkapi suis penghidup tekan






Kesemua varian 1.3 liter didatangkan dengan satu port pengecas USB 2 ampere...






...manakala varian 1 liter pula tiada port pengecas USB






Tombol gear automatik menerima kemasan kulit






Ruang kepala Bezza ini cukup besar untuk penumpang dengan ketinggian 178 cm seperti saya






Ruang kakinya juga cukup besar, siap ada lebih lagi






Ruang but Bezza ini sangat besar, malah lebih besar daripada but Saga, Persona, Attrage dan Vios






Banyak cawan boleh dimuatkan pada Perodua Bezza ini

No comments:

Post a Comment