Petikan akhbar Utusan Malaysia mengenai majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat KKR
Salam sejahtera,
Tahun ini (2016) menandakan sudah dua tahun kerjasama antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan seluruh agensi di bawahnya telah terjalin secara rasminya. Sejak daripada itulah kami sering mendapat undangan daripada pihak KKR untuk menjayakan program-program mereka berkaitan dengan jalan raya. Undangan terkini yang bakal kami hadiri ialah kempen FTRoadpedia yang bakal dihadiri oleh kedua-dua admin Blog Jalan Raya Malaysia iaitu saya dan Aiman Ab. Majid. Namun, kali ini saya hendak bercerita tentang undangan tahunan yang sering kami terima sejak 2014, iaitu undangan bagi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Kerja Raya.
Majlis kali ini merupakan kali ketiga saya diundang oleh KKR bagi menghadirinya, Berbeza dengan tahun-tahun lepas, tahun ini saya menerima undangan bukan sahaja daripada KKR sendiri tetapi juga daripada banyak agensi di bawah KKR, antaranya termasuklah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya, JKR Johor, JKR Pulau Pinang, JKR Negeri Sembilan dan JKR Terengganu. Malah, ada juga pegawai tertinggi KKR seperti Ketua Setiausaha KKR, Dato' Sri Zohari Haji Akob, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin pun ada menyampaikan undangan menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri masing-masing, tetapi hanya ada beberapa undangan sahaja yang dapat saya hadiri. Kepada pihak yang mengundang saya tetapi saya tidak dapat menghadirinya, saya memohon maaf zahir batin kerana tidak dapat hadir sama ada disebabkan kesibukan kerja, lokasi terlalu jauh, mahupun atas sebab-sebab lain (bagi kes rumah terbuka Datuk Rosnah, majlis diadakan tatkala saya baru sahaja pulang dari kampung halaman di Segamat ke Kuala Lumpur dan saya terlalu keletihan setelah memandu sejauh 200 km tanpa henti). Insya-Allah, tahun hadapan saya akan cuba penuhi seberapa banyak undangan yang saya termampu.
Setakat hari ini (30 Julai 2016), ada tiga majlis rumah terbuka yang sempat saya hadiri dalam dua hari berbeza. Pada 26 Julai, saya berkesempatan menghadiri dua majlis rumah terbuka serentak anjuran JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga CIDB kerana lokasi kedua-duanya yang terletak sebelah-menyebelah. Kebetulan pula motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya rosak kerana kekejangan omboh yang memaksanya untuk dilakukan proses baik pulih penuh (full overhaul), maka saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kereta tanpa kerelaan sehinggalah saya berupaya untuk membaikinya. Oleh kerana saya malas hendak mengharungi kesesakan pusat bandar raya Kuala Lumpur, maka saya mengambil keputusan untuk memparkir kereta berhampiran stesen LRT Sentul dan menaiki LRT sehingga ke stesen LRT Chan Sow Lin yang terletak betul-betul di seberang jalan di hadapan pejabat JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Oleh kerana JKR WPKL paling dekat dengan stesen LRT, maka saya mengambil keputusan ke situ dahulu. Majlis tersebut turut dihadiri beberapa ahli Rakan KKR yang lain seperti Pn. Nurul (aka nyonyacyber), En. Zakhir (aka Abang Madu) dan En. Fajri. Memang ada tetamu kehormat yang turut hadir seperti Datuk Rosnah Shirlin dan Datuk Sarani Dollah, tetapi mereka hanya sempat datang ke kedua-dua tempat tersebut sebentar sahaja kerana perlu bergegas pulang ke ibu pejabat KKR bagi menghadiri mesyuarat. Jutaan terima kasih kepada pihak JKR WPKL dan juga CIDB atas undangan tersebut.
Pada 28 Julai pula, KKR mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat KKR. Berbeza dengan majlis pada tahun lalu yang mempertemukan antara Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kedua-dua admin Blog Jalan Raya Malaysia, kali ini hanya saya seorang sahaja yang berkesempatan menghadirinya. Aiman tidak dapat hadir disebabkan komitmen kerja, tetapi dia sudah mengesahkan akan turut hadir dalam kempen FTRoadpedia nanti. Selebihnya, kita biarkan sahaja gambar-gambar dalam entri ini berbicara bagi pihak saya.
Dengan sebegitu banyak undangan rumah terbuka yang saya terima, ia menunjukkan hubungan antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan Kementerian Kerja Raya yang semakin erat. Seterusnya, kami akan berkolaborasi bersama-sama dalam kempen FTRoadpedia yang bakal diadakan pada minggu hadapan (6 Ogos 2016). Harapan kami ialah agar hubungan akrab sebegini dapat terus dikekalkan, memandangkan kami berkongsi perjuangan yang sama bagi memartabatkan rangkaian jalan raya negara.
Ketika di dalam LRT semasa dalam perjalanan ke JKR WPKL & CIDB
Lokasi pejabat JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terletak di seberang jalan dari stesen LRT Chan Sow Lin
Antara Rakan KKR yang hadir
Bergambar kenangan bersama-sama para pegawai dan kakitangan di JKR WPKL
Saya bersama-sama Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Ir. Roslan Md. Taha semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Kementerian Kerja Raya - warna baju sama, macam dah berpakat je...!!!
Saya bersama-sama Datuk Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya merangkap Bapa Media Sosial KKR
Bergambar bersama-sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof - kali ini hanya bergambar berdua sahaja kerana Aiman Ab. Majid tidak dapat hadir
Blog Jalan Raya Malaysia, Rakan KKR dan Kementerian Kerja Raya Malaysia kini ibarat sebuah keluarga besar yang berkongsi visi, misi dan perjuangan yang sama
Lagi gambar kenangan bersama-sama beberapa lagi ahli Rakan KKR
No comments:
Post a Comment