Monday, August 22, 2016

Jelajah FTRoadpedia @ Lekir Part 2: Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5 / Teluk Intan-Sitiawan Road FT5



Bas yang kami naiki menyelusuri sepanjang Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5
(Kredit gambar: Laman Facebook rasmi FTRoadpedia)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana episod kedua siri reviu FTRoadpedia ini lambat disiarkan berikutan kesibukan kerja. Oleh itu, saya ingin memanfaatkan segala ruang masa yang saya ada sekarang untuk menyiarkan entri kali ini.

Seperti yang anda semua sedia maklum, jajaran Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5 merupakan jajaran terakhir yang melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 5 setelah siap sepenuhnya pada tahun 1988. Namun, disebabkan saya sudah pun menulis mengenai sejarah lengkap Jalan Persekutuan 5, maka entri kali ini boleh dikatakan agak pendek sahaja.

Sedikit sejarah ringkas mengenai jalan ini. Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5 ini dibina bagi melengkapkan pautan putus Jalan Persekutuan 5 dari Sitiawan sehingga ke Teluk Intan. Sebelum ini, Pengguna jalan raya dari Lumut dan Sitiawan yang hendak ke Teluk Intan terpaksa melalui Jalan Ipoh-Lumut FT5 sehingga ke Bota Kanan dan seterusnya melalui Jalan Persekutuan 109 sehingga ke Teluk Intan. Jalan FT109 pun masih ada masalahnya sendiri pada masa itu, iaitu ketiadaan jambatan khas menyeberangi Sungai Bidor di Teluk Intan sehingga terpaksa berkongsi jambatan dengan laluan kereta api cabang Ipoh-Teluk Intan pada masa itu. Akibatnya, JKR Hilir Perak terpaksa membayar RM10,000 setiap bulan kepada Keretapi Tanah Melayu bagi membolehkan jambatan kereta api yang menyeberangi Sungai Bidor dikongsikan bersama-sama trafik jalan raya. Jambatan itu pula sempit dan tidak sesuai digunakan oleh lori. Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil keputusan membina dua buah jambatan di Teluk Intan, iaitu Jambatan Sungai Bidor FT109 dan Jambatan Sultan Yussuf FT5.

Jambatan Sultan Yussuf FT5 dibina sebagai sebahagian Projek Jalan Raya Pantai Barat Sungai Perak-Lumut FT5 bagi melengkapkan pautan putus antara Sitiawan dengan Teluk Intan, dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM27 juta. Ia menggunakan bekas jajaran Jalan Negeri Perak A117 dari Sitiawan ke Kg. Koh, Lekir dan Kg. Kayan sebagai laluan perintis. Sementara itu, jajaran A117 dari Sitiawan ke Kg. Acheh pula kini diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan Industri dengan kod laluan FT3145. Jalan tersebut dibina sebagai jalan super two, sesuai dengan zaman pembinaannya serta status sebagai laluan tulang belakang. Projek tersebut mula dibina pada April 1986 dan siap sepenuhnya pada 17 November 1988.

Kembara kami dari Jalan Klang-Teluk Intan FT5 melalui jalan ini mempunyai dua perhentian utama, iaitu di pejabat tapak projek naik taraf jalan ini kepada jalan raya kembar yang membentuk salah satu pautan putus Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32, dan perhentian kedua sudah tentulah lokasi Karnival FTRoadpedia di Dewan Komuniti Bestari Mukim Lekir di Batu 10 Lekir yang terletak betul-betul di tepi FT5 ini.

Jika anda hendak tanya saya mengenai keadaan jalan tersebut, ada dua jawapan yang boleh saya berikan - kurang bagus dan bagus. Jajaran dari Jambatan Sultan Yussuf sehingga ke Jambatan Parit Hindu boleh dikatakan sebahagian besarnya kurang baik dengan banyak kesan tampalan, sementara jajaran dari Jambatan Parit Hindu sehinggalah ke Sitiawan pula sangat bagus. Sekali lagi, faktor jenis tanah menjadi faktor utama keadaan sebegitu - muka bumi di sepanjang jajaran Jambatan Sultan Yussuf-Jambatan Teluk Hindu sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan tanah gambut yang sering mendap, manakala jajaran selebihnya didominasi kawasan bertanah laterit yang mempunyai integriti struktur tanah yang lebih baik daripada tanah gambut. Justeru, dalam projek tersebut, beberapa langkah penting yang dilaksanakan bagi merawat keadaan tersebut termasuklah pemasangan paip-paip plastik menegak bagi membuang air dari dalam tanah serta membiarkan tanah pasir yang dibubuh itu mendap selama beberapa bulan bagi memastikan keadaan tanah cukup stabil. Selebihnya, saya akan ceritakan kepada anda dalam episod seterusnya.

Sepanjang kami melalui jalan ini, kami dapati aktiviti pertanian dan perladangan dapat dijalankan dengan rancak sejak jalan ini mula dibuka pada tahun 1988. Selain kelapa sawit, sebuah kawasan jelapang padi dapat diwujudkan di kawasan Perak Tengah, yang mana jika melalui Jalan Teluk Intan-Sitiawan, ia merangkumi kawasan dari Kg. Sungai Renggam ke Kg. Parit Jerman.

Kami tidak lalu habis jalan ini sehingga ke Sitiawan. Selepas acara Karnival FTRoadpedia di Lekir berakhir, kami ke Lumut dan memintas bandar Sitiawan untuk ke hotel penginapan kami Lumut melalui Jalan Seri Manjung FT60, Jalan Iskandar Shah FT18 dan Jalan Teluk Muroh A186.

Namun, kisah kami di Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5 tidak berakhir di sini. Saya masih ada misi sekunder saya sendiri semasa menyertai jelajah FTRoadpedia kali ini. Selain itu, sudah tentulah saya perlu melaporkan kepada anda mengenai keadaan sepanjang Karnival FTRoadpedia di Dewan Komuniti Bestari Lekir. Kedua-dua kisah tersebut akan saya tulis dalam dua entri berasingan selepas ini, bermula dengan episod taklimat projek naik taraf FT5 di pautan putus Teluk Intan-Lekir.

Seperti semasa di Jalan Klang-Teluk Intan FT5, gambar-gambar sepanjang Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5 diambil oleh Aiman Ab. Majid, kecuali jika dinyatakan sebaliknya, Sila klik sini untuk galeri penuh gambar.





Pemandangan dari atas Jambatan Sultan Yussuf FT5
(Gambar oleh: Hezery)




Papan tanda projek pautan putus WCE E32




Sebahagian besar pemandangan di sepanjang laluan didominasi ladang kelapa sawit




Sawah padi yang menguning di kawasan Kg. Sg. Ranggam-Kg. Parit Jerman




Kawasan berhampiran Kg. Kayan - boleh nampak laut dari sini. Juga perhatikan paip-paip plastik yang digunakan bagi membuang air dari bawah tanah untuk mengurangkan kesan mendapan semasa pautan putus Teluk Intan-Lekir siap dinaik taraf menjadi jalan raya kembar




Simpang masuk ke Kg. Kayan




Masih ada lagi tempat yang menanam pokok getah walaupun semasa harga getah menjunam sekarang




Kelapa juga merupakan satu lagi komoditi yang banyak ditanam di kawasan ini

No comments:

Post a Comment