Tuesday, February 28, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 1: Melawat semula Jalan Gombak FT68 menaiki bas / Gombak Road FT68 revisited by bus






Salam sejahtera,

Perjalanan menyelusuri Jalan Gombak FT68 menjadi entri pembuka bagi siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur ini. Mungkin ada yang akan bertanya kepada saya, tak bosankah saya kerana sudah tiga kali menyiarkan entri Jalan Gombak FT68 ini...? Tidak cukupkah lagi dengan entri bermotosikal tahun 2014 dan seterusnya entri menggunakan lori pikap oleh Hezeri Samsuri...?

Ini bukanlah kali pertama saya menulis entri berulang bagi jalan yang sama. Sebelum ini saya pernah dua kali menulis entri Jalan Gunung Brinchang FT432, iaitu sempena kunjungan tahun 2011 dan seterusnya reviu tahun 2013. Selain itu, reviu Lebuhraya Lekas E21 juga dihasilkan dua kali, iaitu sebelum dan selepas ia diterangi lampu jalan sepenuhnya. Justeru, sudah tentulah ada banyak benda yang sudah pun berubah setelah sekian lama. Jadi siapa kata menghasilkan reviu bagi jalan yang sama itu semestinya membosankan...?

Pada 23 Februari 2017, rombongan FTRoadpedia yang terdiri daripada Menteri Kerja Raya, para pegawai Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya, Rakan KKR serta wakil-wakil media mula bertolak dari ibu pejabat Kementerian Kerja Raya pada jam 9.00 pagi. Oleh kerana kami perlu mengharungi kesesakan lalu lintas waktu gegas, maka kami tidak memasuki Jalan Gombak FT68 dari Bulatan Pahang FT2 dan seterusnya Jalan Pahang FT2 yang sepatutnya menjadi titik permulaan Jalan Kuala Lumpur-Gombak FT2, sebaliknya kami menggunakan laluan Jalan Kuching FT1, KL MRR2 FT28 dan seterusnya memasuki Jalan Gombak FT68 melalui Persimpangan Gombak Utara dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Pengalaman menyelusuri Jalan Gombak FT68 sama sekali tidak sama seperti reviu menaiki motosikal, kereta mahupun lori pikap. Jika menaiki motosikal, kemahiran melipat lutut di selekoh diuji sepenuhnya. Jika menaiki kereta pula, kemahiran bersilat di selekoh serta bermain-main dengan brek, gear dan pendikit pula menjadi ukuran. Jika menaiki bas pula, ujian lebih hebat pula buat pemandu dan penumpang. Tatkala penumpang perlu bertarung dengan rasa pening, pemandu pula bukan sahaja perlu bersilat sakan dan bermain-main injak pendikit, brek dan gear dengan lebih kerap, malah mereka juga perlu pandai menganggarkan garis pemanduan yang optimum, kerana jalan sesempit ini menyebabkan kenderaan berat cenderung untuk makan jalan. Gaung yang dalam, ketiadaan bahu jalan serta kurang pengadang yang dipasang turut menambah perisa gerun seolah-olah sedang berada di Jalan Yungas di Bolivia, tetapi tidaklah seteruk Jalan Yungas yang sebenar. Justeru, anda dinasihatkan agar tidak menggunakan Jalan Gombak FT68 pada musim hujan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh.

Jalan Gombak FT68 tidak terkecuali daripada menerima perubahan setelah hampir tiga tahun tidak mengunjunginya. Jika dahulunya bilangan kenderaan yang menggunakannya boleh dibilang dengan jari, tetapi sekarang sudah ada sedikit peningkatan dari segi bilangan penggunanya. Ia dibuktikan dengan adanya beberapa orang penunggang basikal yang menggunakan laluan ini sebagai laluan riadah. Menurut Jabatan Kerja Raya Malaysia, kadar trafik harian purata (ADT) bagi Jalan Gombak FT68 adalah lebih kurang 300 kenderaan bagi jajaran Genting Sempah-Janda Baik. Daripada angka tersebut, saya jangkakan ADT bagi jajaran Kampung Sungai Rumput-Genting Sempah pula lebih rendah berikutan keadaan jalan yang sempit, berbengkang-bengkok, berselekoh tajam, mempunyai gaung yang dalam, kurang dipasang pengadang jalan,

Ada satu lagi perkara baharu yang saya pelajari dalam kunjungan semula ke Jalan Gombak FT68 ini. Kali ini barulah saya dapat tahu di mana terletaknya pintu masuk sebenar ke Mimaland yang saya tidak jumpa semasa reviu pertama kali tahun 2014 dahulu. Menurut Hezeri Samsuri, pintu masuk sebenar ke Mimaland ditandakan dengan satu pintu gerbang yang terletak betul-betul sebelum jejambat lintasan pertama Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 dan perlu masuk ke dalam sedikit. Di situ rupanya pintu masuk ke Mimaland...!!! Macam manalah saya boleh tak jumpa langsung...?

Setelah lebih kurang sejam 45 minit menyelusuri jalan FT68 ini, barulah kami berasa lega sebaik bas mula memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 melalui jalan cabang pendek FT121. Untuk meneruskan perjalanan dari Bentong ke Karak dan seterusnya melalui Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, ia memang memerlukan pengguna jalan raya untuk menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2, kerana lebuh raya capaian terkawal yang sudah tidak lagi menggunakan jata laluan FT2 itu sebenarnya memang sebahagian laluan FT2.

Ikuti sambungan seterusnya dalam reviu Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2.

Memandangkan saya tidak mengambil gambar untuk reviu kali ini, anda bolehlah membelek-belek koleksi gambar semasa reviu tahun 2014 ini.








Permulaan Jalan Gombak di Persimpangan Jalan Gombak dekat Jalan Pahang FT2. Pada masa ini, Jalan Gombak masih lagi sebahagian Jalan Persekutuan 2






Simpang Desa Gombak






Simpang Kampung Bandar Dalam. Di sinilah permulaan Jalan Gombak sebagai Jalan Persekutuan 68; FT2 dilencongkan ke Jalan Kampung Bandar Dalam






Pasar Besar Gombak






Simpang Taman Ibu Kota untuk ke Danau Kota. Simpang ini membentuk sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor






DBKL sepatutnya malu dengan KKR kerana gagal memartabatkan jalan raya Malaysia melalui penggunaan kod laluan yang betul sebagaimana yang dilakukan oleh JKR Gombak ini






Simpang Tiga Batu Caves kini sudah dinaik taraf menjadi persimpangan bertingkat






Melintasi KL MRR2 FT28






Pusingan U di Batu 7 Jalan Gombak FT68






Simpang ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - jalan raya kembar tamat!






Suasana di pekan Batu 8 Gombak






Jalan Gombak FT68 menyempit - pengguna jalan raya dihidangkan dengan lanskap kampung yang mendamaikan






Lintasan pertama di bawah Lebuhraya Karak E8/FT2






Perkampungan Orang Asli di KM24 Jalan Gombak FT68






Had laju turun kepada 50 km/j - jajaran ekstrim mendaki Banjaran Titiwangsa bermula...!!!






Jajaran FT68 yang terjejas akibat tanah runtuh






Gaung dalam di sebelah kiri + cerun curam 90 darjah di sebelah kanan + jalan sempit + tiada bahu jalan + tiada pengadang jalan = laluan maut lagi ekstrim






Antara kerja-kerja pembaikan cerun di sepanjang FT68






Salah satu selekoh hairpin di Ulu Gombak






Lagi selekoh yang perlu diratah berterusan di Ulu Gombak






Pasangan sehala di Genting Sempah - masuk ke negeri Pahang secara rasminya






Jajaran Jalan Genting Sempah-Genting Highlands yang membentuk sebahagian FT68 - keadaan jalan sudah mula menggerutu






Papan tanda di Bulatan Genting Sempah ini perlu digantikan ataupun diperbaiki






Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah bukan sahaja boleh dimasuki dari Lebuhraya Karak E8/FT2, malah dari Jalan Gombak FT68 juga






Keadaan jalan yang menggerutu sebaik melepasi hentian rehat Genting Sempah






Simpang ke Janda Baik - tiada papan tanda tunjuk arah ke sana, hanya pintu gerbang sahaja jadi mercu tanda






Selekoh ini sangat cantik tetapi garisan jalan sudah tiada






Turapan di selekoh ini elok pula tetapi berpasir dan tidak dibersihkan






Longgokan pasir yang berpotensi menjadi jerangkap samar di jajaran Janda Baik-Bukit Tinggi






Akibat ketiadaan papan tanda, saya terlepas simpang pertama ke pekan Bukit Tinggi, tetapi nasib baik saya tidak terlepas simpang masuk terakhir ke pekan Bukit Tinggi - itu pun hasil gerak hati sendiri!






Melintasi Lebuhraya Karak E8/FT2 buat kali kedua






Di atas ini ialah Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi






Lagi "jajaran ekstrim" sebaik melepasi Bukit Tinggi






Saya faham Jalan Gombak FT68 ini sudah jarang digunakan orang, tetapi ini bukanlah alasan untuk tidak menyelenggaranya






Lurusan pertama setelah berpuluh km dipenuhi liku dan ranjau






Melintasi Lebuhraya Karak E8/FT2 buat kali terakhir






Dah nak sampai Bentong pun masih ada "jajaran ekstrim" sebegini






Simpang ke Jalan Sambung Kuala Lumpur-Karak FT121 ini menandakan saya hampir tiba ke Bentong






Jarak Kuala Lumpur ke simpang FT121 melalui FT68 sebenarnya ialah 69 km






Dah nak sampai ke Bentong dah...!!!






Restoran nasi ayam Gemas yang baru sahaja dibuka di Bentong - masa makan tengah hari...!!!






Sekolah Teknik Bentong kini dinamakan Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan






Jalan Gombak FT68 tamat di simpang Jalan Persekutuan 8 dekat pekan Ketari, Bentong

No comments:

Post a Comment